Kurang separuh penduduk Asia Tenggara percaya perubahan iklim menimbulkan 'ancaman serius': Tinjauan
SINGAPURA: Tidak sampai separuh daripada penduduk Asia Tenggara melihat perubahan iklim dengan tahap mendesak yang tinggi, walaupun rantau ini menyaksikan pelbagai bencana akibat kesan pemanasan bumi, menurut satu dapatan Tinjauan Iklim Asia Tenggara yang diterbitkan baru-baru ini.
Hanya 49.4 peratus melihat perubahan iklim sebagai “ancaman serius dan segera kepada kesejahteraan negara masing-masing”, kata Laporan 2023 Tinjauan Iklim Asia Tenggara.
Ini berbanding dengan 68.8 peratus pada 2021.
"Namun terdapat kadar yang hampir sama dalam kalangan responden (41.9 peratus) yang melihat keperluan untuk memantau perubahan iklim," kata laporan tahunan yang dikeluarkan oleh ISEAS - Institut Yusof Ishak.
"Ini menimbulkan persoalan sama ada para responden melihat adanya kaitan segera antara kekurangan tenaga dan ketidak-tenteraman dengan kesan iklim, masalah geopolitik atau isu-isu domestik."
Dalam ucapannya di perbincangan panel mengenai laporan itu pada Khamis (21 Sep), Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan bahawa dapatan kajian itu pasti akan mencetuskan banyak ulasan.
“Soal-soal mengapa (ada berpandangan demikian) boleh diperdebatkan - mungkin ramai yang melihatnya sebagai isu makanan yang mendapat perhatian utama di Asia Tenggara - terutamanya dalam keadaan pandemik COVID-19 dan semasa tahap pemulihannya yang masih berjalan sekarang,” kata beliau.
Encik Nik Nazmi menambah bahawa tinjauan itu adalah petanda bahawa pihak pemerintah, media dan ahli akademik mesti berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menyampaikan mesej mendesak bagi langkah-langkah iklim.
Tinjauan yang dijalankan selama empat minggu dari Julai hingga Ogos tahun ini, mengumpulkan maklum balas dari 2,225 penduduk Asia Tenggara di 10 negara rantau ini.
Walaupun terdapat penurunan ketara dalam dalam kalangan yang melihat perubahan iklim sebagai soal mendesak, laporan itu menarik perhatian adanya kebimbangan terhadap soal jaminan makanan.
Tujuh daripada setiap 10 responden menyatakan kebimbangan yang besar tentang ketersediaan dan kemampuan makanan akibat kesan iklim dalam tiga tahun akan datang, menurut laporan itu.
Lebih 40 peratus daripada responden di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Filipina turut bimbang dengan penurunan kadar tangkapan ikan yang disebabkan oleh pemanasan laut dan cuaca yang tidak menentu.
Berdasarkan tinjauan, banjir (79.0 peratus), gelombang haba (51.4 peratus) dan kemarau (47.6 peratus) dikenal pasti sebagai kesan iklim paling mendesak terhadap pertanian di rantau ini.
Untuk menangani isu jaminan makanan global, tinjauan itu mendapati bahawa majoriti responden mengatakan pemerintah mesti mengutamakan keperluan bagi kaedah pertanian yang dapat disesuaikan dengan iklim (67.2 peratus), peningkatan dalam pengeluaran makanan domestik (56.6 peratus) dan pelaburan dalam pertanian makanan (63.9). peratus).
“Tanggungjawab terbesar terhadap perubahan iklim masih perlu ditanggung oleh pemerintah masing-masing. Ia menunjukkan bahawa rakyat ASEAN sangat mengharapkan pemerintah mereka di barisan hadapan dalam menyatakan visi dan peraturan iklim yang lebih jelas untuk ekonomi masing-masing,” kata tinjauan itu.
Namun, sebahagian besar responden di seluruh 10 negara rantau ini menyatakan mereka memainkan peranan masing-masing dengan membuat perubahan pada gaya hidup mereka sebagai tindakan iklim.
Menurut laporan itu, 83.7 peratus responden Asia Tenggara berkata mereka mengambil tindakan melindungi iklim dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. Lebih separuh (56.9 peratus) responden juga mengatakan mereka secara aktif mengurangkan penggunaan elektrik.
Sikap responden cenderung lebih pasif dalam soal tindakan iklim dengan 75.2 peratus mengikuti soal perubahan iklim dengan berita dan berkongsi maklumat tentangnya. Mereka yang mengamalkan pilihan gaya hidup yang lebih mampan pula membentuk 49.9 peratus.
Dengan suhu bumi yang memecahkan rekod menjadi tajuk utama sepanjang tahun lalu, Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres memberi amaran bahawa "manusia telah membuka pintu neraka".
Bagaimanapun, beliau menegaskan, "kita masih boleh mengehadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah," sahaja, merujuk kepada sasaran yang dilihat boleh mengelakkan malapetaka iklim pada jangka panjang.
Perangkaan daripada Pusat Ramalan Alam Sekitar Kebangsaan Amerika Syarikat menunjukkan, 3 Julai tahun ini merupakan hari paling panas pernah direkodkan di seluruh dunia.
Suhu purata global pula mencecah 17.01 darjah Celsius, melepasi rekod Ogos 2016 iaitu 16.92 darjah Celsius.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.