‘Bernilai tinggi’: Industri nadir bumi Malaysia terima dorongan disamping pandangan berbelah bahagi
Industri nadir bumi Malaysia dijangka menyumbang RM9.5 bilion (AS$2.03 bilion) kepada keluaran dalam negara kasar pada 2025, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
GERIK, Perak: Encik Ai Chuan Din Chum sedar kampungnya, Kampung Pong di barat laut Perak, terletak di kawasan yang mengandungi banyak sumber alam yang dipercayai sentiasa menjadi perhatian orang luar.
Bekas ketua perkampungan Siam yang terletak di lembah kira-kira 20 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand itu mendakwa kawasannya mengandungi sumber seperti barit, bijih timah, logam berharga, dan juga emas.
“Sejak beberapa tahun lalu ramai orang telah datang ke sini. Terdapat begitu banyak (galian) di sini, malah di bawah bumi ini,” kata Encik Ai Chuan yang berusia 70 tahun itu kepada CNA baru-baru ini.
Kampung Pong boleh diakses dengan jalan berliku dan berbukit tar yang membolehkan hanya satu kenderaan melalui pada kebanyakan laluan. Ia merupakan penempatan paling dekat dengan projek perlombongan “non-radioactive rare earth element” (NR-REE) perintis di Malaysia yang mula beroperasi pada Mac 2022.
Terdapat kira-kira 200 orang yang tinggal di kampung itu, dengan kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh kasar atau melakukan pekerjaan tidak formal.
Encik Ai Chuan dan penduduk kampungnya tidak terlibat secara langsung dalam projek perlombongan NR-REE yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kampung mereka. Namun beliau memberitahu CNA bahawa pihaknya sebelum ini telah diupah untuk meninjau kawasan itu beberapa kali sejak masa lalu untuk pihak perniagaan asing.
Dia menambah bahawa dia tidak pasti unsur nadir bumi bagaimana yang terdapat di kawasannya, tetapi percaya bahawa pihak-pihak yang berminat mahu menarik keluar beberapa "bahan kimia" dari bumi.
"Mereka melakukan beberapa jenis ujian dengan bahan kimia ini. Saya diberitahu bahawa mereka mahu membuat bateri untuk telefon bimbit atau elektronik dengan bahan kimia ini,” katanya.
TURUT SERTA DALAM PENCARIAN NADIR BUMI
Unsur nadir bumi digunakan dalam peranti elektronik pengguna harian seperti komputer riba, kamera, televisyen dan telefon pintar.
Mereka juga dianggap kritikal untuk pembangunan infrastruktur hijau seperti sumber tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik (EV).
China mengawal pasaran bagi unsur nadir bumi. Ia menghasilkan kira-kira 70 peratus bekalan dunia dan memproses hampir 90 peratus galian tersebut.
Memandangkan penggunaan unsur nadir bumi semakin diutamakan, Malaysia telah mula terlibat dalam perlombongan unsur-unsur ini dan mewujudkan industri nadir bumi sepenuhnya di negara itu. Ia dilakukan di bawah inisiatif salah satu sektor pertumbuhan tinggi, bernilai tinggi (HGHV).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Parlimen pada 11 Sep bahawa kerajaan bercadang untuk mengharamkan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber, serta menjamin pulangan maksimum untuk negara.
Beliau menambah bahawa Dasar Galian Negara yang baharu akan digubal untuk memacu pembangunan komprehensif industri mineral berdasarkan "prinsip kemampanan dan tanggungjawab".
Dasar itu, kata Encik Anwar, akan digunakan sebagai panduan dalam menjalankan aktiviti perlombongan di hutan simpanan kekal, kawasan sensitif alam sekitar (ESA), dan kawasan perlindungan.
“Pemetaan terperinci sumber unsur nadir bumi dan model perniagaan komprehensif yang mengintegrasikan industr-industri huluan, pertengahan dan hiliran untuk mengekalkan rantaian nilai nadir bumi di negara ini,” katanya.
Dalam konteks ini, perusahaan huluan merujuk kepada aktiviti perlombongan, manakala pertengahan ialah proses yang menggali keluar unsur nadir bumi.
Kegiatan hiliran pula merujuk kepada industri yang menggunakan unsur nadir bumi untuk mengeluarkan produk seperti ‘magnet super’.
Encik Anwar menyatakan bahawa industri nadir bumi dijangka menyumbang RM9.5 bilion (AS$2.03 bilion) kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia pada 2025, dan mewujudkan 7,000 pekerjaan baharu.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu CNA bahawa negara pada masa ini mempunyai anggaran 16.2 juta tan deposit NR-REE dengan potensi anggaran nilai sehingga AS$182 bilion.
"Kepentingan untuk meneruskan (industri) galian nadir bumi adalah kerana kesan yang boleh dibawanya kepada ekonomi negara," kata Nik Azmi dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan CNA.
Beliau menambah bahawa satu set prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan NR-REE telah dibentangkan dan dipersetujui secara prinsip oleh Kabinet, tetapi ia tidak akan didedahkan kepada umum sehingga dasar komprehensif mengenai industri nadir bumi dibangun dan dimuktamadkan.
PERAK KUNCI PROJEK MASA DEPAN INDUSTRI
SOP terakhir untuk perlombongan NR-REE di Malaysia akan bergantung kepada hasil projek perintis yang terletak di sebelah jalan persekutuan yang menghubungkan bandar Baling di Kedah ke Gerik di Perak.
Ketika CNA melawat tapak projek di Kenering, Hulu Perak, baru-baru ini pembinaan beberapa kemudahan sedang dijalankan.
Beberapa pekerja kelihatan sedang mengecat bangunan manakala sebahagian lagi kelihatan meletakkan jubin di atas bumbung. Bangunan itu terletak atas sebidang tanah yang telah dibersihkan.
Beberapa traktor dan kenderaan turut kelihatan di tapak tersebut, walaupun tapak sebenar loji perlombongan dan pemprosesan tidak kelihatan.
Selepas beberapa minit, kakitangan MCRE Resources - syarikat yang bertanggungjawab ke atas projek perintis itu - memberitahu wartawan bahawa kami tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar kawasan kemudahan mereka.
Ini walaupun gambar diambil dari tepi jalan awam yang kebetulan terdapat persimpangan untuk haiwan-haiwan menyeberang.
Kakitangan juga berkata mereka akan menjemput CNA untuk melawat kemudahan itu pada masa akan datang. Syarikat itu tidak menjawab permintaan awal CNA untuk diwawancara.
Tapak projek meliputi kawasan seluas 5,339 ekar di atas 11 bidang tanah, dengan kaedah larut lesap dalam kawasan (ISL) digunakan untuk mengekstrak lantanida — sejenis unsur nadir bumi yang antara lain digunakan dalam pengeluaran peranti optik dan aloi.
ISL ialah proses perlombongan yang mengekstrak mineral dari tanah dengan melarutkannya dalam cecair dan kemudian mengepam cecair ke permukaan.
Walaupun ISL dikatakan kurang merosakkan alam sekitar berbanding perlombongan lubang terbuka konvensional yang memerlukan pembersihan menyeluruh tapak, terdapat kebimbangan dalam kalangan pemerhati sama ada sumber air bawah tanah akan terjejas dan meresap ke dalam sumber air.
Nik Nazmi memberitahu CNA bahawa projek perintis itu akan menentukan kebolehlaksanaan aktiviti perlombongan mineral nadir bumi dan keupayaan SOP yang dibangunkan untuk mengawal selia aktiviti ini dengan cara yang selamat dan teratur di seluruh negara.
“Sehingga kini, data menunjukkan 5,700 tan metrik karbonat nadir bumi (REC) telah dihasilkan. Berdasarkan audit yang dijalankan, dapat disimpulkan SOP ini mampu mengawal selia aktiviti perlombongan nadir bumi dengan baik,” katanya.
Beliau menambah SOP itu — yang dinilai oleh jawatankuasa yang terdiri daripada individu yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang perlombongan, hidrologi, dan hidrogeologi — menekankan perkara-perkara penting dalam meminimumkan kesan aktiviti perlombongan terhadap alam sekitar dan masyarakat.
Ini termasuk hanya membenarkan perlombongan yang tidak melibatkan pengeluaran bahan radioaktif, penggunaan kaedah ISL, menetapkan kaedah pemantauan berkala termasuk pembinaan telaga pemantauan untuk mengesan sebarang kebocoran pelarut, dan untuk penilaian kesan alam sekitar (EIA) dijalankan sebelum sebarang kelulusan diberikan untuk aktiviti perlombongan.
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dinukil oleh Bernama pada 26 Sep sebagai berkata bahawa projek perintis itu membuktikan bahawa unsur nadir bumi yang diekstrak tidak radioaktif dan kaedah ISL tidak menyebabkan sebarang pencemaran.
Beliau juga berkata sehingga Julai, pihak berkuasa negeri telah menerima hampir RM16 juta bayaran royalti daripada eksport 10 kelompok REC ke China.
Tidak pasti bila larangan eksport unsur nadir bumi seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar pada awal September akan berlaku dan jika ia akan terpakai kepada projek perintis di Perak.
KEGIATAN NADIR BUMI PADA MASA LALU
Kumpulan-kumpulan alam sekitar seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM), bagaimanapun, tidak menyokong perlombongan walaupun untuk tujuan ekonomi negara, lebih-lebih lagi apabila sebahagian besar sumber alam ini terletak dalam kawasan sensitif alam sekitar seperti hutan simpanan kekal.
“Sudah tentu ada keperluan untuk kerajaan lebih bertelus sepenuhnya di mana sumber REE berada dan mengenakan larangan ke atas aktiviti perlombongan di kawsan-kawasan ESA.
"Tidak cukup untuk bercakap tentang perlombongan secara mampan atau bertanggungjawab kerana ESA mengikut definisi mesti dilindungi tanpa mengira kos," kata presiden SAM Meenakshi Raman dalam satu kenyataan pada 12 Sep.
Beliau menegaskan sejarah Malaysia yang bermasalah dengan kegiatan mengekstrak unsur nadir bumi, khususnya di loji kilang Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh yang didakwa bertanggungjawab terhadap insiden menyebabkan penyakit barah dan kadar kematian yang tinggi dalam masyarakat.
Loji ARE itu mengekstrak yttrium — sejenis unsur nadir bumi — daripada mineral yang dipanggil monazite, meninggalkan sisa torium, bahan kimia radioaktif.
Loji itu akhirnya ditutup pada 1994, dengan sisa radioaktif kini disimpan secara kekal di tapak pelupusan sampah tertutup yang terletak di Banjaran Kledang, kira-kira 15 kilometer dari Ipoh.
Kemudian pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang pada tahun 2010-an juga menimbulkan kontroversi.
Lynas, sebuah syarikat perlombongan Australia, adalah pengeluar nadir bumi terbesar di dunia di luar China.
Oksida nadir bumi dilombong dan pada mulanya diproses di Loji Kepekatan Mt Weld di Australia sebelum dihantar ke Kuantan, di mana galian pekat diasingkan dan diproses menjadi bahan nadir bumi.
Isu utama dalam pembantahan terhadap loji Lynas ialah pembuangan sisa yang diklasifikasikan sebagai radioaktif.
Pada Mei lalu, kerajaan Malaysia tidak lagi membenarkan import bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia mulai 1 Jan tahun depan sebagai sebahagian daripada syarat lesen operasinya.
Pada Ogos, bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Lynas memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan berhubung arahan ini.
“Mereka sepatutnya sudah mengambil iktibar daripada pengajaran tragis loji ARE di Bukit Merah? Perlombongan nadir bumi terlalu berisiko dan berbahaya ke atas alam sekitar dan kesihatan manusia, dan mengatasi apa-apa faedah ekonomi pada jangka pendeknya,” kata Cik Meenakshi kepada CNA.
KAWALAN DAN PERATURAN DIPERLUKAN
Pengarah Malaco Mining Sia Hok Kiang bagaimanapun berkata kita tidak boleh menentang pelombongan nadir bumi tetapi pada masa yang sama terus menggunakan produk-produk seperti iPhone atau komputer riba.
“Kita tidak boleh hidup dengan idealisme sahaja atau paling buruk dengan bersikap jangan ganggu halaman saya. Saya mahu terus menggunakan nadir bumi, tetapi tolong jangan lakukan di belakang rumah saya. Saya rasa itu tidak bertanggungjawab. Setiap kali ada deposit, kita mesti cuba mengambilnya untuk kegunaan kita dan untuk kegunaan masa hadapan,” kata Encik Sia.
Encik Sia, yang juga ahli geologi dan yang telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam perlombongan di Australia, bagaimanapun, menjelaskan bahawa perlombongan mesti dilakukan secara bertanggungjawab dengan pengekstrakan yang optimum dan dengan kawalan-kawalan sekitaran.
Beliau berkata kaedah ISL adalah mudah untuk dijalankan dan percaya ini adalah salah satu sebab mengapa terdapat godaan dalam kalangan sesetengah pihak untuk melakukannya secara haram.
"Ia benar-benar mudah tetapi untuk melakukan perlombongan sebenar, terdapat banyak kawalan yang terlibat," kata Encik Sia, yang mengetuai kumpulan kerja di Akademi Sains Malaysia dalam membangunkan model perniagaan industri NR-REE untuk negara.
"Di situlah perlombongan sistematik yang betul dilakukan oleh syarikat perlombongan yang betul dan bukan oleh pelombong yang tidak terkawal dan haram yang biasanya menjadi punca masalah alam sekitar."
Beliau berkata, dalam perlombongan terkawal misalnya, kandungan lembapan sesuatu cerun perlu diukur manakala contoh air bawah tanah perlu diambil.
"Kita tidak boleh membenarkan kejadian tanah runtuh besar berlaku yang boleh menyebabkan seluruh industri ditutup," katanya, sambil menambah bahawa walaupun langkah tambahan akan menelan belanja yang lebih tinggi, ia perlu untuk memastikan keselamatan.
Beliau menambah bahawa Malaysia "bernasib baik" kerana menemui deposit REE agak lewat, kerana teknologi perlombongan telah bertambah baik selama ini.
Beliau berkata secara kasarnya tidak ada yang salah dengan loji ARE di Bukit Merah itu, tetapi satu-satu kelemahannya ialah ia telah ditubuhkan 50 tahun lalu dan tidak mempunyai langkah mitigasi yang sewajarnya, terutamanya dalam hal pengurusan sisa.
“Apakah jenis teknologi dan kawalan yang mereka ada? Semuanya sangat primitif. Oleh itu, kawalan alam sekitar dan pengurusan sisa tidak berteknologi tinggi seperti yang dilakukan Lynas sekarang,” katanya.
Encik Nik Nazmi memberitahu CNA bahawa kita perlu menerima hakikat bahawa sebarang inisiatif pembangunan fizikal sudah pasti akan memberi kesan alam sekitar dan sosial kepada manusia.
“Ini boleh dilihat dalam pembangunan dalam sektor lain seperti pembinaan jalan raya, perbandaran, perumahan, pertanian, pembuatan dan lain-lain. Justeru, apa yang boleh dilakukan adalah dengan memaksimumkan faedah di samping meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan masyarakat secara serentak,” katanya.
INDUSTRI HILIRAN PERLU DIBUDAYA
Encik Sia berkata deposit yang ditemui di Malaysia adalah nadir bumi yang "lebih berat" yang unik tetapi kritikal kepada teknologi baharu.
“Oleh kerana nadir bumi ini sangat istimewa, kami mahu memastikan kami dapat mengambilnya seberapa yang mungkin, dan tidak hanya menjual bahan-bahan mentah sahaja”. Beliau menambah
unsur-unsur ini berbeza daripada nadir bumi yang diproses di Bukit Merah dan Loji Lynas kerana ia tidak mengandungi bahan radioaktif.
Dr Badrulhisham Abdul Aziz dari Pusat Kemampanan Teknologi Pemulihan Mineral dan Sumber Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata di luar China, kilang Lynas adalah kilang pemprosesan nadir bumi terbesar dan paling moden di dunia.
Beliau berkata syarikat Jepun membeli nadir bumi yang diproses oleh Lynas dan menghantarnya ke kilang di Vietnam untuk membuat alat magnet super, yang penting dalam pembuatan EV dan turbin.
“Kita kehilangan peluang (mewujudkan industri) hiliran kerana isu Lynas telah dipolitikkan. Seorang duta negara Eropah juga memberitahu saya bahawa salah sebuah syarikat besar telah menarik keluar operasinya dari Malaysia untuk membina turbin angin kerana sebab ini,” katanya kepada CNA.
Beliau merujuk kepada bagaimana Pakatan Rakyat ketika itu pakatan pembangkang — terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Malaysia (PAS) — sebelum ini berikrar untuk menutup Lynas jika mereka dapat berkuasa.
Dr Badrulhisham, yang bekerja dengan pihak pelombong di Malaysia, berkata walaupun lima peratus daripada deposit nadir bumi Malaysia dilombong, ini sudah cukup untuk mengekalkan industri itu untuk selama 20 tahun.
“Kita mesti ada industri hiliran yang menyumbang kepada ekonomi. Kita mesti membangunkan keseluruhan rantaian bekalan kerana kita mempunyai bahan,” katanya sambil menambah bahawa kemunculan EV sudah tentunya akan mempercepatkan keperluan untuk lebih banyak REE.
Bagi penduduk Kampung Pong seperti Encik Ai Chuan, beliau tidak bimbang dengan projek perintis itu kerana ia terletak agak jauh dari kampungnya.
“Kami tidak terjejas buat masa ini dan projek itu masih jauh. Saya percaya kerajaan tahu mengenainya dan mereka tidak akan membenarkannya (beroperasi) jika ia memudaratkan," katanya sambil menambah beliau berharap syarikat itu akan menawarkan pekerjaan kepada para penduduk tempatan.
"Tetapi jika projek itu mahu diperluaskan dan pihak pelombong menghubungi kami, saya pasti akan kemukakan banyak pertanyaan kepada mereka."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.