Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

'Ia bukan mudah, tetapi boleh dilakukan': Cabaran yang dihidapi untuk menaikkan kadar kitar semula

Dalam tinjauannya CNA menyelongkar sebab-sebab mengapa kadar kitar semula keseluruhan Singapura masih berada pada sekitar 60 peratus, walaupun terdapat usaha proaktif untuk memperbaiki keadaan.

'Ia bukan mudah, tetapi boleh dilakukan': Cabaran yang dihidapi untuk menaikkan kadar kitar semula
Seorang pekerja di pusat pengasingan Sembwaste memindahkan bahan kitar semula yang dikumpulkan dari tong biru ke kawasan pengasingan. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Sebelum membawa barangan kitar semula ke tong biru di bawah blok flat beliau, Cheryl Lee sentiasa mengambil masa untuk membersihkan atau mencuci barang-barang yang terkumpul di sudut kitar semula rumahnya. 

Dia dan ibunya memastikan mereka mengeluarkan semua bahagian yang tidak boleh dikitar semula seperti pelekat dan pembungkusan plastik. Bagi kotak kadbod, mereka juga cuba memotong bahagian yang mengandungi plastik atau pita yang tidak boleh dikeluarkan sebelum mengitar semula bahagian yang lain.

Selain mengamalkan kitar semula dengan cara yang betul, pembantu pengurus komunikasi digital berusia 28 tahun itu, kini cuba menjalani gaya hidup mampan  sebaik mungkin dengan menggunakan. Ia termasuklah seperti menggunakan bekas dan pembungkusan yang boleh diguna semula dan hanya membeli pakaian terpakai.  

Bagaimanapun, dia sedar bahawa mereka yang melakukan usaha yang sama atau melakukannya jauh lebih daripada itu, hanyalah segelintir orang sahaja. Cik Lee hanya kenal satu atau dua individu lain sahaja yang serupa dengannya.

Selain mengitar semula dengan betul, Cheryl Lee juga memilih barang-barang yang boleh digunakan semula untuk mengurangkan pembaziran seperti pad sanitari kain, sapu tangan, kain penghapus solek, pembungkus lilin lebah, dan beg snek. (Gambar: Cheryl Lee)
Setiap kali dia dan bekas rakan sekerja membawa makan tengah hari ke pejabat, Cik Lee selalu membawa beg plastik terpakai untuk membawa makanan - bukan hanya untuk dirinya sendiri, tetapi juga untuk setiap rakan sekerja yang bersamanya.
Sudut kitar semula Cheryl Lee di bilik rumahnya. (Gambar: Cheryl Lee)

Dan mengenai kitar semula, ramai rakyat Singapura masih “tidak berpendidikan sangat” tentang cara mengitar semula dengan betul, kata Cik Lee. 

Sebagai contoh, tidak semua orang akan ingat atau berusaha untuk membuang bahagian yang tidak boleh dikitar semula. “Adakah anda benar-benar ingat bahawa orang Singapura pada umumnya akan mengambil masa untuk berbuat demikian bahkan mereka tidak meluangkan masa untuk melakukan perkara-perkara yang mudah pun?” 

KADAR KITAR SEMULA DOMESTIK YANG "RENDAH" 

Dalam dekad yang lalu, kadar kitar semula keseluruhan Singapura berada pada sekitar 60 peratus.

Walaupun kadar tersebut merupakan salah satu yang tertinggi di dunia, kadar kitar semula domestiknya "masih rendah," kata timbalan pengarah Sekolah Sains Kimia dan Kehidupan Politeknik Nanyang Richard Khaw.

Kadar kitar semula domestik Singapura merosot daripada 22 peratus pada tahun 2018 kepada 17 peratus pada 2019, di bawah Kesatuan Eropah, yang melaporkan kadar kitar semula domestiknya sebanyak 46.4 peratus pada tahun 2017, katanya.

Walaupun Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air ketika itu – kini Kementerian Kemampanan dan Sekitaran – menjalankan hampir 2,000 aktiviti asas dan dapat mendampingi lebih 670,000 orang, ia hanya membentuk 12 peratus daripada 5.8 juta penduduk Singapura, kata Encik Khaw. Malah, sebahagian daripada 670,000 individu tersebut mungkin daripada isi rumah yang sama.

Salah satu cabaran terbesar dalam meningkatkan kadar kitar semula di Singapura masih berkaitan dengan pemikiran dan tingkah laku masyarakat, kata Cik Jen Teo, pengarah eksekutif Majlis Sekitaran Singapura (SEC).

Seorang pekerja memuatkan sampah yang dikumpul dalam tong biru ke dalam trak untuk dibawa ke pusat pengasingan. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Dengan tong biru yang terletak di sekitar kawasan perumahan, aktiviti kitar semula boleh menjadi satu kerumitan bagi orang awam. Misalnya, ada yang  malas bertukar pakaian semata-mata untuk membawa barangan kitar semula mereka ke bawah, kata Dr Adrian Ang, yang mengendalikan kursus Diploma dalam Pembinaan Hijau dan Kelestarian di Sekolah Kejuruteraan Politeknik Temasek.

"Lebih buruk lagi, ada tong yang terletak agak jauh dari lobi lif," tambahnya. 

Tong kitar semula berwana biru adalah "saluran paling umum" untuk kitar semula, dengan 56 peratus daripada mereka yang kerap mengitar semula menggunakan tong ini sekurang-kurangnya sekali seminggu, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam jawapannya kepada pertanyaan CNA.

Tong kitar semula biru dengan reka bentuk label baru yang dilancarkan pada 30 Ogos 2019, semasa pelancaran Pelan Induk Tanpa Sisa. (Gambar: Darius Boey)

Selain daripada faktor kemudahan, kekurangan pengetahuan kitar semula juga menyumbang kepada kadar kitar semula domestik yang rendah, kata Cik Teo, sambil merujuk kepada kajian SEC 2018, yang mendapati bahawa 70 peratus responden tidak tahu sepenuhnya apa yang boleh dikitar semula.

"Ini membayangkan perlunya perhatian teliti diberi kepada penyebaran maklumat pengguna, pendidikan dan mewujudkan kesedaran untuk menutup jurang pengetahuan," tambahnya.
 

Pekerja mengasingkan bahan kitar semula dari tong biru di pusat pengasingan. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Kekurangan pengetahuan tentang kitar semula juga menyumbang kepada pencemaran, yang merupakan salah satu "cabaran utama" yang dinyatakan oleh NEA. 

“Kini, kira-kira 40 peratus daripada apa yang diletakkan di dalam tong kitar semula biru atau ke dalam pelongsor kitar semula, adalah barangan yang tidak boleh dikitar semula dan/atau tercemar oleh sisa makanan,” kata agensi itu.

Untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang bahan yang boleh dikitar semula dan cara mencegah pencemaran, NEA telah meletakkan label baru pada semua tong kitar semula, dengan menyatakan dengan jelas objek yang boleh atau tidak boleh dikitar semula. Semua trak kitar semula yang dikendalikan oleh empat pengumpul sisa awam telah diseragamkan untuk menjadikan mereka mudah dikenali.

Trak kitar semula mengumpul bahan kitar semula dari tong sampah dan membawanya ke Pusat Pengasingan Bahan SembWaste untuk diasing-asingkan. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

PELONGSOR KITAR SEMULA DI RUMAH 

Pemasangan kemudahan pelongsor sampah di blok-blok dan apartmen flat HDB juga merupakan satu lagi faktor yang menyumbang kepada kadar kitar semula yang rendah, kata Cik Teo.

Bagaimanapun, kajian mendapati bahawa isi rumah yang tinggal di apartmen yang mempunyai dua sistem pelongsor didapati mengitar semula sehingga tiga kali lebih banyak daripada mereka yang tinggal di apartmen tanpa sistem pelongsor, kata Dr Ang.

Pelongsor sampah kitar semula boleh didapati di semua flat perumahan awam HDB yang baru sejak dilancarkan sejak 2014. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Sejak 2014, semua flat perumahan awam baru HDB  mempunyai dua pelongsor, di mana penduduk boleh membuang sampah dan bahan kitar semula secara berasingan. Kemudian, mulai April 2018, ia diperluaskan ke semua apartmen swasta yang tinggi sebanyak empat tingkat.

Pelancaran pertama pelongsor kitar semula berasingan - atau Pelongsor Berpusat untuk Kitar Semula - adalah satu projek percubaan. Pelongsor itu diletakkan di kawasan umum pada setiap tingkat di blok Choa Chu Kang pada tahun 2006. Kemudian, pelongsor dipasang dalam dua projek lain, Fernvale Vista di Sengkang dan Treelodge@Punggol, presint eko pertama HDB.

Dari Mei 2011 hingga April 2012, tinjauan HDB mendapati bahawa tiga kali lebih banyak sisa boleh dikitar semula dapat dikumpulkan. Ia berbanding kawasan perumahan lain dengan saiz serupa yang menggunakan kaedah pengumpulan bahan kitar semula secara konvensional, termasuk pengumpulan dari rumah ke rumah dan dari tempat simpanan bahan kitar semula berpusat.

Pelongsor sampah di Treelodge@Punggol dengan peringatan kepada penduduk supaya mengitar semula barangan mereka. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Tinjauan itu juga mendapati bahawa berat purata bahan kitar semula yang dikumpulkan dari sebuah blok di Treelodge@Punggol dalam satu bulan adalah 400kg, empat kali ganda daripada jumlah yang dikumpulkan dari blok HDB biasa tanpa pelongsor kitar semula. 

Memandangkan terdapat "hasil yang menggalakkan", HDB telah memperluaskan program pelongsor kitar semula berasingan kepada semua pembangunan perumahan awam baru yang dilancarkan mulai Januari 2014, katanya dalam jawapan kepada pertanyaan CNA.

"PENGGALAKAN TINGKAH LAKU", MULAKAN SEMASA KECIL 

Dengan halangan berkembar iaitu pencemaran dan kemudahan yang menjadi penghalang untuk meningkatkan kadar kitar semula tempatan, bagaimana orang ramai boleh belajar untuk menjadi lebih baik dalam mengitar semula?  Pakar-pakar yang diwawancara oleh CNA menunjukkan pendidikan dari usia muda dan insentif, beserta sekatan yang lebih ketat adalah antara cara-cara yang mungkin dapat mempercepatkan peningkatan kadar kitar semula.

Menyedari bahawa orang ramai boleh didorong untuk bertindak dengan "penggalakan tingkah laku", Cik Samantha Chan, seorang pensyarah di Sekolah Pengurusan Perniagaan Politeknik Nanyang, berkata strategi itu berbeza bagi setiap kumpulan sasaran yang berbeza. 

Kanak-kanak boleh dididik mengenai kitar semula melalui permainan, menggunakan mekanisme untuk memberi inspirasi kepada pembelajaran dan tingkah laku positif, katanya.

Pelajar sedang mengambil bahagian dalam kelas matematik. (Gambar fail: TODAY)

"Lebih banyak perlu dilakukan dalam membentuk minda generasi muda" untuk memainkan peranan yang lebih "aktif dan berkesan" dalam hal-hal perubahan iklim, kata pengasas Plastic Lite SG Aarti Giri.

"Institusi pendidikan perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dan menyakinkan para pelajarnya bahawa perubahan minda, usaha praktikal serta perundangan alam sekitar diperlukan, jika kita ingin mempunyai peluang berjaya dalam mengurangkan kesan buruk krisis iklim yang sedang mengancam," katanya kepada CNA.

Memetik contoh di peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi, Dr Laura Yap yang merupakan pengerusi program Diploma Sains Alam Sekitar di Politeknik Republik, berkata pendidikan kitar semula di sekolah telah memberi "kesan positif" kepada pelajar. "Jadi kami sedang melakukan sesuatu yang betul di peringkat sekolah tetapi sikap kitar semula ini seolah-olah pudar apabila orang dewasa beralih ke dunia pekerjaan."

Lebih banyak organisasi dan pejabat perlu mengambil usaha kitar semula di tempat mereka sendiri "supaya sikap kitar semula ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan lagi" di tempat kerja, di mana orang ramai menghabiskan sejumlah besar masa mereka, katanya.

Singapura juga boleh belajar daripada Kesatuan Eropah (EU) dalam melaksanakan langkah-langkah kitar semula mandatori, kata Encik Khaw dari Politeknik Nanyang. "Bagaimanapun, kita perlu mempunyai infrastruktur yang mencukupi dan sokongan logistik untuk melaksanakan langkah-langkah yang wajib ini."

"Selagi kitar semula dilakukan secara sukarela, kita tidak mungkin melihat sebarang peningkatan ketara dalam kadar kitar semula," tambahnya.

Sisa yang dikumpul daripada tong biru menunggu untuk diasingkan di pusat pengasingan SembWaste. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

SIKAP TIDAK PEDULI

Walaupun dengan pendidikan dan undang-undang, pengguna masih perlu diyakinkan untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam melindungi alam sekitar, kata Cik Giri. 

Walaupun ramai orang di Singapura memahami kesan kitar semula terhadap perubahan iklim, alam sekitar dan kemampanan jangka panjang bekalan makanan dan tenaga, mereka masih tidak melihat kesan kadar kitar semula yang rendah terhadap kehidupan seharian mereka, kata Encik Khaw dari Politeknik Nanyang.

Menceritakan semula perbualannya dengan rakan-rakan yang tidak dapat memahami mengapa dia memilih untuk hidup seperti ini, Cik Lee mengesahkan bahawa kebanyakan mereka mempunyai pandangan yang serupa seperti yang disebut oleh pakar-pakar yang diwawancarai oleh CNA.

"Saya mempunyai rakan-rakan yang memberitahu saya bahawa tidak apa, saya akan mati juga. Pada masa Bumi (dalam keadaan) benar-benar buruk, saya tidak akan hidup lagi," kata Cik Lee, dengan menambah ini membuatnya "sangat-sangat sedih."

Sambil menarik perhatian bahawa pemikiran begini telah dianggap sebagai satu perkara biasa, Cik Lee menolak bahawa generasi muda Singapura adalah lebih mesra alam. Beliau menekankan mereka masih merupakan minoriti yang kecil. 

"Ia sedang berkembang, dan memang ada sejumlah individu, tetapi kebetulan yang kumpulan minoriti mempunyai suara yang lebih kuat sekarang, jadi nampaknya seolah-olah generasi milenium semakin mesra alam."

Papan tanda berwarna-warni dilihat pada perhimpunan perubahan iklim SG di Speakers' Corner di Singapura pada tahun 2019.

SISA INDUSTRI

Satu lagi perkara yang biasa didengar oleh Cik Lee ialah sisa yang dihasilkan oleh individu menyumbang kepada jumlah yang sangat kecil dan tidak ketara daripada jumlah keseluruhan sisa yang dihasilkan.

Jumlah mutlak sisa bukan domestik yang dihasilkan jauh melebihi jumlah sisa yang dihasilkan oleh sebarang isi rumah. Menurut statistik NEA, sebanyak 5.37 juta tan sisa bukan domestik dihasilkan pada tahun 2019, berbanding 1.87 juta tan sisa domestik.

Begitu juga pada tahun 2018, 5.7 juta tan sisa yang dihasilkan adalah bukan jenis domestik, manakala hanya 2 juta tan sisa dihasilkan oleh isi rumah. 

Kedua-dua angka ini menyaksikan penurunan pada tahun berikutnya. Di kalangan isi rumah, kadar kitar semula turun daripada 22 peratus pada tahun 2018 kepada 17 peratus pada 2019, manakala kadar kitar semula bukan domestik turun daripada 75 peratus pada 2018 kepada 73 peratus.

Menurut laman web NEA, Akta Kesihatan Awam Persekitaran telah dipinda pada 1 April 2014 untuk memaksa premis perindustrian, perdagangan, komersial atau pembuatan melaporkan data sisa dan mengemukakan pelan pengurangan sisa. Pemilik dan pengurus hotel dan pusat membeli-belah yang besar telah melaporkan data sisa am dan rancangan pengurangan sisa mereka kepada NEA sejak 2014. 

Dan nampaknya usaha kitar semula telah bertambah baik sejak pelaksanaan peraturan pelaporan sisa mandatori. 

Antara tahun 2014 dan 2018, jumlah premis yang mengitar semula meningkat dari 91 hingga 93 peratus bagi hotel besar dan dari 80 hingga 94 peratus bagi pusat membeli-belah besar, menurut statistik NEA. 

Kadar kitar semula industri masing-masing juga meningkat antara 2014 dan 2018, daripada 6 peratus kepada 7.7 peratus bagi hotel besar dan 6.7 peratus kepada 10.7 peratus bagi pusat beli-belah besar.

Bahan-bahan yang boleh dikitar semula diasingkan mengikut kategori sebelum dimampatkan menjadi bungkusan. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

JIKA TIDAK BOLEH DIKITAR SEMULA, SISA DIBAKAR

Kadar kitar semula di Singapura juga dipengaruhi oleh data sisa yang dihantar ke pusat kitar semula – di dalam dan luar negara – sebenarnya boleh dikitar semula. Dengan lebih banyak negara menutup sempadan mereka terhadap sisa yang diimport dan kapasiti kitar semula tempatan yang rendah, lebih banyak bahan kitar semula Singapura akan dibakar dalam insinerator.

Langkah ini pula akan menurunkan kadar kitar semula. Dengan kadar kitar semula keseluruhan yang kekal pada sekitar 60 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Singapura kini gagal mencapai sasaran Pelan Pembangunan Mampan sebanyak 65 peratus untuk tahun 2020.

Ia adalah sebahagian daripada perjalanan Singapura untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 Forum Politik Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) untuk Pembangunan Mampan,  yang pada tahun 2015 telah menetapkan matlamat bagi negara-negara mengambil tindakan dalam bidang-bidang yang kritikal kepada manusia dan bumi. 

Sasaran Singapura untuk tahun 2030 telah ditetapkan pada kadar 70 peratus.

Pekerja mengasingkan sisa di pusat pengasingan Sembwaste. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Singapura tidak mempunyai kemudahan berskala besar yang diperlukan untuk mengitar semula sejumlah besar bahan. Itulah sebabnya sisa kertas dan plastik perlu dieksport, kata Cik Melissa Tan, pengerusi Persatuan Pengurusan Sisa dan Kitar Semula Singapura. 

"Namun, apabila negara-negara seperti China, Malaysia dan Indonesia menutup pintu mereka untuk mengimport sisa yang boleh dikitar semula, maka seperti sisa makanan, kita mungkin tidak mempunyai pilihan selain membakarnya," kata Cik Tan.

Pusat pemulihan bahan sisa terbesar Singapura, yang dimiliki oleh Sembcorp, terletak di Tuas. Ia menerima sehingga 60 tan bahan daripada kutipan isi rumah setiap hari, di mana hanya 50 hingga 60 peratus yang sesuai untuk dikitar semula, kerana sisa yang selebihnya telah pun tercemar atau tidak boleh dikitar semula.

Sebagai pusat pengasingan, Sembcorp mengumpul bahan kitar semula campuran dan bergantung kepada pasukan 20 pekerja untuk mengasingkannya ke dalam aliran sisa yang berbeza, memadatkannya menjadi bungkusan, dan menghantarnya kepada pengedar sah di Singapura, termasuk syarikat kitar semula seperti Plaspulp Union.

Pekerja mengasing sisa plastik di Plaspulp. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Pusat kitar semula plastik di Tuas South, yang telah beroperasi selama lebih 20 tahun, menerima kira-kira 20 hingga 30 tan plastik sehari. Kilang ini mampu memproses 30 hingga 40 tan plastik sehari.

Kira-kira 5 hingga 8 peratus daripada sisa yang diterima tidak boleh dikitar semula, bergantung kepada jenis plastik yang diterima dan kadar pencemarannya, kata pengurus operasi Jade Loh. 

Sisa itu diasingkan dan kemudian dimasukkan ke dalam mesin kitar semula untuk dihancurkan, diproses semula, dan dikitar semula menjadi pelet plastik. Pelet plastik itu kemudiannya dijual kepada pengeluar beg, firma pertanian dan syarikat acuan untuk membuat barangan seperti mainan dan kerusi.
 

Pelet plastik yang dihasilkan di Plaspulp, yang akhirnya dijual kepada pengeluar beg, firma pertanian dan syarikat acuan. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Apabila ditanya mengapa Plaspulp memberi tumpuan kepada kitar semula sisa industri, Cik Loh menjelaskan sisa pengguna lebih sukar untuk dikitar semula kerana ia sering tercemar.
 
"Mungkin ada sisa buangan yang tertinggal daripada sisa pengguna, contohnya, seperti beg plastik yang digunakan untuk menyimpan sampah, (atau ia) boleh mengandungi banyak bahan kotor di dalamnya," katanya.

"Oleh itu, (ini) menjadikannya lebih sukar untuk dikitar semula berbanding dengan sisa industri akhir di mana kita hanya perlu melakukan sedikit pengasingan dan ia biasanya lebih bersih daripada bahan pengguna." 

Seorang pekerja memuatkan sisa plastik ke dalam mesin penghancur sebelum ia dilebur dan diproses. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Kadar pencemaran daripada pihak industri juga telah bertambah baik sejak tahun-tahun kebelakangan ini kerana mereka kini lebih berwaspada tentang kebersihan sisa yang mereka hantar untuk dikitar semula, katanya, sambil menambah bahawa Plaspulp juga mendidik pelanggan mereka tentang cara mengendalikan bahan kitar semula. 

Menguruskan sebuah pusat kitar semula tidak mudah dan boleh menjadi mahal, kata Cik Loh, sambil merujuk kepada kos sewa dan tenaga kerja yang tinggi. Ia juga sukar untuk mengambil pekerja Singapura yang mempunyai pengalaman mengasing bahan-bahan yang berbeza, tambah beliau.

Premis Plaspulp di Tuas south, dengan beg plastik sisa yang sedang menunggu untuk diasing dan dikitar semula. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Dr Ang dari Politeknik Temasek juga menyatakan bahawa amalan Singapura membuang sisa yang boleh dikitar semula dalam tong biru umum sebelum mengasingkannya di pusat fasiliti akan memakan kos yang lebih berbanding dengan mengasingkannya dalam beberapa tong pada peringkat permulaan. 

“Oleh itu, ia mungkin lebih berkesan untuk memproses sisa menggunakan proses pembakaran biasa," katanya.

Dengan batasan seperti itu, Plaspulp adalah satu daripada "segelintir" pengitar semula yang beroperasi.  Beberapa yang lain telah ditutup sejak dua tahun lalu, kata Cik Loh. 

LOJI DARI SISA-KEPADA-TENAGA 

Untuk menangani sisa yang tidak boleh dieksport dan tidak boleh dikitar semula, Singapura mengambil langkah yang lebih cekap dan inovatif dalam pengurusan sisa pepejal, kata Pembantu Profesor Grzegorz Lisak dari Sekolah Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Beliau memberitahu CNA bahawa jalan penyelesaian dalam mengubah sisa-kepada-tenaga sudah "cukup mantap" di Singapura, dengan empat loji pembakar yang membakar sisa yang tidak boleh dikitar semula. 

“Ini membolehkan pengurangan isipadu sisa, yang dapat membantu mengurangkan penggunaan tanah yang terhad untuk pembuangan sisa. Abu dari loji pembakaran dan sisa yang tidak boleh dibakar akan diangkut dan dibuang di Tapak Pembuangan Semakau,” kata Pembantu Profesor Lisak.
 

NTU mengendalikan satu-satunya loji gasifikasi sisa-kepada-tenaga di Singapura, yang memproses sisa perbandaran untuk menghasilkan gas sintesis yang dapat digunakan untuk menjana elektrik dengan lebih cekap berbanding loji pembakaran. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Pembakaran sisa-kepada-tenaga boleh dilaksanakan di Singapura, kerana ia membantu mengurangkan jumlah sisa sehingga 90 peratus, tambahnya. 

“Bukan semua benda boleh dibakar. Terdapat komponen yang tidak mudah terbakar dalam sisa buangan. Ia adalah satu cabaran untuk mengumpul semula bahan-bahan ini selepas proses pembakaran.

"Jika kita memainkan peranan masing-masing dan membuang sisa yang boleh dikitar semula seperti botol kaca, tin logam, sisa elektronik ke dalam tong kitar semula yang berasingan, inisiatif sifar sisa akan menjadi lebih berkesan."

NTU mengendalikan satu-satunya loji gasifikasi sisa-kepada-tenaga di Singapura – ia memproses sisa perbandaran untuk menghasilkan gas sintesis yang dapat digunakan untuk menjana elektrik dengan lebih cekap berbanding loji pembakaran, atau sebagai bahan mentah untuk menghasilkan sintesis kimia daripada sisa.

Loji ini, yang dibiayai oleh NEA, NTU, Lembaga Kemajuan Ekonomi, dan Yayasan Penyelidikan Nasional, juga berfungsi sebagai tapak ujian untuk penciptaan penyelesaian baru bagi projek sisa-kepada-tenaga.

Menjawab pertanyaan sama ada loji pembakaran sisa-kepada-tenaga boleh menjadi pelaburan yang lebih berbaloi berbanding loji kitar semula, Pembantu Profesor Lisak menegaskan bahawa "tidak ada satu penyelesaian rawatan sisa tunggal" yang boleh menyelesaikan semua jenis sisa.

Loji ini mengumpul semula tenaga dan bahan seperti logam dan terak, di mana kedua-duanya mempunyai kegunaan bagi industri secara langsung. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

"Melabur hanya dalam loji pembakaran sisa-kepada-tenaga dan tidak membuat perkara yang sama pada loji kitar semula merupakan satu pendekatan yang tidak mampan. Bukan sahaja ia akan melibatkan kos kewangan yang besar, ia juga akan mengakibatkan kesan yang mendalam kepada alam sekitar," katanya.

"Jika bahan yang boleh dikitar semula dihantar ke loji pembakaran, ia akan menimbulkan tekanan besar kepada sumber semulajadi bumi. Jumlah sumber semulajadi kita yang terhad akan semakin habis diguna untuk menghasilkan barang-barang baru."

“KITA SEMUA PATUT MENGHADAPINYA”

Bagi Cik Lee, usaha ini dialu-alukan walaupun agak lambat. 

“Maafkan kalau saya katakan secara jujur bahawa kita semua adalah individu jahil. Dan ini bukanlah salah sesiapa – tidak. Ia hanya cara masyarakat berfikir... apabila bercakap tentang bumi," katanya.

"Tetapi ini adalah sesuatu yang boleh kita ubah."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai tinjauan pandangan masyarakat Asia tentang soal agama dan politik di rantau ini.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement