Remaja ketagih dengan media sosial - apa kesan terhadap kesihatan mental mereka?
SINGAPURA: Nadheeruddin Tajuddin, pelajar berusia 14 tahun, melayari media sosial selama empat hingga lima jam sehari, kadang kalanya sehingga subuh, dan akibatnya, dia berasa "agak lesu" apabila bangun tidur pada keesokan harinya.
Ada kalanya, dia pening kepala atau jatuh sakit selepas kerap menatal telefonnya pada lewat malam selama beberapa minggu berturut-turut. Apabila ini berlaku, dia biasanya berhenti menggunakan media sosial selama beberapa hari, tetapi kembali melayarinya tidak lama selepas itu.
Walaupun Nadheeruddin - yang selalunya melayari TikTok tetapi juga menggunakan Instagram dan Twitter - berasa bahawa media sosial telah menjejas tumpuannya di dalam kelas, dia tidak merancang untuk menyingkirkan semua aplikasi media sosialnya kerana dia takut menjadi "katak di bawah tempurung".
Bagi Rebecca Kui, pelajar menengah 4, algoritma dan ciri menatal tanpa henti (infinite scroll) Instagram bermakna bahawa dia sentiasa disajikan video dan kandungan yang disukainya. Dia mendapati ini membuatkan dia terhibur selama berjam-jam, dan oleh itu, dia keberatan untuk menutup aplikasi itu.
"Ini agak menakutkan kerana anda akan mula mengabaikan hal-hal penting yang lain, dan masa beberapa minit boleh menjadi beberapa jam dengan sekelip mata," ujar remaja berusia 16 tahun itu, yang menyifatkan media sosial ibarat "dadah yang bertopengkan bahan hiburan".
Rebecca juga sedar bahawa media sosial telah menjejas keupayaannya untuk menangani perasaannya, kerana dia disajikan dengan video-video yang rambang dan mempunyai kandungan amat berbeza secara berturut-turut melalui halaman "For You" di TikTok.
Daripada video sedih tentang seekor anjing yang mati, kepada video menampilkan seseorang yang berjenaka, Rebecca berkata apa yang “menakutkan”, dia akan menangis dan beberapa saat kemudian ketawa pula, kerana dia tidak mempunyai masa yang cukup di antara video-video itu untuk menjiwai sepenuhnya kandungan yang ditonton.
MENGAPA INI PENTING
Pengalaman Nadheeruddin dan Rebecca selari dengan penemuan dalam kajian-kajian sedunia mengenai kesan buruk media sosial ke atas kesihatan mental seseorang.
Tahun lalu, Singapura mengalami kes bunuh diri yang paling banyak sejak 2000, dengan golongan muda berusia 20 hingga 29 tahun membentuk jumlah kematian tertinggi, menurut Samaritans of Singapore (SOS) pada Jun.
Bagi mereka yang berumur 10 hingga 29 tahun, bunuh diri kekal sebagai punca utama kematian selama empat tahun berturut-turut dan ia membentuk lebih daripada satu pertiga (33.6 peratus) daripada semua kematian bagi golongan usia ini. Kematian akibat bunuh diri juga meningkat daripada 112 kes pada 2021 kepada 125 kes pada 2022, bagi golongan usia itu.
Walaupun tiada kajian tempatan yang mengaitkan media sosial dengan kes bunuh diri, penyelidik psikologi dari Amerika Syarikat, Jean Twenge, berhujah bahawa terdapat hubungan ketara antara peningkatan dalam penggunaan telefon pintar dan media sosial dengan kemerosotan kesihatan mental dalam kalangan remaja sedunia.
Pada Mei, pegawai perubatan tertinggi di Amerika Syarikat, Ketua Penasihat Perubatan Vivek Murthy, juga mengeluarkan amaran kepada ibu bapa, syarikat-syarikat teknologi dan pihak pengawal selia, bahawa semakin banyak bukti yang menunjukkan penggunaan media sosial boleh mempunyai "risiko kemudaratan yang besar" ke atas kesihatan dan kesejahteraan mental kanak-kanak dan remaja.
Kanak-kanak dan remaja adalah golongan yang paling mudah terjejas dengan kesan ketagihan media sosial, kata pakar-pakar kepada TODAY. Cik Ranjini Veerappan, pakar isu ketagihan yang bertauliah di Pusat Psikoterapi Holistik berkata otak kanak-kanak belum matang sepenuhnya dan terus berkembang dengan pesat sehinggalah mereka berumur sekitar 25 tahun.
Memandangkan keupayaan mereka untuk membuat keputusan, mengawal gerak hati dan menggunakan pertimbangan masih di tahap pembangunan, penggunaan media sosial yang berlebihan boleh menjejas perkembangan otak mereka dan berpotensi menyebabkan kesan-kesan kognitif dan emosi bagi jangka panjang, kata beliau.
Oleh kerana mereka masih muda, mereka juga belum cukup mahir untuk menangani sebarang situasi sukar yang mungkin timbul dalam dunia digital, yang kemudiannya boleh menjejas kesihatan mental mereka, tambah Cik Veerappan.
Pakar-pakar lain juga memberi amaran bahawa remaja yang ketagih media sosial akan menghadapi masalah untuk membangunkan keupayaan kognitif yang penting dan kemahiran emosi yang diperlukan untuk berfungsi secara normal sebagai seorang dewasa kelak.
GAMBARAN LUAS
Walaupun jumlah bukti semakin meningkat, pakar-pakar memberitahu TODAY bahawa pada masa ini, ketagihan media sosial tidak termasuk dalam kategori gangguan mental dalam Buku Panduan Diagnostik dan Statistik Bagi Gangguan Mental. Ia menyediakan klasifikasi standard tentang gangguan mental untuk para professional kesihatan mental di pelbagai negara seperti Singapura dan Amerika Syarikat.
"Oleh itu, kita hanya boleh ketengahkan kesan penggunaan media sosial yang berlebihan tetapi kita tidak dapat berbincang tentang diagnosis kerana ia belum tergolong sebagai satu gangguan," kata Dr Ong Say How, perunding kanan dan ketua jabatan psikiatri perkembangan di Institut Kesihatan Mental.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia, yang menghasilkan Klasifikasi Antarabangsa bagi Penyakit-Penyakit (ICD), juga belum membentuk sebarang jawatankuasa kerja rasmi untuk meneliti gangguan penggunaan media sosial, kata Cik Julianna Pang, seorang ahli terapi ketagihan dari Visions by Promises.
Cik Pang menambah bahawa sesuatu penyakit boleh disertakan dalam ICD, dengan syarat ia mempunyai pengumpulan data penyelidikan yang mencukupi dan menunjukkan hasil yang konsisten dari seluruh dunia mengenai kriteria diagnostik, penilaian tahap keterukan, dan cadangan rawatan bagi penyakit tersebut.
Jika penyakit itu tidak disertakan secara rasmi dalam ICD, ini akan menjejas ketekalan dari segi terminologi, pilihan alat diagnostik yang digunakan, dan saranan rawatan, kata Cik Pang.
Tambahan lagi, walaupun ada kajian yang menunjukkan kaitan antara penggunaan media sosial yang berlebihan dengan kesan negatifnya ke atas kesihatan mental kanak-kanak dan remaja, pakar-pakar berkata lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk melihat kesannya secara muktamad. Katanya, ia bagi memastikan media sosial itu benar-benar menimbulkan kesan mudarat ke atas kesihatan mental remaja.
Dr Jeremy Sng, pensyarah Fakulti Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi Nanyang, berkata: "Banyak kajian mendakwa bahawa mereka menemui kaitan antara penggunaan media sosial dan isu kesihatan mental, tetapi hala tuju punca bagi kajian-kajian tersebut sebenarnya tidak jelas."
Beliau menambah bahawa metodologi kajian itu juga mesti diambil kira kerana perkaitan tidak semestinya membuktikan puncanya.
"Kesan media sosial sangat sukar untuk dihuraikan kerana kita tidak sekadar menggunakan media sosial sahaja.
"Kita juga melakukan banyak perkara lain – seperti pergi ke sekolah, berurusan dengan keluarga, mempunyai hubungan, dan segala hal sedemikian. Jadi sukar untuk menentukan bahawa sesuatu telah berlaku semata-mata kerana media sosial," kata Dr Sng.
Dr Adrian Loh, perunding kanan psikiatri dari Promise Healthcare, menambah: "Media sosial wujud hanya sekitar sedekad lalu, jadi kita masih sedang cuba memahami implikasinya secara hiliran."
KESIMPULANNYA
Memandangkan kita tidak dapat mengelakkan diri daripada dunia yang pesat berkembang dari segi digital, para ibu bapa, profesional, penggubal dasar dan syarikat-syarikat media sosial kesemuanya perlu mengharungi pelbagai cabaran selain pendedahan dan penggunaan pelbagai wadah digital dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, menurut pakar-pakar yang ditemui TODAY.
Demi melindungi rakyat Singapura daripada kandungan dalam talian yang memudaratkan, Parlimen telah meluluskan undang-undang pada November yang membolehkan pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada syarikat perkhidmatan komunikasi dalam talian untuk melindungi pengguna tempatan daripada kandungan seperti keganasan seksual dan keganasan.
Syarikat yang gagal mematuhi arahan ini boleh didenda sehingga S$1 juta (RM3.4 juta).
Bagi mengurangkan kesan buruk media sosial yang mungkin menjejas golongan muda, Ketua Penasihat Perubatan Amerika, Dr Murthy, dalam laporannya berkata bahawa ibu bapa dan penjaga boleh menghasilkan satu pelan media keluarga yang menetapkan batasan bagi penggunaan teknologi di rumah, mewujudkan zon-zon bebas teknologi serta melaporkan kandungan dan aktiviti yang kurang baik.
Cik Jane Goh, timbalan pengarah perkhidmatan kreatif dan belia di Persatuan Kesihatan Mental Singapura berkata bahawa usaha mendidik golongan muda tentang penggunaan media sosial adalah pendekatan terbaik.
"Walaupun langkah mencegah penggunaan media sosial akan kelihatan sebagai satu penyelesaian yang mudah, ia akan juga membuat mereka rasa terasing daripada rakan sebaya mereka, lalu menimbulkan perasaan takut ketinggalan," kata Cik Goh, yang mengulangi sentimen yang diluahkan para remaja seperti Nadheeruddin.
Bagi Nadheeruddin, memandangkan dia menggunakan media sosial untuk "mengetahui perkembangan sekelilingnya", dia bimbang akan menjadi “katak di bawah tempurung” jika dia berhenti menggunakan wadah digital itu sepenuhnya.
Ini disetujui oleh Cik Nicole Pang, ketua penjagaan kesihatan mental di Impart, sebuah pertubuhan bukan keuntungan untuk golongan belia. Menurut beliau, usaha menangani media sosial bukanlah hanya dari segi menghadkan masa yang diluangkan, tetapi juga dari segi memperkasakan para remaja agar mereka tahu menetapkan batasan dan membuat keputusan sendiri sama ada mereka mahu menonton atau berinteraksi dengan sesuatu kandungan itu.
Cik Tham Yuen Han, pengarah klinikal di pusat rawatan ketagihan We Care Community Services berkata bahawa ibu bapa juga boleh mengutamakan usaha memperkenalkan aktiviti-aktiviti bukan digital sewaktu anak mereka masih kecil untuk mengelakkan remaja daripada terlalu bergantung kepada alat digital.
Ini termasuk menggalakkan aktiviti luar dan sukan, terutamanya aktiviti yang melibatkan interaksi sosial berkumpulan dan secara bersemuka, usaha berpasukan dan kerjasama.
Apa yang penting, keupayaan untuk melayari media sosial secara positif bukan sahaja memerlukan kearifan teknologi dan pengetahuan tentang risiko dalam talian, tetapi juga keupayaan untuk memahami diri sendiri dan mengawal emosi serta tingkah laku.
"Kami boleh membantu golongan muda membangunkan ciri itu dengan mengadakan perbualan tentang perasaan mereka, termasuk situasi di mana mereka berhadapan dengan perkara yang mereka lihat di media sosial," kata Dr Andrew Yee, penolong profesor dalam bidang media dan komunikasi di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura.
Cik Claire Leong, kaunselor di Klinik Sofia Wellness berkata kita perlu faham bahawa mereka yang ketagih media sosial sekarang tidak semestinya akan terus ketagih dan pincang sepanjang hayat mereka.
"Mereka boleh pulih. Ini harus bermula dengan satu kesedaran bahawa tingkah laku mereka sekarang tidak sihat, dan mereka perlu mempunyai kemahuan untuk mengatasinya," tambah beliau.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pasangan Malaysia yang memikat hati warga New York dengan ‘Lady Wong’ – bakeri kueh Asia Tenggara.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.