Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Beban ketidaksuburan biasanya terletak pada wanita: Bagaimana jurang ini dapat dirapatkan

Wanita sering memikul tanggungjawab yang lebih dan dipersalahkan atas isu ketidaksuburan.Bagaimana sang suami boleh membantu memudahkan perjalanan isteri, tanpa mengira hasil daripada rawatan kesuburan.

Beban ketidaksuburan biasanya terletak pada wanita: Bagaimana jurang ini dapat dirapatkan
Wanita sering merasa mereka lebih dipersalahkan apabila pasangan menghadapi masalah ketidaksuburan. (Gambar: iStock/PeopleImages)

SINGAPURA: Wanita seolah-olah dikehendaki menerajui – dan diharapkan dapat melakukannya – apabila berdepan dengan isu ketidaksuburan dan proses kehamilan sebagai pasangan.

Sama ada ketidaksuburan mereka disebabkan oleh faktor lelaki atau wanita, atau kedua-duanya, beban untuk berjaya mengatasinya jatuh pada isteri. Bukan sahaja dia perlu menanggung ketegangan fizikal dan emosi akibat rawatan kesuburan dan teknik pembiakan bantuan, dia juga sering berdepan dengan lebih banyak tekanan dan harapan daripada keluarga dan rakan-rakan.

I Love Children, sebuah agensi perkhidmatan sosial di Singapura yang menyokong kesihatan kesuburan, menemui situasi ketidakseimbangan ini di laman Facebooknya, dan pada program dalamannya sendiri.

Daripada 18,000 pengikut Facebook I Love Children, kira-kira 30 peratus adalah lelaki. Lelaki juga membentuk 10 peratus daripada 1,500 ahli kumpulan sokongan kesuburan agensi itu. Namun, hampir semua komen datang daripada wanita, terutamanya mereka yang berharap dapat hamil atau telah melalui pengalaman tersebut.

Walaupun apabila masalah berkaitan lelaki yang ditimbulkan – misalnya, masalah sperma – wanitalah merupakan pihak yang lebih proaktif dalam mencari jawapan.

Dalam menangani isu ketidaksuburan, wanita seolah-olah lebih berinisiatif mencari penyelesaian dalam proses kehamilan suami isteri. (Gambar: iStock / Pornpak Khunatorn)

Chryssie Tang, pengurus operasi I Love Children, berkata bagi acara semuka yang dianjurkannya, seperti seminar kesihatan kesuburan hibrid yang diadakan pada bulan Mac baru-baru ini, lebih daripada 70 peratus peserta adalah wanita.

Pada satu ceramah mengenai pemeriksaan kesuburan, Tang berkata beberapa wanita berkongsi bahawa mereka lebih bersuara daripada suami semasa menghadiri konsultasi perubatan, dari memulakan perbualan dengan doktor hingga memberi butiran mengenai isu-isu yang mereka berdua hadapi.

SEBAB-SEBAB KETIDAKSEIMBANGAN

Dr Liu Shuling, pakar kesuburan dan perunding kanan di jabatan perubatan reproduktif di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), memberi penjelasan tentang ketidakseimbangan itu.

Terdapat sebab-sebab biologi yang tidak dapat dielakkan, katanya. Wanita bertanggungjawab untuk menempatkan bayi di dalam badan mereka, jadi mereka selalunya mempunyai peranan yang lebih besar dalam rawatan kesuburan.

Tetapi oleh kerana wanita adalah satu-satunya individu yang boleh hamil, inilah yang menyebabkan mereka lebih banyak dipersalahkan – dan dipertanggungjawabkan – dalam kejayaan rawatan kesuburan pasangan. Justeru mereka memikul beban yang lebih berat daripada yang lain.

Sebaliknya, lelaki kadang-kadang menganggap diri mereka sebagai pembekal sperma semata-mata, yang berkemungkinan membuatkan mereka berasa lebih terpisah dari proses kehamilan, walaupun mereka memainkan peranan penting.

Apabila wanita menanggung terlalu banyak beban ketidaksuburannya, ia boleh membawa kepada lebih banyak kesedihan dan ketidakpastian dalam perjalanan suami isteri untuk menjadi ibu bapa. (Gambar: iStock/Filmstax)

“Walaupun mereka adalah pasangan penyayang dan menyokong sesama sendiri, kadang-kadang lelaki mungkin merasa ini adalah sesuatu yang hanya perlu dilalui oleh wanita secara lebih menyeluruh, sedangkan lelaki cuma pemerhati dalam keseluruhan proses itu,” kata Dr Liu.

Cara lelaki dan wanita menangani masalah juga berbeza. Dr Liu berkata bahawa wanita lebih cenderung untuk berbincang secara terbuka dan mencari penyelesaian untuk tekanan dan keresahan yang disebabkan oleh suatu masalah. Mereka juga bersifat terbuka untuk berkongsi keresahan mereka dengan orang lain. 

Sebaliknya, lelaki lebih suka menjaga pendapatnya sendiri serta mengelakkan konfrontasi. Mereka lebih cenderung dalam mencari cara-cara lain untuk melepaskan tekanan tanpa menangani masalah tersebut secara langsung.

KEDUA-DUA PASANGAN TIDAK SUBUR

Apabila Ivan, 33, dan Phoebe Lim, 33, berkahwin pada 2018, mereka menunggu beberapa tahun untuk memulakan sebuah keluarga. Tetapi setelah lebih setahun mencuba, mereka memutuskan untuk berjumpa doktor kesuburan. 

Perjalanan itu tidak mudah bagi pasangan ini tetapi ia lebih mencabar bagi Phoebe.

Dia berkata. "Walaupun masalah yang kami hadapi bukan hanya disebabkan oleh faktor wanita, tetapi gabungan kedua-dua pihak, saya berasa seolah-olah yang saya harus dipersalahkan."

Setiap kali pasangan itu memberitahu secara terbuka kepada rakan-rakan mengenai perjuangan mereka, orang akan beralih kepada Phoebe secara automatik. “Mereka akan bertanya kepada saya jika ada apa-apa yang saya telah lakukan untuk meningkatkan atau mengurangkan peluang kita untuk mendapatkan bayi, mereka secara tidak langsung akan mempersoalkan apa yang saya lakukan,” katanya. “Hanya kerana saya boleh mengandung bayi, tidak bermaksud pihak lelaki tidak boleh melakukan apa-apa.”

“Mempunyai kesedaran yang lebih baik adalah penting,” kata Ivan. "Apabila saya lebih menyedari kesihatan dan masalah kita, saya buat apa yang saya boleh untuk meningkatkan peluang kita untuk mendapatkan bayi, seperti memperbaiki pemakanan dan senaman saya. Lagipun, ini adalah bayi kami dan bukan kepunyaan isteri saya sahaja, jadi kami berdua mesti bekerja keras untuknya."

Pasangan lelaki biasanya menyokong isteri dengan berada di sisinya semasa rawatan dan menjalankan sebahagian besar tugas rumah tangga. Ini membantu mengurangkan tekanan isterinya dan membuatnya merasa kurang bersendirian, sambil membolehkan mereka menghadapi masalah ketidaksuburan ini sebagai satu pasukan.

"Saya menjalani rawatan perubatan, saya mendapat suntikan untuk persenyawaan in-vitro (IVF), saya mengambil banyak pil," kata Phoebe. "Tetapi suami saya telah mengambil alih tanggungjawab di rumah – dia melakukan semua kerja harian, dia menjaga rumah, malah menyertai saya apabila saya memberitahunya bahawa saya mahu membuat perubahan pada pemakanan saya untuk meningkatkan peluang untuk hamil."

Pada tahun 2022, berikutan kitaran IVF ketiga mereka, keluarga Lim telah menyambut kelahiran bayi lelaki mereka. Mereka juga menguruskan satu halaman Instagram @ ivfsingapore, yang membantu wanita dalam proses menangani ketidaksuburan mereka.

Collapse
Suami yang lebih terlibat akan menjadikan hubungan pasangan lebih kuat semasa menjalani proses kesuburan, tanpa mengira kejayaan rawatan. (Gambar: iStock/nattrass)

APA YANG BOLEH DILAKUKAN SUAMI ISTERI UNTUK SALING MEMBANTU

Berikut beberapa cadangan daripada Dr Liu Shuling dan dari risalah IVF oleh jabatan kerja sosial perubatan KKH mengenai bagaimana pasangan boleh mengekalkan hubungan mereka yang kuat dan utuh ketika menangani ketidaksuburan.

1. Berkomunikasi dengan pasangan anda tentang perasaan anda

Ketidaksuburan boleh menimbulkan pelbagai emosi seperti kesedihan, kekecewaan, rasa bersalah dan juga kemarahan – dan wanita lebih cenderung mengalami kemurungan ini dengan lebih mendalam. 

Dr Liu menasihatkan pasangan untuk meluahkan perasaan mereka secara sihat serta mendengar secara aktif tanpa menilai satu sama lain. Komunikasi yang terbuka dapat memupuk persefahaman, belas kasihan dan sokongan bersama dalam perjalanan yang mencabar ini.

2. Ketahui bagaimana setiap individu bertindak balas terhadap tekanan

Rawatan ketidaksuburan dan pergolakan emosi yang disertakan dengannya boleh menjadi tekanan, jadi adalah baik sekiranya suami isteri dapat memahami bagaimana pasangan mereka mengatasi tekanan, kata Dr Liu.

Sesetengah lebih suka berbincang mengenainya, sementara yang lain mungkin memerlukan ruang dan masa bersendirian. Mempelajari perbezaan ini boleh membantu anda dan suami menyokong satu sama lain dengan lebih baik dan mewujudkan persekitaran yang memenuhi keperluan pasangan anda.

3. Luangkan lebih banyak masa berkualiti antara satu sama lain

Ketidaksuburan boleh melemahkan kehidupan suami isteri, jadi adalah penting bagi pasangan meluangkan masa untuk satu sama lain apabila tidak ada janji temu dan rawatan perubatan. Dr Liu mengesyorkan supaya keluar berpacaran malam atau melakukan aktiviti yang anda berdua nikmati. 

Aktiviti-aktiviti ini dapat membantu mengukuhkan ikatan dengan pasangan anda, menggalakkan ketenangan, dan mengingatkan anda berdua tentang cinta dan kegembiraan yang anda kongsi di luar rawatan kesuburan.

4. Menetapkan matlamat yang sama sebagai sebuah keluarga

Berbincang dan menyelaraskan matlamat membina keluarga membolehkan pasangan mendekati masalah dengan lebih baik sebagai satu pasukan, kata Dr Liu. Bersikap terbuka tentang keinginan anda untuk mendapatkan anak kandung, anak angkat, atau dengan cara lain. Cari titik persamaan dan bekerjasama ke arah mencapai matlamat yang sama. 

Impian bersama ini boleh membantu pasangan menyokong satu sama lain dan membuat keputusan sebagai barisan bersatu, mengurangkan potensi konflik atau salah faham.

5. Mencari sokongan di luar selain daripada satu sama lain

Ketidaksuburan sememangnya mencabar, jadi mencari sokongan daripada orang lain yang telah melaluinya boleh membantu. Dr Liu mengesyorkan agar pasangan menyertai kumpulan sokongan, menghadiri sesi kaunseling, atau berhubung dengan pasangan lain dalam keadaan yang sama. 

Sokongan luaran menyediakan ruang yang selamat untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan pandangan dan mencari ketenangan dalam mengetahui bahawa anda dan pasangan tidak bersendirian dalam menghadapi isu-isu ketidaksuburan.

SUAMI YANG TIDAK SUBUR, BUKAN ISTERI

Audrey Woo, 39, dan Richard Dennis, 42, berkahwin pada 2018 dan bergelut selama bertahun-tahun sebelum memutuskan untuk mendapatkan bantuan kesuburan. 

Mereka mendapati bahawa ketidaksuburan mereka berpunca daripada faktor lelaki – Dennis tidak dapat menghasilkan jumlah sperma yang diperlukan untuk penghamilan.

“Ia menghancurkan saya – secara emosi, fizikal, mental,” katanya. “Keputusannya membuat saya begitu kecewa sampai ia meregangkan hubungan kami.”

Namun, setiap kali pasangan itu menyebut bahawa mereka tengah menjalani rawatan kesuburan, keluarga dan rakan-rakan akan menganggap ia adalah masalah wanita.  

"Orang di sekeliling kita sering bertanya bagaimana keadaan saya," kata Woo. "Mereka bertanya sama ada saya terlalu tertekan untuk hamil, sama ada saya makan ini atau melakukan perkara yang betul untuk mendapatkan bayi." 

Tiada siapa yang terfikir tentang ketidaksuburan lelaki – dan mereka juga tidak bercakap mengenainya secara terbuka," kata Dennis. "Ia sentiasa tertumpu pada isteri dan wanita, jadi kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan atau siapa yang boleh kami jumpa untuk berbincang selain daripada doktor kami, yang hanya memberikan nasihat perubatan. Ia sangat menyedihkan,” tambah beliau.

Jurang kesedaran isu ini telah mendorong Dennis untuk mula berkongsi masalah ketidaksuburannya dengan rakan-rakan, keluarga dan pengikut di media sosial. 

Beliau mewujudkan @raisingdennis di Instagram untuk mencatat perjalanan ketidaksuburan mereka, berkongsi ubat-ubatan, janji temu dan prosedur yang mereka alami di sepanjang jalan menuju ke arah keibubapaan. Ia juga merupakan platform untuk membolehkan lelaki lain berbicara secara terbuka pengalaman mereka sendiri tentang ketidaksuburan.

"Saya ingin berkongsi bahawa tiada masalah bagi lelaki bercakap mengenainya dan ia adalah perkara biasa bagi sesetengah daripada kami," kata Dennis. “Kita perlu menyokong satu sama lain dengan lebih baik.

Sikap keterbukaan Dennis telah mengurangkan beban dan tekanan pada isterinya, mengukuhkan ikatan mereka sebagai pasangan dan memupuk kepercayaan yang lebih besar di antara mereka. 

Pada tahun 2022, selepas melalui banyak prosedur perubatan, pasangan itu berjaya dalam proses IVF mereka melalui pendermaan sperma – tahun itu, mereka menyambut kelahiran anak perempuan mereka.

Collapse
Apabila berdepan dengan cabaran seperti ketidaksuburan, isteri dan suami perlu mengetahui dengan lebih lanjut cara masing-masing menyelesaikan isu bersama. (Gambar: iStock/Edwin Tan)

MENCARI KAEDAH MENGATASI PERGELUTAN BERSAMA

Dr Liu berkata adalah penting bagi lelaki untuk menghentikan tanggapan bahawa mereka hanyalah pembekal sperma, kerana peranan mereka dalam hubungan suami isteri adalah penting – dari segi perubatan, sosial dan emosi.

Beliau berkata: "Setiap pasangan adalah unik dan mungkin mempunyai perbezaan mereka tersendiri. Kuncinya adalah kedua-dua pihak memahami perbezaan ini, apa yang diperlukan setiap pihak untuk berasa terjamin, dan bagaimana pasangan dapat mengatasi ketidaksuburan secara bersama sebagai satu pasukan walaupun dengan adanya perbezaan.”

Apabila suami menunjukkan lebih banyak inisiatif dan hadir dalam setiap konsultasi di klinik kesuburan, Dr Liu perhatikan bahawa keputusan dapat dibuat dengan cepat dan lebih bijaksana. 

Proses rawatan ketidaksuburan akan menjadi pengalaman yang dilalui bersama sebagai satu pasukan, dan walaupun terdapat tekanan dan keresahan, pasangan biasanya akan berasa lebih tenang apabila mereka sehaluan dan sependirian mengenainya. 

Beliau menambah bahawa sesi konsultasi di mana terdapat suami yang tidak hadir, menyendiri, atau tidak proaktif boleh menyebabkan kelewatan yang lebih panjang dalam menerima rawatan kesuburan yang betul, di samping memberi tekanan dan ketidakpastian yang lebih tinggi pada isteri. Malah,  menimbulkan pelbagai kesukaran setiap pasangan dalam meneruskan usaha mereka untuk menjadi ibu bapa. 

Membuat keputusan yang berkesan dan tepat pada masa, sokongan emosi, dan tanggungjawab bersama daripada pihak perempuan dan lelaki adalah faktor penting yang menyumbang kepada kesudahan yang lebih indah serta pengalaman yang lebih lancar sepanjang proses rawatan kesuburan, kata Dr Liu.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai cabaran yang dihadapi dalam membuktikan penemuan tamadun tertua di Lembah Bujang, Kedah. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/lt(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement