Berhadapan ancaman: Mengapa pemulihan terumbu karang perlu diberikan perhatian?
Projek besar-besaran pemulihan terumbu karang di Singapura akan bermula pada 2024 dengan 100,000 batu karang akan ditanam di kawasan perairannya.
SINGAPURA: Inisiatif baru dalam pemulihan terumbu karang untuk menanam 100,000 batu karang di perairan Singapura adalah satu "projek bercita-cita tinggi" dalam pemuliharaan marin di kawasan perairannya, kata ahli biologi terumbu karang Karenne Tun.
Batu karang tersebut akan ditanam dan dibiakkan secara berperingkat di perairan Singapura bermula dari tahun 2024 untuk mengukuhkan biodiversiti dan meningkatkan ketahanan komuniti batu karang dan kawasan terumbu.
Terumbu karang adalah ekosistem yang dinamik yang kini terancam akibat pemanasan bumi dan juga aktiviti manusia. Tanpa campur tangan yang serius, kebanyakannya akan hilang pada tahun 2035.
Projek pemulihan terumbu karang Singapura akan menjadi sesuatu yang mencabar, kata para pakar.
"Apabila bercakap tentang alam sekitar marin, semuanya adalah cabaran," kata Dr Tun, pengarah cawangan pantai dan marin di Pusat Biodiversiti Nasional Lembaga Taman Negara (NParks).
“Ia melibatkan usaha dalam persekitaran yang asing. Untuk menyelam di bawah air, secara dasarnya anda perlu mengenakan peralatan dan bernafas melalui unit yang dimampatkan. Itu bukanlah sesuatu yang normal bagi kita."
Jumlah masa yang boleh dihabiskan di bawah air juga terhad, tambah Dr Tun, yang pasukannya memang bersungguh-sungguh ingin melindungi biodiversiti pantai dan marin Singapura.
"Semakin dalam anda menyelam, semakin pendek masa yang anda ada untuk berada di bawah air."
Satu lagi batasan ialah batu karang perlu ditanam di tempat yang khusus.
NParks sedang bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Makmal Marin Nasional Pulau St John untuk menanam batu karang dalam tangki dengan jumlah yang lebih besar.
"Masa 10 tahun yang lepas telah memberi kita banyak pengetahuan tentang bagaimana untuk melakukannya dengan baik, tetapi kita memerlukan masa untuk melaksanakannya dengan betul," kata Dr Tun, sambil menambah bahawa inisiatif ini adalah peluang untuk meningkatkan kesedaran.
"Dari sudut habitat, kita cuba melihat bagaimana kita boleh menggunakan strategi yang telah dipelajari, terutamanya dalam dekad yang lalu atau ketika pengetahuan tentang teknik pemulihan telah meningkat begitu banyak, dan kami cuba menggunakannya untuk meningkatkan peluang terumbu karang dapat bertahan hidup serta menanamnya di luar perairan.”
SENSITIF TETAPI BERDAYA TAHAN
Sains terumbu karang adalah sesuatu yang agak baru berbanding dengan disiplin lain, ketika penyelaman skuba menjadi lebih mudah diakses oleh orang awam, kata Dr Tun dalam podcast CNA The Climate Conversations.
"Mungkin hanya 50 hingga 60 tahun yang lalu, pakar-pakar mula mengumpul data. Jadi, kami mempunyai asas sejarah yang boleh kami bandingkan."
Di Singapura, data pertama mulai dikumpul sekitar akhir 1980-an, katanya, sambil menambah bahawa kadar kemerosotan terumbu mula dikesan pada dekad berikutnya.
“Pada masa itu, sudah tentu, tidak banyak pengetahuan atau kesedaran mengenai alam sekitar marin dan jenis impaknya berbanding sekarang."
Tidak lama kemudian, dengan lebih banyak kesedaran, tindakan mula diambil di peringkat akademik dan pemerintah.
Pada pertengahan tahun 2000-an, status terumbu karang "agak pulih ke keadaan seperti pada tahun 1980-an" dan telah stabil sejak itu.
"Apa yang menarik perhatian saya ialah, alam sekitar ini sensitif, tetapi juga kuat (daya tahannya)," kata Dr Tun.
"Ia sensitif, ia mudah dimusnahkan, tetapi jika anda memberikannya masa (dan) sedikit kasih sayang, ia sebenarnya boleh pulih."
Batu karang adalah "salah satu jenis haiwan yang paling mudah (dari segi biologi)", kata penyelam yang bersemangat itu. "Jadi itu adalah satu lagi perkara menarik tentangnya. Ia adalah haiwan dan sebagai haiwan, ia boleh makan.
"Tetapi batu karang juga mempunyai hubungan simbiotik yang sangat menarik dengan alga yang hidup di dalamnya yang berperanan memberikan batu-batu karang warna. Jadi batu karang tanpa alga adalah lut sinar.”
Di perairan Singapura, biasanya terumbu karang berwarna coklat disebabkan oleh persekitaran cahaya.
Tetapi di perairan yang lebih jernih di mana sinaran ultraungu dapat menembus kedalaman air, ia boleh mengeluarkan warna merah jambu, biru dan hijau, kata Dr Tun.
"Jadi batu-batu karang boleh menjadi agak berwarna-warni, terutamanya apabila terdapat cahaya UV yang mencukupi yang sampai kepadanya."
KEBERGANTUNGAN TERHADAP TERUMBU KARANG
Dr Tun berkata: "Manusia perlu sedar bahawa kewujudan kita banyak bergantung kepada alam sekitar di setiap peringkat, sama ada terumbu karang atau hutan hujan atau hutan bakau."
Terumbu karang menghuni kurang daripada 1 peratus lautan.
"Tetapi kerana ia begitu berjenis-jenis, banyak keanekaragaman di dunia bergantung sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada terumbu karang. Jadi sehingga 25 peratus daripada haiwan yang anda jumpai di persekitaran marin mempunyai sedikit pergantungan kepada terumbu," kata Dr Tun.
Banyak jenis ikan, misalnya, bergantung kepada batu karang sebagai sumber makanan atau untuk perlindungan.
"Tanpa terumbu karang, sumber protein akan berkurangan, (kerana) anda sebenarnya kehilangan peluang untuk memancing, untuk mendapatkan sumber protein itu, dan itu akan menjadi ancaman ketara kepada manusia."
Walaupun tindakan global telah diambil untuk menyelamatkan terumbu karang, lebih banyak perlu dilakukan bagi mereka yang bergantung padanya setiap hari, seperti nelayan.
“Merekalah yang akan menderita lebih banyak daripada kita akibat kehilangan terumbu, ” kata Dr Tun.
"Saya fikir perkara ini perlu dibawa untuk perbincangan secara global, bahawa komuniti yang bergantung padanya secara langsung, kita perlu mencari huraian untuk mereka juga. Ini kerana mereka yang akan menderita terlebih dahulu sebelum kita dapat melihat akibatnya."
FAKTOR MENGANCAM TERUMBU KARANG
Di Singapura, data yang dikumpul sejak tiga dekad lalu menunjukkan bahawa terumbu karangnya semakin stabil dari segi nisbah kawasan yang diduduki oleh batu karang.
Namun, sementara nisbah kawasan terumbu mungkin dikekalkan, komposisi terumbu sedang berubah, kata Dr Tun.
"Sebelum ini, kita mungkin mempunyai lebih banyak batu karang bercabang. Karang bercabang akan menarik pelbagai jenis biodiversiti," katanya.
"Sekarang, kita mempunyai lebih banyak terumbu karang yang berbentuk bulat dan mendatar. Kita kehilangan keanekaragaman tiga dimensi yang boleh memberi kesan fungsi yang berbeza, yang kita belum tahu sepenuhnya."
"Jadi ada perubahan yang sedang berlaku. Saya fikir komuniti saintifik sedang cuba memahami beberapa perubahan ini dan menilai akibatnya agar kita boleh buat pencelahan.
Terumbu karang boleh terjejas akibat aktiviti, yang boleh menyusupkan unsur-unsur yang membuat terumbu sensitif seperti mendapan, kata Dr Tun.
"Terdapat banyak langkah yang dilaksanakan di Singapura sekarang untuk memastikan bahawa apa sahaja aktiviti yang berlaku di perairannya tidak menimbulkan mendapan."
Terumbu juga sensitif terhadap suhu permukaan laut, tambahnya, sambil menyatakan bahawa ini adalah isu yang cuba ditangani oleh para saintis pada masa ini.
Salah satu cara membantu batu karang bertahan adalah dengan membina daya tahan. Ini dapat dilakukan dengan mewujudkan persekitaran yang mencabar dan meletakkannya di bawah sedikit tekanan, menurut saintis.
Penyelidik juga sedang mengkaji komuniti mikroba yang dikaitkan dengan batu karang, kata Dr Tun.
"Para saintis sedang cuba memerhati sama ada komuniti ini dapat memberi daya tahan kepada batu karang, dalam menghadapi suhu atau kesan lain, yang membolehkannya bertahan dengan lebih baik," tambah beliau.
"Jika kita tahu jenis bakteria mana yang boleh melakukannya, kita boleh mula menanam batu karang dalam persekitaran ini di mana ia boleh mengambil bakteria ini. Kemudian apabila kita memindahkannnya keluar, mungkin ini boleh menjadikannya lebih kuat.
AMALAN MENYELAM YANG BAIK
Cinta Dr Tun terhadap alam sekitar marin bermula semasa beliau masih seorang pelajar sarjana.
Ketika beliau menyelam ke dalam air buat pertama kali semasa mengikuti kursus menyelam, beliau teringat yang dirinya telah tenggelam dalam persekitaran yang baru dan luar biasa.
"Satu-satunya deria yang anda miliki ialah deria penglihatan anda, kerana apa sahaja yang anda dengar hanyalah gelembung," katanya.
"Kemudian saya berasa panik. Saya tertanya-tanya, 'Adakah saya turun terlalu cepat? Apa yang akan berlaku?'"
"Dan kemudian saya ternampak terumbu itu, batu karang yang indah dengan ikan-ikan di depan saya, dan kemudian saya pun terlupa sepenuhnya tentang persekitaran yang asing itu. Saya rasa pengalaman itu memberi satu pencerahan bagi saya."
Saban tahun kemudian, beliau mula mendengar tentang bagaimana terumbu karang semakin terjejas dan memutuskan untuk menjadikan pemuliharaan marin sebagai kerjanya.
"Saya membuat keputusan bahawa ini adalah apa yang saya ingin lakukan," kata Dr Tun, yang biasa menyelam untuk sekitar 100 hingga 150 hari dalam setahun.
"Saya ingin bekerja dengan mereka yang sedang cuba mencari penyelesaian untuk memastikan persekitaran yang indah ini dapat wujud untuk generasi akan datang."
Disebabkan terumbu karang sering menjadi lokasi popular menyelam, Dr Tun menasihatkan penyelam supaya mengamalkan amalan menyelam yang bertanggungjawab, termasuk meningkatkan kemahiran dan tidak menyentuh benda-benda di laut yang tidak difahami.
"Jangan menyelam di kawasan yang masih belum disentuh jika anda tidak mempunyai kemahiran untuk menguruskan diri di bawah air. Kerana jika anda tidak tahu bagaimana menggerakkan sirip dengan betul (dan) sirip anda tersebar di merata tempat, itu boleh merosakkan banyak terumbu karang," kata Dr Tun.
Pengendali penyelaman juga perlu dididik supaya mereka tidak menjejaskan atau memanipulasi persekitaran hanya kerana pelanggan mereka ingin melihat hidupan marin tertentu, tambahnya.
"Ini melibatkan pendidikan dalam industri penyelaman dan juga untuk para penyelam sendiri. Ia bagi memastikan mereka memahami bahawa semua kegiatan (menyelam) ini boleh merosakkan alam sekitar."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai cabaran di Singapura untuk meningkatkan kadar kitar semula.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.