Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Firma guaman dalam penyelesaian 1MDB dengan Goldman Sachs cabar perintah untuk serahkan dokumen

Kedua-dua firma Rosli Dahlan Sarvana dan Chetan Jetwani kini berdepan pertikaian undang-undang dengan agensi anti rasuah Malaysia atas keengganannya untuk menyerahkan dokumen dan butiran akaun perbankan yang dikaitkan dengan 1MDB.

Firma guaman dalam penyelesaian 1MDB dengan Goldman Sachs cabar perintah untuk serahkan dokumen
Siasatan skandal 1MDB kini meluas kepada persoalan mengenai peranan yang dimainkan oleh para peguam yang terlibat dalam perjanjian penyelesaian yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dengan Goldman Sachs dan institusi kewangan tempatan AmBank. (Foto: Foto AP/Joshua Paul)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan Malaysia mencabar  gergasi perbankan Amerika Syarikat Goldman Sachs kini tertumpu kepada peranan yang dimainkan oleh dua firma guaman tempatan yang terlibat dalam rundingan dua perjanjian rahsia bagi penyelesaian berbilion dolar yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kedua-dua firma peguam itu, Rosli Dahlan Sarvana Partnership (RDS Partnership) dan Chetan Jetwani & Company kini terlibat dalam pertikaian undang-undang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyerahan dokumen dan butiran akaun perbankan yang dikaitkan dengan 1MDB.
 
SPRM menyerbu pejabat kedua-dua firma lebih dua minggu lalu, tetapi tuntutan agensi itu supaya dokumen-dokumen berkaitan rundingan penyelesaian mengenai 1MDB,  ditolak para peguam berkenaan atas alasan kerahsiaan pelanggan. Keengganan itu menyebabkan SPRM terpaksa merujukkan perkara tersebut kepada mahkamah.

Para peguam terbabit berkata bahawa Mahkamah Tinggi Malaysia akan mendengar hujah daripada kedua-dua pihak pada awal November.

SOALAN-SOALAN BARU

Pendedahan yang terkandung dalam keterangan yang difailkan di mahkamah menjelang perbicaraan minggu depan yang disemak oleh CNA, menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai bagaimana perjanjian penyelesaian itu dikendalikan oleh kerajaan terdahulu pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dengan institusi perbankan Amerika Goldman Sachs dan Kumpulan AmBank, institusi kewangan keenam terbesar di Malaysia.  

Antara persoalan itu adalah mengapakah  pentadbiran Muhyiddin mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs lebih dua bulan sebelum Goldman Sachs menandatangani perjanjian pendakwaan tertunda dengan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) pada Oktober 2020 - di mana ia mengaku bersalah atas konspirasi yang melanggar Akta Amalan Rasuah Asing melibatkan 1MDB.

Keterangan-keterangan yang difailkan di mahkamah juga mengandungi maklumat yang tidak didedahkan sebelum ini mengenai penyelesaian kerajaan Malaysia dengan AmBank, yang merupakan institusi kewangan tempatan utama yang mengendalikan semua perkara berkaitan 1MDB.
 
Firma peguam RDS mewakili kerajaan Malaysia dalam penyelesaian dengan Goldman Sachs dan AmBank, manakala Chetan Jetwani & Company mewakili bank Amerika itu dalam rundingan-rundingan perjanjian penyelesaian.

Sepucuk surat firma RDS yang difailkan di mahkamah menyatakan bahawa Bank Negara Malaysia, telah memberi amaran kepada Encik Muhyiddin, yang menjadi perdana menteri selama 17 bulan mulai Mac 2020, bahawa AmBank yang merupakan syarikat awam tersenarai tidak boleh didenda lebih daripada RM600 juta ( AS$125.9 juta) "kerana lebih daripada jumlah tersebut boleh menyebabkan keruntuhan sistem perbankan".

Surat itu selanjutnya menyatakan bahawa rakan kongsi kanannya, Rosli Dahlan, yang merupakan ketua perunding sektor swasta kerajaan, telah mengadakan perbincangan langsung dengan pihak pengurusan AmBank dan berjaya mendapatkan bayaran denda berjumlah RM2.8 bilion sebagai penyelesaian pada Februari 2021 kerana peranannya dalam skandal 1MDB.

Surat itu tidak menyatakan mengapa AmBank bersetuju dengan denda yang lebih tinggi itu.
 
Encik Charles Santiago, bekas Ahli Parlimen tiga penggal daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mengikuti dengan teliti kemelut 1MDB, berkata kerajaan sepatutnya menunggu keputusan DOJ berhubung dengan Goldman.
 
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya mempertimbangkan sejauh mana pelibatan firma  perbankan AS itu dalam 1MDB sebelum mencapai penyelesaian.

"Terdapat terlalu banyak persoalan yang timbul daripada kes ini dan apa yang diperlukan adalah pembentangan  keterangan kepada jawatankuasa pilihan parlimen atau satu siasatan awam," katanya.

Goldman Sachs menyelesaikan rundingan penyelesaiannya dengan Malaysia pada minggu ketiga Ogos 2020.

Pada 22 Okt tahun itu, DOJ mengumumkan bahawa Goldman dan anak syarikatnya di Malaysia "telah mengaku bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing berkaitan dengan satu skim untuk membayar lebih AS$1 bilion kepada pegawai Malaysia dan Abu Dhabi". Goldman dikenakan denda AS$2.9 bilion oleh DOJ.

Kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengisytiharkan secara terbuka bahawa penyelesaian Kuala Lumpur dengan Goldman Sachs, yang diselesaikan dua bulan sebelum perjanjian DOJ-Goldman, tidak dirundingkan dengan baik.
 
Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia dalam keadaan tidak menguntungkan akibat tindakan Goldman memainkan peranan utama dalam mengaturkan bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion pada 2012 dan 2013.

Perbalahan antara kerajaan PM Anwar Ibrahim dengan Goldman Sachs semakin menjadi perbalahan yang sengit. (Foto: AFP)

Perjanjian menguruskan bon itu, yang menyebabkan Goldman memperoleh bayaran lebih AS$600 juta, ternyata merupakan skim terperinci untuk menggelapkan dana yang membabitkan pegawai  kerajaan dan perbankan peringkat tinggi di Malaysia serta di beberapa tempat lain.

Terdapat kebimbangan yang bertambah dalam kalangan pegawai pentadbiran dan ahli-ahli parlimen mengenai bagaimana perjanjian penyelesaian AS$3.9 bilion dengan Goldman Sachs distrukturkan pada Ogos 2020.

Di bawah perjanjian itu, Malaysia menerima bayaran pendahuluan sebanyak AS$2.5 bilion dan selebihnya akan diselesaikan dalam pembayaran berperingkat berdasarkan perkiraan kompleks melibatkan aset-aset 1MDB yang diperolehi semula.

Sumber kerajaan memberitahu CNA bahawa bayaran pendahuluan AS$2.5 bilion yang diterima Malaysia termasuk bayaran AS$600 juta yang diterima Goldman kerana mengaturkan terbitan bon 1MDB, menunjukkan Kuala Lumpur hanya mendapat AS$1.9 bilion di bawah bahagian pertama penyelesaian itu.

Selain itu, Goldman Sachs juga menegaskan bahawa jumlah penyelesaian yang diterima kerajaan Malaysia daripada AmBank dianggap sebagai sebahagian daripada pemulihan aset.

Langkah SPRM melakukan serbuan adalah sebahagian daripada kempen meluas yang dimulakan oleh Encik Anwar untuk menekan Goldman Sachs supaya mengkaji semula perjanjian penyelesaian yang kini dipertikaikan dan sebahagian daripada perbalahan timbang tara di London.

Dalam pemfailan mahkamah minggu lalu, SPRM menyatakan bahawa agensi itu telah menjalankan tindakan di bawah "Ops Canai" pada 6 Okt dengan melakukan serbuan ke atas pejabat RDS Partnership dan Chetan Jetwani & Company.

Pemfailan mahkamah SPRM menyatakan bahawa para pegawainya sedang berusaha untuk mendapatkan penyerahan dokumen berkaitan dengan perjanjian penyelesaian dan sedang menyiasat dakwaan adanya perbuatan subahat melibatkan para peguam dengan Goldman Sachs untuk menurunkan jumlah penyelesaian berkaitan 1MDB.

Dokumen yang dicari SPRM termasuk surat pelantikan oleh Goldman dan kerajaan Malaysia dan semua surat-menyurat serta minit mesyuarat berkaitan rundingan penyelesaian.

Pihak penyiasat juga menuntut kedua-dua firma undang-undang supaya menyerahkan dokumen, termasuk butiran akaun bank, untuk membantu siasatan mereka terhadap dakwaan aliran wang rasuah dan aktiviti yang dipanggil "layering", tegas dokumen pemfailan mahkamah SPRM, tanpa mengulas lanjut.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim meningkatkan tekanan ke atas Goldman Sachs untuk kembali ke meja rundingan dan menyemak semula perjanjian penyelesaian 1MDB, yang menurut Kuala Lumpur tidak boleh diterimanya. (Foto: Reuters)

"Layering", yang merupakan satu jenayah kewangan, merujuk kepada pergerakan dana dari satu akaun bank ke akaun bank yang lain dalam institusi kewangan yang berasingan untuk menambah lapisan pemilik yang sah untuk mengelakkan pengesanan sumber dana sebenar yang mungkin berpotensi melanggar undang-undang. 

Encik Chetan Lachman Jethwani, yang merupakan rakan kongsi Chetan Jetwani & Co dan peguam bagi Goldman Sachs, mencabar tindakan mahkamah yang  diambil oleh SPRM itu.

“Saya menyatakan dengan jelas bahawa satu-satunya tujuan yang boleh tercapai daripada usaha untuk  mendapatkan bahan-bahan istimewa itu, adalah kelebihan yang tidak adil terhadap anak guam saya dalam pertikaian sivil berhubung jumlah aset yang cuba didapatkan semula oleh kerajaan Malaysia di bawah terma-terma Perjanjian Penyelesaian,” kata beliau dalam afidavitnya yang difailkan di Mahkamah Tinggi.

Dalam respons berasingan, RDS Partnership menyatakan tindakan SPRM bahawa ia telah menulis kepada 1MDB untuk  "mendapatkan persetujuan dan kuasa bagi mendedahkan bahan-bahan istimewa dan rahsia".

Dalam pemfailannya kepada mahkamah, RDS Partnership juga menyatakan "dakwaan bahawa RDS berada dalam kedudukan untuk memanipulasi rundingan adalah suatu yang remeh dan tanpa asas." Tambahnya lagi, "rundingan itu dijalankan oleh pasukan petugas yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Kementerian  Kewangan, SPRM, Suruhanjaya Sekuriti dan Pusat Jenayah Anti-Kewangan Kebangsaan”.

Seorang pegawai kanan Pasukan Pemulihan Aset 1MDB memberitahu CNA bahawa para peguamnya sedang memantau perkembangan dengan teliti.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement