‘Buat yang minimum saja’: Apakah kehilangan bakat di Johor memburukkan budaya kerjanya
Dalam bahagian kedua cabaran tenaga kerja Johor, CNA meninjau persepsi bahawa ramai tenaga kerjanya hanya mahukan kehidupan yang baik – pekerja tempatan tidak bermotivasi untuk mencari pekerjaan dengan gaji lebih baik di tempat lain, begitu juga dengan mereka yang kembali ke tanah air selepas bertahun-tahun bekerja di luar negara.

JOHOR BAHRU: Kerani undang-undang Salina Hassim, 42, telah menetap dan bekerja sepanjang hayatnya di kampung halamannya di Johor Bahru.
Ibu kepada tiga anak itu mempunyai ahli keluarga dan rakan-rakan yang "berkali-kali" cuba memujuknya supaya mengikut mereka mencari peluang pekerjaan di Singapura, di mana gaji dua hingga tiga kali ganda daripada mereka di Johor.
Bagaimanapun, Cik Salina, yang enggan mendedahkan butiran pendapatannya, menolak semua itu kerana percaya beliau tahu apa keutamaannya dalam hidup.“Jika saya bekerja di Singapura, bagaimana saya hendak menjaga anak-anak saya? Pukul berapa saya akan pulang setiap hari untuk melihat anak-anak saya?,” katanya kepada CNA.

“Ramai rakan saya bekerja di Singapura. Malah abang saya bekerja di Singapura. Ya, mereka mempunyai kereta besar berbanding kami di sini dan ya, saya rasa agak ketinggalan, tetapi saya rasa mereka mahukan semua perkara itu untuk diri mereka sendiri dan saya tidak begitu.”
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, nilai ringgit Malaysia yang lebih lemah berbanding dolar Singapura dilaporkan telah mendorong lebih ramai rakyat Johor mencari pekerjaan di Singapura. Keadaan ini membuatkan lebih banyak tumpuan dialihkan pula kepada tenaga kerja yang masih berada di Johor.
Dalam laporan media baru-baru ini mengenai lebih ramai pekerja yang meninggalkan Johor untuk bekerja di tempat lain, Encik Yong Wa Kong, timbalan presiden Persatuan Peniaga Kopi, Restoran dan Bar Johor Bahru, berkata mereka yang tidak keluar dari negeri itu adalah mereka yang tidak meletakkan harapan tinggi untuk kehidupan mereka".
“Bagi mereka, gaji RM2,000 (S$586) atau RM3,000 sudah cukup baik,” kata Encik Yong kepada Malaysian Insight.
Beliau juga berkata segelintir pekerja akan pulang ke Johor, dengan berfikir bahawa "mereka telah mendapat wang yang mencukupi dan mahu pulang".
"Oleh kerana mereka telah keluar negara lebih sedekad, bekerja siang dan malam jauh dari keluarga mereka, mereka kini mahukan kehidupan stabil dan masa untuk diluangkan bersama keluarga," tambah Encik Yong.
KEMEROSOTAN BUDAYA KERJA DI JOHOR?
Kehilangan tenaga kerja di Johor kepada Singapura telah menimbulkan kebimbangan daripada pemerhati industri terhadap tenaga kerja di negeri itu dan bagaimana ia telah menurunkan paras budaya kerjanya.
Presiden Persatuan Tukang Masak Johor Bahru John Ang memberitahu CNA bahawa ramai rakyat Johor yang kekal di negeri ini tidak terdorong oleh keinginan untuk melakukan yang lebih baik dalam kerjaya mereka. Sikap ini katanya turut merebak ke lain-lain industri berbeza.
“Realitinya ramai pekerja di Johor senang untuk melakukan yang minimum sahaja. Jarang sekali majikan mencari pekerja yang bekerja lebih daripada itu," kata Encik Ang.
"Kebimbangan saya ialah jika ini tidak berubah, produktiviti di Johor akan kekal rendah dan ekonomi, kita akan rugi dan menjadi kurang relevan," katanya.
Seorang lagi yang berpandangan sama ialah Encik Low Kueck Shin, presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor Bahru (JBCCI), yang percaya kehilangan bakat dan tenaga kerja itu telah menyebabkan merosotnya budaya kerja di Johor.
“Selama bertahun-tahun, kita lihat semakin ramai rakyat Johor menuju ke seberang sempadan ke Singapura untuk bekerja. Terdapat persepsi bahawa mereka yang tinggal di belakang tidak bermotivasi untuk bekerja, mereka hanya mahu sekadar dapat meneruskan kehidupan,” kata Encik Low.
"Ini mungkin tidak benar untuk semua orang, tetapi realitinya budaya kerja di Johor adalah lebih perlahan dan lebih santai berbanding di Singapura," tambahnya.
Encik Low, yang mengetuai sebuah syarikat minyak sawit, memberitahu CNA bahawa dia lebih suka mengupah buruh asing daripada warga tempatan kerana mereka "lebih rajin".
“Lebih separuh daripada kakitangan kami adalah buruh asing. Mereka tidak mahir tetapi mereka bekerja keras,” kata Encik Low.
Cik Emelia Dewi Md Syam, yang dilahirkan di Johor, menghabiskan lapan tahun bekerja dalam sektor runcit di Singapura.

Warganegara Malaysia berusia 39 tahun itu berulang-alik setiap hari melalui bas dari rumahnya di Johor Bahru untuk bekerja antara 2011 hingga 2019. Selama dua tahun sebelum itu, dia bekerja dalam bidang runcit di Johor Bahru.
Bagaimanapun, sejurus sebelum wabak COVID-19, dia berhenti kerja kerana berasa tertekan dengan beban kerja dan perjalanan harian. Dia kini menetap di Bangi, Selangor dan menyara hidup sebagai pekerja bebas.
Cik Emelia Dewi memberitahu CNA bahawa walaupun dia sudah tidak lagi bekerja di Singapura kerana tekanan, beliau juga tidak mahu bekerja di Johor Bahru.
“Saya pernah mendengar daripada rakan-rakan, budaya kerjanya adalah buruk. Kadar berhenti kerja adalah tinggi apabila mereka mendapat tawaran dari Singapura. Jadi mereka yang tidak keluar negeri pula dibebani dengan banyak kerja,” kata Cik Emilia Dewi.
Ketika ditanya sama ada beliau mungkin bekerja lebih lama di Singapura, Cik Emilia Dewi berkata dia agak kesal juga pulang semula ke Malaysia.
“Saya lebih rapat dengan keluarga saya sekarang. Memang berbaloi untuk mencubanya (bekerja di Singapura), tetapi saya lebih gembira dengan kadar kehidupan yang lebih perlahan ini,” tambahnya.
Seorang jururawat, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Rani, adalah warga Johor yang kini bekerja dan menetap di Singapura.
Dia sebelum ini bekerja di sebuah hospital awam di Johor, dan dia mendakwa bahawa jururawat ketika itu dilayan seperti "buruh hamba".
“Kami bekerja mengikut syif berturut-turut kerana tidak cukup kakitangan dan tiada rehat semasa syif. Kami juga tidak diminta pergi berkursus untuk meningkatkan kemahiran seperti di Singapura,” kata Cik Rani.
Kerani undang-undang Cik Salina mengakui bahawa Johor mungkin mengalami kekurangan tenaga kerja - di mana pekerja paling mahirnya telah terpikat ke Singapura untuk mendapatkan gaji yang lebih baik, mengakibatkan kekosongan tenaga kerja di Johor.
Tambahnya, sebilangan rakyat Johor juga mengekang diri daripada meningkatkan kemahiran kerana mereka ada pilihan yang mudah iaitu merentasi sempadan dan bekerja secara sambilan.
“Kebanyakan rakyat Johor yang merentas sempadan ini tidak menamatkan pengajian atau melanjutkan ke universiti kerana mereka mampu mendapat gaji yang lumayan dengan bekerja sambilan seperti menjadi pelayan dan pekerja pembersih di Singapura,” tambah Cik Salina.
"Saya rasa apabila mereka kembali bersama keluarga, mereka sedar mereka telah mensia-siakan peluang untuk meningkatkan diri dan mempunyai kerjaya yang memuaskan," katanya. Beliau mengambil contoh bagaimana seorang rakannya telah menolak peluang untuk belajar undang-undang, semata-mata kerana mahu bekerja sebagai pemandu di seberang Tambak.
MENGUBAH KEADAAN
Encik Thomas Mathew, ketua eksekutif Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang ditugaskan untuk mengurangkan tahap kehilangan bakat nasional, memberitahu CNA bahawa nisbah penduduknya yang bekerja di luar negara berbanding jumlah penduduk keseluruhannya adalah tidak seimbang (jika dibandingkan dengan negara-negara lain).
Memetik data migrasi dunia yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Mathew berkata bahawa 5.6 peratus daripada penduduk Malaysia, atau sekitar 1.6 juta, bekerja di luar negara, berbanding purata global sebanyak 3.6 peratus.

"Tetapi apabila anda meneliti perangkaan itu dengan lebih mendalam, anda akan mendapati bahawa 60 peratus rakyat Malaysia di luar negara itu bekerja di Singapura," kata Encik Mathew.
Beliau berkata bahawa TalentCorp telah menumpukan usahanya untuk menarik balik bakat dari Singapura melalui Program Kepulangan Pakar (REP).
Program ini yang juga meliputi inisiatif Malaysia@Heart, menawarkan insentif untuk rakyat Malaysia yang berkemahiran yang ingin pulang dari luar negara.
Insentif ini termasuk kadar cukai rata optimum 15 peratus ke atas pendapatan pekerjaan bercukai selama lima tahun berturut-turut serta pemberian status penduduk tetap PR kepada pasangan dan anak warga asing yang layak, tertakluk kepada kelulusan dan budi bicara Jabatan Imigresen Malaysia.
Bagaimanapun, menurut data yang dikeluarkan oleh TalentCorp, hanya 17 peratus daripada mereka yang berjaya pulang ke Malaysia melalui REP adalah dari Singapura. Ini adalah sebahagian kecil sahaja memandangkan enam daripada sepuluh rakyat Malaysia yang berpangkalan di luar negara berada di Singapura.
"Kami gembira dengan apa yang kami capai (tetapi) apabila anda melihat jumlah penduduk yang berpangkalan di luar negara, sudah tentu ini belum lagi mencukupi," kata Encik Mathew.
Namun, Encik Mathew tetap optimis bahawa kebanyakan rakyat Malaysia yang berpangkalan di luar negara suatu hari nanti akan kembali untuk berkhidmat kepada ekonomi negara kerana keterikatan emosi dan identiti nasional yang dimiliki oleh kebanyakan mereka.
“Kajian kami menunjukkan bahawa 85 peratus rakyat Malaysia yang berpangkalan di luar negara mahu pulang ke Malaysia satu hari nanti,” katanya.
MENCIPTA LEBIH BANYAK PEKERJAAN MAHIR
Untuk menarik lebih ramai pekerja mahir pulang ke tanah air atau penduduk tempatan untuk tinggal dan mendapatkan kemahiran dan pekerjaan yang lebih baik, kerajaan Malaysia berminat untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Johor demi meningkatkan bilangan pekerjaan mahir untuk tenaga kerjanya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), daripada populasi bekerja seramai 15.39 juta orang pada 2022, 29.6 peratus daripada mereka dikategorikan sebagai mahir manakala 12 peratus adalah berkemahiran rendah. Lebih separuh iaitu 58.4 peratus berada di bawah kategori separuh mahir.
Timbalan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Liew Chin Tong memberitahu CNA bahawa ekonomi negara telah bergantung kepada buruh asing mahir "untuk jangka masa yang terlalu lama", sementara para pekerja tempatan pula sejak sekian lama bergelut untuk mendapatkan jawatan berkemahiran tinggi.
“Sekitaran pekerjaan kami masih dalam takuk kos dan produktiviti rendah, dan ini tidak berubah,” katanya, sambil menambah bahawa Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 merancang untuk meningkatkan bilangan pekerjaan pembuatan bergaji tinggi di Johor dalam tempoh tujuh tahun akan datang .
Beliau menekankan bahawa bilangan pekerjaan dalam sektor pembuatan dijangka meningkat kepada 3.3 juta menjelang 2030 pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 2.3 peratus, dengan jumlah yang ketara di Johor.
Tambahan pula, beliau menambah bahawa gaji median bagi sektor pembuatan dijangka meningkat secara nasional daripada RM1,976 pada 2021 kepada RM4,510 menjelang 2030.
"Pada satu ketika kami boleh membantu industri meningkatkan teknologi, mengautomasikan pengeluaran dan kurang menggunakan tenaga kerja, supaya dapat meningkatkan gaji sektor pengilangan," kata Encik Liew, yang juga ketua bahagian Johor Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Encik Liew berkata Johor, dengan tanah yang banyak dan infrastruktur perindustrian yang baik, berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui ke hadapan dengan memujuk syarikat-syarikat supaya kurang bergantung kepada tenaga kerja asing mahir, dan lebih kepada teknologi dan automasi.
“Jika kita benar-benar boleh meningkatkan gaji pengilangan dengan ketara, ini akan menyediakan sejumlah besar pekerjaan mahir yang boleh dipertimbangkan oleh rakyat Malaysia.
“Mereka yang sudah berada di Singapura, bukan mudah untuk mereka kembali. Tetapi mereka yang masih belum keluar jika mereka mendapati pekerjaan di Malaysia membayar gaji yang berbaloi, mereka akan menimbangkan semula untuk pulang.”
MENCARI KERJASAMA, BUKAN SAINGAN, DENGAN SINGAPURA
Untuk mengatasi masalah kehilangan bakat di Johor, kerajaan Malaysia berusaha untuk bekerjasama, bukannya bersaing, dengan Singapura, seperkara yang diakur sama oleh ketua TalentCorp, Encik Mathew.
Beliau berkata kedua-dua negara harus bekerjasama, bukannya cuba merebut bakat antara satu sama lain.
Beliau memetik satu cara untuk melakukannya adalah penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura yang diumumkan baru-baru ini, yang boleh meningkatkan peluang pekerjaan untuk anak muda Johor tempatan tanpa perlu menyeberangi Tambak.
Kerajaan kedua-dua negara telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas bagi mengkaji kemungkinan SEZ itu berikutan mesyuarat ke-16 Jawatankuasa Menteri Bersama Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) pada Julai.
Dalam kenyataannya, jawatankuasa itu berkata SEZ Johor-Singapura akan membina asas yang ditetapkan oleh pelbagai kumpulan kerja untuk memacu pertumbuhan mampan, membangunkan modal insan, dan menambah baik infrastruktur dan ketersambungan.
Pada 14 Sep, Menteri Besr Johor Onn Hafiz Ghazi berkata bahawa Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim akan membincangkan terma rujukan (TOR) SEZ yang dicadangkan dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong semasa Pemukiman Pemimpin akan datang pada Oktober.
"Saya fikir itu mungkin caranya, dan kemudian kita mungkin menemui semacam keseimbangan tentang soal gaji antara kedua-dua negara," kata Encik Mathew.Timbalan menteri Liew juga menggariskan bahawa firma di Singapura memerlukan kawasan pedalaman dan tapak pengeluaran, dan Johor berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakannya.

"Jadi, katakan syarikat anda menubuhkan hab serantau di Singapura. Para pengurus boleh melihat kilang-kilang mereka, tidak jauh dari Singapura, mungkin dalam masa dua jam perjalanan," kata Encik Liew.
Beliau menambah bahawa jarak Johor yang berdekatan dengan Singapura, dan tanah murah serta infrastruktur yang baik akan menjadikannya pilihan yang sesuai untuk perniagaan ini.
Kedua-dua Encik Liew dan Encik Mathew yakin Johor juga mungkin mendapat manfaat dalam bidang bakat manusia akibat peningkatan kos sara hidup di Singapura, terutamanya dalam sektor perumahan.
"Pada satu masa nanti, ia akan menjadi sangat mahal untuk tinggal di Singapura. Rakyat Malaysia akan berkata ia tidak berbaloi untuk saya tinggal di Singapura untuk bekerja," kata Encik Mathew.
Encik Liew berkata hubungan perjalanan yang lebih baik antara kedua-dua negara hasil projek sistem rel RTS, yang dijadualkan beroperasi mulai akhir 2026 yang menghubungkan Bukit Chagar di bandar Johor Bahru ke Woodlands di Singapura, juga boleh membantu dalam mengekalkan bakat Johor.
Tetapi beliau juga menggesa kedua-dua negara melakukan lebih banyak lagi dalam memudahkan kebolehcapaian (accessability), seperti dengan mengendalikan tiga lagi laluan feri dari Pasir Gudang ke Changi atau dari Pelabuhan Puteri ke Tuas atau dari Forest City ke Tuas atau Jurong.
Pada Ogos, PM Anwar mengumumkan bahawa Forest City akan dijadikan sebagai zon kewangan khas yang menawarkan insentif cukai dan kemasukan pantas para pekerja dari Singapura.
Encik Liew berkata bahawa kerjasama Johor dengan Singapura boleh menjadi hal menang-menang bagi kedua-dua pihak.
"Jadi kita berada dalam era baharu di mana terdapat banyak pelaburan masuk ke rantau ini dan jika kedua-dua Singapura dan Malaysia boleh meningkatkan prestasi kita ... saya menjangkakan bahawa pada tahun-tahun akan datang ekonomi Malaysia akan dapat menyediakan para pekerjanya dengan bayaran gaji yang jauh lebih baik,” katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.