Pendirian Malaysia yang pro-Palestin, hubungan dengan Hamas mendapat perhatian, tapi tidak menjadi tekanan: Penganalisis
Menurut para penganalisis, politik dalam negeri adalah antara pertimbangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mengulangi sokongan Malaysia terhadap perjuangan Palestin dan mempertahankan hubungannya dengan kumpulan militan Hamas.
KUALA LUMPUR: Sudah lebih seminggu warga Palestin, Abdalrahim Shehab, 46, tidak dapat tidur dengan nyenyak.
Dia berasa bimbang dengan keadaan di tanah airnya di Gaza sejak meletusnya ketegangan terbaharu yang memuncak pada Sabtu (7 Okt), menyebabkan dirinya tidak dapat tidur lena.
Telefon beliau di sebelahnya tidak pernah dimatikan pada waktu malam kerana beliau cuba menghubungi keluarganya di Gaza.
“Saya mengecas telefon saya empat kali sehari dan telefon berbunyi bip setiap beberapa minit. Saya tidak boleh tidur kerana imej kanak-kanak mati terus muncul. Ayah saya berumur 77 tahun dan mempunyai masalah kesihatan manakala ibu saya berumur 72 tahun,” kata Encik Abdalrahim kepada CNA.
“Saya cukup bimbang mengenai keluarga saya di sana. Ia amat sukar apabila anda berjauhan dengan orang yang anda sayangi dan sangat sukar untuk menghubungi mereka.”
Apa yang melegakan hati Encik Abdalrahim, yang baru sahaja menamatkan pengajian kedoktoran dalam bidang seni bina di sebuah universiti di Malaysia, adalah kemesraan dan sokongan amat menggalakkan yang diterimanya dari masyarakat Malaysia.
Encik Abdalrahim yang telah menetap di Malaysia selama 10 tahun bersama isteri dan lima anaknya, berkata ada seorang rakyat Malaysia sehingga sedia membayar bayaran potongan rambut untuk anaknya apabila ketahui bahawa beliau berasal dari Palestin.
"Saya tidak dapat menyatakan dengan kata-kata bagaimana semua ini begitu bermakna kepada saya," katanya sambil menangis teresak-esak di telefon dengan CNA.
Encik Abdalrahim berkata beliau juga berterima kasih atas pendirian Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengenai isu itu, sehingga ke tahap mempertahankan hubungan Malaysia secara terbuka dengan kumpulan militan Palestin Hamas yang telah mentadbir Gaza sejak 2006.
“Anwar adalah pemimpin Islam pertama yang bukan sahaja menyatakan sokongan dengan jelas kepada Palestin tetapi untuk Hamas. Malah negara-negara Arab sendiri enggan berbuat demikian,” katanya.
Sekurang-kurangnya 3,400 rakyat Palestin telah terbunuh manakala di Israel, jumlah kematian melepasi 1,400 orang selepas serangan sempadan Hamas pada 7 Okt yang disusuli dengan serangan Israel ke atas Gaza.
Menurut kalangan pemerhati pendirian Malaysia berhubung perjuangan Palestin bukanlah sesuatu yang luar biasa, yang mencerminkan pendirian majoriti rakyatnya, dengan masyarakat Islam membentuk hampir dua pertiga keseluruhan jumlah penduduk Malaysia.Para pemerhati juga tidak menjangkakan bahawa Malaysia akan menghadapi sebarang tekanan kerana pendiriannya yang tidak goyah berhubung isu Palestin sejak beberapa dekad lalu.
SOKONGAN MALAYSIA
Walaupun kebanyakan negara Barat dan beberapa negara Arab telah mengecam Hamas atas peranannya dalam pembunuhan orang-orang awam Israel pada 7 Okt, Malaysia enggan berbuat demikian.
Ini menyebabkan perhatian yang lebih diberikan ke atas hubungan Malaysia dengan Hamas, yang dianggap sebagai kumpulan pengganas antaranya oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Encik Anwar memberitahu parlimen pada hari Isnin (16 Okt) bahawa negara-negara Barat dan Eropah telah berulang kali meminta Malaysia untuk mengutuk Hamas.
"Saya berkata bahawa sebagai dasar negara, kita mempunyai hubungan dengan Hamas sejak dari dahulu dan ini akan berterusan," tambahnya.
“Oleh itu, kami tidak bersetuju dengan (negara Barat) kerana Hamas telah memenangi pilihan raya. Penduduk Gaza memilih mereka untuk memimpin.”
Dalam catatan Facebook pada Selasa (17 Okt), Encik Anwar berkata beliau telah mengadakan perbualan dengan ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh sehari sebelumnya untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin.
“Memandangkan situasi yang teruk di Gaza, saya sangat menyokong usaha-usaha memberhentikan pengeboman dan menyediakan laluan kemanusiaan di Rafah,” kata Encik Anwar. Beliau turut mengumumkan ikrar bantuan Malaysia sebanyak RM100 juta (AS$21 juta) kepada bantuan kemanusiaan untuk Gaza.
“Adalah juga juga penting bagi Israel untuk menamatkan politik merampas (hak Palestin) dan mematuhi dengan serta-merta gencatan senjata dengan Hamas dan benar-benar mengejar huraian damai bagi menamatkan konflik yang berjalan.”
Encik Anwar yang berada di Riyadh, Arab Saudi pada 19 Okt untuk Sidang Puncak Asean dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan rakan-rakannya seperti UAE, Qatar, Mesir dan Turki, sekiranya ada keperluan mengadakan pertemuan dengan para pemimpin lain mengenai isu itu.
Sokongan lantang Malaysia terhadap perjuangan Palestin dilaporkan sebagai pencetus di sebalik kejadian ancaman bom di pusat beli-belah Mid Valley Southkey di Johor Bahru pada 15 Okt.
Menurut polis, pihak pengurusan pusat membeli-belah itu menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa berasal dari luar negara yang mahu meletakkan bom di kawasan itu kerana sokongan Malaysia terhadap Palestin.
Orang ramai telah diperintahkan keluar dari pusat beli-belah itu, yang tidak lama kemudian diisytiharkan selamat.
Meskipun adanya ancaman tersebut, timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia akan terus menyokong perjuangan Palestin.Sehari kemudian, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa ia menarik diri daripada Pesta Buku Frankfurt tahun ini, sambil mendakwa bahawa pihak penganjur mengambil sikap pro-Israel.
SESUAI DENGAN PENDIRIAN MAJORITI
Penganalisis politik Dr Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara memberitahu CNA bahawa pendirian Encik Anwar adalah sejajar dengan pendirian majoriti rakyat Malaysia. Malaysia tidak mempunyai hubungan politik dengan Israel.
“Pendirian Anwar mencerminkan isu Palestin secara keseluruhan dan Hamas hanyalah sebagai latar belakangnya sahaja. Rakyat Malaysia secara amnya tidak melihat Hamas sebagai kumpulan militan tetapi sebagai (kumpulan) yang cuba membebaskan negara mereka,” katanya sambil menambah bahawa kumpulan Fatah yang mentadbir Tebing Barat juga dialu-alukan di Malaysia.
Dr Azmi menegaskan bahawa parti-parti politik dari pelbagai spektrum juga akan mengetepikan perbezaan sesama mereka dan bersatu dalam menyatakan pendirian mereka mengenai perjuangan Palestin.
“Ia bukan sahaja semasa Anwar menjadi perdana menteri, malah sebelum ini lagi. Saya tidak pasti sama ada ini perasaan peribadi mereka, tetapi dari segi pendirian rasmi mereka semua satu hati dalam perkara ini,” katanya lagi.
Pada 13 Okt, ahli-ahli politik dari pelbagai spektrum termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin serta beberapa menteri kabinet menyertai perhimpunan ribuan orang di Masjid Negara, Kuala Lumpur untuk menyokong perjuangan Palestin.
Encik Dennis Ignatius, bekas duta Malaysia ke Chile dan Argentina, memberitahu CNA bahawa kenyataan Encik Anwar sejak konflik meletus bertujuan untuk meletakkan keseluruhan isu itu dalam konteksnya.
“Tiada siapa yang boleh berpaling daripada kekejaman dahsyat yang dilakukan oleh Hamas tetapi apa yang Malaysia katakan adalah mereka hanya mahu kita mengutuk keganasan Hamas terhadap Israel, tetapi mereka tidak mahu melihat perkara tersebut dalam konteks yang lebih luas,” tambah Encik Ignatious merujuk kepada negara-negara Barat yang disebutkan oleh Encik Anwar.
“Pendirian Barat adalah untuk mengutuk Hamas tetapi di manakah kutukan ke atas Israel selama bertahun-tahun ini terhadap kekejaman yang telah dilakukannya?” kata beliau.
“Mereka hanya mahu mendengar Malaysia mengutuk Hamas kerana ia memberi kesan kepada naratif mereka. Malaysia tidak akan berbuat demikian, tetapi ia juga tidak bermakna kita tidak peduli apabila orang awam dibunuh,” katanya.
Di Malaysia, isu Palestin juga lebih dilihat sebagai isu agama dan bukannya hak asasi manusia dan keadilan, sesuatu yang diakui oleh Encik Ignatius.
“Saya faham dimensi agamanya tetapi kita juga perlu melihatnya sebagai isu hak asasi manusia. Sebagai dasar, bahagian (hak asasi) itu perlu dititikberatkan,” katanya.
Puan Norma Hashim dari Viva Palestina – kumpulan bantuan dan advokasi di Malaysia – berkata beliau percaya isu Palestin adalah penting kepada ramai rakyat Malaysia kerana pentingnya masjid Al-Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis.
Masjid itu dianggap sebagai tapak ketiga paling suci bagi umat Islam.
“Ia mempunyai kepentingan agama yang besar. Ia bukan mengenai Gaza, tetapi mengenai Palestin dan Baitulmaqdis,” kata Puan Norma yang telah mengarang beberapa buku mengenai perjuangan Palestin.
HUBUNGAN TERBUKA MALAYSIA DENGAN HAMAS
Malaysia tidak pernah menyembunyikan hubungannya dengan Hamas, malah mengalu-alukan para pemimpinnya secara terbuka di sini.
Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh bertemu dengan Dr Mahathir pada Jan 2020 ketika beliau menjadi perdana menteri buat kali kedua.
Pada Jan 2013, bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak melawat Gaza untuk satu misi kemanusiaan, di mana kunjugannya dialu-alukan oleh para pemimpin Hamas Haniyeh.
Terdapat juga dakwaan bahawa Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Kuala Lumpur, adalah sebuah badan Hamas.
Menurut laman webnya, pertubuhan itu - yang terletak di sebuah rumah dekat dengan pusat bandar Kuala Lumpur - bertujuan untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara Palestin dengan Malaysia.
Antara acara yang dianjurkannya termasuk siri ceramah, majlis Iftar tahunan pada bulan Ramadan, minggu advokasi, dan program mendampingi masyarakat.
Badan-badan lain yang bergabung dengan PCOM, termasuk beberapa yang telah dihubungi oleh CAN baru-baru ini, telah menafikan sebarang kaitan antara PCOM dengan Hamas.
Tetapi pada 2018, pensyarah Palestin Fadi al-Batsh yang juga dikatakan ahli Hamas telah ditembak mati di Kuala Lumpur oleh seorang yang dipercayai direkrut oleh Mossad, agensi perisikan Israel.
Pada September tahun lalu, media tempatan melaporkan bahawa dua perancang komputer Palestin telah diculik orang rakyat Malaysia atas arahan Mossad, walaupun kedua-duanya berjaya meloloskan diri.
TIADA SEBAB MENGUBAH PENDIRIAN
Penganalisis James Chin, yang merupakan Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, memberitahu CNA bahawa politik dalam negeri adalah antara pertimbangan Encik Anwar dalam mengulangi secara terbuka pendirian Malaysia mengenai isu itu dan sokongannya terhadap perjuangan Palestin.
"Kami tahu bahawa orang Amerika tidak menyukainya tetapi mereka akan memahami mengapa Anwar melakukannya – iaitu untuk menunjukkan pendiriannya kepada masyarakat Islam," tambahnya.
“Secara keseluruhannya, besar kemungkinan ia tidak akan mencetuskan sebarang reaksi balas. Semua orang tahu ia hanyalah pernyataan politik sahaja dan bukan dia seorang sahaja yang berbuat demikian. Kumpulan-kumpulan di Indonesia juga melakukannya. Ia bukannya sesuatu yang baru atau tidak dijangka.”
Prof Chin menjelaskan bahawa memandangkan Encik Anwar menghadapi masalah politik dalam negara dengan majoriti pengundi Melayu menyokong Parti Se-Islam Malaysia (PAS), bersikap tegas dalam isu itu adalah baik untuk menunjukkan kelayakannya sebagai (pemipin) Islam.
“Ia juga merupakan isu yang baik untuk beliau ambil dalam menunjukkan kepimpinannya di kalangan negara-negara Asia Tenggara kerana adanya sebahagian besar masyarakat di Singapura, selatan Filipina dan selatan Thailand, selain negara di negara majoriti Islam seperti Indonesia dan Malaysia,” kata beliau.
Dr Azmi dari Akademi Nusantara percaya bahawa pendirian Malaysia tidak akan menjejaskan hubungannya dengan Barat kerana ia tidak mempunyai pengaruh yang besar.
“Malaysia bukanlah Arab Saudi, yang mempunyai pengaruh besar di rantaunya. Jadi apabila Malaysia menyuarakan pendiriannya, ia tidak akan mengubah keseimbangan geopolitik,” katanya.
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Nazri Aziz memberitahu Astro Awani bahawa Jabatan Negara Amerika tidak berpuas hati dengan pendirian Malaysia dalam isu itu.
Beliau bagaimanapun berkata, Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak atas sokongan yang diberikannya kepada Hamas dan Palestin.
Encik Ignatius – yang juga seorang duta besar - berkata bahawa setiap negara di rantau ini mempunyai perspektif tersendiri mengenai pendirian mereka kerana pelbagai faktor.
“Kami sentiasa menegaskan bahawa tidak akan ada pengiktirafan terhadap Israel sehingga perjanjian (damai) dicapai.
“Malah ada negara-negara Arab yang sudahpun memulihkan hubungan (dengan Israel). Tetapi ini adalah pendirian kita dan antara beberapa prinsip yang terus dipegang sejak dahulu lagi,” kata beliau.
Encik Ignatius juga tidak nampak mengapa hubungan Malaysia dengan negara lain harus terjejas di tengah-tengah konflik Israel-Hamas hanya kerana pendirian mereka yang berbeza.
Beliau berkata tidak semestinya setiap negara ASEAN misalnya mempunyai pendirian yang sama dalam setiap isu, terutamanya isu bukan serantau.
"Negara lain mungkin mempunyai pendirian yang bertentangan dengan kita atau lebih berkecuali, tetapi kita hanya boleh bertanggungjawab ke atas pendirian kita sahaja,” ujar beliau lagi.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.