Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Pasangan Malaysia ini pikat hati warga New York dengan ‘Lady Wong’ – bakeri kueh Asia Tenggara

Kedai Lady Wong yang berpangkalan di New York diusahakan oleh pasangan suami isteri kelahiran Malaysia, Mogan Anthony dan Seleste Tan memperkenalkan warga New York dengan menu kueh Asia Tenggara.

Pasangan Malaysia ini pikat hati warga New York dengan ‘Lady Wong’ – bakeri kueh Asia Tenggara
Pengasas Lady Wong, Seleste Tan dan Mogan Anthony. (Gambar: Lady Wong)

SINGAPURA: Kueh secara mudahnya agak mencabar untuk dikategorikan. Bagaimanakah seseorang mentakrifkan secara ringkas kepingan bersaiz gigitan ini, yang dikukus, dibakar atau dipanggang, yang kebanyakannya manis, kadangkala berperisa, dan berkongsi bahan asas seperti pulut, kelapa dan pandan? 

Tidak dinafikan, pembuatan kueh adalah satu seni masakan yang bukan mudah untuk dikuasai yang mungkin menjadikannya makanan istimewa Asia Tenggara yang masih belum memasuki arus perdana di negara-negara Barat. 

Namun, ia mungkin sudah berubah selepas lebih banyak kedai yang menumpukan menu khas seperti Lady Wong di East Village ini mula tumbuh di bandar New York. 

Perniagaan itu, yang bermula sebagai perkhidmatan penghantaran kueh oleh rakyat Malaysia Mogan Anthony dan Seleste Tan semasa pandemik COVID-19, begitu berjaya sehingga mereka berupaya mengendalikan kedai tetap di 322 East 9th Street pada 2022 dan dijemput untuk membuka gerai di Urban Hawker di Midtown tahun ini.

Anthony mahupun Tan kedua-duanya tidak pernah menjalani latihan secara formal dalam pembuatan kueh. Namun, hasil gabungan itu menjayakan impian mereka untuk membuka kedai di tempat makan mewah setanding dengan Wylie Dufresne WD-50 dan Jean-Georges Jean-Georges Vongerichte. 

Anthony, berasal dari negeri utara Malaysia, Perlis manakala Tan, berasal dari Johor. Mereka telah bertemu di Four Seasons Singapura, tempat dimana Anthony bekerja di hadapan rumah dan Tan sebagai tukang masak pastri. 

Perniagaan ini pada mulanya hanya bermula dengan membuat perkhidmatan penghantaran kueh oleh warga Malaysia Mogan Anthony dan Seleste Tan semasa pandemik COVID-19. (Gambar: Lady Wong)

“Kami mendapat peluang untuk membuka sebuah restoran di New York untuk rakan kami 17 tahun lalu. Rancangan berubah-ubah, dan kami (akhirnya) menubuhkan dengan sendiri di sini bersama rakan dan keluarga,” kata Anthony. Apabila COVID-19 melanda, pasangan yang kini membesarkan dua cahaya mata tidak dapat pulang ke tanah air dan merindui makanan Malaysia. 

“Kami memulakan (perusahaan) Lady Wong kerana, seperti beribu-ribu orang yang tidak dapat pulang ke tanah air, kami merindui. Jadi, kami buat keputusan untuk buat penghantaran kueh hanya untuk suka-suka dan untuk rakan-rakan kami walaupun kami bukanlah pembuat kueh, lebih kepada makan. Tetapi isteri saya mempunyai latar belakang yang kukuh dalam (pembuatan) pastri,” cerita Anthony.

Butik fizikal Lady Wong dibina pada Mac 2022, direka secara peribadi oleh Tan dan apa yang Anthony sifatkan ia sebagai "hanya sebuah tempat berkumpul terutamanya orang Asia Tenggara yang mengidamkan makanan berasaskan pandan, kelapa dan gula melaka." 

Undangan daripada Urban Hawker datang tidak lama kemudian. “Peluang ini disampaikan oleh Pasukan Anthony Bourdain, yang pada mulanya sepatutnya dibuka bersama mendiang Bourdain. Kami menolak tawaran itu pada mulanya tetapi akhirnya buat juga atas permintaan pihak pengurusan,” kata Anthony.

Kek gulung perisa durian (Gambar: Lady Wong)
Antara kueh yang terlaris di Lady Wong – Lapis Pelangi. (Gambar: Lady Wong)

Selain kueh, Lady Wong juga menghidangkan kek moden seperti Petit Gateau, kek gulung dan kek ‘chiffon’. Ia menampilkan perisa yang terdiri daripada pandan dan mangga hingga durian dan keladi. Pastri yang enak seperti karipap dan lemper boleh dicuba di kedai. 

Minuman juga mempunyai kelainan mengikut citarasa Asia Tenggara, dan ini termasuk air ‘Kalamansi Lemonade’, Asam Soda dan Pandan Latte Ais. “Dari segi pastri kami, (mneu) Lady Wong berubah-ubah setiap hari, dan menu yang kami tawarkan termasuk pastri moden berdasarkan semua maklum balas daripada pelanggan,” tambah Anthony.

Sejak dibuka, Lady Wong telah mengumpulkan lebih ramai peminat, menarik perhatian The New York Times, The New Yorker, dan Forbes. Eater, portal kandungan digital berkisarkan makanan dan tempat makan, turut menggelarnya sebagai "kedai roti terhangat di NYC terkini".

Pelanggan beratur di luar kedai Lady Wong. (Gambar: Lady Wong)

“Kami memenuhi keperluan sekumpulan kecil orang, dan kami adalah butik khusus yang unik, tetapi pelanggan kami kini datang dari seluruh dunia kerana (akaun) Instagram kami menjadi tular mengenai perisa dan warna kueh kami,” jelas Anthony. “Kami mempunyai sekumpulan peminat setia yang sangat rapat dengan kami, ada yang menjadi kawan dan menjadi sebahagian daripada keluarga Lady Wong. Menu terlaris kami adalah Serimuka dan Kek Lapis Pelangi.”

Walaupun kueh seronok untuk dinikmati setiap hari, jenis-jenis tertentu juga dihasilkan mengikut perayaan dan musim tertentu. Lady Wong berusaha untuk memenuhi permintaan dengan menukar menu dan menghasilkan kueh perayaan seperti kueh bakul (nian gao) semasa Tahun Baharu Cina. 

Ini, bagaimanapun, boleh menjadi sukar kerana bahan-bahan untuk membuat hidangan tersebut, walaupun pada hari biasa, boleh menjadi satu cabaran. 

“Seratus peratus bahan kueh kami adalah dari Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Thailand. Pada mulanya, agak mimpi ngeri untuk mendapatkannya secara kerap kerana kelewatan penghantaran baru-baru ini, tetapi keadaan semakin baik,” kata Anthony.

Lemper (Gambar: Lady Wong)
Kek durian gula melaka (Gambar: Lady Wong)

Walaupun penerimaan terhadap Lady Wong amat memberangsangkan, Anthony mendedahkan bahawa mendidik dan bersaing dengan (produk) yang lebih arus perdana kekal menjadi cabaran. “Dengan tawaran (menu) seperti kami mungkin sukar kerana warga Amerika umumnya tidak sedar dan mahu makan kueh, jadi untuk memperkenalkan dan mengajar bukanlah suatu tugas yang mudah. Kami juga perlu mengajar kakitangan kami kerana mereka juga akan menurunkan ilmu itu kepada pelanggan kami,” kata Anthony.

Akhirnya, selain daripada memperkenalkan kueh kepada pasaran baharu, Anthony dan Tan mahu pelanggan mendapat pengalaman yang tidak dapat dilupakan di Lady Wong, “Selepas datang ke butik kami, kami mahu pelanggan kami bukan sahaja membeli produk kami tetapi mendapat layanan yang mesra oleh orang Asia Tenggara,” katanya. “Saya pernah bekerja untuk Shangri la Singapore dan suka cara ia mempamerkan khidmat layanan Asia yang terbaik. 

(Gambar: Lady Wong)

Pengalaman dan pelajaran ini adalah yang akhirnya memberi inspirasi kepada pasangan suami isteri dinamik ini: “Inspirasi kami adalah didikan, budaya, kepelbagaian dan tradisi kami. Anda boleh membawa kami keluar dari negara ini, tetapi anda tidak boleh membawa negara keluar daripada kami.”

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.   

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha kerajaan Malaysia tangani pengangguran, jurang pendapatan dengan membantu peniaga kecil. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement