Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Ribuan termasuk PM Anwar sertai perhimpunan menegaskan lagi sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin 

Perhimpunan pada hari Selasa adalah yang terbaru di Malaysia untuk menyokong perjuangan Palestin tetapi yang pertama kali dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ribuan termasuk PM Anwar sertai perhimpunan menegaskan lagi sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin 
Para hadirin perhimpunan di Arena Axiata, Kuala Lumpur, malam Selasa, (24 Okt) mengibarkan bendera-bendera Palestin. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

KUALA LUMPUR: Lebih 16,000 orang termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyertai  perhimpunan pada malam Selasa (24 Okt), untuk menegaskan sekali lagi sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin di tengah-tengah konflik berterusan di Timur Tengah yang meragut ribuan nyawa.

Para peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat termasuk pelajar, karyawan, pemimpin agama dan ahli-ahli politik, menyertai perhimpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di stadium tertutup Arena Axiata, di Kuala Lumpur.
 
Antara mereka ada yang berpakaian putih dan melaungkan sorakan agar Palestin diberi kebebasan. Mereka termasuk pereka grafik Anisah Zahirun, 23, dari Puchong, Selangor yang menyertai perhimpunan seorang diri.

Cik Anisah berkata dia sangat terkesan dengan apa yang berlaku di Gaza dan tidak sanggup menonton video dan berita konflik itu.

"Saya tertanya-tanya di mananya sikap kemanusiaan. Saya sangat takut untuk menonton berita kerana saya akan menjadi sangat goyah dan cemas," katanya kepada CNA.

Beliau berharap Malaysia akan dapat memberikan lebih banyak tekanan kepada masyarakat antarabangsa untuk menghentikan konflik buat selama-lamanya.

"Setiap kali Gaza dibom, akan muncul suara membuat bising. Tetapi selepas itu, semuanya senyap. Dan perkara yang sama berulang beberapa kali," katanya.
 
Perang Israel-Hamas tercetus selepas serangan rentas sempadan kumpulan militan Palestin pada 7 Okt yang membunuh kira-kira 1,400 orang di Israel.

Sejak itu, sekurang-kurangnya 5,000 rakyat Palestin terbunuh di tengah-tengah serangan udara besar-besaran Israel di Gaza, dengan serangan daratnya semakin hampir.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Sharifah Fatimatiz Zahra, 36 tahun, berkata dia mahu menyertai perhimpunan itu kerana dia tidak dapat bersama-sama berjuang dengan rakyat Palestin.

Cik Sharifah, yang berasal dari Negeri Sembilan, ke perhimpunan itu bersama suami dan dua anaknya.

Sharifah Fatimatiz Zahra mengibarkan bendera Palestin di luar Arena Axiata di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

Sebelum ini, beliau menyertai satu lagi perhimpunan  di Dataran Merdeka pada Ahad lepas, tetapi kecewa kerana terdapat banyak sekatan yang dikenakan ke atas para peserta seperti sepanduk yang bagaimana boleh dibawa ke acara itu.

"Saya harap saya tidak akan kecewa lagi. Tetapi apa yang lebih penting adalah rakyat Palestin haruslah diberi kebebasan," katanya.

Turut serta dalam perhimpunan Selasa itu, beberapa rakyat Palestin termasuk warga Palestin-Mesir Fayrouz Fahmy, 36, yang menghadiri perhimpunan bersama anak perempuan dan anak lelakinya.

Beliau berkata arwah bapanya adalah pelarian Palestin yang melarikan diri dari Palestin ke Mesir, manakala ibunya dari Mesir.

Cik Fayrouz menambah bahawa dia tidak pernah bertemu keluarga sebelah bapanya yang masih berada di Gaza walaupun dia telah berbual dengan mereka melalui telefon."Kami kini menghubungi mereka setiap hari untuk memastikan sama ada mereka masih selamat," katanya.

Cik Fayrouz Fahmy, warga Mesir-Palestin yang bapanya seorang pelarian di Mesir, sertai perhimpunan di Arena Axiata di Bukit Jalil. Dia menyeru untuk menghentikan semua pengepungan ke atas Gaza di mana beberapa saudara maranya masih tinggal di sana. 

Cik Fayrouz berkata dia masih menyimpan impian untuk pergi ke Palestin suatu hari nanti. Anak perempuannya dinamakan Yafa, nama purba bagi bandar yang kini dikenali sebagai Tel-Aviv, yang kini ibu kota Israel.

"Semua manusia harus bersama Palestin. Ia telah menyatukan seluruh dunia, kecuali beberapa negara yang berkuasa sekarang,” katanya. 

Walaupun kebanyakan peserta perhimpunan adalah Muslim, terdapat juga bukan Islam seperti Ketua Paderi Kuala Lumpur Julian Leow, yang berkata beliau ingin menyatakan perpaduan  dengan rakyat Malaysia yang lain terhadap konflik di Palestin.

“Sebagai seorang yang beragama, saya merayu agar peperangan ini dihentikan segera kerana setiap nyawa adalah berharga,” katanya kepada CNA, sambil menambah bahawa dia berharap bantuan yang diperlukan akan sampai kepada mangsa-mangsa peperangan. 

PERHIMPUNAN MENYOKONG PALESTIN

Perhimpunan pada Selasa itu adalah yang terbaru dalam siri perhimpunan yang berlangsung di Malaysia untuk menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin, walaupun ia adalah yang pertama yang dihadiri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Malaysia adalah sebuah negara yang sangat merdeka. Kami memutuskan sendiri apa yang betul. Kami fahami erti kebebasan dan kami bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka. Baik semalam, hari ini dan esok," kata Encik Anwar dalam perhimpunan itu.

Tambahnya, apa yang Malaysia mahukan adalah agar  rakyat Palestin dilayan sebagai manusia.

"Di mana keadilan? Di mana kemanusiaan? Di mana cita-cita demokrasi dan hak asasi manusia yang dibincangkan oleh Barat?

"Kita tidak meminta selebih dari itu. Kita mahu orang Arab, Palestin dan penduduk Gaza dilayan sebagai manusia. Tidak lebih, tidak kurang," kata Encik Anwar. 

Dalam perhimpunan pada 13 Okt, ribuan termasuk bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin bersama ahli-ahli politik dari segenap parti politik berkumpul di Masjid Negara,  Kuala Lumpur untuk menyuarakan bantahan-bantahan ke atas Israel.

Dr Mahathir juga antara kira-kira 1,000 orang yang berkumpul di luar Kedutaan Amerika Syarikat pada 20 Okt selepas solat Jumaat, dengan media melaporkan bahawa beberapa penunjuk perasaan cuba melintasi sekatan polis yang menghalang mereka memasuki kawsan kedutaan.

Pada Ahad, 22 Okt, perhimpunan yang dianjurkan badan-badan kerajaan (NGO) Viva Palestina Malaysia (VPM) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) turut menyaksikan penyertaan ribuan orang yang  berkumpul di Dataran Merdeka.

Dengan keadaan di Gaza semakin genting dengan ribuan penduduknya dilaporkan kekurangan keperluan asas, Bangsa-Bangsa Bersatu telah menggesa supaya dilaksanakan "jeda kemanusiaan" dalam permusuhan supaya bantuan boleh dikirimkan kepada para penduduk Gaza. 

Jabatan Negara Amerika menyatakan duta khasnya kini di Timur Tengah untuk berunding dengan Israel, Mesir dan PBB mengenai  mewujudkan "mekanisme kiriman berterusan" supaya bantuan berterusan dapat dikirimkan ke Gaza selepas konvoi bantuan mula menyeberang ke wilayah Palestin itu dari Mesir. 

PBB menyatakan penduduk Gaza juga memerlukan tempat-tempat berlindung yang selamat untuk mengelakkan diri daripada pengeboman berterusan Israel ke atas Gaza. 

Gaza yang merupakan jalur darat sepanjang 45km yang terletak berdekatan menempatkan 2.3 juta orang penduduk.

Wilayah itu yang diperintah secara politik sejak 2007 oleh Hamas, kumpulan Islam yang disokong Iran,  menghadapi sekatan-sekatan dari Israel.

Beberapa negara, antaranya Amerika dan Britain telah mengisytiharkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.

PENDIRIAN MALAYSIA

Encik Anwar telah memberitahu parlimen pada 16 Okt bahawa negara-negara Barat dan Eropah telah berulang kali meminta Malaysia supaya mengutuk Hamas dalam pertemuan-pertemuan mereka. Beliau bagaimanapun tidak bersetuju untuk berbuat demikian, kata beliau. 

Kerajaan Malaysia sentiasa menganjurkan huraian dua-negara sebagai penyelesaian kepada konflik berdasarkan garisan sempadan sebelum 1967, dengan Baitul Makdis Timur sebagai ibu kota Palestin, serta hak untuk pelarian Palestin pulang ke kediaman dan hartanah mereka. 

Malaysia tidak mempunyai hubungan politik dengan Israel.

Para pemerhati berkata pendirian Malaysia berhubung perjuangan Palestin bukanlah sesuatu yang luar biasa, mencerminkan pendirian majoriti penduduknya  dengan masyarakat beragama Islam membentuk hampir dua pertiga daripada keseluruhan penduduk.

Para pemimpin tertinggi Hamas juga pada masa-masa lalu telah melawat Malaysia dan mengadakan dengan para pemimpinnya. 

Bekas perdana menteri Najib Razak yang menentang sekatan-sekatan Israel ke atas Gaza, pernah menyeberang masuk ke Gaza pada 2013 ekoran undangan daripada Hamas.

Berhubung pendirian Encik Anwar yang secara proaktif membela perjuangan Palestin dengan menghadiri perhimpunan Selasa itu, penganalisis politik Ibrahim Suffian dari Merdeka Center berkata ia bermula sejak zaman mudanya.

Beliau menambah bahawa isu Palestin adalah isu yang sentiasa diperjuangkan oleh Encik Anwar, sejak beliau bersama ABIM dan belum lagi menyertai politik. Encik Anwar adalah salah seorang pengasas bersama ABIM pada tahun 1970-an.

“Ia adalah isu yang dekat dengan hatinya dan sesuatu yang kuat dirasakannya. Ia juga sebahagian daripada perwajahan yang telah dibinanya sebagai pemimpin Islam sejak beberapa dekad lalu,” kata Encik Ibrahim kepada CNA.

Beliau menegaskan bahawa Encik Anwar juga meluangkan masa semasa lawatannya ke Timur Tengah baru-baru ini untuk berunding dengan para  pemimpin rantau itu mengenai isu tersebut. 

Antaranya, beliau telah bertemu dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Kaherah dan putera mahkota Saudi Mohammad bin Salman di Riyadh. 

"Isu itu sentiasa menjadi aspek penting dalam dasar luar Malaysia dan para pemimpin Malaysia terus membangkitkannya saban tahun," kata Encik Ibrahim.

Baca artikel ini dalam bahasa Inggeris di sini. 

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement