Lebih 300 juta nyamuk Wolbachia sudah dilepaskan di Singapura untuk tangani denggi
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura menyatakan di kawasan-kawasan banyak nyamuk, nyamuk Wolbachia tidak dapat menyaingi nyamuk-nyamuk lain yang mengakibatkan denggi.

SINGAPURA: Sebuah bangunan perindustrian biasa di Ang Mo Kio menempatkan makmal yang telah membiak lebih 300 juta nyamuk dan menghasilkan 7 juta lagi setiap minggu.
Di sinilah terletak markas Projek Wolbachia, yang menghasilkan dan melepaskan di lokasi-lokasi terpilih nyamuk-nyamuk Aedes aegypti jantan untuk mencari pasangan betina masing-masing.
Oleh kerana nyamuk jantan membawa bakteria Wolbachia, telur yang terhasil tidak menetas dan ini membantu dalam menyekat populasi nyamuk.
Namun, kes denggi di Singapura nampaknya tidak menurun sejak Projek Wolbachia dilancarkan pada 2016. Sebanyak 32,173 kes denggi dilaporkan pada 2022, kedua tertinggi dalam setahun, dengan rekod tertinggi sebanyak 35,266 pada 2020.
Awal bulan ini, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran bahawa Singapura sekali lagi berisiko mengalami lonjakan kes denggi. Kes denggi mingguan telah mencecah beberapa ratus dan lebih daripada 50 kluster aktif telah muncul.
Projek Wolbachia bukan huraian mutlak untuk membendung penularan denggi, kata Dr Ng Lee Ching, pengarah kumpulan Institut Kesihatan Sekitaran di NEA.
"Walaupun adanya Projek Wolbachia ... ini tidak bermakna kita tidak lagi menghadapi risiko."

Di beberapa tapak Projek Wolbachia seperti Tampines, Yishun dan Choa Chu Kang, populasi nyamuk Aedes aegypti telah tuurun sehingga 98 peratus dan kes denggi pula turun sehingga 88 peratus, kata Setiausaha Parlimen Kanan Baey Yam Ken, Mac lalu.
Tetapi walaupun teknologi Wolbachia berkesan dalam mengurangkan risiko penularan denggi, ia perlu dilengkapkan dengan usaha kawalan denggi, kata Dr Ng.
“Jika terdapat banyak nyamuk di luar sana, Wolbachia yang kita hantar tidak dapat bersaing dengan nyamuk-nyamuk itu. Ia mudah diatasi nyamuk-nyamuk liar yang lain.”
Nyamuk Wolbachia dengan itu akan lebih berkesan dalam mengurangkan populasi nyamuk jika jenis liar pun diturunkan, tambahnya.
Lonjakan denggi baru-baru ini juga telah didorong oleh peningkatan kes virus denggi serotype 1 (DENV-1). Virus jenis ini telah menggantikan serotype DENV-3 yang dominan sebelum ini.
"KITA BELUM TAHU SEMUANYA"
Projek Wolbachia kini meliputi kira-kira 352,000 isi rumah, iaitu kira-kira 25 peratus daripada semua isi rumah di Singapura, kata Dr Ng. Ini adalah lebih daripada dua kali ganda daripada 160,000 isi rumah yang diliputi pada pertengahan tahun lalu.
"Ini dapat dilakukan kerana teknologi yang telah bangunkan berupaya menghasilkan lebih banyak nyamuk dengan cekap," tambahnya.
Bagaimanapun, Dr Ng menekankan bahawa teknologi Wolbachia masih baharu.“Ia adalah teknologi yang masih berkembang, dan terus bertambah baik. Ini bermakna proses dan alat-alat yang digunakan mempunyai banyak potensi untuk penambahbaikan.”
Di dalam 'kilang' pembiakan nyamuk NEA
Bagaimanakah nyamuk Wolbachia-Aedes aegypti jantan dihasilkan? Saintis NEA Deng Lu menunjukkan CNA bagaimana ia dilakukan.
Langkah 1: Pengeluaran telur
Telur nyamuk dihasilkan di dalam bilik serangga dewasa, dan telur ini digunakan untuk pengeluaran nyamuk Wolbachia jantan berikutnya.
Bilik itu mempunyai beberapa sangkar nyamuk, setiap satu mengandungi nyamuk jantan dan betina. Di bahagian bawah sangkar terdapat ovipot atau bekas pengumpulan telur yang memuatkan beberapa jalur telur dan air bertakung.
Nyamuk suka tekstur kasar pada jalur-jalur dan akan hinggap di atasnya untuk bertelur, kata Encik Deng Lu, saintis kanan dan ketua cawangan pengeluaran nyamuk.
Langkah 2: Telur-telur menetas dan kiraan jentik-jentik
Sekumpulan telur-telur nyamuk Aedes pembawa Wolbachia menetas dan kemudian menjadi jentik-jentik dalam masa beberapa jam – setiap jentik-jentik dikira satu persatu.
Tiada penyelesaian turnkey untuk pengeluaran nyamuk, terutamanya untuk mengira jentik-jentik, kata Encik Deng. Pada mulanya, pasukan menggunakan telekaunter dan penitis - mengira jentik-jentik satu demi satu.
Jelas sekali, proses itu terlalu sulit.
Jadi pasukan itu membangunkan mesin pengira sendiri, yang boleh mengira 26,000 jentik-jentik dalam masa tiga hingga lima minit.
Langkah 3: Menyemai telur
Langkah seterusnya ialah proses pembenihan. Setiap kelompok 26,000 jentik-jentik dituangkan melalui biji benih dan disalurkan ke dalam dulang berasingan. Ia kemudiannya dimuatkan ke dalam sistem rak pembesaran berketumpatan tinggi.
Persekitaran di sini telah direka bentuk untuk keselesaan jentik-jentik, dengan kelembapan, suhu dan aliran udaranya terkawal.
Setiap langkah perlu dilakukan dengan tepat, dari proses kiraan nyamuk, kepada aturan pemakanan sehinggalah kepada kawalan suhu, kata Encik Deng. Ini dilakukan untuk mencapai pertumbuhan nyamuk yang optimum dari segi saiz dan kualiti hasil, tambah beliau.
Sebagai contoh, jika terdapat terlalu banyak makanan, dulang yang mengandungi jentik-jentik nyamuk akan menjadi terlalu sempit. Jika tidak cukup makanan, nyamuk betina akan menjadi lebih kecil sehingga sukar untuk membezakan antara nyamuk jantan dan betina.
Jentik-jentik ini berada di dalam bilik pembiakan selama kira-kira tujuh hari. Pada hari ketujuh, ia dituai untuk proses seterusnya – iaitu pemisahan jantina.
Langkah 4: Asingkan yang jantan daripada betina
Selepas pembiakan seterusnya, kepompong nyamuk dianalisis berdasarkan saiznya untuk memisahkan antara yang jantan dengan betina. Ini dilakukan dengan menggunakan pengimbas berasaskan AI yang mengambil gambar sampel kepompong.
Pengimbas mengenal pasti kepompong berdasarkan saiz bahu atau lebar cephalothorax - betina lebih besar.
Proses itu diteruskan di bilik pengasingan jantina, di mana ia mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam untuk menjana kira-kira 1 hingga 1.5 juta nyamuk jantan.
Langkah 5: Pembungkusan dan pengangkutan
Ini adalah langkah terakhir dalam kitaran pembiakan nyamuk - di mana nyamuk-nyamuk kemudian dikumpulkan dan diangkut untuk dilepaskan.
Kira-kira 200 kepompong Wolbachia jantan disimpan dalam bekas hitam dan dibungkus ke dalam peti berisi 35 bekas setiap satu. Oleh kerana nyamuk masih dalam peringkat kepompong, ia dibiarkan di dalam bekas selama beberapa hari untuk membesar sepenuhnya.
Seorang pegawai lapangan NEA kemudian mengangkut kotak-kotak mengandungi nyamuk untuk dihantar ke pelbagai tapak dan seterusnya dilepaskan ke lapangan.




Pasukan NEA masih mempelajari selok-belok daripada ujian lapangan Projek Wolbachia, kata Dr Ng.
"Sebagai contoh, cara terbaik untuk melepaskan nyamuk itu? Ia bukan sekadar melepaskan... Kita perlu ada taktik (tentang) cara terbaik untuk melepaskan nyamuk supaya ia lebih berkesan," katanya.
"Kami belum tahu segala-galanya. Percubaan semasa akan memberi kami idea tentang ... skala pengeluaran yang kami perlukan," katanya, sambil menambah bahawa pelajaran ini akan menyumbang kepada program yang lebih kos efektif dan mampan untuk jangka panjang.
Dr Duane Gubler, profesor emeritus Program Penyakit Berjangkit Baru Muncul di Sekolah Perubatan Duke-NUS, menegaskan bahawa Projek Wolbachia "masih dalam fasa percubaan" dan belum ditingkatkan ke seluruh negara.
"Oleh itu, ia tidak dijangka memberi kesan kepada penularan denggi secara keseluruhan," kata Dr Gubler.
Profesor Tikki Pangestu, profesor pelawat di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS, juga menekankan bahawa terdapat beberapa cabaran dalam meningkatkan projek Wolbachia ke seluruh negara. Ini termasuk kos yang tinggi, keperluan tenaga kerja, potensi kesan negatif ekologi terhadap ekosistem serta mengatasi kebimbangan orang ramai jika lebih banyak nyamuk dilepaskan.




PERLU MASA UNTUK MEMBESAR
Mengenai sama ada proses itu boleh dipercepatkan untuk menghasilkan lebih banyak nyamuk Wolbachia-Aedes jantan, kedua-dua pakar bersetuju bahawa ia perlu dipercepatkan untuk mengembangkan projek tersebut ke seluruh Singapura.
Bagaimanapun, Dr Ng NEA memberitahu CNA bahawa proses pembiakan nyamuk mempunyai jangka biologinya tersendiri dengan serangga itu memerlukan masa untuk membesar.
Keseluruhan proses dari tahap nyamuk dewasa bertelur hingga menghasilkan generasi nyamuk dewasa seterusnya mengambil masa kira-kira empat minggu.
“Sukar untuk dikatakan ‘Saya mahu membuatnya lebih pantas’ kerana ia melibatkan prosesnnya tersendiri,” kata Dr Ng, sambil menambah NEA telah “mengoptimumkan” proses untuk menghasilkan nyamuk berkualiti baik yang cergas dan mampu bersaing dengan nyamuk-nyamuk lain.
“Wolbachia jantan yang kami hantar (harus) dapat bersaing dengan nyamuk lain di lapangan. Jika ia … tidak setegap nyamuk di lapangan, teknologi itu tidak akan berfungsi.”
Beliau menambah bahawa bukan hanya bilangan nyamuk yang penting, tetapi sama ada nyamuk itu akan bertahan cukup lama di lapangan untuk meningkatkan keberkesanan Projek Wolbachia.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai mengapa pemulihan terumbu karang perlu diberikan perhatian.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.