Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Tanah runtuh, banjir dan cuaca buruk: Sejauh mana Malaysia selamat dilawati semasa tengkujuh?

Tragedi tanah runtuh dekat Genting Highlands menimbulkan persoalan sama ada aktiviti luar di Malaysia sesuai pada musim sebegini. CNA meninjau risiko dan pilihan lain kepada para pelawat. 

Tanah runtuh, banjir dan cuaca buruk: Sejauh mana Malaysia selamat dilawati semasa tengkujuh?

Tanah runtuh melanda tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali dekat Genting Highlands pada 16 Disember 2022. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

JOHOR BAHRU: Musim tengkujuh tahunan di Malaysia kebelakangan ini diiringi dengan kejadian maut yang berkaitan dengan keadaan cuaca. 
 
Pada Disember 2021, hujan lebat selama dua hari menyebabkan salah satu banjir terburuk di Malaysia, dengan pihak kerajaan dan pakar-pakar cuaca menyifatkannya sebagai satu kejadian yang berlaku "sekali dalam seratus tahun". 
 
Banjir tersebut, yang menjejaskan penduduk di sembilan negeri, menyebabkan lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal dan 54 orang meninggal dunia. 

Kejadian tanah runtuh pada 16 Disember yang melanda tapak perkhemahan berhampiran Genting Highlands meragut 31 nyawa. 

Walaupun pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian, pakar-pakar ekologi berkata bahawa terdapat kemungkinan besar bahawa cuaca hujan menyebabkan tanah menjadi tidak stabil.   
 
Tiga pelancong Singapura adalah antara 61 mangsa yang berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Malaysia. 
 
Menurut data daripada Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, ketibaan pelancong antarabangsa biasanya memuncak pada bulan November dan Disember setiap tahun, dan ini serentak dengan permulaan monsun timur laut tahunan. 
 
CNA mendapatkan pandangan para pakar dan penggiat industri pelancongan untuk mengetahui jika keadaan masih selamat bagi para pengunjung yang mahu melibatkan diri dalam aktiviti luar seperti perkhemahan, meredah hutan dan sukan air semasa musim hujan. 
 
Selain itu, para pemerhati ini juga menekankan beberapa langkah berjaga-jaga yang perlu diambil semasa musim hujan. 

APA ITU MONSUN TIMUR LAUT?  

Monsun timur laut tahunan biasanya berlangsung dari November hingga Mac setiap tahun, menurut Pakar Kaji Cuaca Profesor Azizan Abu Samah dari Universiti Malaya. 

Beliau memberitahu CNA bahawa fenomena tahunan itu dicetuskan oleh udara sejuk yang bertiup dari Siberia, lantas mewujudkan tekanan dan peralihan arah angin di hemisfera utara. 

Pelancong mengunjungi ladang buah-buahan di Desaru pada Disember 2022. (Foto: CNA/Fatihah Kamaruddin)   

Ini menyebabkan angin kencang mula bertiup dari arah timur laut, lalu menyebabkan hujan lebih lebat di beberapa kawasan di negara-negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Thailand, Malaysia dan Singapura, kata Prof Azizan. 
 
Di Malaysia, kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas adalah daerah pantai timur Semenanjung Malaysia, iaitu negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, serta negeri-negeri Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak. 
 
Bagaimanapun, Prof Azizan berkata bahawa, disebabkan fenomena La Nina, seluruh Malaysia dijangka mengalami hujan lebih lebat daripada biasa pada tahun ini. 
 
"Keadaan tahun ini agak teruk. Bermula sekarang hingga Februari depan, kita boleh menjangkakan lebih banyak hujan. Lebih daripada biasa bagi tempoh masa sebegini," tambah pakar kaji cuaca itu.     
 
Beliau menekankan bahawa hujan lebat sebegini boleh mengakibatkan lebih banyak ribut petir, banjir dan malah kejadian tanah runtuh di seluruh negara.

ELAK BERKHEMAH DAN MEREDAH HUTAN 

Jelas Prof Azizan, hujan lebat membuatkan tanah di kawasan-kawasan cerun menjadi lebih lembab, dan ini melonggarkan tanah tersebut lalu mencetuskan runtuhan.
 
Kejadian tanah runtuh 16 Disember lalu di tapak perkhemahan yang tidak berlesen di Father's Organic Farm, mungkin diburukkan lagi oleh hujan, menurut beliau. 

Tanah runtuh yang melanda tapak perkhemahan berhampiran Father's Organic Farm (kiri) di Malaysia pada 16 Disember 2022. (Foto-foto: Facebook/Father's Organic Farm, CNA/Fadza Ishak)

Tragedi itu telah mendorong beberapa negeri untuk menggantung aktiviti perkhemahan dan meredah hutan, termasuk Selangor, Johor dan Pahang. 
 
Jabatan Perhutanan Negeri Johor dalam kenyataan menegaskan bahawa semua taman eko dan trek pendakian di negeri itu akan ditutup sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan. 
 
"Penutupan ini adalah langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini atau kemalangan semasa musim tengkujuh," menurut kenyataan itu. 
 
Roslee Muhammad, seorang jurupandu meredah hutan yang berpangkalan di Johor yang merancang aktiviti pendakian dan perkhemahan, memberitahu CNA bahawa beliau menegah sesiapa sahaja, termasuk pelancong, daripada melakukan aktiviti itu semasa musim tengkujuh. 
 
"Jika anda lihat apa yang berlaku di tanah runtuh Batang Kali (dekat Genting Highlands), ia menyedihkan tetapi boleh dielakkan. Mereka berkhemah di kaki bukit yang kelihatannya tidak stabil," kata Encik Roslee, yang menggantung pakej-pakej aktiviti luar ditawarkannya antara Oktober hingga Mac setiap tahun.
 
"Aktiviti mendaki, meredah hutan atau perkhemahan di kawasan luar semasa musim tengkujuh, terutamanya di kawasan berbukit, adalah risiko yang tidak patut diambil. Keselamatan patut diutamakan," tambahnya.   
 
Encik Roslee berkata walaupun pada waktu bukan musim tengkujuh, beliau akan tetap mencadangkan bahawa para pelancong memeriksa ramalan dan amaran cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia untuk melihat jika keadaan selamat untuk meneruskan aktiviti berkenaan. 
 
"Jika cuaca diramalkan hujan – biasanya ramalan bagi tempoh 48 jam adalah lebih tepat – kami biasanya memberi amaran kepada para pelanggan kami supaya mereka tahu," kata jurupandu yang berpengalaman selama 11 tahun itu. 

CARA JAUHI BANJIR

Banjir juga biasanya berlaku pada musim tengkujuh. Pada hujung minggu lalu, hujan lebat mencetuskan banjir yang menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor.   
 
Pakar pelancongan Jeetesh Kumar, yang juga seorang pensyarah kanan di Universiti Taylor's di Malaysia, memberitahu CNA bahawa para pelancong perlu berwaspada terhadap banjir di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia pada musim tengkujuh. 
 
"Keselamatan patut diutamakan terlebih dahulu. Elakkan kawasan pantai timur kerana ia mudah dilanda banjir dan lakukan aktiviti dalam bangunan sahaja," kata Dr Kumar.   
 
Azhari Zalkapli, yang mengendalikan sebuah syarikat pelancongan di Terengganu, memberitahu CNA bahawa banjir hujung tahun di negeri-negeri pantai timur kini sudah "dijangkakan". Katanya, perjalanan ke kawasan terbabit sebaik-baiknya dielakkan. 

Cuaca hujan dan mendung di sebatang jambatan di Sungai Johor. Jambatan Sungai Johor merupakan jambatan lebuh raya yang merentasi Sungai Johor di Lebuh Raya Senai-Desaru E22 di Johor, Malaysia. (Foto: CNA/Fatihah Kamaruddin)

"Bagi pelancong yang datang ke pantai timur semasa musim tengkujuh akhir tahun, mereka biasanya berada di sini untuk membeli-belah, makan dan melakukan aktiviti dalam bangunan. Mereka menginap di kawasan bandar dan tidak memasuki zon banjir," kata Encik Azhari.   
 
"Tetapi bagi pelancong yang memandu kenderaan sendiri untuk perjalanan jauh, sebaik-baiknya elakkan kawasan pantai timur pada tempoh waktu ini. Dengan sekelip mata sahaja, anda boleh terperangkap dalam hujan lebat dan kereta anda akan dikelilingi air bah," tambahnya.   
 
Beliau mencadangkan bahawa pelancong yang masih mahu melakukan perjalanan jauh di jalan raya agar memandu di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia sahaja dan hanya menggunakan lebuh raya utama. 

Menurutnya lagi, kawasan-kawasan di barat Johor, Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang biasanya selamat untuk memandu kenderaan.   
 
"Jalan-jalan raya kampung lebih mudah dilanda banjir. Jadi elakkannya atau anda mungkin akan terperangkap," kata pengendali syarikat pelancongan berusia 32 tahun itu.

SUKAN AIR SEMASA TENGKUJUH

Malaysia juga merupakan destinasi pelancongan popular bagi peminat sukan air seperti selam skuba, bersnorkel dan mengunjungi pulau-pulau. Beberapa kawasan laut air jernih terletak di pantai timur, seperti di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tioman.   
 
Bagaimanapun, kebanyakan hotel dan agensi pelancongan di pulau-pulau ini ditutup sepenuhnya pada musim tengkujuh kerana ia menyebabkan arus menjadi deras dan laut bergelora, lalu menjadikan aktiviti di laut tidak selamat. 
 
Melibatkan diri dalam aktiviti sebegini, walaupun pada waktu bukan musim tengkujuh, juga boleh dianggap sebagai tindakan berisiko tinggi. 
 
Pada April lalu, empat warga asing hilang selepas menyelam dekat Pulau Tokong Sanggul di Johor. Tiga daripada mereka berjaya diselamatkan tetapi seorang remaja lelaki warga Belanda berusia 14 tahun tidak berjaya ditemui.   
 
Bagaimanapun pakar kaji cuaca Prof Azizan menekankan bahawa para pelawat masih boleh melakukan sukan air di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia. 
 
Beliau berkata perairan dekat pulau-pulau seperti Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi biasanya tidak terjejas oleh monsun timur laut. 
 
"Kawasan pantai barat (Semenanjung Malaysia) masih selamat. Saya berada di Pulau Pangkor baru-baru ini dan kawasan perairannya sangat nyaman," kata Prof Azizan.   
 
Namun, ejen pelancongan Terengganu Encik Azhari memberi amaran bahawa para pelancong perlu mengelakkan aktiviti sukan air di sepanjang pantai timur sehingga bulan April.

Aktiviti luar seperti meluncur atas air boleh digantikan dengan aktiviti lain seperti membeli-belah semasa musim tengkujuh di Malaysia. (Foto: CNA/Fatihah Kamaruddin)

"Saya tahu ada beberapa pelancong yang masih datang dan mereka meluncuri air dekat Desaru (Johor), Cherating (Pahang) dan Dusun (Terengganu) kerana terdapat ombak tinggi pada waktu itu," kata Encik Azhari. 

"Ini berbahaya kerana cuaca boleh berubah secara tiba-tiba. Anda perlu memiliki pengalaman yang cukup untuk berupaya kembali ke pantai sebelum terperangkap dalam ribut petir," tambah beliau.   
 
Walaupun aktiviti-aktiviti luar boleh mendatangkan bahaya, pakar pelancongan Dr Kumar tetap berpendapat bahawa para pelancong tidak sepatutnya dihalang daripada melawat Malaysia semasa musim tengkujuh. 
 
Beliau berkata pihak agensi pelancongan dan malah para pelancong sendiri perlu mempunyai pelan kecemasan sekiranya hujan. Mereka boleh melakukan aktiviti lain seperti melawat muzium dan pusat budaya atau membeli-belah. 
 
Dr Kumar berkata Genting Highlands dan pusat-pusat peranginannya adalah contoh destinasi popular semasa cuti sekolah pada hujung tahun kerana sebahagian besar kawasannya terletak dalam bangunan dan terdapat pelbagai aktiviti yang disajikan seperti taman-taman hiburan, medan selera dan pusat membeli-belah. 

Membeli-belah menjadi pilihan baik untuk menggantikan kegiatan luar semasa musim tengkujuh di Malaysia. (Foto: CNA/Fatihah Kamaruddin)

"Pada hujung tahun, tempat-tempat yang menawarkan aktiviti lain yang baik (sebagai ganti sukan luar) biasanya sesak dengan pengunjung," kata Dr Kumar. 
 
"Kelebihan Malaysia ialah produk-produk gantian sudah tersedia. Aktiviti pelancongan boleh dialihkan daripada satu aktiviti ke aktiviti lain. Jika tiada aktiviti sukan air atau meredah hutan, terdapat aktiviti lain seperti berkunjung ke pusat kebudayaan dan membeli-belah," tambah beliau.    

Walaupun keadaan cuaca pada umumnya kurang baik, Dr Kumar berkata ini bukanlah masanya bagi para pelancong untuk tidak melawat Malaysia. 
 
Beliau berkata industri pelancongan, yang terkesan teruk sepanjang tiga tahun lalu akibat pandemik COVID-19, perlu membuat para pengunjung berasa lebih yakin. 
 
"Kita telah mengelakkan banyak perkara akibat COVID-19. Kini, kita harus membuat para pelancong berasa lebih yakin bahawa negara kita selamat dikunjungi," tambah beliau.  

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai  sejauh mana undang-undang boleh kekang empayar niaga vape di Malaysia. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/am(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement