‘Aktif sepanjang hayat’: Bekas pemain kebangsaan wanita Singapura ini giat berlatih untuk bola sepak berjalan
Hamidah Bee selalu sibuk menghantar anak-anaknya, termasuk seorang bekas pemain kebangsaan Singapura, untuk latihan dan permainan bola sepak. Memandangkan mereka semua sudah dewasa, ibu berusia 53 tahun ini bersiap sedia untuk kejohanan serantau sukan baru - bola sepak berjalan.

SINGAPURA: Ketika pandemik COVID-19 melanda, Hamidah Bee, 53, berasa tidak menentu. Ibu suri rumah ini telah menghabiskan beberapa dekad membawa tiga daripada empat anaknya ke latihan bola sepak, menyokong dari tepi padang, dan menjalin hubungan rapat dengan jurulatih dan rakan-rakan sepasukan mereka.
Tetapi pada tahun 2020, apabila pandemik berlaku, dunia seolah-olah berhenti berputar.
"Saya merasa tidak menentu. Saya minat sukan. Saya sangat suka bola sepak. Saya merasa tidak produktif," katanya.
Hamidah sendiri membesar dengan bermain bola sepak. Semasa kecil, dia akan melihat adik lelakinya bermain dengan kanak-kanak di kejiranan mereka di Telok Blangah.
“Mula-mula, saya hanya duduk di satu sudut di lobi bangunan atau gelanggang bola keranjang tetapi selepas beberapa ketika, saya menyertai mereka. Kami bermain bola sepak, rounders, sorok-sorok, malah bermain gasing juga,” katanya kepada CNA Women.
Apabila Hamidah mula mempunyai anak, dia memberitahu dua anak lelaki sulungnya untuk memilih satu sukan. "Mana-mana sukan," katanya.
Mereka juga menunjukkan minat terhadap bola sepak. Semasa di sekolah rendah, kedua-dua adik-beradik itu menghadiri klinik bola sepak yang telah membawa mereka ke Akademi Tampines Rovers.

Hamidah bertegas untuk menghadiri hampir setiap sesi latihan, walaupun dia tengah hamil dengan salah seorang anak perempuannya, Mira Ruzana.
“Mira dan abang-abangnya berbeza umur kira-kira lapan tahun (jadi dia tidak selalu bermain dengan mereka) tetapi dia membesar melihat mereka bermain. Saya terus menyokong anak-anak lelaki saya semasa mengandung, jadi boleh dikatakan bahawa minatnya terhadap bola sepak telah ditanamkan ketika dia masih dalam perut saya," kata Hamidah.
Apabila Mira berusia 12 tahun, jurulatih Sekolah Bola Sepak Arsenal JSSL, Lawrence Lee bertanya sama ada dia berminat untuk bermain.
Mira berkongsi: “Saya baru sahaja menghadiri sesi percubaan kerana saya mahu mengambil bahagian dalam kickabout. Tetapi akhirnya, saya jatuh cinta dengan sukan ini."
Yang peliknya, kedua-dua abang Mira memutuskan untuk tidak meneruskan bermain bola sepak sebagai kerjaya profesional, dengan alasan kerjaya sukan professional tidak menjamin masa depan. Seorang kini menjadi jurulatih bola sepak, manakala seorang lagi mengajar seni mempertahankan diri di luar negara.

Mira, sebaliknya, terus bermain untuk divisyen bawah-14 dan bawah-16 pasukan kebangsaan wanita, dan akhirnya menjadi sebahagian daripada pasukan Lionesses yang bertanding dalam kelayakan Piala Wanita Asia AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) pada tahun 2021.
Dia tidak lagi bermain untuk pasukan kebangsaan, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada kerjayanya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, namun kini dia mewakili kelab amatur Still Aerion WFC.
Dengan anak-anaknya kini tertumpu kepada kerjaya masing-masing, Hamidah mula menjadi resah.
Kemudian, pada November lalu, dia menemui sesuatu yang baru.
BERJALAN, JANGAN LARI
Dalam satu acara yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura, suri rumah ini diperkenalkan kepada bola sepak berjalan.
Bola sepak berjalan, yang dipercayai diilhamkan hanya pada dekad yang lalu, adalah sukan tanpa sentuhan yang tidak menggalakkan berlari, menyerang bahkan menanduk bola. Ia dikatakan sesuai untuk atlet yang lebih tua, serta mereka yang mempunyai mobiliti yang terhad.
Pada tahun 2016, gerakan kesihatan WalkingFootball4Health Asia atau WaF4H (disebut "wa fah") dilancarkan di Malaysia selepas menjalankan aktiviti sejak 2015. Pada tahun 2021, ia diperkenalkan secara rasmi di Singapura sebagai sebahagian daripada usaha negara untuk memerangi gaya hidup yang tidak aktif.
Hari ini, gerakan tersebut mempunyai kira-kira 50 ahli, baik lelaki mahupun perempuan, yang kebanyakannya berlatih bersama. Pemain tertua dalam pasukan berusia kira-kira 70 tahun dan walaupun bola sepak berjalan dikenali sebagai sukan untuk golongan warga tua, ada juga remaja yang menyertainya.
Malah, terdapat juga seorang ahli kehormat yang berusia lima tahun.
"Pada awalnya, kebanyakan pemain berusia dalam lingkungan umur 50-an, tetapi kami mula membawa anak-anak dan cucu-cucu kami, dan kini julat umurnya sangat luas," kata Hamidah sambil tertawa.
Hantaran yang dikemaskini di laman Facebook WaF4H menunjukkan pasukan tersebut bersenam bersama - dengan aktiviti regangan, berjalan pantas, dan latihan mengangkat lutut tinggi - serta bermain dalam perlawanan enam lawan enam, baik di padang bola mahupun di gelanggang futsal.
Hamidah, yang mempunyai kawan-kawannya sendiri dalam pasukan itu, menjadi ketagih.
"Saya telah memberikan komitmen sepenuhnya sejak awal tahun ini. Kami berlatih dua kali seminggu tetapi baru-baru ini satu sesi baru ditambah hanya untuk pemain wanita, untuk mempersiapkan kami menghadapi kejohanan wanita yang akan berlangsung tidak lama lagi," katanya.
"Kami juga bersaing di peringkat serantau, dengan satu kejohanan yang akan berlangsung (tahun ini) di Seremban," katanya.
“HANYA MENGIKUTI BOLA SEPAK WANITA TEMPATAN”
Cuba tanya Hamidah siapa pemain bola sepak antarabangsa kegemarannya dan dia akan kelihatan keliru. Tetapi apabila bercakap tentang bola sepak tempatan, terutamanya bola sepak wanita, dia akan bercerita tanpa henti.
Ini merupakan dedikasi yang telah diasah selama bertahun-tahun menyokong Mira, yang kini berusia 22 tahun.
"Kami sangat rapat," kata Mira kepada CNA Women. "Dia sentiasa berada di sisi semasa saya menghadiri latihan ketika saya membesar. Dia akan menghantar dan menjemput saya pulang, dan itu telah membantu saya mendapatkan rehat yang saya perlukan. Sekarang, walaupun dia mempunyai komitmen sendiri, dia masih mencurahkan sokongannya tetapi tidak selalu dapat hadir, terutamanya apabila perlawanan saya bertembung dengan sesinya sendiri."
Hamidah sudah biasa dengan bintang bola sepak wanita Singapura, dengan memetik nama-nama seperti Putri Syaliza, yang kini bermain di Amerika Syarikat dengan Oakland University Golden Grizzlies, Umairah Hamdan dan Venetia Lim dari Lion City Sailors, dan Kyra Taylor dari Persatuan Sukan Polis.
"Saya tidak menonton Liga Perdana Inggeris. Malah saya tidak mengikuti Piala Dunia Wanita pun. Jika perlawanan itu kebetulan ditayangkan di TV, saya akan menontonnya. Saya hanya mengikuti bola sepak Singapura - itu saja," katanya.

Apabila ditanya tentang trend peningkatan eksport pemain bola sepak wanita - selain daripada Putri Syaliza, Singapura telah menyaksikan beberapa lagi pemain yang telah ditawarkan bermain secara profesional di luar negara, termasuk Danelle Tan dari kelab Borussia Dortmund di Jerman dan kapten Lionesses, Rosnani Azman - Hamidah ternyata sangat gembira.
"Ia sesuatu yang baik. Bukan hanya dalam bola sepak wanita tetapi juga dalam bola sepak lelaki ... Apabila pemain kembali daripada bermain di luar negara, permainan keseluruhan mereka bertambah baik. Sukan ini menjadi lebih baik, permainan menjadi lebih baik.
"Kita harus menggalakkan perkara ini - kita perlu agar orang melihat kita dan melihat bagaimana prestasi bola sepak Singapura," kata Hamidah.
Hamidah juga menyatakan bahawa Liga Perdana Wanita di Singapura telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan “lebih banyak wanita menunjukkan minat dalam bola sepak”.
"Kumpulan pemain wanita yang berbakat dan mahir semakin berkembang, dan memang menarik kita dapat menyaksikan perkembangan mereka," katanya.
Liga ini, yang bermula dengan tujuh pasukan pada tahun 2000 dan mengalami perkembangan yang agak perlahan selama beberapa dekad, kini mempunyai 10 pasukan yang "kuat". "Ini adalah petanda yang baik," katanya.
"Saya hanya berharap lebih banyak lagi dapat dilakukan untuk membantu anak-anak gadis yang berpotensi untuk menjadi professional, diberi keutamaan, lebih-lebih lagi mereka yang masih di sekolah.
“Saya biasa melihat mereka bergelut antara latihan sekolah dan latihan kebangsaan, dan ia memang sukar bagi mereka. Itu tidak sepatutnya berlaku.”
Dan walaupun Hamidah terus menyokong sukan bola sepak wanita tempatan, komitmen beliau terhadap anak-anaknya juga tetap kukuh.
"Anak-anak lelaki saya mungkin hanya bermain untuk keseronokan sekarang, tetapi saya masih menyokong mereka tanpa henti."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai cabaran yang dihadapi untuk menaikkan kadar kitar semula di Singapura.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.