Diabetes bukan lagi penyakit golongan tua, huraian baru diperlukan untuk tanganinya
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) Malaysia – yang dijalankan setiap empat tahun – kadar penyakit kencing manis atau diabetes meningkat dari 11.2 peratus pada 2011 kepada 13.4 peratus pada 2015 dan terus kepada 18.3 peratus pada 2019.

KUALA LUMPUR: Apabila R. Kumaran, 70, disahkan menghidap diabetes kira-kira 35 tahun lalu, dia tidak begitu terkesan mengenainya.
Dia tidak begitu kisah tentang kesihatannya dan terus mengamalkan beberapa tabiat buruk, termasuk minum minuman manis seperti Coca-Cola.
Hanya pada tahun 2010 apabila stent dimasukkan ke jantungnya dia mula mengambil serius keadaan kesihatannya.
“Saya masih muda dan berkeras ketika itu. Saya tidak mahu menerimanya. Saya tidak mengendahkan apa yang doktor beritahu saya dan tidak menjaga diri saya sendiri,” katanya kepada CNA di rumahnya di Kuala Lumpur.
Pada masa itu, ia sudah agak lewat. Hanya tiga tahun kemudian, kaki kanannya terpaksa dipotong selepas mengalami komplikasi kesihatan.
Hari ini, Encik Kumaran, yang pernah bekerja dalam industri insurans, lebih suka minum air suam. Dia juga mengukur tahap gula darahnya dengan lebih tekun serta mengambil dua suntikan insulin setiap hari.
Encik Kumaran yang menggunakan kerusi roda merupakan seorang daripada sekitar 3.9 juta orang di Malaysia yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Jumlah ini tidak termasuk mereka yang dipercayai menghidap penyakit itu tetapi masih belum didiagnos.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) Malaysia – kajian yang dijalankan setiap empat tahun – penyakit diabetes meningkat daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 13.4 peratus pada 2015 dan kepada 18.3 peratus pada 2019. Tiada perangkaan terbaharu boleh didapati secara terbuka buat masa ini.
Ini bermakna hampir satu daripada setiap lima orang dewasa Malaysia adalah mereka yang menghidap diabetes.
Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa, kelaziman diabetes dalam kalangan orang dewasa di Singapura ialah 14.9 peratus manakala Thailand mempunyai kadar kelaziman sebanyak 11.6 peratus.
Peningkatan bilangan pesakit kencing manis di Malaysia adalah salah satu sebab Kementerian Kesihatan baru-baru ini melancarkan kempen di Putrajaya untuk mengurangkan pengambilan gula – antara beberapa langkah yang diambil sejak beberapa tahun ke belakangan ini bermula dari 1990-an.
Semasa pelancaran kempen terbaru pada Ahad (29 Okt), Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata banyak kajian telah membuktikan kaitan antara pengambilan gula secara berlebihan dengan pelbagai jenis penyakit termasuk diabetes.
Beliau menambah bahawa kos rawatan diabetes sahaja melibatkan sekitar RM4.38 bilion (AS$920 juta) setahun pada 2017, berbanding RM2.04 bilion pada 2011.
“Pertambahan bilangan pesakit akan membebankan ekonomi dan kewangan negara. Ini secara langsung menjejaskan tahap produktiviti tenaga kerja negara,” katanya.
Beberapa pakar kesihatan memberitahu CNA bahawa mereka menjangkakan kelaziman diabetes akan meningkat pada masa hadapan terutamanya di kalangan golongan muda, lantas risiko kesihatan awam utama yang boleh memberi lebih banyak tekanan ke atas sistem jagaan kesihatan negara.
Mereka berkata bahawa perlu ada lebih tumpuan kepada kempen pendidikan dan kesedaran tentang penyakit itu. Perlu juga diambil langkah-langkah seperti mencegah pengambilan minuman manis, seperti yang diambil di Singapura di mana bungkusan-bungkusan minuman memaparkan tahap kandungan gula di dalamnya.

PUNCA DIABETES DI MALAYSIA
Diabetes berlaku apabila pankreas tidak dapat menghasilkan insulin atau apabila tubuh tidak lagi dapat menggunakan insulin yang dihasilkan, lantas mengakibatkan lebihan glukosa dalam darah.
Terdapat dua jenis diabetes - jenis satu dan jenis dua.
Dalam diabetes jenis satu - juga dikenali sebagai diabetes juvana - badan tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi yang diperlukan.
Dalam diabetes jenis dua, glukosa darah yang berlebihan biasanya disebabkan oleh ketidakupayaan badan untuk bertindak balas sepenuhnya terhadap insulin atau "hambatan insulin".
Dr Ikram Ismail, presiden Diabetes Malaysia, berkata daripada semua kes diabetes di Malaysia, kira-kira 95 peratus adalah diabetes jenis dua; di mana adanya pengaruh genetik dan faktor gaya hidup seperti diet dan kurang kegiatan fizikal.
“Orang ramai biasanya lebih aktif sebelum ini. Mereka bekerja di ladang, dan mereka tidak menggunakan kereta begitu kerap. Mereka lebih aktif, dan diet mereka lebih sihat,” tambahnya.
“Mereka tidak makan terlalu banyak makanan segera dan disebabkan itulah penyakit kencing manis berlaku lebih lewat. (Dahulu) mereka yang menghidap diabetes hanyalah mereka yang berumur 60 tahun, manakala ada juga yang langsung tidak menghidap diabetes sepanjang hayat mereka."
Gejala diabetes antaranya termasuklah kekerapan membuang air kecil, penglihatan kabur, luka yang lambat sembuh dan penurunan berat badan yang mendadak, kata Dr Ikram. Pertubuhan yang beliau pimpin bertujuan membantu para penghidap diabetes menjalani kehidupan yang sihat dan produktif.
Kemunculan serangga semut dalam mangkuk tandas adalah satu lagi tanda diabetes, tetapi menurut Dr Ikram, jika ini berlaku ia mungkin sudah terlambat.
Beliau menambah bahawa diabetes boleh mengakibatkan komplikasi utama antara lainnya seperti penyakit buah pinggang dan jantung, strok, mata buta, dan kerosakan saraf.
Dalam kes diabetes yang teruk ia boleh mengakibatkan kaki perlu dipotong atau menyebabkan pesakit perlu menjalani dialisis.
“Malangnya, diabetes adalah perkara biasa di Malaysia hari ini. Ia meningkat jauh melebihi dari apa yang dijangkakan,” kata Dr Ikram kepada CNA.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Khor Xin Yun memberitahu CNA bahawa diabetes adalah penyumbang terbesar kepada kegagalan buah pinggang di Malaysia.
Beliau berkata antara para pesakit baharu yang memerlukan dialisis di Malaysia tahun lepas, 52 peratus adalah disebabkan oleh diabetes.
"Ini telah menjadi trend menyeluruh sejak 10 tahun lepas," katanya, sambil menambah bahawa rawatan dialisis dalam persekitaran peribadi boleh menelan kos sehingga RM50,000 setahun kepada seorang pesakit.
Beliau berkata bilangan orang baharu yang memerlukan dialisis juga telah meningkat daripada 6,700 orang pada 2012 kepada 9,600 orang tahun lepas.

LEBIH RAMAI PESAKIT MUDA
Ejen hartanah sambilan Siti Nazmalinda, 38, hanya menyedari dia menghidap diabetes tiga tahun lalu apabila dia jatuh sakit dan mendapatkan rawatan di klinik.
Ibu kepada tiga anak berusia sembilan hingga 13 tahun itu disahkan menghidap penyakit itu dengan bacaan glukosa darahnya direkodkan pada 27mmol/L.
Tahap glukosa darah melebihi 15mmol/L dianggap terlalu tinggi manakala paras gula darah normal (ketika tidak berpuasa) boleh meningkat kepada 7.8 mmol/L.
“Doktor memberitahu saya bahawa saya bertuah kerana telah ke klinik. Dia memberitahu saya bahawa kebanyakan orang dengan bacaan itu sudah tidak sedarkan diri,” katanya kepada CNA.
Bimbang dengan keadaannya, lebih-lebih lagi kerana anak-anaknya masih kecil, Cik Siti telah mengambil langkah mengawal pengambilan makanan dan bersenam secara intensif.
Selain suntikan insulin, dia berpuasa secara berselang-seli dan cuba melakukan pergerakan sekurang-kurangnya 10,000 langkah setiap hari. Kini beratnya telah turun daripada 90kg tiga tahun lalu kepada kira-kira 73kg sekarang.
Paras glukosa darahnya masih tinggi pada masa-masa tertentu, tetapi pada tahap yang lebih terurus sekarang.
Selain kumpulan media sosial di mana dia berkongsi pengalamannya dalam melawan diabetes, Cik Siti juga mendapat motivasi daripada keluarga dan rakan-rakannya.
“Malah anak saya yang berusia sembilan tahun akan bertanya sama ada saya telah mencapai 10,000 langkah sehari. Ia membantu apabila anda mempunyai orang yang menyokong anda dalam perjalanan ini,” katanya.

Walaupun tiada angka yang tepat, pakar-pakar kesihatan melaporkan secara anekdot bahawa adanya lebih ramai pesakit diabetes muda seperti Cik Siti.
Ketua Pegawai Eksekutif NKF Cik Khor juga menyatakan bagaimana terdapat peningkatan dalam kalangan mereka di bawah umur 45 tahun yang memerlukan dialisis, membentuk 21.3 peratus pesakit tahun lepas, satu peningkatan daripada 19 peratus pada 2012.
Beliau berkata, pengesanan awal dan pematuhan kepada pengambilan ubat adalah penting supaya penyakit itu dapat diuruskan, dan boleh mencegah berlakunya penyakit buah pinggang.
Pakar kesihatan awam Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia memberitahu CNA bahawa diabetes dijangka menimbulkan beban lebih berat kepada sistem jagaan kesihatan pada masa hadapan.
Seperti pakar kesihatan lain, beliau berkata terdapat lebih ramai anak muda yang disahkan menghidap penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular (CVD).
"Sebelum ini, saringan kesihatan yang disyorkan adalah untuk mereka yang berumur 40 tahun. Tetapi mungkin ada keperluan untuk menurunkan usia itu kepada 30 tahun kerana ada orang yang boleh terkena diabetes dan darah tinggi (hipertensi) pada usia yang jauh lebih muda," katanya.
Dr Sharifa berkata wang yang dibelanjakan untuk merawat diabetes - kira-kira 13 peratus daripada bajet Kementerian Kesihatan - mungkin lebih baik dibelanjakan untuk perkara-perkara lain.
“Angka ini juga hanya untuk diabetes dan tidak termasuk komplikasi lain yang disebabkan oleh diabetes seperti kegagalan buah pinggang, CVD, dan strok. Kesan diabetes berlipat kali ganda, dan semua kos ini membebankan kerajaan,” katanya.
Laporan Ogos 2022 mengenai kos penjagaan kesihatan langsung NCD oleh Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyatakan beban kesihatan dan ekonomi NCD boleh dijangka bertambah buruk dari masa ke semasa.
"NCD akan terus membentuk bahagian besar perbelanjaan kesihatan negara," tegas laporan itu yang mendapati bahawa jumlah kos jagaan kesihatan secara langsung bagi tiga kategori NCD terpilih -diabetes, penyakit kardiovaskular dan barah - dianggarkan berjumlah RM 9.65 bilion pada 2017.
Itulah sebabnya diagnosis dan rawatan awal adalah penting, kata Dr Ikram, sambil menambah bahawa paras gula darah tinggi boleh menyebabkan kerosakan serius pada organ, yang lebih membebankan bagi golongan muda.
"Dengan semakin ramai mereka yang menghidap diabetes pada usia yang jauh lebih muda – iaitu usia lewat remaja dan awal 20-an - ini bermakna mereka mesti hidup dengan penyakit itu untuk tempoh yang lebih lama, mengakibatkan lebih banyak komplikasi dan kualiti hidup yang lebih rendah," tambahnya. .
Dr S. Innthirani, pengerusi Diabetes Malaysia Kuala Lumpur memberitahu CNA bahawa bagi setiap kes diabetes yang didiagnosis, satu lagi kes pula tidak didiagnosis.
Beliau menambah bahawa terdapat banyak salah tanggapan tentang diabetes seperti bahawa ia hanya memberi kesan kepada orang yang lebih tua, dan seseorang itu tidak akan mendapatnya jika dia tidak mengambil banyak gula.
“Orang ramai perlu sedar ia bukan sekadar soal gula tetapi juga jumlah karbohidrat yang diambil seseorang.
“Ramai anak muda lebih terdedah kerana ramai yang makan di luar lewat tengah malam sambil menonton perlawanan bola sepak di kedai-kedai Mamak 24 jam. Mereka kembali dan kemudian tidur. Itu satu isu,” kata Dr Inthinrani, bekas doktor di sebuah klinik kerajaan.
Mengenai soal ujian, Dr Innthirani yang telah menubuhkan kumpulan sokongan rakan sebaya untuk para pesakit penyakit itu berkata bahawa seseorang tidak seharusnya hanya bergantung kepada ujian glukosa darah (dengan berpuasa) untuk mengetahui sama ada mereka menghidap diabetes.
“Anda tidak boleh hanya melakukan ujian gula darah (dengan berpuasa) dan gembira dengannya. Anda juga harus mengukur diri anda selepas makan untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat,” katanya sambil menambah bahawa ujian toleransi glukosa HbA1c dan oral juga berguna untuk menguji penyakit itu.
MELENGAHKAN DIABETES
Semasa pembentangan bajet 2024 pada 13 Okt, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan duti eksais ke atas minuman pracampuran manis daripada 40 sen seliter kepada 50 sen seliter.
Duti eksais telah diperkenalkan pada tahun 2019.
"Hasil daripada cukai ini akan digunakan untuk merawat diabetes dan menyokong pusat-pusat dialisis," kata Encik Anwar.
Tetapi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang telah menganjurkan "kempen mengurangkan gula" dalam kalangan orang ramai selama beberapa dekad memberitahu CNA bahawa kenaikan 10 sen itu tidak mencukupi dan ia mengharapkan peningkatan kuantum yang lebih besar.
“Orang ramai tidak akan merasai tekanan dengan kenaikan 10 sen dan mereka hanya akan terus sanggup membayar untuk membelinya. Cukai duti ini boleh dinaikkan sekurang-kurangnya 50 sen,” kata presiden CAP Mohideen Abdul Kadeer.
Encik Mohideen juga memberitahu CNA bahawa terdapat keperluan untuk menghapuskan harga siling gula yang dijual di dalam negara, yang dibataskan pada RM2.85 adalah antara yang paling murah di rantau ini.
"Terdapat banyak faktor yang menyebabkan diabetes tetapi gula memainkan peranan utama," katanya.

Encik Mohideen juga berharap Malaysia akan mengikut langkah Singapura yang mewajibkan label pemakanan pada minuman manis.
Pada Disember tahun lalu, Kementerian Kesihatan Singapura mengumumkan bahawa minuman bungkusan seperti minuman ringan, jus dan susu akan digredkan berdasarkan kandungan gula dan lemak tepu dalam minuman.
Label-label itu menggunakan kod berwarna empat kategori, dengan kategori D, misalnya adalah kategori kandungan tinggi bagi gula dan lemak.
Kementerian itu juga mengumumkan pada Ogos tahun ini bahawa kedai makanan dan minuman akan diwajibkan meletakkan label pemakanan pada menu mereka menjelang akhir 2023. Label-label itu untuk menunjukkan minuman yang mengandungi paras gula dan lemak tepu yang lebih tinggi.
Semua minuman itu termasuk minuman segera yang dibancuh di kedai-kedai kopi, minuman jus segar dan teh bebola.
Dr Sharifa, pakar kesihatan awam, juga percaya bahawa kenaikan cukai untuk minuman manis adalah langkah minimum dan mungkin tidak menghalang orang ramai daripada membeli minuman ini.
Beliau menegaskan bahawa kini terdapat kemasukan besar minuman-minuman manis ke dalam pasaran tidak seperti sebelumnya, dan ini juga menyumbang kepada gejala peningkatan diabetes.
Dr Sharifa percaya bahawa kerajaan perlu meningkatkan kesedaran tentang tabiat pemakanan yang baik dan kepentingan bersenam dalam kalangan remaja di sekolah.
Encik Kumaran bersetuju dengan Dr Sharifa dan berharap Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan akan bekerjasama untuk menyebarkan mesej tentang kehidupan sihat.
“Mesti ada kesedaran tentang perkara ini di sekolah-sekolah. Sebaik-baiknya usaha ini haruslah dimulakan dari peringkat usia muda lagi,” katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.