Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Pelari terpantas Asia Shanti Pereira kongsi pengalaman bagaimana dia bangkit dari kekalahan

Atlet kebangsaan Singapura yang berusia 26 tahun ini turut mendedahkan tempoh paling sukar dalam kerjayanya dan bagaimana dia boleh bangkit semula dari semua itu. 

SINGAPURA: Dia boleh dikatakan sudah sampai ke puncak dunia dengan gelaran yang diperolehinya sebagai pelari pecut wanita terkemuka Asia. Pada 2023 sahaja, Shanti Pereira, 26 tahun, telah memecahkan rekod peribadinya sendiri dan rekod kebangsaan Singapura sebanyak beberapa kali.

Kejayaan itu meletakkan Shanti sebagai atlet wanita Singapura yang pertama memenangi kedua-dua perlumbaan 100m dan 200m wanita pada Sukan SEA 2023. Dalam kejohanan itu Shanti mencipta rekod Sukan SEA untuk acara 200m. Dia  juga memenangi pingat emas berganda dalam Kejohanan Olahraga Asia dengan menduduki tempat teratas dalam acara 100m dan 200m.

Apa yang pasti semua pencapaian itu tidaklah mudah untuk dicapainya. 

Dalam satu temu bual rancangan podcast Class 95 dengan DJ Jean Danker baru-baru ini,  Shanti mengongsi  lebih lanjut mengapa tahun-tahun dari "2018, sehingga awal 2022" adalah tempoh yang sangat sukar untuknya dan bagaimana dia bangkit dari situ.

Shanti telah bercakap tentang bagaimana hubungan beliau dengan jurulatihnya, yang dianggap sebagai seorang ayah, turut membantu beliau dalam perjalanannya untuk menjadi pelari pecut yang lebih baik.

Shanti Pereira (kiri), Jean Danker (tengah) dan Katherine Koh (kanan) dalam temu bual Class 95. (Foto: Mediacorp)

Dalam temu bual itu, Shanti bercakap tentang cara beliau menyiapkan diri dengan sesi-sesi latihan dan beberapa tamparan yang perlu dilaluinya. Menurut Shanti: "Saya memerlukan masa yang sangat, sangat lama untuk ‘keluar’ daripada sebarang perlumbaan atau sesi latihan (di mana dia gagal menunjukkan prestasi yang baik). 

Pelari pecut itu berlepas ke Budapest pada bulan Ogos untuk bersaing dalam Kejohanan Olahraga Dunia.

Shanti menambah bahawa apa yang membantu dirinya mengubah perspektifnya tentang kekalahan adalah dengan melihat orang lain juga mempunyai perasaan yang sama apabila berhadapan dengan keadaan yang sedemikian. 

“Saya agak menyedari bahawa bukan saya sahaja yang mengalami masa-masa tidak baik, tetapi kita semua. Memang memilukan tetapi ia juga berlaku orang lain dan tiada apa yang boleh kita lakukan tentang apa yang sudah berlaku," katanya lagi.

Dengan semangat yang sama itu juga Shanti berusaha gigih untuk bangkit semula daripada kemerosotan yang dialami pada 2018. 

Pada tahun itu, Shanti mengalami apa dipanggil "tegangan hamstring gred 2" yang menyebabkan dia tidak boleh turun gelanggang untuk berlatih selama sebulan. 

"Saya adalah penerima Biasiswa Kecemerlangan Sukan sejak 2016 tetapi matlamat saya untuk biasiswa itu adalah untuk muncul sebagai pemenang pingat di Sukan Asia  2018," katanya, sambil menambah bahawa tidak ada masa yang cukup untuk dia membuat persediaan dan kembali kepada keadaan cukup bersedia untuk berlumba. 

 “Saya kehilangan biasiswa (Kecemerlangan Sukan) kerana saya gagal mencapai matlamat yang disasarkan. Ia merupakan masa yang sangat sukar bagi saya,” kongsi Shanti.

Pada masa itu, Shanti merupakan pelajar tahun dua dalam bidang perakaunan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU). Beliau juga merupakan penerima Biasiswa Yip Pin Xiu dari SMU. Biasiswa itu bermakna Shanti akan menerima pengecualian penuh yuran pengajian selama empat tahun, serta elaun sehingga S$12,000 (RM40,000). 

Shanti Pereira dari Singapura dalam acara saringan 200m wanita semasa Kejohanan Olahraga Dunia di Pusat Olahraga Nasional Budapest pada 23 Ogos 2023. (Foto: AFP/Jewel Samad)

“Saya mempunyai GPA minimum untuk dicapai tetapi saya gagal mencapainya, lantas saya kehilangan biasiswa (SMU itu) dan juga Biasiswa Kecemerlangan Sukan). Ia berlaku dalam masa seminggu antara satu sama lain dan merupakan antara perkara paling sukar yang perlu saya lalui,” kata Shanti.

Shanti terus berkongsi bahawa selepas keputusan muktamad mengenai biasiswanya disampaikan kepada beliau melalui satu pertemuan semuka, dia  tidak boleh buat apa-apa kecuali meninggalkan sahaja bilik  untuk menyembunyikan rasa sedihnya. 

"Saya terus ke kereta saya dan menitiskan air mata," kata Shanti.

Tempoh antara 2018 dan awal 2022 adalah amat sukar bagi Shanti yang menurutnya adalah satu "krisis identiti"  bagi dirinya. Ini kerana dia tidak berjaya dalam sukan dan juga kerana kesedaran bahawa dia juga tidak berminat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang perakaunan.

Namun demikian, Shanti akhirnya dapat mengatasi kemerosotan pada dirinya itu dan mencapai kejayaan cemerlang dalam sukan lumba lari 2023. Diharapkan beliau terus maju jaya dalam tahun-tahun mendatang. 

Kisah Shanti Pereira ini pertama kalinya diterbitkan dalam 8Days

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.    

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang trend percutian luar biasa membawa kucing menaiki kapal persiaran.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement