Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Lebih banyak kegiatan budaya, mudah akses untuk tarik pengunjung ke Kampung Gelam

Ia adalah sebahagian daripada pelan pembangunan sebuah perikatan masyarakat dan para peniaga Kampung Gelam hasil konsultasi dengan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Lebih banyak kegiatan budaya, mudah akses untuk tarik pengunjung ke Kampung Gelam
Pengunjung ke Kampung Gelam boleh menjangkakan lebih banyak aktiviti kebudayaan, ruang hijau dan akses yang lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang.

SINGAPURA: Pelawat ke Kampung Gelam boleh menjangkakan lebih banyak aktiviti kebudayaan, ruang hijau dan akses yang lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam satu kenyataan pada Ahad (9 Julai), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan sebuah perikatan Kampung Gelam Alliance menyatakan kegiatan kemasyarakatan, acara pesta, majlis perkahwinan dan persembahan berpotensi diadakan di Sultan Gate di bawah pelan pembangunan lima tahun bagi kawasan tersebut. 

Untuk memaparkan identiti unik kawasan itu sebagai khazanah warisan, budaya dan seni, lebih banyak karya seni awam akan dipamerkan. Ini termasuk seni pemasangan pada September dan lukisan mural setinggi tiga tingkat yang menggambarkan Kampung Gelam pada masa silam, yang juga dijangka siap pada bulan yang sama.

Turut dalam rancangan adalah kalendar dalam talian yang menyelitkan acara-acara penting di Kampung Gelam. Satu perjumpaan kejiranan juga dirancangkan dua kali setahun.

Semua perkembangan yang dirancangkan itu adalah sebahagian daripada pelan pembangunan Kampung Gelam Alliance, sebuah perikatan penduduk, institusi kebudayaan dan masyarakat peniaga di kawasan tersebut. 

Pelan itu menyusuli perundingan awam selama dua bulan mengenai masa depan kawasan itu yang dijalankan menerusi konsultasi dengan URA.

Kampung Gelam yang terkenal sebagai pusat  tekstilnya pada tahun-tahun 70an, kini masih  menempatkan perniagaan yang menjual fabrik dan corak-corak tradisional. Ia juga terkenal kerana menjual produk yang digunakan untuk majlis-majlis  keagamaan termasuk bahan-bahan wangian tanpa alkohol, (seperti minyak atar). Penduduk tempatan dan pelancong juga berkunjung ke Kampung Gelam untuk merasai makanan tradisional.

MEMASTIKAN PERNIAGAAN DAPAT BERTAKAT 

Kedai-kedai dalam kawasan ini adalah gabungan perniagaan tiga generasi dan syarikat-syarikat pemula dan yang baru muncul. Mereka menawarkan pelbagai perkhidmatan, makanan dan minuman serta kegiatan membeli-belah, demikian kata Encik Zaki Ma'arof, anggota Kampung Gelam Alliance. 
 

Antara rancangan untuk memastikan perniagaan berdaya maju ialah skim perantisan, di mana usahawan muda akan digandingkan dengan perniagaan veteran untuk mempelajari dagangan tradisional termasuk tekstil, minyak wangi buatan tangan dan barangan kraf Parsi.

Inisiatif untuk menyegarkan semula apa yang disediakan di Kampung Gelam sambil mengekalkan jati dirinya sebagai tempat bersejarah disambut baik oleh para perniaga di kawasan itu.

"Saya ingin melihat lebih banyak kedai batik, saya ingin melihat lebih banyak kedai kebaya, saya mahu melihat lebih banyak kedai baju kurung atau lebih banyak makanan dan minuman di restoran, seperti makanan dan hidangan tempatan," kata Cik Ratianah, pemilik kedai kebaya yang menggunakan namanya sendiri. 

Kedai-kedai di Kampung Gelam adalah gabungan perniagaan tiga generasi dan syarikat-syarikat pemula dan syarikat yang baru muncul.

LEBIH MUDAH  DIAKSES

Menurut para peniaga di situ, walaupun perniagaan mereka menghasilkan "pulangan yang besar", mereka menghadapi cabaran-cabaran seperti kenaikan sewa yang terbesar (pernah mereka hadapi), kata Encik Zaki. Terdapat juga maklum balas daripada orang ramai mengenai kekurangan tandas dan tempat letak kereta serta kemudahan lain seperti mesin ATM, katanya.
 

Perikatan itu juga sedang mengkaji untuk menjadikan Kampung Gelam lebih mudah diakses, dengan menambahkan lorong berbasikal dan meningkatkan perkongsian maklumat mengenai tempat letak kenderaan yang tersedia.

Menggariskan perincian pelan pembangunan itu, Menteri Negara bagi Pembangunan Negara Faishal Ibrahim berkata Kampung Gelam memang dekat di hati ramai orang sebagai kawasan yang kaya dengan warisan dan pelbagai tradisi. Beliau berharap kawasan tersebut akan dapat mengekalkan "wataknya yang  tersendiri" untuk tahun-tahun akan datang.

"Untuk berbuat demikian, kita perlu menegaskan semula nilai-nilai murni masyarakat dan terus meraikan kekayaan warisan Melayu dan Islam kawasan tersebut sambil mengalu-alukan kepelbagaian etnik yang lebih luas," kata Dr Faishal yang juga penasihat Kampung Gelam Alliance. 

Menurut beliau dengan semua pihak yang menaruh kepentingan bekerjasama dan bersatu hati, mereka akan dapat mengekalkan 'jiwa unik' kawasan Kampung Gelam. Ini juga akan memastikan bahawa Kampung Gelam sebagai sebuah pusat masyarakat, budaya dan perniagaan boleh terus berkembang pada masa depan. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.   

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai beban ketidaksuburan yang ditanggung sesebuah pasangan yang inginkan anak. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement