Patutkah pemimpin agama dedahkan kecenderungan politik? Ya, menurut responden yang ditinjau di Malaysia, Indonesia
Tinjauan Pusat Kajian Pew yang melibatkan kira-kira 13,000 responden di enam negara Asia juga mendapati kira-kira separuh responden di Malaysia dan Indonesia percaya pemimpin agama harus menyertai politik.
JOHOR BAHRU: Sekitar 6 daripada 10 responden yang ditinjau di Malaysia dan Indonesia berpendapat bahawa para pemimpin agama perlu menyatakan secara terbuka mengenai parti politik atau ahli politik yang mereka sokong. Malah kira-kira separuh mengatakan para pemimpin agama itu harus menceburi politik, demikian menurut satu tinjauan pendapat terbaru Pusat Kajian Pew.
Selain itu, lebih separuh daripada responden di Malaysia dan Indonesia percaya pemimpin agama harus mengambil bahagian dalam bantahan-bantahan, dan sedikit lebih 50 peratus berpandangan sama di Kemboja, sementara antara 18 hingga 29 peratus bagi responden di Singapura, Sri Lanka dan Thailand.
Trend-trend pandangan itu hasil tinjauan Pusat Kajian Pew yang dikeluarkan pada Selasa (12 Sep) yang telah meninjau 13,122 responden dewasa di enam negara Asia antara Jun dan September 2022.
Negara-negara itu adalah Thailand, Kemboja dan Sri Lanka, di mana agama Buddha adalah agama rasmi, Malaysia dan Indonesia yang kebanyakan penduduknya beragama Islam, serta Singapura yang tidak mempunyai agama majoriti.
Tinjauan oleh badan pemikir Amerika itu juga menyentuh pelbagai bidang, termasuk bagaimana responden melihat pentingnya agama kepada identiti nasional, bagaimana mereka meletakkan ajaran agama sebagai asas undang-undang negara, serta pandangan mereka tentang kepelbagaian agama.
Sebagai contoh, tinjauan mendapati bahawa 86 peratus responden Muslim di Indonesia mengatakan adalah "sangat penting" menjadi seorang Muslim untuk menjadi warga Indonesia yang sejati. Ini diikuti rapat oleh 79 peratus responden Muslim di Malaysia yang juga menyamakan agama dengan identiti kebangsaan.
Salah seorang penyelidik utama dalam kajian Pew itu, Jonathan Evans memberitahu CNA bahawa beberapa soalan dalam tinjauan itu bertujuan untuk memahami bagaimana orang ramai memikirkan soal agama dan politik "sejauh mana ia boleh bercampur aduk atau tidak.”
"Memandangkan terdapat begitu banyak cara pemimpin agama boleh terlibat dalam politik, kami memutuskan untuk bertanya beberapa soalan untuk mendapatkan tahap nuansa tertinggi mungkin dengan menanyakan: 'adakah pemimpin agama harus terlibat dalam politik?'," kata Encik Evans.
“Secara keseluruhan, orang Islam di Indonesia dan Malaysia lebih cenderung daripada Muslim lain di rantau ini untuk mengatakan pemimpin agama harus terlibat dalam politik.”
SEJAUH MANA UNDANG-UNDANG NEGARA BERASASKAN AJARAN AGAMA
Walaupun tinjauan itu turut merangkumi Sri Lanka, CNA memfokuskan kepada hasil tinjauan di lima negara Asia Tenggara yang secara geografi lebih dekat, sementara dinamika agamanya saling berkait rapat.
Lebih separuh responden di kelima-lima negara percaya bahawa para pemimpin agama harus mengundi dalam pilihan raya politik.
Sebagai contoh, 91 peratus responden Indonesia, 84 peratus di Malaysia dan 81 peratus di Kemboja berkata para pemimpin agama harus mengundi pada pilihan raya.
Bagaimanapun, terdapat pandangan yang bercampur-campur mengenai tiga aktiviti politik yang lain - bercakap secara terbuka tentang ahli atau parti politik yang mereka sokong, menyertai bantahan politik dan menjadi ahli politik sendiri.
Responden di Indonesia dan Malaysia umumnya adalah yang paling menyokong penglibatan para pemimpin agama dalam politik.
Kira-kira dua pertiga daripada responden di Malaysia dan 57 peratus daripada mereka di Indonesia berkata para pemimpin agama harus mendedahkan secara terbuka ahli-ahli atau parti-parti politik yang mereka sokong.
Sebaliknya, jumlah itu membentuk antara 29 hingga 47 peratus responden di Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Kemboja.
Selain itu, 54 peratus daripada responden di Malaysia cenderung untuk melihat para pemimpin agama mereka menyertai politik, berbanding 48 peratus di Indonesia dan 45 peratus di Kemboja.
Kurang daripada 30 peratus responden di Sri Lanka, Thailand dan Singapura bersetuju bahawa para pemimpin agama harus menjadi ahli politik.
Tinjauan itu menambah bahawa kebanyakan penganut Buddha di Thailand, Kemboja dan Sri Lanka lebih cenderung supaya undang-undang negara mereka diasaskan pada ajaran dharma Buddha – iaitu konsep luas yang merangkumi pengetahuan, doktrin dan amalan yang berputik daripada ajaran Buddha.
Pandangan ini mendapat sokongan hampir sebulat suara dalam kalangan penganut Buddha Kemboja, dengan 96 peratus berpendapat supaya undang-undang negara diasaskan pada ajaran dan amalan Buddha. Sekitar 56 peratus penganut Buddha di Thailand berkongsi sentimen yang sama.
Begitu juga, kebanyakan umat Islam di Malaysia dan Indonesia cenderung supaya hukum syariah dijadikan undang-undang rasmi negara, dengan 86 peratus responden dari Malaysia dan 64 peratus di Indonesia menyokongnya.
‘BUDAYA MEREKA LEBIH UNGGUL’
Responden dalam kalangan majoriti Buddha di Kemboja dan Thailand, serta dalam kalangan majoriti Islam di Indonesia dan Malaysia, berpendapat bahawa adalah penting menjadi ahli kumpulan agama masing-masing untuk benar-benar berkongsi identiti kebangsaan negara.
"Jelas bahawa majoriti di negara-negara ditinjau bersetuju dengan tanggapan bahawa 'budaya mereka lebih unggul daripada yang lain'," kajian itu mendapati.
Di Kemboja dan Thailand, lebih 75 peratus responden beragama Buddha mengatakan menjadi penganut Buddha adalah penting untuk benar-benar menjadi seorang Kemboja atau Thai.
Walaupun kebanyakan di kedua-dua negara melihat Buddhisme sebagai agama, terdapat keserasian anggapan yang meluas bahawa agama Buddha bukan sekadar agama sahaja.
Antara 76 peratus dan 96 peratus penganut Buddha di Kemboja dan Thailand bukan sahaja menggambarkan agama Buddha sebagai "agama yang dipilih untuk dianuti" tetapi juga mengatakan bahawa agama Buddha adalah "budaya yang menjadi sebahagian daripada (mereka)" dan "tradisi keluarga yang mesti diikuti".
Dalam beberapa hal, kaitan agama Buddha dengan identiti kebangsaan di negara-negara ini selari dengan pandangan mengenai peranan Islam di Indonesia dan Malaysia, kata tinjauan itu.
Kira-kira 86 peratus daripada Muslim Indonesia mengatakan menjadi Muslim adalah penting untuk benar-benar menjadi orang Indonesia, diikuti oleh 79 peratus Muslim Malaysia yang mengatakan menjadi Muslim adalah penting untuk benar-benar menjadi orang Malaysia.
Tambahan pula, umat Islam di kedua-dua negara lazimnya menggambarkan Islam sebagai budaya, tradisi keluarga atau kumpulan etnik - bukan sekadar "agama yang dipilih untuk dianuti".
Sebagai contoh, tiga perempat daripada umat Islam Malaysia berkata Islam adalah "satu bentuk etnik yang diwarisi sejak lahir."
BERBELAH BAHAGI TERHADAP KEPELBAGAIAN AGAMA
Kebanyakan yang ditinjau di kesemua negara terbabit - termasuk semua kumpulan agama utama – rata-rata menyatakan penerimaan umum terhadap kepelbagaian agama.
Sebagai contoh, lebih 60 peratus daripada mereka yang merupakan sebahagian daripada majoriti utama mengatakan mereka boleh menerima penganut agama lain sebagai jiran mereka.
Kebanyakan mereka yang ditinjau juga menggambarkan agama lain sebagai aman dan serasi dengan budaya dan nilai kebangsaan mereka.
Walau bagaimanapun, majoriti orang dewasa Thai dan Kemboja mengambil pendirian yang tidak jelas tentang kepelbagaian agama, etnik dan budaya, dengan melihatnya sebagai tidak mempunyai kesan positif atau pun negatif terhadap negara masing-masing.
Di Malaysia, 62 peratus responden mengatakan dengan mempunyai orang dari latar belakang yang berbeza menjadikan negara mereka tempat yang lebih baik untuk didiami. Manakala hanya 4 peratus atau kurang mengatakan kepelbagaian menjadikan negara mereka lebih teruk.
Sebaliknya, hanya 19 peratus orang dewasa Thai mengatakan kepelbagaian menjadikan negara mereka lebih baik, manakala 68 peratus mengatakan ia tidak membuat banyak perbezaan dan 11 peratus mengatakan ia memburukkan Thailand.
Kebanyakan orang dewasa yang ditinjau di negara-negara berkenaan melihat agama lain sebagai sangat atau agak aman. Hanya sedikit yang mengatakan bahawa agama lain adalah aman atau sama sekali tidak aman.
Selain itu, majoriti besar semua kumpulan agama utama bersedia menerima penganut agama yang berbeza sebagai jiran.
Kira-kira 72 peratus responden Islam di Malaysia dan 68 peratus di Indonesia mengatakan mereka bersedia menerima penganut Buddha sebagai jiran mereka.
Sementara itu, 77 peratus responden beragama Buddha di Kemboja dan 65 peratus di Thailand berkata mereka terbuka untuk hidup bersama orang Islam.
Penyelidik tinjauan itu Jonathan Evans memberitahu CNA bahawa terdapat sebahagian responden yang tidak mengambil pendirian yang bertolak ansur. Beliau mengambil contoh bagaimana 36 peratus penganut Buddha Thai berkata Islam tidak aman manakala 42 peratus penduduk Islam Malaysia berkata agama Buddha tidak aman.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa rakyat di keenam-enam negara secara amnya bertolak ansur dengan agama lain.
"Dalam semua kumpulan agama utama, kebanyakan orang berkata mereka bersedia menerima anggota masyarakat agama yang berbeza sebagai jiran," tambahnya.
“Dan majoriti di kebanyakan negara bersetuju bahawa agama lain serasi dengan budaya dan nilai negara mereka.”
Ketika diminta mengulas hasil keseluruhan tinjauan itu, penganalisis politik Malaysia dan zamil kanan di Institut Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun memberitahu CNA bahawa dapatan tinjauan itu menunjukkan bahawa sesetengah negara di Asia Tenggara harus berhati-hati dengan "pertambahan jumlah mereka yang menunjukkan ketaatan agama yang sangat kuat".
Khususnya, beliau mengenal pasti mereka yang cenderung untuk menerapkan versi agama mereka “yang sangat fundamentalis, kalau pun bukan berbentuk ekstremis" ke atas seluruh negara, dan kemudiannya ke seluruh dunia.
"Ini sudah pasti akan membawa kepada pertikaian berorientasikan agama di dalam negara, di peringkat serantau dan akhirnya di peringkat global. Kadangkala ia bersifat ganas, yang boleh meletus kerana masyarakat lain tidak mahu ditaklukkan sebegitu," kata Dr Oh.
Mengenai apa yang boleh dilakukan oleh negara-negara berkenaan, bagi pemerintah bersifat
autoritarian ia boleh menggunakan "langkah radikal untuk mengharamkan politik agama atau tidak membenarkan pemimpin agama menyertai politik".
Dr Oh menambah langkah-langkah lain seperti mendidik orang ramai, dan juga kerjasama rapat antara pemerintah dan para pemimpin agama, mungkin tidak akan berjaya. Malah pemerintah itu sendiri berisiko menghadapi penyusupan unsur-unsur pelampau, sebagaimana agensi perisikan Pakistan ISI pernah disusupi oleh kumpulan pelampau Islamis Taliban.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha di Singapura untuk membasmi fahaman radikal dalam kalangan belia.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.