Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Selepas cuaca panas tertinggi dalam 174 tahun, sudahkah Asia bersedia hadapi gelombang haba lebih ekstrem? 

Mungkin akan ada beberapa perubahan dalam pertanian, kegiatan di luar, dasar pemerintah, permintaan ke atas kemudahan penyejukan dan cara kehidupan orang ramai. 

Selepas cuaca panas tertinggi dalam 174 tahun, sudahkah Asia bersedia hadapi gelombang haba lebih ekstrem? 
Di kebanyakan kawasan di China, suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius pada musim panas lalu — dan sekali lagi tahun ini.

SICHUAN dan SEOUL: Ketika China mengalami gelombang haba terburuk tahun lalu - iaitu yang paling teruk sejak rekod catatan kebangsaan bermula pada 1961, kesannya ke atas ladang jagung milik Wang Guoning di wilayah Sichuan juga amat dahsyat.

“Jagung itu sangat kering sehingga kelihatan seperti rabuk debu yang boleh menyala. Begitu banyak tumbuhan mati,” kata Wang yang berusia 33 tahun. "Semua pohon jagung kami musnah dan kami tidak mempunyai pendapatan."

Pada musim panas tahun ini, haba panas melanda lagi dengan dahsyat sehingga mencecah 52.2 darjah Celsius di wilayah Xinjiang barat laut China. Beberapa wilayah termasuk Sichuan mengalami kemarau dan kebakaran hutan.

Belajar daripada pengalaman lalu, Wang mula menanam 20 hari lebih awal, menghasilkan tanaman sebelum keadaan menjadi buruk. “Kami berjaya menanam tepat pada masanya," katanya. "Jadi kami dapat mengurangkan kerugian akibat kemarau kali ini."

Bagaimanapun, pada keseluruhannya China menyaksikan penurunan dalam hasil penuaian bijirin semasa musim panas. Keadaan yang dipanggil ‘tekanan terma’ itu menyebabkan tumbuhan biji jagung berlaku lebih awal, mengakibatkan bijinya yang lebih kecil daripada biasa, lantas mengurangkan hasil tuaian.

Cuaca yang terlalu panas telah menjejaskan hasil tuaian petani jagung Wang Guoning tahun ini. 

Negara penanam jagung yang lain, seperti India sehinggalah ke Amerika Syarikat, juga bergelut dengan cuaca ekstrem. Jika keadaan ini berterusan, hasil jagung negara-negara itu boleh menurun hampir satu perempat menjelang akhir abad ini.

Memandangkan jagung adalah tanaman bijirin yang digunakan di kebanyakan dunia dan mempunyai pelbagai kegunaan, kemampuan negara-negara lain untuk membelinya juga bakal terjejas. 

“Kami menggunakannya untuk kegunaan manusia (dan) untuk makanan haiwan. (Ia) berguna untuk pengeluaran etanol dan juga untuk kegunaan industri,” kata pengarah eksekutif CropLife Asia Tan Siang Hee.

Sekitar 60 peratus daripada jagung yang ditanam di seluruh dunia digunakan sebagai makanan haiwan. Jika jumlah pengeluaran terjejas dan harga jagung meningkat, harga daging juga akan meningkat.Ternakan ayam, sebagai contoh, memerlukan kira-kira 2.5 kilogram bijirin untuk setiap kilogram daging, menurut Tan. "Peningkatan 10 sen (dalam) input bijirin akan menyaksikan harga 2.5 kali ganda - setiap kilogram daging ternakan itu," katanya.

Jagung digunakan sebagai makanan untuk ternakan ayam.

Akibat gelombang haba, kesannya ke atas haiwan-haiwan ternakan itu sendiri adalah besar sekali. 

"Ayam-ayam mungkin makan lebih sedikit dan dengan itu mengambil masa lebih lama untuk cukup membesar," kata penternak ayam Sichuan Cheng Xiangan. Ini diburukkan lagi dengan hakikat bahawa ayam hitam Jiuyuan, adalah jenis “mudah marah-marah”. 

Semakin teruk keadaan cuaca, semakin resah ayam-ayam itu jadinya, sama seperti manusia. Ia mudah bergaduh sesama sendiri setiap hari. Begitu juga semasa musim ayam-ayam itu matang untuk mencari pasangan masing-masing, ia akan kerap bergaduh, dengan sebahagiannya menemui kematian."

Kipas-kipas angin sudah dipasang dalam  bangsal-bangsal, dengan sistem pengudaraan lebih baik juga diletakkan pada bumbung-bumbungnya. Ia sedikit sebanyak berjaya menurunkan suhu dalamannya, kata Cheng Xiangan kepada program Insight CNA. 

Kejadian cuaca panas yang melampau akan terus berlaku, akibat pemanasan global, demikian dapatan dalam laporan penilaian terkini Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim.

TONTON: Musim panas paling panas di Asia dalam rekod sejak 174 tahun — Adakah kita bersedia untuk hadapi lebih banyak gelombang haba? (46:03)

Tahun ini menyaksikan musim panas paling panas di dunia (Jun hingga Ogos) sejak rekod suhu panas dicatatkan dalam 174 tahun, menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat. Bulai Julai, sebagai contoh, adalah 1.18 darjah Celsius lebih panas daripada purata bulan antara 1951 hingga 1980.

Apabila gelombang haba semakin meningkat,  mungkin beberapa perubahan terpaksa dilakukan,  bukan sahaja dalam pertanian tetapi juga kegiatan  luar yang lain, dasar pemerintah, permintaan terhadap kemudahan penyejukan bandar dan cara  orang ramai menjalani kehidupan, seperti yang dilihat baru-baru ini di Asia Timur.

 KESIHATAN PETANI JUGA TERJEJAS

Seperti tumbuhan dan haiwan, haba melampau boleh membawa maut kepada petani. Menurut penyelidikan di AS, pekerja pertanian adalah 35 kali lebih berisiko hadapi kematian berkaitan haba berbanding kebanyakan pekerja lain.

Ia lebih menjadi masalah di negara-negara yang mempunyai penduduk yang semakin tua, seperti Korea Selatan.

Memandangkan golongan muda menjauhi pertanian, hampir separuh daripada pekerja ladang negara itu kini berumur 65 tahun ke atas. Dan kumpulan umur ini sangat terdedah kepada tekanan haba.

Seorang petani tanaman cili di Korea Selatan.

Dengan suhu yang meningkat pada musim panas ini, sekurang-kurangnya 27 orang di Korea Selatan dilaporkan meninggal dunia pada awal Ogos, dan ramai daripada mereka adalah petani warga emas.

"Walaupun ia menegangkan badan, mereka tidak mempunyai pilihan selain melakukan (kerja)," kata Cho Chae-woon, ketua kampung Deokpyeong-ri. "Terdapat kekurangan tenaga kerja dalam pertanian."

Tetapi dengan suhu di kampungnya melebihi 38 darjah Celsius semasa gelombang panas baru-baru ini, dia akan membuat pengumuman sebanyak empat kali sehari untuk memberi amaran kepada para penduduk tentang penyakit berkaitan haba.

"Jika ada sesiapa yang masih bekerja sekarang, sila berhenti dan segera ke tempat perlindungan yang sejuk," katanya. "Berehatlah dahulu, dan cuba sambung kerja masing-masing pada sebelah pagi atau lewat petang."

Ketua kampung Deokpyeong-ri Cho Chae-woon menyiarkan pengumuman beliau mengenai cuaca panas.

Untuk mengatasi panas, dewan kampung telah diubah menjadi tempat perlindungan di mana penyaman udara, yang dibayar oleh pemerintah, mengekalkan suhu pada 25 darjah Celsius.

“(Warga tua) biasanya tidak menghidupkan penghawa dingin (di rumah) kerana (khuatir) bil elektrik. Jadi dengan … meminta orang tua datang (ke pusat perlindungan), kami menghidupkan hanya dua unit di sini dan bukannya satu unit bagi setiap isi rumah,” kata Cho.

"Melihat gambaran besar dan bagi negara kita secara keseluruhan, itu lebih berfaedah, dan ia juga mengurangkan penggunaan tenaga."

Bagi petani cili Hwang Jongwoo, kadangkala ia menjadi terlalu panas walaupun sebelum tengah hari. Dia mungkin berehat sehingga panasnya reda, tetapi ini bermakna membiarkan ladangnya tidak dijaga. Tekanan haba telah mengurangkan hasil tuaiannya."Kami sentiasa bimbang tentang tanaman kami," katanya. “Orang (lain) boleh berehat sahaja, tetapi apabila ia berlaku ke atas … tanaman kami, ia  selalunya terjejas teruk.”

Tanaman cili yang diusahakan petani Hwang Jongwoo.

MENGHADAPI HABA PANAS DI KAWASAN BANDA

Jauh dari kawasan pertanian, haba panas juga merupakan gejala yang teruk melanda kawasan bandar. 

Hong Sung-wan, sebagai contoh, bertenggek di atas jentera pemancatnya selama beberapa jam sehari, untuk memasang kabel rangkaian syarikat penyiaran Korea Selatan LG HelloVision. Ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan walaupun di bawah cuaca panas, katanya. 

"Memang bekerja dengan berada pada tiang-tiang kabel ini  selama satu setengah hingga dua jam, boleh mengakibatkan rasa pening," katanya. "Apabila ini berlaku, saya akan memikirkan keluarga saya, rakan sekerja di sekeliling saya, dan cuba mengatasinya."

Ia boleh mengakibatkan keletihan haba, yang berlaku apabila badan terlalu panas. Lebih teruk lagi, ia juga boleh menyebabkan strok haba, keadaan yang boleh membawa maut.

Hong rasa dia harus cekal menghadapi itu semua. "Pekerja merasakan bahawa mereka tidak boleh mengelak daripada melakukan kerja mereka," kata lelaki berusia 51 tahun itu, yang telah berkhidmat selama 20 tahun.

Pekerja pemasangan kabel Hong Sung-wan sedang menjalankan tugas.

Bagaimanapun, gelombang haba tetap mengakibatkan kerugian berbilion-bilion dollar kerana kejatuhan produktiviti.

Apabila suhu pada paras 33 hingga 34 darjah C, prestasi kerja boleh menurun sebanyak separuh bagi mereka yang bekerja secara fizikal, menurut Nicolas Maitre, pengarang utama laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai kesan tekanan haba terhadap produktiviti.

Pemerintah Seoul telah membuat perubahan dalam dasar negara selepas gelombang haba yang memecahkan rekod pada 2018, sehingga membunuh 48 orang di seluruh negara — sekurang-kurangnya untuk tempat-tempat kerja yang diuruskan secara terbuka oleh bandar itu.

Hwang Sung-won dari Bahagian Keselamatan dan Pencegahan Bencana memberi contoh pekerja yang mesti bekerja lapan jam sehari untuk mendapatkan gaji harian, katakan, 150,000 won (S$150).

Pegawai pemerintah Metropolitan Seoul Hwang Sung-won dalam wawancara dengan Insight.

“Jika mereka perlu berehat dari pukul 2 petang. hingga 5 petang berikutan gelombang haba yang melebihi 35 darjah C, tiga jam itu akan dianggap sebagai waktu bekerja,” katanya. "Mereka masih akan dibayar gaji sehari."

Pihak bandar bagaimanapun, tidak menguatkuasakan dasar sedemikian untuk tempat kerja yang dimiliki oleh syarikat swasta. “Mereka mungkin mengelakkan bekerja pada waktu puncak 2 petang hingga 5 petang dan terus membayar gaji mengikut jam bekerja,” kata Hwang.

Di Hong Kong, yang mencatatkan musim panas paling panas tahun ini, Jabatan Buruhnya mengeluarkan garis panduan anti-strok haba tahun ini berdasarkan sistem amaran tiga peringkat.

Apabila amaran berwarna jingga dikeluarkan, para pekerja yang melakukan kerja fizikal yang sederhana, misalnya, dinasihatkan untuk berehat selama 15 minit setiap jam. Terdapat juga amaran merah dan hitam, masing-masing menandakan tekanan haba "sangat tinggi" dan "terlalu tinggi".

Indeks haba adalah gabungan suhu ambien dan juga  kelembapan.

Pekerja binaan menghadapi risiko paling tinggi. Mereka selalunya terpaksa bekerja keras semasa terdedah kepada keadaan luar yang amat panas.  Garis panduan baharu itu bagaimanapun tidak mengikat mana-mana pihak dari segi undang-undang. 

"Aspek yang paling menyusahkan kami ialah kami bekerja di luar rumah - di tapak pembinaan - pada kebanyakan masa," kata Lee Kwong-sing, penasihat keselamatan dalam Kesatuan Agung Pekerja Industri Pembinaan Hong Kong.

“Kita tidak boleh mengelaknya. Dan satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan ialah meningkatkan pengudaraan dan memberikan lebih banyak naungan untuk mengelakkan pekerja berasa terlalu panas.”

KESAN HABA PANAS KE ATAS YANG MISKIN

Bagi sesetengah yang lain pula, tinggal di dalam rumah tidak memberikan banyak kelegaan, terutama mereka dengan kawasan rumah yang sempit yang lazimnya didiami warga Hongkong yang miskin, di mana sistem pengudaraannya adalah kurang baik.

Pangsapuri padat penghuni di Hong Kong.

Di kejiranan Sham Shui Po, pesara Wong Kwai Hoi tinggal di sebuah flat berukuran kira-kira 65 kaki persegi, kira-kira separuh saiz tempat letak kereta standard di Hong Kong. Ia tidak mempunyai tingkap pun.

“Ia bukan sahaja menjejaskan mood saya, malah menjadikan hidup sengsara. Ia sangat sukar untuk dihadapinya,” kata Wong, 65 tahun. "Kadang-kadang saya berasa terlalu panas sehingga saya menjadi pening dan terpaksa mengambil ubat."

Perumahan yang padat di seluruh Hong Kong, memburukkan lagi kejadian haba panas akibat apa yang dipanggil sebagai kesan ‘pulau haba bandar’. Dalam keadaan yang melampau, bandar boleh menjadi 10 hingga 15 darjah Celsius lebih panas daripada kawasan sekitar luar bandar.

Wang mempunyai penghawa dingin, tetapi untuk menjimatkan wang, dia tidak menggunakannya. Dia membayar lebih HK$3,000 (S$520) dalam bentuk sewa dan utiliti serta menerima subsidi pemerintah sedikit lebih HK$2,000, yang dianggapnya tidak mencukupi.

Pesara Wong Kwai Hoi yang tinggal sendirian.

"Jika saya membelanjakan beberapa ratus dolar untuk bil elektrik, ia akan menjejaskan perbelanjaan hidup saya, menjadikan hidup saya lebih sukar," katanya. "Saya tidak akan mempunyai wang untuk makan."

Di Korea Selatan, golongan yang melarat turut menanggung beban akibat cuaca panas. Terdapat kira-kira 14,000 gelandangan di seluruh negara (sehingga 2021), dan tanpa perlindungan kekal, mereka amat terdedah kepada kecederaan berkaitan haba.

"Setiap kali berlaku cuaca ekstrem yang paling teruk terjejas adalah mereka yang terdedah dalam masyarakat," kata ahli sejarah alam sekitar Fiona Williamson di Universiti Pengurusan Singapura."Mungkin mereka tidak mempunyai akses kepada penghawa dingin atau beberapa perkara (yang boleh dimiliki) orang kaya untuk mengurangkan kesan haba."

Fiona Williamson, profesor bersekutu sejarah alam sekitar, Univerisiti Pengurusan Singapura (SMU).

Bagi mereka yang berisiko tinggi di Seoul, para sukarelawan dari Pusat Jambatan Seoul akan menjemput mereka untuk tinggal di pusat perlindungan kecemasan pusat itu — yang menyediakan air, makanan dan, yang penting sekali, penghawa dingin — mulai jam 7 malam ke pagi esoknya.

Tetapi dengan gelombang panas tahun ini menimbulkan "masalah yang sangat serius", pusat itu terpaksa melanjutkan perkhidmatannya, kata ketuanya, Oh Seung-chul.

"Kami telah memastikan pusat itu dibuka setiap masa supaya orang ramai boleh datang ke sini untuk berehat dan menyejukkan badan daripada panas pada bila-bila masa."

Apabila bumi semakin panas, apa yang diperlukan ialah pendidikan "supaya orang ramai boleh dimaklumkan bila mereka boleh  di luar dan bila mereka tidak sepatutnya di luar", kata pengarah Pusat Pemerhatian Bumi Singapura Benjamin Horton.

"Jika mereka berada di luar di bahagian paling panas hari ini, mereka perlu terhidrat (dengan banyak minum air). Perlu ada pusat penyejukan supaya mereka dapat melepaskan diri daripada haba dan menjaga keselamatan diri mereka.”

Benjamin Horton profesor di Sekolah Alam Sekitar Asia Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

MEMBURUKKAN LAGI MASALAH

Apa yang boleh memburukkan keadaan adalah peningkatan suhu bumi berlaku dengan meningkatnya penggunaan penghawa dingin. 

Di China, permintaan tenaga untuk penyejukan ruang telah meningkat, secara purata, sebanyak 13 peratus setahun sejak 2000, berbanding kira-kira 4 peratus di seluruh dunia.

Bilangan unit penyaman udara bagi keseluruhan Asia Tenggara diunjurkan berkembang daripada sekitar 50 juta pada 2020 kepada sebanyak 300 juta pada 2040.

Di Korea Selatan, sebahagian peningkatan permintaan bagi penyaman udara dibiayai pemerintah, selepas Parti Kuasa Rakyat yang memerintah bersetuju pada Jun untuk meluaskan  skim sokongan bil tenaga kepada sekitar 1.135 juta isi rumah berpendapatan rendah, daripada 837,000 sebelumnya.

Untuk terus membantu penduduk berpendapatan rendah menghadapi haba panas, pemerintah bandar Seoul menyatakan ia akan memberi subsidi pemasangan unit penyaman udara bagi kediaman satu bilik - sekecil 2 meter persegi – yang dipanggil "jjokbangs".

Sebuah "jjokbang" di Seoul.

Kebanyakan penduduk ini menyara hidup dengan subsidi "hidup asas" daripada pemerintah.  “Para penduduk mengharapkan penghawa dingin … supaya mereka dapat menikmati udara panas pada musim sejuk dan udara sejuk pada musim panas,” kata seorang penduduk, Cha Jeseol.

Tetapi kos tenaga memburukkan lagi masalah haba. Permintaan kuasa di Korea Selatan melonjak pada Ogos ke paras tertinggi. Seperti kebanyakan negara-negara Asia lain, tenaga elektrik masih dijana terutamanya oleh bahan api fosil.
 
"Oleh itu, kita perlu memikirkan cara yang berbeza untuk mengurangkan masalah haba di bandar-bandar," kata Horton.

Dalam mencari penyelesaian lain, para arkitek dan jurutera boleh mereka bangunan-bangunan yang menyejukkan diri, seperti Gaia — bangunan kayu terbesar di Asia — yang terletak di Universiti Teknologi Nanyang Singapura. Sebagai bahan binaan, kayu tidak memerangkap haba seperti konkrit.

Gaia, bangunan sifar tenaga yang terletak di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) adalah bangunan kayu terbesar di Asia.

Sistem penyaman udara dalam bangunan menjimatkan tenaga melalui penyejukan pasif: menolak air sejuk melalui gegelung untuk menyejukkan udara sekeliling, bukannya menggunakan pengudaraan mekanikal. Direka bentuk dengan aliran udara semula jadi dan dengan panel solar di atasnya, Gaia ialah bangunan sifar tenaga.

Di Universiti Nasional Singapura, Pusat Ketahanan dan Prestasi Haba sedang mengkaji kesan suhu ke atas badan. Kajiannya akan membantu dalam usaha-usaha memahami lebih mendalam gejala haba panas sekiranya gelombang haba menjadi lumrah kelak. 

Beberapa penyelidikan pula melibatkan bantuan kepada orang ramai untuk menghadapi dunia yang semakin panas. 

"Kita belum pernah perlu menghadapi keadaan haba panas seperti sekarang," kata Williamson. “Ini adalah sesuatu yang sangat baharu kepada kita. Kita mungkin sudah biasa dengan perkara-perkara seperti banjir dan kemarau."

Namun, banjir terus mendatangkan malapetaka dengan Taufan Doksuri pada akhir Julai membawa hujan paling lebat di wilayah Beijing sejak rekod mula disimpan mulai 140 tahun lalu.

Banjir di daerah barat Beijing susulan Taufan Doksuri.

Ketika jalan-jalan dan banyak kedai di ibu kota China itu ditenggalami air bah, pihak berkuasa memutuskan untuk mengambil langkah drastik. Pihak berkuasa tempatan di sempadan Hebei mengalihkan air banjir ke wilayah itu, lapor The New York Times.

Tindakan itu menyebabkan banjir di Zhuozhou, sebuah bandar di Hebei yang sedang bergelut untuk menahan banjirnya sendiri selepas benteng pembentong air sungai tempatan pecah. 

Dengan bandar di hilir sungai itu dibanjiri air dalam usaha menyelamatkan Beijing, sehingga kira-kira 1.54 juta penduduk di wilayah itu perlu dipindahkan.

Sejak itu, pemerintah telah "memperuntukkan" 1 bilion yuan (S$187 juta) untuk usaha bantuan banjir. Dengan gejala ribut panas dan ribut tropika berkait rapat, dana ini mungkin cepat habis sekiranya gelombang panas dan banjir menjadi lebih kerap.

Penduduk daerah Mentougou di Beijing membersihkan kawasan kejiranan selepas air banjir surut.

"Sejak beberapa dekad lalu kita telah memberi amaran bahawa sekiranya kita terus mengeluarkan gas rumah hijau (gas karbon), kita akan menghadapi gejala peningkatan suhu yang tinggi, melepasi rekod-rekod lalu dan juga gejala-gejala berkaitan seperti gelombang haba, ribut taufan dan kebakaran hutan, yang mengakibatkan kerosakan besar-besaran,” kata Horton.

“Setiap unjuran itu telah menjadi kenyataan. … Ini semua tidak memeranjatkan para saintis iklim. Apa yang memeranjatkan kita ialah kurangnya  persediaan kita semua … Kita nampaknya tidak berdaya tahan terhadap apa yang akan oleh alam semula jadi ke atas kita semua.”

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement