Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Takut dengan jarum, ketinggian, lipas? Kenapa kita ada fobia dan bagaimana mengatasinya

Bukan anda seorang sahaja yang takut menaiki pesawat atau menaiki lif.  Mengapa ada di antara kita mempunyai ketakutan yang tidak rasional ini? CNA Lifestyle mendapatkan pandangan beberapa pakar.

Takut dengan jarum, ketinggian, lipas? Kenapa kita ada fobia dan bagaimana mengatasinya
Jarum, ketinggian, lipas: Mengapa anda mempunyai fobia dan bagaimana hendak mengatasinya? (Foto: iStock/sevendeman)

SINGAPURA: Apakah benda atau perkara-perkara yang paling ditakuti kebanyakan orang?  Mungkin bukan perkara-perkara seperti cukai atau bayaran jalan raya atau pun cukai barangan dan perkhidmatan GST. 
 
Tentunya perkara yang mudah mendebarkan jantung kita atau membuat kita berpeluh sejuk serta menarik nafas, sekurang-kurangnya menurut pandangan pakar berkisar daripada benda-benda seperti kuman dan jarum hinggalah kepada rasa takut pada persekitaran seperti  ketinggian, ruang sempit dan menaiki kapal terbang. 

Bagi yang tinggal di kawasan bandar, banyak juga benda atau haiwan yang boleh menimbulkan fobia seperti cicak di dalam rumah, mungkin juga dengan serangga kumbang dan akhir sekali lipas yang boleh berterbangan sana sini. 

Mengapa ada orang boleh bersemuka dengan lipas tetapi ada yang takut mendekatinya. (Foto: iStock/Nattawut Neamkleang)

MENGAPA ADA TAKUT?

Tidak kira berapa umur anda. Ketakutan yang tidak rasional atau apa yang ditakrifkan sebagai fobia (menurut buku panduan psikologi Diagnostic And Statistical Manual Of Mental Disorders), boleh mejadi sesuatu yang begitu nyata sehingga menyebabkan degupan jantung anda menjadi terlalu pantas. Ketakutan tidak rasional ini juga boleh membuatkan anda berkelakuan tidak rasional.

Seorang lelaki dewasa yang saya kenali, misalnya, begitu  takut dengan anak patung (baik jenis Polly Pocket hinggalah kepada Barbie) sehingga dia enggan memasuki Toys R Us.

Bekas rakan sekerja saya pula boleh berpeluh sejuk apabila melihat seekor ular, walaupun ia hanya gambar dalam internet. Dan saya pernah juga menyebabkan pasangan saya terpaksa pulang ke rumah di tengah hari bekerja untuk mengusir belalang sembah.

Kalau ada fobia boleh mengakibatkan pasangan anda dibuang kerja, ada juga lain-lain fobia yang boleh mengakibatkan anda terjerumus ke dalam masalah yang lebih mendalam.

"Fobia (terhadap) jarum boleh menjadi masalah besar bagi pesakit yang perlu menjalani kemoterapi atau vaksinasi COVID-19," kata Koh Xin Yu, ahli psikologi kanan Pasukan Psikologi Jabatan Perubatan Psikologi, Hospital Universiti Nasional.

Fobia takut jarum boleh menjadi masalah besar bagi pesakit yang perlu menjalani kemoterapi atau vaksinasi COVID-19. (Foto: iStock/mladenbalinovac)

“Claustrophobia (atau takut pada ruang sempit) boleh menjejas para pesakit yang memerlukan imbasan MRI untuk diagnosis, serta jenis pengangkutan yang boleh diambil mereka. Mereka yang mempunyai kegelisahan  sosial sebegini sering menjadi sangat tertekan kerana tidak dapat membuat pembentangan atau bercakap semasa mesyuarat."

Kita boleh fahami mengapa kadangkala rasa takut itu penting. Ia boleh mengelakkan kita menjadi mangsa binatang pemangsa atau menyebabkan kita mati terjatuh kerana tidak takut pada ketinggian.  

“Ketakutan biasa adalah pengalaman sejagat. Manusia melalui evolusi telah dapat bertindak balas ketika dalam ketakutan apabila berhadapan dengan bahaya, kerana rasa takut ini bantu memastikan kita selamat,” kata Dr Lim Boon Leng, pakar psikiatri di Hospital Gleneagles.

Fobia adalah sejenis gangguan rasa cemas di mana seseorang mempunyai ketakutan yang tidak rasional dan melampau terhadap sesuatu situasi atau objek. (Foto: iStock/globalmoments)

“Sebaliknya, fobia adalah sejenis gangguan rasa cemas di mana seseorang mempunyai ketakutan yang tidak rasional dan melampau terhadap sesuatu situasi atau objek. Orang yang terjejas akan berusaha keras untuk mengelakkan rangsangan fobia.

Apabila terdedah kepada situasi atau objek, orang itu akan bertindak balas dengan kebimbangan yang teruk dan keinginan yang kuat untuk melarikan diri,” kata Dr Lim.

TAKUT PADA SESUATU TETAPI TIDAK YANG LAIN 

Kita mungkin kagum melihat ada orang yang boleh menangkap lipas besar tanpa sebarang alas tangan, sambil tidak rasa geli dengan kaki lipas yang menggeliat, antena yang berkedut dan sayapnya berkibasan.

Pernah semasa berbual dengan seorang editor, binatang itu mengingap pada rambutnya yang panjang. Seperti tidak kisah langsung, dia hanya menarik sahaja lipas itu dan meneruskan perbualan seperti biasa.  

Mereka yang mempunyai fobia mungkin bertanya sama ada sesuatu yang kurang pada otak atau DNA mereka. "Fobia adalah ketakutan tidak rasional yang kompleks dan berakar umbi yang mungkin disebabkan oleh gabungan faktor, termasuk tindak balas otak secara automatik yang kuat, tindak balas terkondisi akibat trauma, kesilapan berfikir, genetik dan pengaruh budaya seseorang," kata Dr Lim.
 
Seperti mempelajari jadual sifir, kebanyakan fobia adalah gejala yang diperoleh, kata Koh. "Ada yang mungkin terus menyatakan ia disebabkan oleh peristiwa traumatik yang mencetuskan perkembangan fobia. Terdapat juga orang yang menyatakan bahawa fobianya timbul kerana terpengaruh dengan pengalaman traumatik orang lain.” 

Sebagai contoh, kata Dr Lim, apabila seseorang mengalami situasi hampir maut di kawasan sesak manusia, dia mungkin akan mengalami fobia terhadap tempat yang sesak.

"Seorang kanak-kanak yang memerhatikan orang dewasa yang menunjukkan ketakutan terhadap serangga mungkin tersilap anggap bahawa serangga adalah berbahaya. Ini semua  membawa kepada perkembangan fobia."

BOLEHKAH FOBIA MENJADI RASIONAL? 

Kebanyakan orang yang mempunyai fobia sedar bahawa ketakutan mereka adalah tidak rasional, kata Dr Lim.  Malah bukan itu sahaja. 

"Fobia khusus adalah sangat morbid dengan penyakit kesihatan mental yang lain," katanya. "Kira-kira 60 peratus individu yang mempunyai fobia sepanjang hayat mempunyai penyakit mental lain seperti kemurungan, gangguan kebimbangan, gangguan tekanan selepas trauma dan gangguan obsesif-kompulsif."

Jadi, ia bukanlah semudah merasionalkan rasa ketakutan itu, kata Dr Lim. "Ia selalunya memerlukan rawatan berkesan yang disesuaikan dengan keperluan dan keadaan khusus individu." Jika fobia anda telah menguasai hidup anda, sebaiknya berjumpa doktor untuk mendapatkan bantuan.

Adakah setiap kali berfikir untuk naiki lif mencemaskan anda? (Foto: iStock/nicoletaionescu)

Secara umumnya, kata Koh, terapi yang disyorkan ialah terapi pendedahan, yang boleh melibatkan secara beransur-ansur mendedahkan anda kepada objek atau situasi yang anda takuti dengan cara yang selamat dan terkawal.

"Ini membantu pesakit mengetahui bahawa objek atau situasi yang ditakuti tidak semenakutkan seperti yang mereka fikirkan, dan boleh membantu mereka mengatasi ketakutan mereka," katanya.

Contohnya, jika anda takut menaiki lif, anda boleh mulakan dengan hanya memikirkan tentang menaiki lif. Seterusnya, anda melihat gambar lif dan teruslah maju berfikir untuk mendekati lif, serta akhirnya melangkah untuk benar-benar menaikinya.

Apabila anda selesa dengan semua itu, anda boleh menaiki lif untuk satu tingkat, kemudian ke beberapa tingkat dan akhirnya, menaiki lif yang sesak dengan manusia. 

Dalam sesetengah kes, ubat-ubatan seperti perencat serotonin selektif mungkin boleh diberikan untuk menangani simptom-simptom ini, kata Dr Lim.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini. 

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement