Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Usaha tergesa-gesa menggali nadir bumi di Asia Tenggara menambah bahaya kepada pembela alam sekitar: Laporan

Pertubuhan bukan pemerintah antarabangsa Global Witness menyatakan seramai 177 pembela tanah dan alam sekitar terbunuh di seluruh dunia pada 2022, termasuk 16 di Asia, kerana menjadi mangsa pihak yang mengeksplotasi alam sekitar.

Usaha tergesa-gesa menggali nadir bumi di Asia Tenggara menambah bahaya kepada pembela alam sekitar: Laporan
Seorang anggota renjer di Masungi Georeserve, sebuah kawasan ekosistem penting dekat Manila yang menjadi tumpuan pertikaian ganas melibatkan tanah.  (Foto: Jack Board)

BANGKOK: Usaha tergesa-gesa yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk mencari gali bahan-bahan nadir bumi kelihatan semakin meluas di Asia Tenggara. Keadaan ini mencetuskan bahaya kematian atau ugutan kepada mereka yang mempertahankan tanah dan alam sekitar daripada kegiatan untuk mengeksploitasi sekitaran mereka.  

Menurut laporan tahunan sebuah pertubuhan antarabangsa bukan pemerintah (NGO) Global Witness, penggalian nadir bumi kini menjadi keutamaan bagi negara-negara dan syarikat-syarikat, sekali gus membahayakan keselamatan mereka yang cuba menghalang usaha tersebut. Nadir bumi adalah galian yang kritikal untuk pembangunan infrastruktur hijau seperti sumber tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik. 

NGO itu mendapati "kesan pasaran global yang kompetitif di peringkat tempatan mengingatkan legasi pencarian galian zaman penjajahan di seluruh rantau ini", walaupun ia tidak menjelaskan lebih lanjut atau memberikan statistik tentang konflik industri bagaimana yang bertanggungjawab secara langsung terhadap mana-mana serangan. 

Namun ia memberi contoh, seperti di Myanmar, di mana soal rantaian bekalan untuk nadir bumi kurang difahami, yang menurutnya “cukup melibatkan pencabulan alam sekitar dan eksploitasi manusia".

Dalam laporannya, Global Witness menyatakan ia dan rakan-rakan kongsinya telah mendokumentasikan  pembunuhan 16 pembela tanah dan alam sekitar di Asia pada 2022. Ia adalah antara 177 pembunuhan di seluruh dunia tahun lepas – atau purata satu pembunuhan selang satu hari.

Walaupun jumlah itu sedikit lebih rendah berbanding pada 2021 (di mana 200 kes pembunuhan  direkodkan), para penyelidik menyatakan ia tidak mencerminkan keadaan yang bertambah baik, dengan hak yang lebih baik untuk para pembela alam sekitar dan komuniti mereka.

Taktik tidak mengakibatkan maut seperti membuat ugutan dan gangguan, penggunaan taktik jenayah  dan serangan digital adalah juga kaedah yang semakin meluas digunakan terhadap mereka yang mempertahankan alam sekitar, tambah laporan itu. 

“Kami tahu bahawa statistik kami mengenai pembunuhan tidak mungkin mewakili skala ancaman sebenar. Terdapat pelbagai bentuk ancaman balas  yang dihadapi orang biasa, dan pembunuhan merupakan ancaman paling ekstrem,” kata Cik Rachel Cox, ketua kempen mengenai Pembela Tanah dan Alam Sekitar di Global Witness.

Filipina kekal sebagai negara paling berbahaya di Asia, berikutan 11 lagi kematian pada 2022. Sejak 2012 - tempoh di mana NGO itu mula menyimpan  rekod - negara itu telah merakamkan sejumlah 281 pembunuhan terhadap pembela tanah dan alam sekitar, yang ketiga tertinggi dalam dunia di belakang  Colombia dan Brazil.

India (81 pembunuhan), Indonesia (17), Thailand (13) dan Kemboja (10) turut tersenarai dalam senarai itu sepanjang tempoh 11 tahun lalu. Di peringkat dunia, Global Witness telah merekodkan sejumlah 1,910 pembunuhan.

Jumlah tersebut berkemungkinan besar di bawah kiraan sebenar di Asia Tenggara, disebabkan oleh kurangnya ketelusan dan kesukaran untuk mendapatkan maklumat tentang kes-kes yang berjalan.

Pemerhati ruang sivil, CIVICUS, berkata majoriti daripada 18 negara di mana pembunuhan telah berlaku sejak 2012  dinilai sebagai persekitaran "tertutup" atau "ditindas". 

"Pada dasarnya pelbagai ancaman ke atas ruang sivil, ancaman terhadap kebebasan akhbar, sekatan ke atas kebebasan berhimpun dan ketidakupayaan orang ramai untuk membantah," kata Cik Cox dari Global Witness kepada CNA.

"Ini boleh menyukarkan bukan sahaja kami untuk mengumpulkan data, tetapi juga untuk para pembela  bersuara."

GAMBAR FAIL: Pemandangan tapak perlombongan nikel Vale di Sorowako, wilayah Sulawesi Selatan, Indonesia, 29 Mac 2023. (REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana)

KONFLIK TANPA SARAN

Filipina, Indonesia dan Vietnam ialah tiga pemain utama dalam ledakan sumber asli serantau untuk logam seperti litium, nikel dan tembaga - semuanya kritikal dalam pengeluaran rangkaian komponen dan bateri tenaga bersih.

Pandemik COVID-19, konflik di Ukraine dan persaingan global untuk teknologi pengurangan lepasan gas, telah menyumbang kepada peluang-peluang yang berkembang pesat. Lantas permintaan dan harga komoditi sedemikian turut melonjak.

Berdasarkan analisis McKinsey & Company, harga logam asas seperti nikel dan tembaga meningkat sebanyak 80 hingga 120 peratus antara 2021 dan awal 2023.

Kegiatan-kegiatan mengekstrak bahan-bahan tersebut kini menjadi keutamaan, disamping pembangunan pemprosesan hiliran tembaga, emas, nikel, bijih besi dan zink, boleh menambah nilai potensi sebanyak AS$4-5 bilion (RM20-RM23 bilion) kepada negara-negara Asia Tenggara, demikian menurut dapatan kajian McKinsey.

“Apakah maknanya semua ini kepada komuniti yang tinggal di atas tanah yang mempunyai simpanan galian tersebut, tanpa mereka sendiri mengetahuinya sejak sekian lama? Tiba-tiba, orang ramai berminat dengan tanah mereka,” kata Encik Jon Bonifacio, penyelaras kebangsaan Rangkaian Rakyat Kalikasan untuk Alam Sekitar yang berpangkalan di Filipina.

Satu pertiga daripada pembunuhan di Filipina sejak 2012 telah dikaitkan dengan penentangan terhadap sektor perlombongan, menurut laporan Global Witness. Walaupun sebelum ini negara itu telah mengharamkan perlombongan baru, larangan itu ditarik balik mantan presiden Rodrigo Duterte pada 2021. 

“Walaupun kita beralih ke tenaga boleh diperbaharui, ia tidak semestinya mampan secara automatik. Kita harus sedar tentang bagaimana semua komuniti ini boleh terjejas. Bbagaimana mereka boleh disertakan dalam peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dan memastikan serangan seperti ini dapat dicegah seberapa yang boleh," katanya.

Cik Cox berkata langkah mempertahankan tanah komuniti biasanya mengheret orang-orang biasa untuk terlibat dalam konflik dengan musuh yang kuat.

“Mereka adalah ibu bapa, pemimpin masyarakat, orang asli, peguam, wartawan, dan peranan mereka dalam membangkitkan kebimbangan tentang kerosakan alam sekitar, perubahan iklim atau rampasan tanah. (Pertikaian) biasanya tercetus dengan kedatangan pihak-pihak korporat berkepentingan atau akibat keputusan pemerintah yang tidak dirujukkan kepada masyarakat,” katanya.

"Jadi, mereka memainkan peranan sebagai pembela tanah alam sekitar, biasanya tanpa kerelaan dan kesedaran bahawa itulah yang sebenarnya yang mereka sedang lakukan (iaitu sebagai pembela tanah, alam sekitar)”. 

Jon Bonifacio ialah salah seorang daripada segelintir aktivis iklim muda dari Asia Tenggara di Glasgow untuk COP26. (Foto: Jack Board)

MENJADI SASARAN

Tanpa sumber atau perlindungan, pembela boleh mendapati diri mereka sebagai mangsa "undang-undang" yang dilakukan oleh pemerintah, yang boleh menggunakan undang-undang untuk membungkam pihak lawan.

Di Filipina, sebagai contoh, para pembela boleh diberikan "tanda merah" oleh pasukan keselamatan, polis atau  pegawai pemerintah – justeru menuduh para aktivis sebagai pengganas komunis - dalam usaha untuk membatalkan penentangan mereka terhadap projek-projek.

Encik Bonifacio berkata institusi-institusi negara, syarikat dan media sosial utama perlu dipertanggungjawabkan atas peranan mereka sebagai penyebab atau membolehkan keganasan terhadap rakyat.

Beliau memetik kes membimbangkan yang sedang berjalan ke atas dua aktivis wanita muda- kedua-duanya pelajar universiti yang diculik oleh lekaki-lelaki tidak dikenali ketika cuba melakukan lawatan masyarakat ke sebuah kawasan tambakan tanah di   Manila Bay pada 2 Sep. Pihak berkuasa masih belum mengesahkan sama ada kedua-dua wanita itu dalam tahanan mereka. 

“(Dalam hal ini) orang-orang biasa berada di barisan hadapan dalam melakukan kerja yang luar biasa. Kita tidak terlepas daripada rasa terinspirasi dengan apa yang mereka lakukan. Merekalah yang sebenarnya menjadi mangsa pembunuhan, ancaman serangan dan gangguan,” katanya.

"Ia bermula dengan usaha mereka untuk menamatkan budaya boleh lepas daripada hukuman, dan untuk mempertanggungjawaban mereka yang 
bersalah, dengan mengambil tindakan-tindakan konkrit, langkah-langkah perundangan dan sebagainya, untuk melindungi para pembela alam sekitar, dan secara aktif mengiktiraf krisis yang dihadapi."

Rang undang-undang di Filipina yang bertujuan untuk melindungi pembela hak asasi manusia dan menghukum mereka yang melakukan ugutan atau keganasan, telah diluluskan di peringkat jawatankuasa Dewan Perwakilan Rakyat pada Februari.Namun dalam reaksinya, sebuah jawatankuasa bertindak pemerintah melabelkan rang tersebut sebagai “ancaman besar yang kejam dan berbahaya terhadap cara hidup berdemokrasi Filipina”. Ia sudahpun memberi reaksi demikian walaupun rang itu belum lagi dikuatkuasakan. 

Di Indonesia, di mana seramai 17 pembela tanah dan alam sekitar dirakamkan terbunuh sejak 2012, beberapa pindaan kepada Kanun Jenayah tahun lepas telah dikritik oleh pakar dan aktivis kerana dikhuatiri boleh melemahkan perlindungan alam sekitar dan mengakibatkan penganiayaan ke atas para pembela tanah.

Di bawah rang pindaan itu, syarikat-syarikat perlu dibuktikan telah melanggar undang-undang tertentu sebelum ia boleh didakwa telah melakukan jenayah alam sekitar. Ia juga memerlukan beban pembuktian yang lebih berat berbanding sebelum ini bagi sesiapa yang mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang dituduh sebagai pencemar alam sekitar. 

Rang pindaan itu yang tidak dijadualkan berkuatkuasa sepenuhnya sehingga 2025 dan boleh dicabar dari segi undang-undang, juga mengurangkan sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas pelaku jenayah alam sekitar. Ia turut menjadikannya satu kesalahan jenayah untuk mengkritik presiden, dan secara tidak langsung untuk mengkritik projek-projek awam.

Di Vietnam, lima aktivis iklim berprofil tinggi telah dipenjarakan sejak dua tahun lalu kerana kesalahan cuba mengelakkan cukai, satu tuduhan yang disebut para penyokong mereka sebagai bermotifkan politik.

"Dengan para pembela dan aktivis alam sekitar dikenakan tuduhan jenayah di Vietnam, terdapat kebimbangan serius bahawa masyarakat sivil pada dasarnya dipinggirkan daripada sebarang perbincangan mengenai soal peralihan tenaga," kata laporan itu.

Di luar rantau Asia, kemungkinan adanya huraian lain sedang diusahakan, termasuk pelantikan Pelapor Khas Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembela Alam Sekitar, di mana orang ramai boleh mengemukakan apa-apa aduan. Ia merupakan mekanisme antarabangsa pertama di dunia yang direka untuk melindungi para pembela di seluruh dunia.

Selain itu, Kesatuan Eropah pula sedang  merundingkan satu rang undang-undang baru yang mewajibkan syarikat-syarikat besar supaya melakukan pemeriksaan saksama (due diligence) terhadap aktiviti perniagaan mereka di peringkat global.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement