Warga Malaysia antara 4 rakyat asing didakwa bekerja secara haram sebagai penghantar makanan di Singapura
Keempat-empat warga asing itu, tiga warga Malaysia dan seorang rakyat India, didakwa menggunakan akaun milik warga Singapura atau penduduk tetap untuk menghantar makanan bagi platform seperti Deliveroo dan foodpanda.
SINGAPURA: Empat warga asing didakwa bekerja secara haram sebagai pekerja penghantar makanan untuk platform dalam talian, termasuk foodpanda dan Deliveroo, tanpa pas kerja yang sah.
Tiga lagi lelaki, yang merupakan warga Singapura atau penduduk tetap pula didakwa bersubahat dalam salah laku tersebut.
Empat warga asing yang didakwa ialah warga Malaysia Ng Teik Chuan, 36, Chaw Soon Yaw, 28, dan Muhammad Syazuwan Sharil, 27, serta warga India Amanullah Faizal Navas berusia 38 tahun.
Mereka masing-masing menerima satu pertuduhan di bawah Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing kerana menjadi warga asing yang bekerja sendiri tanpa pas kerja yang sah. Mereka telah menyatakan hasrat untuk mengaku bersalah.
Dalam satu kenyataan pada Selasa (26 Sep), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Ng dituduh bekerja sebagai penunggang penghantaran makanan melalui platform MilkRun dan LiveExpress dari Mei 2022 hingga Mac tahun ini.
Amanullah didakwa menghantar makanan untuk foodpanda pada Mac tahun ini dengan menggunakan akaun milik rakannya.
Chaw didakwa menghantar makanan untuk Deliveroo menggunakan akaun abangnya dari Disember 2022 hingga Mac tahun ini.
Syazuwan didakwa menggunakan akaun milik bekas rakan sekerjanya untuk bekerja sebagai penunggang penghantaran makanan bagi Deliveroo dari November 2022 hingga Mac tahun ini.
Tiga lelaki yang akaun mereka digunakan oleh keempat-empat tertuduh, juga didakwa kerana bersubahat dengan kesalahan tersebut.
Muhammad Mubeen Muthibbi Sahul Hameed, warga Singapura berusia 47 tahun, didakwa meminjamkan akaun foodpandanya kepada Amanullah.
Chaw Soon Song, seorang penduduk tetap berusia 23 tahun, didakwa meminjamkan akaun Deliveroonya kepada abangnya.
Low Kim Soon, warga Singapura berusia 35 tahun, dituduh meminjamkan akaun Deliveroonya kepada bekas rakan sekerjanya, Syazuwan.
Pemeriksaan CNA awal tahun ini, akaun-akaun penunggang penghantaran Deliveroo dan foodpanda telah ditawarkan untuk dijual di Carousell.
Menurut MOM ia telah menghubungi dengan platform-platform penghantaran makanan utama untuk meningkatkan proses mereka dan dalam mencegah penyalahgunaan akaun.
Kedua-dua pihak juga sedang berusaha dalam menyampaikan pesanan-pesanan pendidikan untuk menasihati para penunggang penghantaran agar tidak membenarkan warga asing menggunakan atau berkongsi akaun penghantaran makanan. Pesanan tersebut telah disebarkan di semua saluran komunikasi platform masing-masing.
Warga asing yang bekerja sendiri tanpa pas kerja yang sah boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$20,000 (RM68,000), atau kedua-duanya sekali.
Setelah mereka didapati bersalah, warga asing itu akan dihalang selama-lamanya daripada bekerja di Singapura, tambah MOM.
Pekerja platform penghantaran tempatan yang didapati membenarkan warga asing menggunakan akaun mereka mungkin menghadapi denda yang sama.
Pada 2020, seorang lelaki Singapura didenda S$5,000 kerana membenarkan seorang lelaki Malaysia menggunakan akaun-akaunnya sebagai penunggang foodpanda dan Deliveroo.
MOM juga meminta orang ramai yang tahu tentang sebarang kegiatan pengambilan kerja yang mencurigakan, supaya melaporkannya kepada kementerian. Ia memberi jaminan bahawa sebarang maklumat yang diterima akan dirahsiakan sepenuhnya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.