Kenali warisan: Generasi muda Baba Nonya di Australia tidak mahu lupakan asal usul mereka
Adakah menjadi Peranakan membawa maksud yang sangat berbeza bagi masyarakat Baba dan Nonya yang telah berpindah ke Australia? Bagi sebahagiannya mengenali warisan bersama memberi mereka suatu yang berharga – semangat kemasyarakatan.
MELBOURNE: Glenda Chi masih ingat pada suatu pagi di mana dia tidak dapat mengingati rasa laut kari yang pernah dimasak neneknya.
"Saya cemas," kata anak kelahiran Melaka berusia 48 tahun itu, yang berpindah ke Melbourne bersama keluarganya ketika berusia 14 tahun. “Saya terpaksa mencarinya di buku resipi. Saya juga menelefon ibu.”
Selepas menemui resipinya, Glenda pergi membeli bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat hidangan itu. "Tidak lama kemudian, saya pun menggemari muzik keroncong, dan seluruh rumah kami berbau seperti dapur nenek saya," katanya. "Saya rasa seperti, 'wah, saya masih boleh mengingati semua itu.'"
Seperti kebanyakan pendatang, identiti budaya Glenda - sebagai seorang nyonya – terpaksa diketepikan sedang dia membesar di rumah angkatnya. “Pada masa itu, saya tidak sabar untuk menjalani kehidupan baharu,” katanya.
“Perkara (tentang identiti) Peranakan tidak timbul dalam fikiran saya. Ia lebih kepada gaya hidup baharu, untuk menetap di Australia, dan untuk menjadi warga Australia.”
Tetapi apabila dia rasa kehilangan kenangan zaman kanak-kanaknya yang berharga — suatu yang menjadi ikatan teras dengan warisannya — walaupun untuk buat seketika pada tahun 2021, ia sudah cukup menyedarkan Glenda bahawa dia perlu melakukan lebih banyak lagi untuk mengekalkan warisannya.
Dia tahu bahawa dia perlu mengekalkan budayanya untuk generasi baharu Peranakan yang berada jauh dari rumah nenek moyang mereka.
Ibu bapanya, Alfred Chi dan Soo Neo Tan, sudah pun menjadi ahli Persatuan Peranakan Australia (PAA), Melbourne (Melb) — persatuan yang diasaskan bersama Alfred pada 2008 — tetapi Glenda tidak begitu aktif terlibat.
Kebanyakan ahlinya adalah pesara (80 peratus berusia lebih 60 tahun), dan perhimpunannya pada hari Ahad, lebih banyak memenuhi keperluan sosial golongan tersebut dengan aktiviti seperti tarian baris dan latihan koir.
Oleh itu, Glenda berusaha untuk memikat generasi muda mereka yang berketurunan nyonya dan baba.
TONTON: Peranakan di Australia — Bagaimana kami menemui identiti nyonya kami sebagai masyarakat pendatang. (14:39)
Menyedari bahawa mereka sering mempunyai rancangan lain untuk hujung minggu, dia mula mengadakan sesi makan bulanan pada malam hari bekerja serta sesi panel untuk anggota muda dan tua berbual tentang budaya mereka dan apa yang mereka mahu belajar mengenainya.
“Kami rasa senang kalau hanya lima atau enam orang (yang datang), tetapi akhirnya kita mempunyai kira-kira 15 orang. Dan (pada pertemuan) kedua, kami mempunyai kira-kira 30 orang,” katanya mengenai perjumpaan bulanan kasual itu.
Hari ini, Glenda mengetuai cabang NextGen PAA (Melb). "Kami mahu mendengar dari mereka yang dilahirkan di sini dan tidak tahu bagaimana menggunakan bahasa Peranakan," katanya. “Bagaimana mereka boleh mengenali diri mereka sebagai Peranakan?”
KAITAN DENGAN KEBAYA
Lebih sedekad sebelum itu, ibu bapa Glenda, Alfred dan Soo turut tertarik dengan idea untuk menyatukan komuniti Peranakan di Melbourne.
Selepas mereka tiba di Melbourne pada tahun 1990, mereka hampir tidak mempunyai hubungan dengan anggota masyarakat Peranakan yang lain untuk selama 18 tahun. Hubungan mereka dengan masyarakat Peranakan hanyalah apabila mereka melawat Malaysia.
Di dalam rumah mereka di Melbourne, barangan antik Peranakan — daripada porselin halus hingga perabot kayu yang diukir tangan — dan masakan Soo membuatkan mereka sentiasa menjalin ikatan dengan warisan budaya mereka.
Tetapi di luar, mereka hanyalah sebuah lagi keluarga pendatang Asia yang mencari tempat mereka di negara baharu. “(Budaya kami) terpaksa mengambil tempat di belakang,” kata Alfred, 85. “Kami (terpaksa) mengamalkan budaya baharu kerana kami berada di tempat baharu.”
Semua itu berubah berkat pakaian kebaya, blaus yang biasa dipakai oleh wanita di Asia Tenggara dan digunakan sebagai pakaian tradisional Peranakan.
Alfred dan Soo pernah dikunjungi mendiang Peter Wee — pemilik Rumah Antik Katong — yang ketika itu merancang untuk mengadakan pameran pakaian Peranakan di Melbourne. Alfred dan Soo yang membantu perancangannya kemudian diperkenalkan kepada Margaret de Silva, seorang nyonya dari Singapura yang juga tinggal di Melbourne.
Sejurus mereka bertiga bertemu, terus mereka berbual dalam bahasa Melayu Baba (dialek yang bercampur dengan pengaruh bahasa Melayu, Hokkien dan Inggeris). “Kami mungkin tidak kenal satu sama lain. Namun dalam pertemuan itu, kami seolah-olah seperti berada di tanah air sendiri. Dari situlah kami menjalin hubungan antara satu sama lain,” kata Margaret, 65, yang berpindah ke Melbourne pada 1990.
Mereka kemudian bersama-sama mengumpulkan lagi 20 orang keturunan Peranakan lain untuk menyokong pameran tersebut, seperti meminjamkan barangan untuk dipamerkan dan menawarkan diri untuk menjadi model pakaian kebaya semasa pembukaan pameran.
Atas cadangan Peter, Alfred, Margaret dan beberapa orang Peranakan lain memutuskan untuk memulakan persatuan di Melbourne. Ia agar pertemuan sekali sekala itu boleh berubah menjadi ikatan yang berkekalan.
MENEROKA IDENTITI, MENCABAR KEASLIAN
Selama bertahun-tahun, PAA telah mengalu-alukan anggota-anggota baharu dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan Thailand. Di luar Melbourne, Victoria, terdapat persatuan Peranakan di Australia Barat dan New South Wales; Pertiwi, sebuah persatuan Peranakan Indonesia, juga mempunyai ahli di Australia.
Golongan Peranakan yang lebih tua tertarik kepada PAA (Melb) kerana mereka boleh "merasa lebih dekat dengan rumah".
Bagi Peranakan yang lebih muda pula, mereka sebaliknya lebih berminat untuk meneroka identiti budaya mereka yang sebenar, sambil mempelajari lebih lanjut mengenai asal usul mereka, kata Glenda.
Antaranya ialah Deborah Ong, yang berpindah dari Singapura ke Melbourne untuk pengajian sarjana muda ketika berusia 18 tahun.
Bersendirian dan jauh dari hidangan Peranakan masakan rumahnya ketika kecil, Deborah belajar memasak; minatnya itu yang mendorong beliau untuk menjadi tukang masak profesional apabila dia mula bekerja sambilan di restoran.
Semasa kecil, dia sedar bahawa dia adalah Peranakan. Tetapi ia bukanlah sesuatu yang sering diperkatakan oleh keluarganya, dan Deborah merasakan dia hanya berada di pinggiran identitinya sebagai Peranakan.
“Seperti kalau anda tidak dapat berbahasa Melayu, anda mungkin menjadi cukup ‘Peranakan’; begitu juga kalau anda tidak pernah menumbuk sambal di dapur ketika masih kecil,” kata wanita berusia 38 tahun itu.
Penghijrahan membuatkan dia berfikir lebih mendalam tentang identitinya: Di Melbourne, dia sering ditanya dari mana dia berasal.
“Saya akan katakan Singapura, dan mereka seperti terpinga, 'Oh, maksud anda?' atau bertanya seperti, 'Adakah anda orang Cina?' Dan kemudian saya beritahu mereka, 'Nah, sebenarnya, saya Peranakan,'" kata Deborah.
Mereka akan bertanya lagi, ‘Apa maksud apa?’ Dan dari situlah anda berhenti dan tertanya-tanya, ‘Ya, apakah maksudnya (untuk menjadi seorang Peranakan)?’”
Dia membaca lebih lanjut tentang sejarah Peranakan dan, lama-kelamaan, menjadi lebih yakin tentang identitinya sebagai seorang nyonya — dan juga sebagai seorang pendatang dari Singapura.
"Apabila saya mula-mula datang, saya sentiasa meminta maaf kerana loghat saya 'pelik,'" katanya. "Tetapi apabila anda semakin tua, anda seperti, 'Inilah saya.' Dan apabila saya yakin dengan itu, ... (saya akan) mencari di mana kedudukan saya dalam masyarakat Peranakan."
James Seow, yang berpindah dari Singapura ke Australia pada 2010, juga berasa lebih bebas untuk meneroka warisan Peranakannya dengan cara-caranya yang tersendiri sebagai seorang pendatang.
"Pada satu sudut, kita terasa sebarang beban, tiada jangkaan apa-apapun tentang bagaimana saya harus meraikan jati diri saya, bagaimana untuk meraikan hari-hari kebesaran atau pesta tertentu,” katanya. “Makanan yang kita makan atau masak mungkin sedikit berbeza, tetapi adakah ia mengurangkan (semangat) Peranakan kita?”
Glenda berpendapat: “Ia tidak menjadikan anda kurang Peranakan jika anda tidak menari atau menyanyi atau bertutur bahasanya atau melakukkan amalan-amalan tradisionalnya. Ini kerana menjadi seorang Peranakan adalah mengenai bagaimana kita boleh mengenali budaya Peranakan. Kita juga dapat menjiwai semangat Peranakan itu.”
Pada bulan Mei, Glenda dan PAA (Melb) menganjurkan pameran budaya Peranakan di Muzium Sejarah Cina Australia Melbourne untuk meraikan ulang tahun ke-15 persatuan itu, dengan membawa budaya mereka itu lebih dekat lagi kepada khalayak ramai.
"Kami telah wujud selama 15 tahun yang lalu, dan kami masih mengalu-alukan orang ramai, jadi kami mahu mempromosikannya. Tetapi kami juga mahu mengekalkan sejarah kami dan menceritakan kisah tentang siapa kami,” kata Glenda.
Persoalan "siapa kita" adalah persoalan yang terus berkembang. Glenda, Deborah dan James berharap budaya Peranakan di Australia tidak lagi menyentuh tentang soal keaslian apa itu Peranakan. Ia sebaliknya haruslah tertumpu kepada nilai-nilai yang menjadikan budaya Peranakan itu unik.
Bagi Deborah, menjadi seorang Peranakan adalah untuk menyesuaikan diri, sebagaimana yang dilakukan nenek moyang mereka apabila mereka meninggalkan China dan menetap di kepulauan Melayu dan Indonesia pada abad ke-15. Langkah mereka telah dapat menggabungkan budaya masyarakat Cina mereka dengan adat orang Melayu, Indonesia dan Eropah menerusi perkahwinan mereka dengan wanita tempatan.
"Perkara tentang ‘keaslian yang tulen’ amatlah sangat terikat dengan nostalgia masing-masing. Ada kalanya apa yang perlu anda buat adalah dengan menyesuaikan diri (di tempat baharu masing-masing),” kata Deborah. “Ia seperti makanan masakan Peranakan itu sendiri, kan? Dan itulah sebabnya kita hari ini menikmati pelbagai jenis hidangan Peranakan.”
Akur dengan pandangan itu, James pulan menyatakan bahawa citra Peranakan adalah kisah mengenai satu "penghijrahan dan integrasi".
"Persoalannya ialah: Bagaimana kita boleh meraikan semangat itu dengan cara yang merangkumi orang lain?" katanya. "Ia bukan sahaja tentang meraikan warisan kita, ia juga tentang memahami budaya lain dan mewujudkan ruang untuk dialog mengenainya."
Ahli PAA yang lebih tua seperti Margaret menyedari keperluan untuk perubahan dan pada masa yang sama berbangga dengan peranan mereka sebagai "wikipedia" untuk generasi baru Peranakan di Australia.
“Budaya harus berkembang. Ia tidak akan mati, tetapi ia mungkin kelihatan seperti sesuatu yang lain,” kata Margaret, yang memakai kebaya dan sarung untuk ke gereja setiap minggu. “Cucu saya akan digelar ‘possum’ Peranakan kerana mereka bakal dilahirkan di Australia.”
Hidup di Australia telah mendedahkan masyarakat Peranakan kepada banyak budaya lain, dan banyak lagi yang perlu dipelajari daripada mereka, kata Alfred. Beliau menyebut tentang kekagumannya terhadap kekayaan budaya dan sejarah Orang Asli Australia. "Kami boleh belajar lebih banyak lagi sebagai sebuah masyarakat," katanya.
Glenda menambah: “Kita tidak perlu menjadi seorang ‘peranakan menerusi ikatan darah sahaja’. Kita tidak semestinya dibesarkan mengikut acuan ‘Peranakan’. Jika kita mengenalinya, jika kita berhubung dengan budaya Peranakan, kita mahu berhubung dengan semua mereka (yang bergelar Peranakan). Dari situlah penghayatan mengenainya semakin mendalam.”
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.