Satu sahaja tidak cukup: Belia Korea Selatan perlu mempunyai dua pekerjaan untuk bersaing
Generasi muda Korea Selatan digelar sebagai ‘Generasi N Po’, mereka yang terpaksa mengorbankan perkahwinan, tidak memiliki anak dan banyak lagi — semua kerana ketidakpastian pekerjaan dan kos sara hidup yang tinggi.

SEOUL: Pada siang hari, dia seorang pereka web dan pada waktu malam, termasuk hujung minggu, dia bekerja di dua kedai serbaneka. Sejak bulan Mac, Kim Jaram telah mencatatkan lebih 100 jam kerja seminggu, lebih daripada dua kali ganda bagi mereka yang bekerja waktu biasa pejabat.
"Di Korea Selatan hari ini, jika anda ingin bertahan dengan gaji bulanan, itu hanya boleh berlaku jika anda bekerja dengan syarikat besar atau anda melakukan pekerjaan tertentu," kata wanita berusia 32 tahun itu, yang tinggal di Seongnam, sebuah bandar satelit di tenggara Seoul.
"Bagi orang biasa, jika anda ingin menabung untuk masa depan, memiliki dua pekerjaan adalah satu keperluan."
Jadual yang padat, bagaimanapun, mula memberi kesan kepada Kim, yang memegang ijazah bersekutu dalam makanan dan pemakanan tetapi membuat pertukaran kerjaya selepas mengikuti kursus reka bentuk web.

"Saya tidak merancang untuk hidup seperti ini sepanjang hayat saya," katanya tentang jadual semasanya, yang hanya membolehkan dia tidur kira-kira tiga jam pada hari bekerja.
"Matlamat saya adalah untuk mencapai kebebasan kewangan antara umur 40 dan 45 tahun. ... Tiada masalah kalau saya bekerja keras selagi yang saya boleh sekarang.
Korea Selatan adalah sebuah negara maju yang berkembang pesat. Namun, terdapat trend - seperti di beberapa negara lain di Asia - di mana generasi muda merasa lebih sukar daripada ibu bapa mereka untuk mencapai kemajuan walaupun memiliki pendidikan yang lebih tinggi.
Belia negara ini dipanggil "Generasi N-Po", di mana mereka mesti mengorbankan beberapa perkara yang semakin bertambah akibat ketidakpastian pekerjaan dan kos perumahan dan sara hidup yang tinggi. (Istilah ini bermula sebagai "Generasi Sampo", yang merujuk kepada belia yang perlu mengorbankan berpacaran, berkahwin dan mempunyai anak kerana ketidakpastian ekonomi yang diburukkan lagi oleh krisis kewangan dunia 2008.)
"Neraka Joseon" ialah satu istilah yang dicipta kira-kira lapan tahun yang lalu, yang menggambarkan masyarakat Korea moden sebagai versi neraka dari dinasti Joseon dan sistem kelas yang tidak saksama.
Kisah Kim, dan belia lain yang ditemui CNA Insider baru-baru ini di Korea Selatan, menonjolkan kesan akibat sistem yang keras dan terlampau berdaya saing yang bermula di sekolah dan berterusan hingga dewasa.
Faktor-faktor yang menyebabkan belia negara ini terperangkap adalah cukup berakar dalam budaya. Tetapi kami dapati bagaimana sesetengah individu sedang cuba membebaskan diri daripada keadaan yang susah ini dan apa lagi yang boleh dilakukan untuk memperkuatkan generasi mereka.
JANGKAAN IBU BAPA
Beban jangkaan yang dipikul warga Korea Selatan bermula sejak usia muda, kata para belia dan pakar.
Ibu bapa "memaksa" jangkaan dan impian mereka yang tidak tercapai ke atas anak-anak mereka; dengan meletakkan jangkaan agar anak-anak mereka masuk ke sekolah terbaik dan mendapatkan pekerjaan yang stabil, kata Ko Gang-seob, penyelidik dasar belia yang menjadi penggubal undang-undang.
TONTON: Tanpa tidur, 2 pekerjaan: Bolehkah golongan muda Korea Selatan membebaskan diri daripada persaingan ‘Neraka Joseon’?
Ini berpunca daripada perubahan selepas Perang Korea, apabila ekonomi Korea Selatan berkembang dan mencapai pertumbuhan pesat sehingga tahun 1990-an. Idea untuk berjaya dan "cepat menjana wang" telah tertanam sejak itu, kata Ko.
Anak kepada seorang pemandu bas dan tukang jahit kilang, Ko sebelum ini bekerja di Institut Profesional Muda Korea dan kini merupakan ahli Majlis Daerah Jungnang.
Ibu bapanya membenarkannya mengejar apa sahaja yang dia mahu selepas dia berjaya ke universiti. "Belia hari ini berada dalam persekitaran keluarga yang sedikit berbeza," katanya.
Kim, misalnya, ingin belajar psikologi jenayah ketika dia berada di sekolah menengah. Apabila grednya tidak cukup baik untuk penerimaan awal ke universiti, pilihan keduanya adalah reka bentuk fesyen. Tetapi prospek kerjaya yang tidak stabil membimbangkan ibu bapanya.
Dia memutuskan untuk mengambil jurusan makanan dan nutrisi dan berjaya mendapatkan ijazah bersekutu dua tahun. Sebagai pakar pemakanan, dia memperoleh pendapatan yang cukup untuk menabung tetapi merasakan ia bukan sesuatu yang dia mahu lakukan seumur hidup.

Selepas dia berhenti dan belajar reka bentuk web melalui program yang dibiayai oleh kerajaan yang dipanggil Tomorrow Learning Card, ibu bapanya beralih daripada memberitahu rakan-rakan mereka, "Anak perempuan kami adalah pakar pemakanan", kepada hanya "Anak perempuan kami bekerja", katanya.
Seorang lagi remaja, Kim Myung-jun, 27, mahu menjadi pelakon ketika kecil dan mempunyai banyak minat termasuk bola sepak. Ibu bapanya tidak suka gangguan seperti itu yang boleh mengalihkan perhatian anak mereka daripada pelajarannya. Ini telah menyebabkan konflik kepada kedua-dua pihak. Zaman sekolah menengah beliau adalah "tempoh yang paling gelap dan paling menyedihkan" dalam hidupnya.
Ibunya, seorang guru, tahu betapa pentingnya pendidikan. Dia memindahkan keluarganya ke Mok-dong, sebuah kawasan kejiranan di barat Seoul yang terkenal dengan institusi pendidikan swasta dan sekolah yang baik.
Usahanya membuahkan hasil apabila Kim mendapat penerimaan awal ke salah satu universiti paling berprestij di Korea Selatan, Yonsei, untuk belajar pentadbiran perniagaan. Sementara itu, anaknya teruja untuk memasuki kolej sebagai sebahagian daripada "permulaan baru".

KELEBIHAN BAGI YANG KAYA
Persaingan sengit untuk memasuki sekolah elit adalah fenomena terkenal di Korea Selatan, dan pemerhati mengatakan ia memihak kepada orang kaya.
Semua pelajar senior sekolah menengah perlu mengambil peperiksaan standard untuk memasuki kolej, dengan persaingan yang begitu tinggi sehinggakan ada jadual penerbangan pesawat perlu ditangguhkan atau laluan dipesongkan untuk mengelakkan para pelajar daripada diganggu bunyi bising.
Ramai pelajar menghabiskan masa bertahun-tahun untuk bersiap sedia menghadapi ujian terbesar dalam kehidupan mereka, termasuk mengeluarkan ratusan, malah beribu-ribu dolar setiap bulan di sekolah tambahan yang dipanggil "hagwon".
Tahun lalu, rakyat Korea Selatan membelanjakan 26 trilion won (RM91 bilion) untuk pendidikan swasta, 10.8 peratus lebih banyak daripada tahun sebelumnya, menurut statistik Korea. Menurut laporan agensi berita Yonhap, setiap pelajar mengeluarkan secara purata 410,000 won (RM1,400) setiap bulan untuk pendidikan swasta tahun lalu, peningkatan 11.8 peratus dari tahun 2021.

Matlamat mereka adalah mendapatkan tempat di sekolah terbaik di negara ini: Universiti Kebangsaan Seoul, Universiti Korea dan Universiti Yonsei, secara kolektif dikenali dengan akronim SKY.
Ramai pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik biasanya akan mengulangi ujian itu, bahkan beberapa kali, untuk masuk ke sekolah yang baik.
Kira-kira satu per lima pemohon tidak menghadiri pendidikan formal selama setahun semata-mata untuk mempersiapkan peperiksaan itu buat kali kedua, menurut kertas kerja Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang diterbitkan tahun lepas, bertajuk "Dasar untuk Meningkatkan Pekerjaan Belia di Korea".
Persaingan ini berterusan sehingga ke universiti: Pelajar "bukan sahaja perlu cemerlang dalam kursus mereka tetapi juga mendaftar untuk kelas tambahan, seperti bahasa Inggeris dan kelas kokurikulum lain", untuk meningkatkan kurikulum dan daya saing mereka, kata penyelidik bersekutu tinggi Kwak Yoon-kyung di Institut Kesihatan dan Hal Ehwal Sosial Korea yang dibiayai oleh kerajaan.
Seringkali, mereka memerlukan sokongan kewangan daripada ibu bapa mereka, yang juga mempunyai rangkaian sosial yang boleh membantu anak-anak mereka mendapatkan pekerjaan atau masuk ke industri tertentu di masa depan, tambahnya.
'TIADA PELUANG KEDUA’
Terdapat pelbagai sebab mengapa ramai anak muda berusaha keras untuk masuk ke sekolah berprestij dan memperbaiki CV mereka, yang seterusnya mempunyai kesan yang jauh lebih besar terhadap pasaran buruh dan masyarakat Korea Selatan.
Salah satu sebabnya adalah untuk mendapatkan akses kepada rangkaian sosial yang dapat membantu mereka maju pada masa akan datang, kata Eun Suk, penolong profesor di jabatan kebajikan sosial di Universiti Wanita Duksung.
Satu lagi sebab ialah Korea Selatan "bukanlah negara yang memberi peluang kedua", katanya. "Memang menyedihkan apabila jalan hidup seseorang ditentukan oleh satu peperiksaan kemasukan kolej sahaja."
Kemasukan ke sekolah elit akan meningkatkan peluang pekerjaan di sebuah syarikat besar atau perkhidmatan awam.

Tidak ramai belia mahu bekerja di syarikat kecil dan sederhana (SMEs): 4 peratus daripada mereka yang berusia 13 hingga 34 tahun, menurut tinjauan kerajaan 2021.
Firma yang mempunyai sekurang-kurangnya 300 pekerja membayar pekerja muda 50 peratus gaji lebih tinggi daripada firma yang mempunyai kurang 10 pekerja, dan jurang itu semakin membesar dengan pertambahan usia, menurut kajian OECD. Dan peluang untuk menjadi pekerja bukan tetap dengan perlindungan sosial dan pekerjaan yang kurang adalah lebih tinggi.
Selain itu, "amat jarang bagi orang muda yang memulakan kerjaya dalam syarikat kecil untuk berpindah ke syarikat besar," kata Eun. Tetapi dengan lebih ramai orang yang menyasarkan syarikat besar melebihi jawatan kosong, "persaingan telah menjadi semakin sengit".
Dua pertiga responden dalam tinjauan kerajaan itu berharap untuk bekerja di syarikat besar, agensi kerajaan, atau syarikat awam. Graduan universiti lebih cenderung untuk menunggu giliran mendapatkan pekerjaan dalam organisasi seperti itu daripada mengisi jawatan kosong dalam SMEs, menurut OECD.
Ini adalah salah satu sebab kadar pekerjaan dalam kalangan belia Korea Selatan lebih rendah daripada purata 38 negara anggota OECD: hampir 9 mata peratusan lebih rendah pada tahun 2021, pada 44.2 peratus.
Lebih 1.26 juta belia Korea Selatan (berumur 15 hingga 29 tahun) menganggur. Lebih separuh daripada mereka, kira-kira 678,000 memiliki ijazah sarjana muda atau lebih tinggi, menurut data kerajaan pada Mei ini.
Bagi kumpulan umur 25 hingga 29 tahun, kadar pengangguran adalah 6.1 peratus, lebih dua kali ganda daripada kadar pengangguran keseluruhan pada 2.7 peratus.
Jumlah belia yang bekerja sebagai pekerja tidak tetap (sebagai pekerja sambilan, tempoh tetap, dan pekerja lain daripada biasa) juga agak tinggi, pada 42.1 peratus pada tahun 2021, menurut perangkaan daripada Statistics Korea.
MENJADI PENYENDIRI
Laluan sempit untuk berjaya memberi kesan kepada kesihatan mental belia. Ini sesuatu yang Yoo Seung-gyu, 30, bukan sahaja dapat lihat tetapi alami sendiri.
Ketika berusia 19 tahun, dia menarik diri dari dunia luar dan bersembunyi di biliknya selama lebih dua tahun. Dia muncul semula hanya untuk menjalani khidmat ketenteraan wajib, kemudian kembali menjadi penyendiri selama kira-kira dua tahun lagi.

Yoo berkata beliau berasa ditindas oleh bapanya, dan melihat ibu bapanya bertengkar telah memburukkan lagi keadaan. Dia merasakan "rasa tidak berdaya - tidak kira seberapa banyak saya katakan, mereka tidak akan mendengar saya", katanya.
Masanya sebagai seorang penyendiri, atau "hikikomori", berakhir selepas dia menjumpai sumber-sumber dalam talian, dan menyedari bahawa dia tergolong dalam kategori orang seperti itu; dia juga menemui sebuah organisasi Jepun yang kini tidak berfungsi lagi bernama K2 International yang membantu para individu seperti dirinya.
Organisasi tersebut menguruskan sebuah rumah kongsi untuk para penyendiri dan yang lebih penting, menawarkan kesabaran dan dorongan, serta mengajar mereka bahawa "tidak mengapa untuk gagal," katanya.
Faktor-faktor yang menyebabkan belia menjadi penyendiri berbeza-beza, daripada kegagalan mendapatkan pekerjaan atau memasuki sekolah kepada hubungan yang gagal, katanya. "Kebanyakan mereka tidak lagi bermotivasi apabila mereka merasakan mereka tidak sebaik orang lain dalam masyarakat yang berdaya saing."

Hari ini, dia menguruskan sebuah perusahaan sosial yang dipanggil Not Scary untuk membantu para penyendiri, secara amnya sekumpulan orang yang telah menghabiskan hampir sepanjang masa mereka di rumah selama enam bulan atau lebih dan tidak mempunyai hubungan sosial. Kumpulan umur paling umum adalah mereka yang berusia 20-an dan 30-an, katanya.
Kira-kira 3.1 peratus rakyat Korea Selatan berusia 19 hingga 39 tahun adalah penyendiri, dan kerajaan telah mengumumkan lebih banyak bantuan untuk mereka.
Pada April, Kementerian Kesaksamaan Jantina dan Keluarga berkata ia akan menyediakan elaun bulanan sehingga 650,000 won kepada individu-individu ini yang berumur 9 hingga 24 tahun dalam isi rumah yang berpendapatan di bawah median pendapatan negara.
Elaun itu, bersama-sama dengan kelayakan untuk subsidi lain, bertujuan membantu mereka "memulihkan kehidupan seharian dan kembali ke pangkuan masyarakat", kata kementerian itu.
Not Scary kini menguruskan sebuah rumah kongsi dengan sembilan penghuni termasuk Yoo. Keluarga penghuni membayar yuran bulanan sebanyak 1.55 juta won. Aktiviti berkumpulan di rumah ini termasuk sesi senaman dan persediaan untuk membuat persembahan atau komedi.

Ruang hidup bersama adalah kaedah "paling berkesan" untuk membantu memulihkan hubungan sosial, kerana terdapat "had jika seseorang ingin pergi ke pusat kaunseling dan hospital", katanya. "Adalah penting untuk mempunyai ruang fizikal di mana mereka dapat bertemu rakan sebaya, sama seperti ketika mereka pergi ke sekolah."
Proses pemulihan mengambil masa 18 bulan secara purata, dan Not Scary menawarkan sokongan berterusan serta menjemput bekas penghuni kembali untuk berkumpul, katanya. Organisasi itu tidak menerima pembiayaan kerajaan dan memperoleh pendapatan lain daripada menyampaikan bengkel dan ceramah, pengeluaran kandungan dan pembiayaan daripada yayasan swasta, katanya.
BEBERAPA CADANGAN DASAR
Satu bidang di mana sesebuah negara juga boleh melakukan perbaikan adalah dengan meningkatkan prospek belia yang melanjutkan pengajian di universiti selain SKY atau institut vokasional, kata pakar.
Hanya 2 peratus daripada ratusan ribu yang mengambil peperiksaan kemasukan kolej Korea Selatan menerima tawaran untuk belajar di universiti SKY.
Belia yang lulus dari universiti bukan SKY harus "mempunyai jalan untuk memenuhi impian mereka ... walaupun mereka tidak mendapat keputusan yang mereka mahukan dalam peperiksaan kemasukan kolej", kata Eun.
Tidak ramai belia Korea Selatan yang berhasrat untuk memulakan perniagaan mereka sendiri, dan di sinilah pemerintah boleh melakukan lebih banyak lagi untuk membantu merangka perniagaan kecil dan memastikan akses kepada kredit, katanya.
Adalah sukar bagi golongan muda untuk kembali ke landasan yang betul setelah mereka mengalami kegagalan.
Kajian OECD mendorong universiti untuk menghapuskan had pendaftaran pelajar mengikut bidang pengajian, bagi meningkatkan relevansi kepada pasaran tenaga kerja. Satu cadangan lain ialah untuk memperluaskan sekolah Meister - sekolah menengah vokasional yang mengikuti model Jerman yang menggabungkan pendidikan dengan pengalaman kerja.
BUKAN FLAT TETAPI MUNGKIN 'VILA'
Sementara itu, para belia yang dihubungi CNA Insider dapat memanfaatkan sumber-sumber pemerintah sedia ada secara mendalam.
Park Jong-min, 30, seorang penduduk Seoul, ingin mencipta masa depan yang lebih baik sebagai programmer laman web selepas mengalami zaman kanak-kanak yang sukar dan mengatasi ketagihan bermain permainan video.
Ibunya meninggalkan beliau ketika berusia setahun, dan dia serta bapanya berpindah apabila bapanya mempunyai pasangan baru. Bapanya juga mempunyai masalah minum, dan Park Jong-min meninggalkan rumah pada usia 16 tahun, dengan mencari perlindungan di pusat penjagaan belia sementara, dan kemudian di rumah sepupunya.

Dia cuba melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti yang dibiayai pemerintah, tetapi ketagihannya terhadap permainan video mengakibatkan dia berhutang sebanyak 50 juta won.
Pada satu ketika, dia memikirkan untuk mengakhiri hidupnya dan mewujudkan saluran YouTube untuk bercerita tentang hidupnya. Sokongan dan simpati dari orang lain mendorongnya untuk mengubah fikiran dan terus berusaha.
Sejak lima tahun yang lalu, dia telah tinggal di "goshiwon", sebuah kemudahan bergaya asrama yang ditujukan untuk penyewa berpendapatan rendah dan mereka yang mengulangi peperiksaan. Dia juga telah membuat rancangan untuk membayar hutangnya selama lapan tahun dan mempunyai enam tahun lasi untuk menyelesaikannya.
Dia menjalani kehidupan dengan bantuan pemerintah berjumlah kira-kira 1.5 juta won setiap bulan, dan sebagai balasan dia bekerja di sebuah badan pemerintah yang membuat beg membeli-belah. Beliau berharap dapat mendaftar di akademi programming laman web yang dibiayai pemerintah pada tahun 2024.
'TIADA PENYESALAN'
Sementara itu, Kim Myung-jun mungkin menjadi bahan iri hati bagi mereka yang berusaha untuk mendapatkan tempat di universiti SKY. Tetapi, tidak puas dengan hanya mengikut aliran, beliau telah bekerja untuk membayar perbelanjaan hidupnya, sementara ibu bapanya membayar yuran persekolahan.
Ini melibatkan pengorbanan. Pada tahun terakhir pengajiannya di universiti pada tahun 2020, beliau mengambil cuti dari sekolah kerana kekurangan kewangan. Selain itu, pembelajaran diadakan secara dalam talian disebabkan oleh pandemik, dan beliau tidak berminat belajar secara demikian.
Dia kemudian bekerja dengan melakukan dua pekerjaan: satu sebagai pengurus infrastruktur di sebuah firma teknologi maklumat; satu lagi dalam firma menyediakan khidmat peribadi yang diusahakannya sendiri.

Idea firma khidmat keselamatan peribadi itu berputik daripada pengalamannya bekerja sebagai pengawal keselamatan sambilan. Perniagaannya itu kini berkembang maju. Dia kini mempunyai enam pekerja tetap dan mengupah beberapa pekerja bebas, mungkin sekitar 100 dalam sebulan yang sibuk.
Hari bekerja beliau memang sibuk. Apabila beliau tidak bekerja syif 12 jam di firma IT, dia akan sibuk dengan urusan syarikatnya, Guardius. Pada hari dia diwawancara CNA Insider, dia memeriksa jam bijaknya, dan mendapati dirinya hanya tidur selama tiga jam dan 13 minit pada malam sebelumnya.
"Saya rasa kesihatan saya semakin teruk, dan saya cuba bersenam dan tidur sebanyak mungkin. Saya juga makan suplemen pemakanan," katanya. "Saya terlalu sibuk sekarang."
Dia mengambil begitu banyak kerja untuk menyokong dirinya, tetapi dia juga memandang ke masa depan. Dia tahu harga rumah adalah tinggi dan berpendapat golongan muda Korea Selatan mungkin tidak boleh bergantung kepada pencen negara untuk persaraan mereka, memandangkan bilangan penduduk tua semakin bertambah.

Bagi Kim Jaram, yang tinggal bersendirian di "officetel" - sebuah apartmen studio yang terletak di dalam bangunan serbaguna - impiannya adalah untuk mempunyai masa lapang untuk bersenam, bertemu rakan-rakan dan melancong, mungkin juga pergi berbulan madu di seluruh dunia dengan pasangannya.
Hidup tidak berjalan seperti yang dibayangkan ketika dia berusia 20 tahun. Ketika itu, dia menyangka dia akan bekerja keras seperti yang telah dilakukan oleh ibu bapanya dan dapat berumah tangga pada usia lewat 20-an atau awal 30-an.
"Ia (ternyata) berbeza, tetapi saya tidak menyesal," katanya. "Saya mahu (pembaca dan penonton) tahu ada orang di Korea yang meminati dan menikmati kerja mereka."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.