Jangan selalu kurang tidur, ia boleh menaikkan risiko barah, kata pakar
Masalah kurang tidur yang kronik, mungkin kerana tekanan, tugas atau gejala susah tidur apnea obstruktif - boleh menyebabkan kita mudah terdedah kepada bahaya penyakit barah.

SINGAPURA: ika anda kerap mengalami masalah sukar tidur atau imsonia, berikut adalah maklumat yang tidak menyedapkan: Penyakit barah semakin dikaitkan oleh pakar-pakar sebagai antara banyak gejala penyakit berpunca daripada masalah kurang tidur. Selain penyakit-penyakit seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis (diabetes), berat badan berlebihan (obesiti) dan kemurungan - anda juga perlu berdepan dengan bahaya Barah.
Kajian yang dijalankan oleh YouGov 2022 ke atas lebih 1,000 penduduk Singapura mendapati bahawa 73 peratus responden melaporkan waktu tidur kurang tujuh jam setiap malam. Lebih 30 peratus hanya mendapat lima hingga enam jam waktu tidur. Ini jauh di bawah purata global, malah kenaikan sebanyak 44 peratus sejak 2018.
Menurut satu lagi kajian terbaru ResMed mengenai trend tidur global, penduduk Singapura sekali lagi didapati menghadapi masalah kurang tidur. Antara lapan daripada 10 responden melaporkan satu atau lebih gejala gangguan tidur yang berkaitan dengan mutu tidur mereka. Penyebab paling biasa tidur terganggu adalah gejala apnea tidur obstruktif (81 peratus).

BAGAIMANAKAH TIDUR DAN BARAH BERKAIT
Sama ada masalah kekurangan tidur yang kronik disebabkan oleh apnea tidur obstruktif, insomnia atau tekanan, semuanya bukanlah tidak petanda yang baik.
Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Cancer, mereka yang tidur kurang daripada enam jam setiap malam menghadapi risiko barah 41 peratus lebih tinggi daripada mereka yang tidur enam hingga lapan jam setiap malam. Nah, bagi anda yang perlukan alasan untuk tidur pada siang hari, tidakkah untuk mencegah barah sudah cukup alasan terbaik bagi anda?
Menurut kajian, individu yang tidak tidur siang menghadapi risiko barah 60 peratus lebih tinggi daripada mereka yang kerap tidur siang selama lebih satu jam sehari.
Para penyelidik juga mendapati bahawa peserta kajian yang tidur kurang daripada tujuh jam secara keseluruhan mempunyai risiko barah 69 peratus lebih tinggi daripada mereka yang tidur tujuh hingga lapan jam sehari.
Ini semua amat berkaitan dengan jam atau sistem kawalan badan kita atau apa dipanggil irama sirkadian, yang mengawal tidur dan pelbagai fungsi penting lain, kata pakar psikiatri Dr Wong Sheau Hwa, yang mengendalikan SH Wong Sleep & Psychological Wellness Clinic di Pusat Perubatan Mount Elizabeth.
Tidur yang kurang baik menjejas irama sirkadian anda, katanya, yang boleh meningkatkan pengeluaran hormon tekanan badan dan menyebabkan tekanan oksidatif yang merosakkan tisu dan sel. Ia kemudiannya memulakan tindak balas berantai yang boleh membawa kepada keradangan kronik dan akhirnya, mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk sel-sel barah terus membiak.
Bagaimanapun, kaitan antara keadaan kurang tidur yang kronik dan barah adalah "kompleks" dan "belum difahami sepenuhnya", kata Dr Wong.

"Masa tidur merupakan tempoh apabila pembaikan sel DNA berlaku dan gangguan tidur boleh membawa kepada pengumpulan mutasi genetik, yang menggalakkan pertumbuhan barah," kata Dr Wong. "Selain itu, tidur yang kurang baik juga menyebabkan imuniti terjejas kerana sistem kekebalan kita menjadi kurang berkesan dalam mengesan dan menghapuskan sel-sel barah."
Mereka yang kerap bekerja syif malam antara kumpulan orang yang dikhuatiri kepada bahaya barah. Ini kerana "pendedahan kepada cahaya semasa bekerja syif semalaman selama beberapa tahun boleh mengurangkan tahap melatonin, menggalakkan barah berkembang", demikian menurut Johns Hopkins Medicine.
JENIS BARAH TERBABIT
Beberapa barah seperti barah payudara, kolon, ovari dan prostat, menurut pusat Johns Hopkins, antara jenis-jenis barah yang berkait dengan masalah kurang tidur. Barah hati dan paru-paru juga boleh juga dimasukkan ke dalam senarai barah berkaitan kurang tidur.
Dalam kajian 10 tahun di Taiwan ke atas lebih 63,000 pesakit, didapati bahawa risiko barah hati dan paru-paru meningkat dalam kalangan mereka yang mengalami gangguan tidur yang tidak dikaitkan dengan masalah apnea.
Satu lagi kajian mendapati pendedahan kepada cahaya pada waktu malam boleh meningkatkan risiko barah payudara.
"Kebanyakan penyelidikan mengenai tidur dan risiko barah payudara adalah berkaitan dengan kerja syif dan faktor yang berkaitan dengan pola tidur yang terganggu, seperti pendedahan kepada cahaya tidak dijangka pada waktu malam," kata Profesor Charlie Zhong, saintis utama penyelidikan epidemiologi di Persatuan Barah Amerika.
Prof Charlie turut mengungkapkan kesukaran untuk menetapkan secara muktamad kesan sebenar kaitan antara cahaya malam dengan penyakit barah. Menurutnya: "Cahaya yang terpancar daripada alat-alat peranti mudah alih (telefon bimbit, misalnya) boleh mengganggu tidur. Namun, teknologi ini dan cara kita menggunakannya semakin berubah dengan cepat sehingga sukar untuk dikaji sejauh mana kesan jangka panjangnya ke atas kesihatan, termasuk yang melibatkan barah".
Bagi Dr Wong, beliau memang ketemu para pesakit yang menghidap pelbagai jenis barah seperti barah kolon, payudara, prostat, paru-paru dan pankreas yang mendapatkan rawatan di klinik tidurnya.
BAGAIMANA KURANGKAN RISIKO
Dr Wong berkata kaitan gejala kurang tidur dengan barah mungkin satu bidang yang masih belum diketahui sepenuhnya. Walau apapun, kurangnya waktu tidur tidak membantu dalam mencegah barah.
“Tubuh kita seolah berjalan dalam kitaran 24 jam yang dikawal oleh irama sirkadian, dengan proses fisiologi tertentu berlaku pada tempoh tertentu dalam sehari 24 jam.
“Tidur merupakan sebahagian besar daripada proses ini. Oleh itu, sebarang gangguan semasa tempoh tidur biasa, akan mengganggu proses tertentu yang berlaku pada tubuh kita,” kata beliau.
Tetapi bagaimana jika kita memang tidak boleh mengelakkan diri daripada bekerja giliran syif? Adakah terdapat cara lain untuk mengurangkan risiko barah? Selain tidur, diet dan senaman adalah tonggak kesihatan lain yang perlu diperhatikan, kata Dr See Hui Ti, perunding kanan Jabatan Perubatan Onkologi Pusat Barah Parkway.
Sebagai contoh, pemakanan yang sihat dan seimbang boleh mengurangkan risiko barah, kata Pusat Penyelidikan Barah UK. Tetapi manfaat semua itu bukan boleh diraih dengan mengambil diet "makanan super" yang boleh melawan barah sebagaimana yang didakwa sesetengah iklan.
"Pemakanan anda keseluruhannya (yakni apa yang biasanya anda makan dalam mingu-minggu biasa), adalah lebih penting daripada satu-satu makanan tertentu (dalam soal mengenali punca barah),” kata laman web pusat penyelidikan itu.
Kegiatan bersenam dan aktiviti fizikal memang dikaitkan dengan risiko barah yang lebih rendah untuk beberapa jenis barah, termasuk barah payudara, prostat, kolon, endometrium dan mungkin juga, barah pankreas, menurut Persatuan Barah Amerika.
Aktiviti fizikal boleh membantu mengawal beberapa hormon yang menyumbang kepada pertumbuhan barah dan dalam membantu mengekalkan sistem imun yang sihat.

BAGAIMANA TERLALU BANYAK TIDUR BOLEH PENGARUHI RISIKO BARAH?
Terdapat kajian yang menyatakan terlalu banyak tidur sebenarnya boleh meningkatkan risiko barah seperti barah kolorektal. Bagaimanapun, Dr Wong agak sangsi dengan kajian sedemikian. Katanya, persoalan bahawa gejala terlalu banyak tidur boleh meningkatkan bahaya barah, masih lagi perkara yang tidak difahaminya sepenuhnya.
“Kajian itu menyebut bahawa pemerhatian yang dibuatnya belum membuat sebarang kesimpulan selengkapnya, sambil berkata kajian lebih lanjut dan khusus masih diperlukan. Kajian sebegini sebenarnya tidak meneliti hubungan sebab-akibat. Pemerhatian kajian hanya melihat kepada kaitan (sesuatu gejala kepada sesuatu penyakit) sahaja.”
Dr Wong menjelaskan bahawa mungkin juga boleh berlaku kekeliruan analisis. Sebagai contoh, pesakit yang terlibat mungkin sudah pun menghidap barah yang belum didiagnosis. Ini pula mungkin menyebabkan gejala tidak spesifik seperti keletihan, yang kemudian mengakibatkan si pesakit tidur terlalu lama.
"Satu lagi teori adalah kemungkinan terlalu banyak tidur boleh menyebabkan gangguan dalam metabolisme dan fisiologi hormon. Ini pula membawa kepada masalah keradangan kronik."
BAGAIMANA PULA BARAH MEMPENGARUHI TIDUR?
Terapi barah selalunya ditetapkan dengan penggunaan ubat anti-loya atau anti-alergi, kata Dr See Hui Ti, perunding kanan Jabatan Perubatan Onkologi Pusat Barah Parkway. Ubat-ubatan tersebut, katanya boleh dikaitkan dengan insomnia atau mungkin juga menjejaskan tahap hormon yang boleh mengakibatkan insomnia. Kadangkala, kemoterapi boleh menjejaskan selera makan pesakit dan fenomena ini dikaitkan dengan tidur yang kurang baik, kata Dr See.
Penyelesaiannya? “Kadang-kadang, saya mengesyorkan akupunktur atau perubatan tradisional Cina. Kadangkala, kita juga bekerjasama dengan pakar psikologi dan psikiatri untuk menentukan sama ada terdapat sebarang kemurungan yang mendasari,” katanya. Dalam hal begini, pesakit digalakkan untuk mengongsi isu-isu mereka dengan kaunselor dalam menentukan sebarang kebimbangan asas yang mungkin menjejaskan mutu tidur mereka.
"Jika semua itu tidak berfungsi dengan baik, kami akan mempertimbangkan penggunaan magnesium atau melatonin. Dan jika ia masih tidak berkesan, maka kita akan menyarankan ubat-ubat tidur yang tidak menyebabkan ketagihan. Pengambilan jangka pendek ubat-ubat sedemikian biasanya disarankan sebagai pilihan terakhir."