Kalau dahulu segan dengan latar belakang Peranakannya, kini wanita Nyonya ini mahu kongsinya dengan orang ramai
Untuk mengekalkan warisannya sebagai seorang keturunan Peranakan, Angeline Kong mengadakan bengkel sulaman tradisional dan kerajinan manik masyarakatnya. Kong menceritakan kisah hidupnya membesar sebagai rakyat Singapura yang mempunyai latar belakang Peranakan Baba Nyonya.

SINGAPURA: Ketika Angeline Kong memasuki sekolah rendah pada tahun 1970-an, beliau terpaksa memilih bahasa Ibunda. Sebagai anak kecil yang dibesarkan dalam rumah tangga keturunan Baba dan Nyonya atau Peranakan, pilihannya adalah jelas, iaitu Bahasa Melayu.
Mentalah lagi, itulah bahasa yang dipertuturkan di rumah bersama ibu dan Mahmahnya (nenek dalam bahasa Melayu Baba).
Namun, ibunya menolak pemilihan tersebut. Dia beritahu Kong walaupun mereka tidak berbahasa Mandarin, Kong harus belajar bahasa tersebut di sekolah untuk merapatkan lagi dirinya dengan sebahagian daripada warisannya itu.
"Sebahagian besar usia saya membesar, saya menjadi keliru,” kata Kong. “Sebabnya, walaupun saya seorang Cina, saya juga agak adalah Melayu – saya campuran antara kedua-duanya, yang menjadikan saya Peranakan. Tetapi itu juga membuatkan saya berasa (bukan Cina atau pun Melayu).”

Kong menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya di Toa Payoh dan Ang Mo Kio, di mana dia dibesarkan bersama dua adik lelaki dalam keluarga yang diketuai oleh seorang ibu yang tegas dan seorang nenek yang lebih tegas lagi. Ayahnya meninggal dunia ketika dia berumur tiga tahun.
"Mahmah saya akan sentiasa memberitahu saya, ‘cu, jangan lupa bahawa kamu adalah Peranakan'," kata Kong.
Takut untuk bertanya apa maksudnya kerana takut dimarahi, Kong cuba memahami apa yang dimaksudkan sebagai Peranakan dengan memerhatikan orang tuanya.


MEMUTIK CINTA BUDAYA PERANAKAN MELALUI MANIK
"Ketika saya berumur 30 tahun, sedang saya bersiap untuk alam perkahwinan," kata Kong. "Saya tiba-tiba terfikir, 'Bagaimana jika saya memakai pakaian adat Peranakan untuk perkahwinan saya?'
"Sepanjang remaja dan awal 20-an, saya tidak akan memakai kebaya melainkan untuk majlis-majlis istimewa seperti Tahun Baru Cina," katanya. “Tetapi untuk majlis perkahwinan saya, hati saya tertumpu pada pakaian perkahwinan tradisional dan suami saya yang bukan Peranakan menghormati kehendak saya.
"Malangnya, saya tidak gagal mendapatkan pakaian yang sangat rumit yang dibuat khas di Malaysia untuk perkahwinan saya pada 1997," katanya.
Pada ketika itulah, demi menebus apa yang dia terlepas semasa perkahwinannya, Kong memberi perhatian lebih teliti terhadap perincian pakaian tradisional Peranakan.
Dalam mencipta kasut manek dan mempraktikkan karya seni manik, saya dapat lihat kisah-kisah dan nilai-nilai (masyarakat Peranakan).
Dia sangat tertarik dengan kasut manek, kerana dia perasan bagaimana nenek dan ibunya akan sentiasa memakainya. Dia berazam untuk mempelajari seni kraf itu.
Dia kebetulan ternampak dalam sebuah majalah di mana Bebe Seet, pakar fesyen Peranakan, dipaparkan bersama kelas sulaman dan maniknya.
"Ia adalah satu anugerah,” kata Kong. “Hari itu sendiri, saya menghubungi nombor yang disertakan dalam artikel itu dan

Dipakai secara tradisional oleh para Nyonya untuk memaparkan nilai-nilai sabar, ketelitian terhadap perincian dan daya tahan, kerajinan manik menjadi cara peribadi bagi Kong menjalin kaitan dengan masa lalunya dan mempamerkan warisannya.
"Ibu saya dan Mahmah berkongsi banyak cerita dan nilai Peranakan dengan saya dan adik-beradik saya semasa kami membesar," katanya. "Dalam mencipta kasut manek dan mempraktikkan kerajinan tangan seni manik, saya juga dapat melihat cerita dan nilai itu."

JATUH CINTA PADA BUDAYA PERANAKAN
Dalam masa lapangnya ketika tidak bekerja, Kong menghadiri acara dan program oleh Persatuan Peranakan Singapura, di mana dia bertemu dan menjalin persahabatan dengan anggota Peranakan lain.
Berinteraksi dengan mereka yang berkongsi warisan sama menggerakan lagi hatinya – ia membuatkan Kong kurang berasa keseorangan, malah berasa dia ada kaitan dengan orang lain.
Pada tahun 1999, di salah satu acara persatuan itu, dia bertemu dengan mendiang Peter Wee, yang dikenali sebagai Baba Peter kepada masyarakat Peranakan. Beliau adalah pemilik Katong Antique House, sebuah rumah kedai yang berubah menjadi muzium khusus untuk budaya Peranakan, di East Coast Road.

Dalam masa yang singkat, kedua-duanya menjadi kawan rapat dan dia mula menghabiskan lebih banyak masa di muzium Katong itu. Di situ beliau membuat demonstrasi kerja manik dan sulaman, membimbing lawatan untuk menerangkan bahan-bahan yang dipamerkan. Malah beliau juga memperagakan pakaian sarung kebaya Nyonya. Wee pula menjadi figura seorang bapa kepada Kong.
Kong berkata: "Melalui kemurahan hati, penglibatan dalam komuniti dan semangat untuk memelihara warisan tradisional, Baba Peter banyak mengajar saya tentang apa yang dimaksudkan sebagai Peranakan - tanpa beliau mengeluarkan apa-apa kekata.”

Di Katong Antique House, setiap bilik dan sudut dipenuhi dengan barangan tradisional Peranakan yang pernah dibeli dan dikumpulkan Wee selama beberapa dekad.
Sebahagian daripada barangan antik itu dibeli di lelongan di Pulau Pinang dan Melaka, manakala sebahagian lagi dikumpul oleh Wee daripada keluarga Peranakan di Singapura yang berhijrah tetapi tidak dapat membawa semua barangan mereka.
Kecintaan Kong terhadap budaya Peranakan semakin memuncak sehinggakan walaupun rumahnya di Jurong dan jauh dari East Coast Road, jarak itu tidak menjadi masalah baginya. "Apa yang lebih penting adalah saya boleh melakukan apa yang saya suka," katanya.
Kini, Kong kini tinggal 10 minit dari Katong Antique House bersama suaminya selama 26 tahun.

Kong amat terasa kehilangan warga tua masyarakat Peranakan yang telah meninggal dunia: Ibunya, pada 2008; Wee, pada 2018 dan Mahmahnya pada 2019.
“Golongan tua ini membuatkan saya berasa bangga menjadi Peranakan, dan lebih yakin sebagai seorang insan,” katanya. "Mereka juga mengajar saya nilai yang saya perlukan untuk mengharungi kesusahan hidup."
"Saya sangat merindui mereka," katanya. "Oleh kerana saya menghabiskan hari bekerja di pejabat, setiap hujung minggu pula saya meluangkan masa di Katong Antique House untuk berkongsi tentang budaya dan kerja kraf kami - ini adalah cara untuk saya mengekalkan legasi, cerita dan kenangan mereka."

"Ramai orang bertanya apa yang saya rasa jika suatu hari nanti rumah ini tiada lagi," katanya. "Saya fikir ia adalah sesuatu yang menyedihkan. Namun, walaupun saya suka mengekalkan warisan, saya faham bahawa tiada apa yang benar-benar kekal, oleh itu tidak mengapa."
Mengekalkan warisan Peranakan boleh dilakukan dengan bermacam cara yang berbeza selain daripada meneruskan kerajinan tangan dan menjaga barangan antik. "Selagi orang tahu tentang sejarah mereka, kadangkala itu sudah mencukupi," kata Kong.
Walaupun dia tidak mempunyai anak sendiri, Kong mempunyai anak-anak saudara yang disampaikan kepada mereka apa yang pernah Kong terima daripada Mahmahnya: "Sentiasa ingatlah bahawa kamu adalah Peranakan".
"Apa yang boleh dilakukan oleh kita yang masih di sini adalah untuk terus melakukan apa sahaja yang kita mampu lakukan untuk mengekalkan tradisi kita," katanya. "Lepas itu, apa yang boleh kita harapkan adalah agar sesuatu yang terbaik dicapai pada masa depan.”
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pengalaman dan cabaran perniagaan restoran nasi padang Hjh Maimunah di Singapura.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.