Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Bagaimana boleh maju di tempat kerja jika anda menghidap ADHD, autisme atau disleksia

Jika anda seorang neurodivergen, patutkah anda memberitahu bos anda? Bagaimanakah anda boleh diurus dan disokong dengan lebih baik? Soalan-soalan ini ditinjau dalam siri podcast CNA, Wired Differently, yang melihat isu neurodiversiti di tempat kerja.

Bagaimana boleh maju di tempat kerja jika anda menghidap ADHD, autisme atau disleksia
Gambar fail pekerja di tempat kerja. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Encik Wesley Loh, seorang penyokong autisme, berdepan kesukaran dalam bersosial apabila arahan tidak jelas atau apabila perbualan diselitkan dengan sindiran.

Jangan kata "ambil masa anda, ambil masa anda ... sedangkan anda jelas bermaksud sebaliknya", kata Encik Loh, menceritakan pengalamannya semasa dia berkhidmat dalam tentera.

Tetapi dia mengakui bahawa autisme yang dihidapinya memberi beliau pandangan yang tajam terhadap butiran terperinci, dan ini bermakna dia berkembang maju mengikut struktur dan kebolehramalan. Kekuatan ini telah membantunya dengan baik untuk melaksanakan tugasnya dalam industri cukai, tambahnya.

Encik Loh berkongsi pandangan ini sebagai seorang daripada enam tamu dalam siri podcast CNA, Wired Differently, tentang neurodiversiti (kepelbagaian fungsi otak dan tingkah laku individu) di tempat kerja.

Sebagai tambahan kepada individu yang mempunyai autisme, mereka yang mengalami gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan disleksia, antara beberapa perbezaan neurologi yang lain, juga dianggap sebagai neurodivergen.

Namun, walaupun ada kesedaran dan penerimaan yang semakin meningkat terhadap neurodiversiti, para tamu siri podcast itu bersetuju bahawa lebih banyak boleh dilakukan di tempat kerja untuk membantu individu sedemikian dengan berkesan - termasuk mereka yang mempunyai keperluan sokongan yang lebih rendah.

Selain Encik Loh, tetamu lain yang menghidap autisme, ADHD dan disleksia, termasuk seorang bos dan jurulatih kerja, turut berkongsi tip-tip tentang cara bagaimana tempat-tempat kerja boleh memberikan sokongan, serta strategi bagi para pekerja terbabit berkembang maju dalam peranan masing-masing. 

MENGURUS, BEKERJA DENGAN RAKAN YANG NEURODIVERGEN

Berikut adalah 5 tip untuk mereka yang bekerja dengan atau menguruskan pekerja neurodivergen.

1. Beri arahan yang jelas

Cara ini mungkin lebih membantu pekerja autistik dan semua orang akhirnya mendapat manfaat daripada arahan yang lebih jelas, kata Encik Loh. Beliau menegaskan bahawa "apa yang masuk akal kepada orang bukan autistik mungkin tidak masuk akal kepada orang autistik".

“Bersikap terus terang dan bukannya tersirat – dan elakkan simpulan bahasa dan sindiran kerana autisme mungkin tidak menangkapnya. Jadi jangan berkias”, katanya.

Ramai orang autistik "sangat literal", dan ini juga mempengaruhi cara mereka berkomunikasi dengan orang lain. Kadangkala, mereka mungkin secara tidak sengaja menyinggung perasaan orang lain, tambah Encik Loh.

"Jika perkara yang sama dikatakan oleh orang bukan autistik, ia sebenarnya boleh membawa maksud yang sangat berbeza hanya kerana autisme selalunya tidak mempunyai maksud tersembunyi di sebalik kata-kata mereka."

Apabila ragu-ragu, dia menasihati: “Jelaskan maksud seorang autistik, bukannya menganggap apa yang dia maksudkan dan menyinggung perasaan.”

2. Jangan takut untuk bertanya

Mula didiagnos disleksia ketika di bangku sekolah lagi, Cik Chan Pui Yan kini bekerja dalam bidang yang memerlukan banyak kemahiran menulis dan membaca dasar-dasar. 

Ahli etika kecerdasan buatan (AI) itu pernah didekati oleh dua rakan sekerja yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang disleksia yang dihidapinya - dan yang lebih penting, cara dia menulis dasar syarikatnya mengenai AI dan dokumen panduan lain.

"Saya tidak tersinggung jika orang bertanya soalan kerana ingin tahu, walaupun mereka mempunyai salah faham," katanya.

"Hakikat bahawa mereka ingin mengetahui lebih lanjut adalah sesuatu yang baharu buat saya sehinggakan saya tidak akan menyalahkan sesiapa kerana berkata (demikian), 'Hei, saya dengar anda menghidap disleksia.' Ia sangat-sangat (suatu perkara) yang baik untuk saya ... dan ia amat bermakna."

3. Wujudkan persekitaran selamat

Begitu juga di firma keselamatan siber tempatan, Ensign InfoSecurity, ketua pegawai maklumatnya Steven Ng percaya pekerja syarikat akhirnya mewujudkan budaya keselamatan psikologi yang membolehkan individu neurodivergen menjadi diri mereka sendiri.

"Inilah yang menjadikan stigma yang ditakuti itu bukanlah suatu isu," katanya.

Firma itu, yang memulakan program perintis dua tahun lalu untuk mengupah individu autistik, mengambil "pendekatan berperingkat" kepada proses kemasukan, memberikan mereka peralihan yang lancar ke dalam pekerjaan itu. 

“Mereka diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan peranan mereka selama beberapa bulan. Ia membolehkan mereka benar-benar meluahkan kekuatan mereka, berbanding apa yang mereka tidak boleh lakukan,” kongsinya.

4. Amalkan fleksibiliti

Keselamatan psikologi harus bermula pada proses pengambilan pekerja, menurut jurulatih kerjaya Dawn Foo, yang telah bekerja dengan pelanggan neurodivergen.

Cik Foo, yang didiagnosis dengan ADHD pada usia 40-an, menggesa syarikat untuk mempertimbangkan semula "format lama pengambilan pekerja" di mana calon perlu bersua muka dengan barisan panel penemuduga. Walaupun "tiada apa-apa yang salah" dengan format itu, ia harus sesuai dengan fungsi tugas, kata Cik Foo.

"Melainkan orang itu dikehendaki berada dalam perkhidmatan pelanggan atau peranan menghadapi pelanggan dan anda mengharapkan mereka mengambil isyarat tertentu, seperti bukan lisan, sila jangan membuatkan mereka melaluinya (proses temu bual semuka)," katanya.

Sementara itu, Encik Ng, yang firmanya menyesuaikan skop kerja kepada pekerja autistik yang diambil di bawah programnya, mengakui bahawa pekerja ini dinilai berdasarkan "metrik yang berbeza" daripada rakan sebaya neurotipikal mereka.
 
Tetapi mereka masih dinilai pada prestasi mereka "dengan cara yang sama seperti mana-mana individu neurotipikal".

5. Utamakan memaksimumkan kekuatan daripada memperbaiki kelemahan

Mempunyai rakan sepasukan yang kemahirannya melengkapkan pekerja neurodivergen membantu semua orang, kata jurulatih kerjaya Cik Foo.

Dia menekankan bahawa, sebagai contoh, menganalisa data bukanlah kemahirannya  kerana ia perlu terperinci, yang mana individu ADHD biasanya tidak mahir. Tetapi dia dengan rela hati akan memimpin dalam pembentangan kumpulan yang membolehkannya memanfaatkan kreativiti.

"Saya ingin memberi tumpuan kepada sesuatu, yang merupakan kecekapan utama saya dan hanya mengasah kemahiran itu. Kerana saya pasti kerja yang saya hasilkan atau buat akan memberi sumbangan yang lebih besar kepada pasukan,” tambahnya.

Sebagai peneraju amalan penasihat risiko kemampanan di sebuah firma perunding, Cik Yvonne Zhang "secara nalurinya" tahu bahawa pasukannya memerlukan satu sama lain untuk "memaksimumkan kekuatan mereka, bukan untuk memperbaiki kelemahan mereka".

Dia menjelaskan bahawa tiada "bayaran maksimum untuk memperbaiki kekurangan anda." 

"Sementara itu, jika kita membantu antara satu sama lain dan (melengkapi) kekuatan individu kita, maka bayaran maksimum kita adalah tidak terhingga secara teorinya," tambah pengurus yang menghidap  ADHD itu. 

NASIHAT UNTUK PEKERJA NEURODIVERGEN

Berikut adalah 5 petua untuk pekerja neurodivergen berkembang maju di tempat kerja.

1. Bina strategi yang sesuai untuk anda

Memandangkan bukan semua orang mengalami simptom dengan keterukan yang sama, ahli etika AI, Cik Chan berkongsi nasihat terbaiknya: "Fahami disleksia dan  ADHD yang dihidapi (dan) untuk anda, bagaimana anda mengalaminya sendiri."

Bagi Cik Chan, dia hidup dengan disleksianya dengan menggunakan "banyak seri" semasa dia merangka laporan. Bagi ADHD yang dihadapinya, dia sering memerlukan cara keluarnya sendiri untuk apa-apa yang ada dalam pemikirannya. 

"Saya akan menulis nota untuk diri saya sendiri - yang membantu dengan ADHD, mengeluarkan segala-galanya dari kepala saya dan (tulisnya) pada sekeping kertas supaya idea-idea itu kemudiannya boleh menjadi teratur. Saya akan meletakkan nota kepada diri saya dalam draf saya dan ia (disusun) mengikut warna yang berbeza," katanya.

Pengurus undang-undang Amrun Hisyam juga menggunakan draf e-melnya untuk menulis apa yang terlintas difikirannya: "Saya akan membuka mesej e-mel baharu dan ... saya akan menaip apa saja, dan saya biarkan saja di sana. Jadi pada bila-bila masa, saya ada lebih kurang 10 draf dibuka, tetapi kerana begitulah caranya saya mengingati sesuatu."

Rakan sekerjanya, sama seperti dirinya yang menghidap ADHD, sebaliknya meletakkan banyak nota kecil di atas mejanya untuk membantu ingatannya.

Encik Amrun bekerja di firma guaman Crescent Law Chambers, di mana hampir semua orang termasuk pengarah urusan di situ, menghidap  ADHD. Dia menekankan kepentingan menggunakan kalendar untuk menjejaki tarikh tamat tugasan. Jika janji temu tiada dalam kalendar, ia tidak wujud dalam fikiran mereka.

Namun, kadang-kadang terdapat gangguan. “Masalahnya adalah untuk ingat untuk meletakkannya dalam kalendar anda,” akuinya.

"Ingatan saya tentang kerja saya bukanlah yang terbaik. Ada banyak perkara yang perlu dibuat, dan apabila ingatan kerja anda teruk, akan ada perkara-perkara yang (anda) akan terlepas pandang."

2. Tahu tujuan dan sebab setiap tugasan

Di sebalik tip harian dan strategi untuk mengatasi kelemahan, jurulatih kerjaya Cik Foo menegaskan bahawa "nilai peribadi adalah perkara yang besar" untuk individu neurodivergen, kerana "kami mahu melakukan kerja yang kami mahu menjana wang dan memaknakan sesuatu pada masa yang sama".

Tetapi "kita perlu praktikal", katanya. "Apakah prospek di luar sana yang benar-benar memberitahu kita dari segi pasaran?"

Walaupun "tidak mempunyai tujuan adalah suatu penghalang besar" bagi Cik Zhang, ketua firma perunding, dia mengingatkan bahawa tidak semua tugas atau peranan akan melengkapkan tujuan anda.

“Malangnya, apabila saya mengambil bahagian dalam peranan pengurusan agak awal, saya menyedari bahawa terdapat pengorbanan yang perlu anda lakukan - apa yang anda suka lakukan yang memenuhi tujuan anda berbanding apa yang perlu dilakukan yang tidak ada kaitan dengan tujuan anda,” katanya. 

Bagaimanapun, pekerja dengan ADHD, khususnya, perlu sering mengetahui makna yang lebih mendalam di sebalik tugas untuk melakukannya.

Menurut Encik Amrun: “Jika saya tidak tahu 'kenapa', saya tidak mahu melakukannya. Saya benci melakukan sesuatu hanya kerana (perlu). Saya perlukan sebab mengapa.”

3. Terima perbezaan anda

Cik Chan, yang mempunyai ADHD dan disleksia, pernah berasa malu kerana dia berdepan kesukaran dengan kemahiran membaca dan menulis. Tetapi, situasi itu tidak lagi membelenggu dirinya apabila berhenti memaksa dirinya dengan cabaran itu.

“Salah satu perkara menarik yang saya buat untuk diri saya adalah apabila saya berhenti menganggap bahawa membaca itu sebagai satu kemahiran yang boleh saya kuasai dengan membuat lebih banyak latihan,” katanya. 

“Ketika itulah saya sedar bahawa tidak mengapa untuk berbeza (daripada orang lain) dan tidak mengapa untuk melakukan perkara dengan cara masing-masing.” 

4. Jelas dengan keperluan anda

Sebaik sahaja pekerja neurodivergen menerima perbezaan mereka, ia menjadi lebih mudah untuk bercakap tentang apa yang mereka perlukan, kata mereka yang telah menyokong diri mereka di tempat kerja.

Cik Foo ingat semula satu situasi dimana para pelanggannya memberitahu bahawa mereka tidak mahu memimpin orang atau mengurus pasukan. Mereka tahu bahawa mereka mahir dalam apa yang mereka lakukan dan mahu kekal dalam zon itu, katanya.

“Dan itu tidak mengapa. Jika kita boleh berterus-terang mengenainya, saya fikir ia akan menjadikannya lebih optimum dari segi peruntukan sumber juga,” katanya.

Sementara itu, Encik Loh, yang menghidap autisme, berkata dia tidak takut untuk meminta arahan yang lebih jelas atau lebih terperinci. Tetapi dia mengakui bahawa sesetengah orang "masih mengekalkan gaya komunikasi mereka sendiri tanpa menyesuaikan diri dengan saya".

Dalam kes sebegini, "malangnya, satu-satunya cara untuk bertahan adalah dengan berusaha lebih keras untuk mempelajari gaya komunikasi mereka dan membuat kesimpulan apa yang mereka katakan", tambahnya.

"Jika mereka tidak cukup jelas, saya hanya akan bertanya kepada mereka lagi."

5. Kongsi diagnosis mengikut konteks

Akhir sekali, bagi mereka yang mempertimbangkan untuk mendedahkan diagnosis mereka, Cik Foo menegaskan bahawa ia tidak membantu jika "berkongsi dalam ruang yang menghampakan”. 

Dia merujuk kepada pekerja yang mungkin hanya memberitahu pengurus mereka bahawa mereka mempunyai perbezaan neurologi dan mengharapkan pengurus mereka tahu apa yang perlu dilakukan dengan maklumat sedemikian. 

Apabila pengurus tidak memahami cara untuk membantu, perbualan sebegitu akhirnya boleh "menambahkan lagi sikap tidak ambil tahu", katanya.

Tambah Cik Foo, apa yang boleh dibuat pekerja berkenaan adalah dengan merangka perbualan itu dengan berkongsi perkara yang telah membantu mereka menguruskan kesukaran mereka dan bertanya sama ada pengurus mereka dapat memberikan sokongan tertentu.

Dengan berbuat demikian juga, ia menunjukkan "kesedaran seseorang pekerja itu tentang bagaimana dia boleh bekerja dengan baik".

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Source: CNA/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement