Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

‘Mahu merasainya lagi’: Kenapa PAS ingin memikat para pengundi bukan Islam untuk membolehkannya ke Putrajaya

Untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum Malaysia akan datang, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyedari bahawa ia tidak boleh hanya bergantung kepada undi Melayu sahaja. Namun, para penganalisis berpendapat parti itu berhadapan dengan cabaran-cabaran besar untuk memikat para pengundi bukan Melayu. 

‘Mahu merasainya lagi’: Kenapa PAS ingin memikat para pengundi bukan Islam untuk membolehkannya ke Putrajaya
Para perwakilan muktamar tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ke-69 di Shah Alam, Selangor pada 21 Okt 2023. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

KUALA LUMPUR: Matlamat yang ditetapkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk memenangi undi bukan Melayu dan bukan Islam menjelang pilihan raya umum akan datang mencerminkan cita-citanya untuk kembali berkuasa.  Bagaimanapun, para penganalisis menyatakan untuk mencapai matlamat itu bukanlah satu tugas yang mudah.

Menurut para penganalisis yang ditemui CNA, rintangan terbesar yang dihadapi parti itu terletak pada imejnya sebagai parti "ekstrem" dalam pandangan kebanyakan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam, akibat beberapa peraturan berasaskan agama yang dilaksanakannya di negeri-negeri  di bawah pentadbiran PAS.

Untuk meningkatkan peluangnya memikat para pengundi bukan Islam, PAS perlu menyederhanakan nadanya, walaupun ini menimbulkan risiko terjejasnya jenama parti itu sebagai parti yang berasaskan agama; jenama yang telah membawa kejayaan parti itu dalam pilihan raya baru-baru ini, kata para penganalisis.

“Mereka menghadapi rintangan yang besar untuk memenangi hati dan fikiran orang bukan Melayu kerana mereka juga tahu pentingnya undi orang Melayu. Ia boleh menenangkan pengundi Cina dan India tetapi berisiko pula menyinggung perasaan para pengundi Melayu,” kata penganalisis politik Jeniri Amir, seorang felo kanan Majlis Profesor Negara.

Para penganalisis berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada perasmian muktamar tahunan tiga hari parti itu pada Jumaat (20 Okt) di mana beliau berkata PAS perlu berusaha untuk memenangi sokongan para pengundi bukan Melayu dan bukan Islam jika ia mahu mencapai kejayaan lebih besar dalam pilihan raya umum Malaysia yang ke-16 (PRU16).

Abdul Hadi berkata dalam PRU-15 baru-baru ini, PAS berjaya meraih sokongan pengundi Melayu dan Islam. Oleh itu, satu usaha penting dan berat mesti dilakukan untuk mendapatkan sokongan para pengundi bukan Islam dan bukan Melayu pada PRU-16 akan datang. 

Menurut beliau usaha tersebut memerlukan pelaksanaan dan perbincangan yang tersusun dan bijak. 

Kata Abdul Hadi, PAS telah melakukan post-mortem terhadap prestasi parti itu dalam PRU-15 untuk mengenali kelemahan dan kekuatannya. Antara kelemahannya adalah kegagalan PAS untuk  mendapatkan sokongan para pengundi bukan Islam dan jumlah kerusinya yang dimenanginya masih tidak mencukupi.

Muktamar tahunan PAS berlangsung selepas kejayaan terbesar parti itu dalam sejarahnya pada PRU-15, meletakkannya sebagai parti utama untuk orang Melayu di Malaysia menggantikan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Prestasi PAS agak stabil dari pilihan raya umum ke-12 hingga ke-14, tetapi semasa PRU-15 pada November tahun lepas, ia berjaya meningkatkan jumlah kerusi parlimen yang dimenanginya sebanyak 140 peratus kepada 43 kerusi.

Ia muncul sebagai parti tunggal terbesar dalam parlimen Malaysia yang disifatkan pemimpin PAS itu sebagai pencapaian penting dalam sejarah parti sejak penubuhannya 71 tahun lalu. Abdul Hadi mengaitkan kemenangan besar itu dengan kerjasama PAS dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

PN – terdiri daripada PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, dan Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) – mempunyai sejumlah 73 kerusi dalam parlimen 222 anggota, dengan Gerakan tidak mempunyai sebarang kerusi parlimen. 

Kejayaan PAS itu mencetuskan kebimbangan tentang apa dipanggil "gelombang hijau" yang melanda seluruh Malaysia – dengan hijau dikaitkan dengan warna bendera parti itu – dengan PAS menunjukkan prestasi yang lebih baik pada pilihan raya negeri di enam negeri pada Ogos baru-baru ini.

Dalam pilihan raya negeri itu, PAS bertanding di 126 daripada 245 kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan memenangi keseluruhannya 105 daripadanya. Kejayaan itu membantu gabungan PN mengukuhkan kedudukannya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN).
 
PN memenangi 22 kerusi di Selangor, 11 di Pulau Pinang dan lima di Negeri Sembilan. Daripada jumlah itu PAS sendiri memenangi 10 kerusi di Selangor, tujuh di Pulau Pinang dan tiga di Negeri Sembilan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang di muktamar tahunan ke-69 parti itu di Shah Alam, Selangor pada 21 Okt 2023. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

IMEJ “EKSTREM”.

Walaupun pengundi Melayu adalah majoriti di Malaysia, ia membentuk hanya kurang dua pertiga daripada keseluruhan penduduk. Ia bermakna sebarang gabungan yang ingin berkuasa memerlukan undi bukan Melayu untuk mencapai matlamat mereka, kata para penganalisis.

Bagaimanapun, menurut Dr Jeniri, PAS bukan sahaja ditolak oleh bukan Melayu tetapi juga masyarakat Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak yang majoritinya beragama Kristian.

Beliau berkata, parti itu tidak mempunyai akar umbi yang kukuh di Sabah dan Sarawak.

"Sukar untuk mereka memenangi undi (Bumiputera bukan Islam) ini kerana mereka dianggap sebagai ekstrem," katanya kepada CNA.

“Banyak kali tumpuan PAS hanyalah pada soal mengharamkan penjualan alkohol atau soal pakaian. Semua ini menghantar isyarat yang salah kepada bukan Islam,” tambahnya.

Di empat negeri yang dikuasai PAS - Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis – kedai-kedai perjudian dan loteri telah diharamkan, walaupun Perlis hanya akan melaksanakan larangan itu tahun depan.

Turut tidak membantu dalam memberikan imej yang baik kepada PAS adalah laporan baru-baru ini yang memetik bahawa sejak tahun lalu kerajaan negeri Terengganu telah melarang wanita daripada bertanding dalam acara gimnastik kerana kebimbangan mengenai soal pakaian.

Beberapa peserta gimnas wanita Terengganu yang sepatutnya bertanding dalam kejohanan sukan Malaysia 2024 sebaliknya telah ditawarkan untuk menyertai pasukan Wushu.

Di Kelantan, kerajaan negeri telah melarang  panggung wayang di negeri itu kerana bimbang ia akan mempromosikan maksiat. Larangan itu telah berkuat kuasa selepas PAS mengambil alih BN sebagai kerajaan negeri pada 1990.

Laporan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia mendapati (PAS) dan presidennya Abdul Hadi paling banyak memainkan retorik perkauman semasa PRU ke-15.

Menurut kajian itu Abdul Hadi banyak menekankan sentimen-sentimen anti-Cina melalui kiriman media sosial yang negatif terhadap Parti Tindakan Demokratik (DAP), dengan menyifatkan keputusan DAP meletakkan calon-calon Melayu sebagai "langkah berbahaya dan licik".

Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata selagi PAS "tidak mesra" kepada orang bukan Islam, ini akan menyukarkan parti itu  untuk mengembangkan sayapnya. 

“Masalah utama PAS adalah mereka menggunakan agama dan etnik untuk meraih undi dan menunjukkan prejudis terhadap orang lain. Jadi, sukar untuknya memenangi undi bukan Melayu,” katanya.

Dalam ucapannya di muktamar PAS, Abdul Hadi mendakwa di negeri-negeri yang ditadbir parti itu, ia sentiasa menunjukkan kebebasan beragama untuk para penganut agama lain, dengan tempat-tempat ibadat mereka dipelihara, dan kegiatan ekonomi mereka tidak disekat. 

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata kejayaan PAS, bersama Perikatan Nasional, dalam mentadbir negeri-negerinya sering dipandang negatif kerana pegangan parti itu kepada prinsip-prinsip Islam. Tambahnya, PAS terpaksa menentang naratif Islamofobia yang mengeksploitasi label 'gelombang hijau' untuk mencemaskan orang bukan Islam.

TIDAK MERISAUKAN KERAJAAN PERPADUAN

Para penganalisis, bagaimanapun, menegaskan bahawa ketika PAS berada dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dari 2008 hingga 2015, ia tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan undi daripada bukan Muslim. 

PR yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 sebagai satu gabungan, buat kali pertamanya berjaya menafikan BN dengan majoriti dua pertiga dalam parlimen, kejayaan julong-julong kalinya bagi pihak pembangkang dalam sejarah.

PR mencapai kejayaan selanjutnya dalam pilihan raya umum ke-13 pada 2013 sebelum ia berpecah pada 2015 kerana perselisihan faham mengenai dasar, termasuk dalam soal desakan supaya dilaksanakan hukuman hudud di Kelantan.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata PAS mempunyai DAP dan PKR untuk membantunya  mendapatkan undi bukan Islam sebelum ini. Tetapi ia kini meragui bahawa rakannya dalam PN,  Gerakan boleh memainkan peranan yang sama.

Pemimpin PAS Abdul Hadi dalam ucapannya pada Jumaat berkata Gerakan mempunyai kewajipan untuk menarik sokongan para pengundi bukan Islam bagi  kerajaan PN.

Beliau berkata, walaupun umat Islam dilarang mengikrarkan taat setia kepada mereka yang bukan beragama Islam, tetapi mereka dibenarkan untuk bekerjasama dan dalam menjalin gabungan lain yang tidak melanggar prinsip dan batas-batas  perjuangan Islam.

Bagaimanapun, Dr Pandian menarik perhatian  bahawa presiden Gerakan Dominic Tan tewas dalam pilihan raya negeri Pulau Pinang walaupun bertanding di kerusi majoriti Melayu Bayan Lepas di negeri itu. 

Cawangan PAS di sana telah membantah keputusan meletakkan Dominic di kawasan itu, yang menurut mereka sepatutnya ditandingi oleh calon Melayu kerana ia adalah kerusi majoriti Melayu.

"Ini hanya menimbulkan persoalan tentang keikhlasan PAS bekerjasama dengan Gerakan, jadi orang bukan Melayu akan tetap berhati-hati dengan mereka," kata Dr Pandian kepada CNA.

Dr Awang Azman berkata Gerakan tidak mempunyai kekuatan untuk menarik sokongan pengundi Melayu, manakala pengundi bukan Melayu pula mempunyai parti-parti seperti PKR dan DAP untuk dipilih. 

“PAS tidak dilihat mempunyai kepimpinan yang dinamik, sementara isu-isu yang mereka bangkitkan pula tidak jelas atau cukup berani. Saya tidak fikir PH bimbang dengan kenyataan Hadi kerana ia hanya retorik politik,” katanya.

Dr Awang Azman juga percaya PAS tidak akan mengubah pandangannya yang berfokuskan agama selagi Abdul Hadi terus memimpin parti itu.

"Mungkin apabila era beliau berakhir, kepimpinan baharu akan dapat menyedari bahawa tanpa orang bukan Islam, mereka tidak akan dapat mengambil alih kerajaan," katanya.

Perwakilan PAS di muktamar tahunan ke-69 parti itu di Shah Alam, Selangor pada 21 Okt 2023. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

PERHATIAN PADA MUKTAMAR PAS 

Para pemerhati berpendapat dengan kejayaan PAS dalam pilihan raya baru-baru ini, yang membolehkannya menjadi parti tunggal dengan kerusi terbanyak, muktamar tiga hari parti itu, iaitu yang ke-69 sejak penubuhannya pada 1951 - dijangka melakarkan masa depan parti seterusnya. 

Tiada perubahan dalam kalangan pucuk pimpinan parti kerana tiada pertandingan untuk lima jawatan tertinggi bagi penggal 2023-2025.

Namun, Bridget Welsh, felo penyelidik kehormat Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham Malaysia, berkata muktamar PAS itu penting untuk diperhatikan menyusuli pelawaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim awal bulan ini kepada PAS untuk menyertai kerajaan perpaduan PH-BN.

“PAS tidak mungkin menerima tawaran Anwar kerana ia agak selesa di tempatnya sekarang: iaitu di mana ia semakin berkuasa dan menjadi pemain dominan dalam gabungan PN,” kata Welsh dalam artikel beliau di laman webnya pada hari Jumaat.

“Namun begitu, keghairahan dan cita-cita PAS untuk kembali menjadi kerajaan persekutuan sentiasa terserlah. Pemimpin PAS tahu bahawa dengan berada dalam kerajaan persekutuan membolehkannya mendapat pengaruh yang lebih besar.”

Beliau menambah bahawa walaupun muktamar itu  secara tradisinya adalah mengenai soal dalaman parti, kali ini PAS harus bergerak ke hadapan menjangkau keluar daripada hal-halnya sendiri sahaja. 

“Memandangkan PAS kini mendominasi politik negara, muktamar itu tentunya mendapat perhatian yang lebih besar, dengan jangkaan ramai yang lebih besar…Muktamar ini akan menjadi ujian sama ada wacana dan kaliber parti itu dalam isu-isu nasional dapat dilakukan dengan lebih bermakna lagi; ia akan menguji sama ada parti itu sudah bersedia memainkan peranan penting di atas pentas,” tulis Welsh. 

Ketika sidang media Jumaat lalu, Abdul Hadi telah menolak pelawaan Anwar, sambil membayangkan bahawa kerajaan perpaduan itu sebagai "tidak bersih". 

Para penganalisis berkata matlamat PAS untuk memikat para pengundi bukan Islam menjelang pilihan raya akan datang yang dijadualkan menjelang Disember 2027, berpunca daripada pelbagai manfaat yang diraihnya ketika berada dalam kerajaan persekutuan.

PAS adalah sebahagian daripada kerajaan pusat dari  Mac 2020 selepas gerakan politik yang menumbangkan kerajaan PH, apabila Bersatu dan beberapa ahli parlimen PKR menarik diri daripada gabungan itu.

Mereka yang menarik diri daripada PH kemudian bergabung dengan BN dan PAS untuk membentuk kerajaan baharu, dengan memilih Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Dr Jeniri berkata sebagai sebahagian daripada kerajaan persekutuan, PAS mempunyai suara yang lebih besar dalam penggubalan dasar dan ini memberinya platform untuk mempromosikan agenda Islam parti tersebut. 

“Apabila sudah merasai madu, anda mungkin mahu  merasainya lagi. Anda pasti menjadi ketagih,” kata Dr Jeniri apabila ditanya mengapa PAS mahu membentuk kerajaan persekutuan.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement