Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Benarkah sikap berbakti kepada ibu bapa semakin berubah? Ini pandangan generasi muda Singapura

Antara perkara yang ditinjau untuk melihat perubahan sikap bakti anak-anak termasuk dalam soal memberi wang nafkah kepada ibu bapa dan sama ada mereka masih tinggal bersama selepas ibu bapa bersara. Bagaimanakah generasi muda menganggap perkara-perkara sedemikian sebagai penting? 

Benarkah sikap berbakti kepada ibu bapa semakin berubah? Ini pandangan generasi muda Singapura
 Adakah generasi muda akan menjaga ibu bapa mereka sebagaimana datuk nenek mereka dijaga? (Photo: iStock/Toa55)

SINGAPURA: Menturuti contoh yang ditunjukkan ibu bapanya atau mengejar impian hidup sendiri? Xin Yi merasa bahawa dirinya seakan-akan terperangkap di antara kedua-dua pilihan itu.

"Ibu bapa saya sangat ‘xiao shun’," kata wanita berusia 23 tahun itu dengan merujuk kepada frasa Cina yang bermaksud sikap bakti anak kepada ibu bapa. "Walaupun ibu bapa saya menggajikan seorang pembantu rumah, mereka tetap menjaga sendiri datuk dan nenek saya.
 
"Mereka enggan menghantar ibu bapa mereka ke rumah penjagaan orang tua dan sebagainya, … dan saya rasa terpaksa (melakukan perkara yang sama untuk mereka)."

Namun, beliau mempunyai keinginan yang berbeza. Setelah melihat penjagaan fizikal yang diperlukan oleh datuk dan neneknya, termasuk membantu mereka di tandas, anak tunggal itu berasa lebih selesa jika penjagaan ibu bapanya dilakukan sumber luar pada masa depan.

Inilah sebabnya pemegang diploma itu berhenti kerja dan kini mengikuti pengajian di sebuah universiti setempat.

"Saya perlu melanjutkan pelajaran saya untuk meraih gaji lebih tinggi demi membiayai keperluan masa depan mereka jika saya mahu mempunyai kehidupan sendiri," kata Xin Yi, yang keberatan berkongsi nama keluarganya.

"Jika tahap kesihatan mereka merosot, saya perlu membayar kos rumah penjagaan untuk mereka, yang sudahpun mahal sekarang."

Tidak seperti ibu bapa Xin Yi yang tidak memberitahunya tentang jangkaan mereka, kedua-dua orang tua Tessa pula menyuarakan jangkaan mereka - dan kemahuan mereka itu jauh berbeza dengan apa yang mahu diberi oleh keempat-empat anak mereka.

"Ibu saya akan berkata, 'Kamu mesti ke rumah ibu beberapa kali seminggu... untuk menunjukkan kamu mengambil berat," kata Tessa, 27 tahun, yang juga enggan memberi nama penuhnya.

Sebagai contoh, kakaknya sering ditanya mengapa dia tidak melawat ibu "dengan secukupnya".

"Banyak sangat jangkaan yang mesti dipenuhi dalam sebuah keluarga tradisional sehinggakan anda rasa anda tidak mahu melakukannya lagi," kata Tessa, yang merancang untuk melawat ibunya sekali setiap dua minggu selepas dia dan tunangnya berpindah ke flat baharu mereka. 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat semakin banyak perbahasan mengenai norma-norma tentang sikap bakti anak kepada ibu bapa. Satu komentar CNA pada bulan Mei, yang mempersoalkan sama ada anak-anak yang sudah dewasa masih perlu memberi wang belanja kepada ibu bapa mereka, telah mencetuskan perbincangan dalam talian yang menyampaikan pandangan-pandangan yang serupa.

Dengan adanya norma-norma yang nampaknya membezakan antara anak yang bersikap bakti kepada ibu bapa dengan anak yang tidak bersikap demikian, perbincangan itu mungkin membayangkan bahawa generasi muda mahu mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu bapa.

Bagaimanapun, bagi Xin Yi, Tessa dan anak-anak muda lain yang diwawancara CNA Insider, hal ini bukanlah bermakna mereka mengabaikan tanggungjawab, tetapi ia adalah tentang hasrat mereka menunjukkan sikap bakti anak kepada ibu bapa dengan cara yang lain.

SOAL WANG BELANJA

Tessa mendapat tahu tentang jangkaan ibu bapanya daripada adik beradiknya apabila beliau mula bekerja sepenuh masa – iaitu "kita perlu membayar semula wang yang mereka gunakan untuk pendidikan universiti kita dan memberi mereka wang belanja”.

Lantaran itu, beliau memberi ibu bapanya 10 peratus gajinya sebagaimana yang mereka jangkakan, walaupun itu bukan kemahuannya.

Tessa menganggarkan 10 peratus gajinya adalah jumlah minimum yang dijangkakan ibu bapa tradisional daripada anak-anak mereka. (Foto: iStock / CJNattanai) 

"Saya rasa saya tidak tetapkan peratusan tertentu," kata Tessa, yang juga tidak bersedia memberi wang kepada mereka jika beliau kesempitan wang, "selagi (mereka) mampu menyara diri mereka sendiri".

"Jika saya dapat naik pangkat, saya akan memberi mereka lebih banyak wang. Jika saya lebih berkemampuan atau saya menerima bonus, saya boleh memberi mereka lebih banyak wang. Sudah tentu, apa salahnya?" tambah beliau.

Bagi Sarah Ridzwan, 23 tahun, yang bekerja di sebuah agensi pengiklanan, pemberian wang belanja kepada ibu bapanya mestilah bergantung kepada keadaan. 

"Ibu bapa saya sudah bercerai. Ibu saya tidak meminta wang daripada saya, tetapi dia menggesa saya secara baik agar memberi wang kepada ayah saya," kata beliau. "Saya masih belum melakukannya kerana saya perlukan wang itu, dan … dia tidak banyak membantu semasa membesarkan saya.

"Sekiranya keadaan kewangan saya lebih mantap, saya akan berikan wang kepada ibu saya. Tetapi bukan sekarang. 

Saya perlukan wang itu untuk diri saya sendiri. Saya mahu mendapat gaji yang cukup supaya saya tidak perlu terlalu berjimat cermat dan dapat menambah wang simpanan saya, barulah saya boleh memberinya wang belanja." 

MENJAGA IBU BAPA YANG LANJUT USIA

Tinggal serumah atau berdekatan ibu bapa yang lanjut usia untuk menjaga mereka, mungkin tidak lagi dianggap penting oleh golongan millennial dan Generasi Z, seperti mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Ryan Aw, yang ingin bekerja di luar negara.

"Ini bermakna saya terpaksa meninggalkan ibu bapa saya," kata Ryan, 22 tahun, yang mempunyai seorang adik lelaki manakala ibu bapanya pula dalam lingkungan usia 60 tahun dan "masih berdikari". Namun, beliau kurang pasti apa yang beliau akan lakukan apabila usia mereka meningkat lanjut kelak. 

"Saya mahu lihat dahulu... apakah langkah yang paling sesuai dan saya akan lakukannya," kata beliau. "Saya menghormati dan menghargai mereka, dan inilah yang membentuk sikap bakti saya kepada ibu bapa saya – dan bukan hidup dekat dengan mereka." 

Walaupun ibu bapa Ryan tidak mengharapkan untuk tinggal bersama anak-anak mereka, orang tua Tessa pula mahu abang beliau, yang telah berumahtangga, memberi mereka tempat berteduh dan menjaga mereka satu hari nanti.

"Mungkin agak susah. Dia sering juga beritahu kami bahawa dia tidak pasti apa akan terjadi kelak,” kata Tessa. "Dia mahu tinggal berasingan daripada ibu bapa saya, tetapi saya tidak pasti sama ada mereka boleh menerimanya." 

Tessa sendiri tidak setuju jika ibu bapanya tinggal di rumah penjagaan orang tua. Beliau masih ingat ketika mengunjungi tempat sebegitu sewaktu mengikuti Program Pelibatan Masyarakat di bangku sekolah, dan beliau berasa "agak sedih" melihat para penghuninya. 

Namun, keempat-empat adik-beradik itu keberatan untuk duduk sebumbung dengan ibu bapa mereka. "Saya lebih suka jika mereka tinggal di rumah sendiri, dan saya melawat mereka," kata Tessa. 

Bukan ibu bapa mereka sahaja yang berada dalam keadaan ini. Ramai golongan lebih berumur dilanda kesepian sedang usia mereka meningkat lanjut. "Ibu saya mahu tinggal bersama saya dan abang saya sehingga akhir hayatnya," ujar Sarah. "Dia mahu sentiasa menempel kepada kami."

Sarah, bagaimanapun, tidak membayangkan bahawa beliau akan memikul tanggungjawab ini selepas ibunya bersara. 

Jika abangnya belum memutuskan untuk tinggal serumah dan menjaga ibu mereka kelak, Sarah rasa beliau perlu membawa ibunya tinggal di rumah persaraan. "(Tetapi) saya akan melawat ibu setiap minggu dan membeli makanan kegemarannya," kata beliau.

MEMIKIRKAN SEMULA JENIS SOKONGAN

Sarah pula adalah seorang warga muda Singapura yang berhasrat untuk bekerja di luar negara. Dan beliau faham bahawa cara beliau menunjukkan sikap bakti kepada ibu bapanya perlu diubah mengikut keadaan.

"Jika saya mampu membeli tiket kapal terbang, saya akan melawat ibu saya sekali dalam setiap beberapa bulan," kata Sarah. "Jika saya kekurangan wang, saya buat panggilan video sahaja setiap bulan.”

(Foto: iStock/ake1150sb)

Ia "tidak semestinya satu perkara yang buruk", kata Aw, yang merujuk kepada golongan muda yang kurang melibatkan diri dalam kehidupan ibu bapa mereka berbanding sebelumnya. 

"Saya percaya bahawa ibu bapa mahu anak-anak mereka berjaya, dan untuk mencapainya, kedua-dua pihak perlu bersedia memberi kebebasan kepada satu sama lain," menurut beliau.

Mahasiswa tahun pertama, Lex Lee, 21 tahun, merasakan bahawa, bagi para ibu bapa yang anaknya sudah dewasa, sokongan yang mereka perlukan adalah berbeza berbanding jangkaan masa lalu.

Bagi Lex, "membawa (ibu bapanya) keluar rumah untuk melakukan sesuatu", seperti "menikmati makan malam yang enak", adalah sesuatu perkara yang beliau akan lakukan untuk menunjukkan sikap baktinya kepada ibu bapa.

Gambar fail sebuah keluarga di taman. (Foto: iStock/stockstudioX) 

"Ia bukannya mengenai hitungan angka, seperti 10 peratus daripada gaji saya, tetapi lebih dari segi ‘saya menggunakan sumber yang saya ada untuk meluangkan masa dengan mereka’,” kata beliau. "Saya rasa itulah yang mereka lebih hargai."

Memandangkan ibu bapanya "benar-benar mahu berdikari", beliau menjangkakan bahawa mereka akan bersedia menerima “huraian di mana mereka tidak berasa bahawa mereka menghambat kita" apabila mereka lanjut usia. "Harga diri amat penting bagi mereka," ujar Lex. 

Saya rasa ibu bapa pasti akan memberitahu kita apa yang penting kepada mereka.... Bagi saya, kita perlu menyokong mereka dengan cara yang bermakna kepada mereka. 

Dugaan Lex agak tepat. Menurut satu kertas kerja yang meninjau soal “paradoks sikap bakti anak kepada ibu bapa”, yang ditulis Penolong Profesor Sosiologi NTU Shannon Ang, sokongan jenis konvensional daripada anak-anak mungkin tidak membawa kesan kepada kesejahteraan diri ibu bapa yang lanjut usia." 

“Pada masa lalu, sikap bakti anak kepada ibu bapa bermakna anak-anak membantu mereka dari segi kewangan. Dan anda tidak pernah mendengar keluhan seperti, ‘anak-anak saya tidak memberi saya nasihat tentang emosi’ atau ‘mereka tidak meluangkan masa dengan saya',” kata pakar sosiologi itu. 

Tetapi beliau memberitahu CNA Insider bahawa "tanggapan mengenai sokongan sosial, iaitu sejauh manakah orang lebih tua merasa diri mereka dibantu, selalunya dapat meramalkan hasil kesihatan yang lebih baik".

Seorang anak perempuan meluangkan masa bersama ibunya. (Foto: iStock/Freshsplash) 

MENGAPAKAH SIKAP BERUBAH?

Menurut Ang, "dinamik kehidupan di Singapura telah berubah dengan ketara" disebabkan oleh beberapa faktor. 

Singapura telah menyaksikan saiz purata isi rumahnya mengecut daripada 4.87 anggota dalam 1980 kepada 3.09 tahun lalu. Data daripada Jabatan Statistik juga menunjukkan bahawa pendapatan bulanan median daripada pekerjaan di kalangan isi rumah penduduk tempatan meningkat daripada S$4,000 pada tahun 2000 kepada S$8,615 pada tahun lepas. 

Dengan jumlah anak yang semakin sedikit, "adalah dijangkakan kebanyakan orang mempunyai lebih banyak wang simpanan untuk diri mereka sendiri", kata Bussarawan (Puk) Teerawichitchainan daripada Jabatan Sosiologi dan Antropologi di Universiti Nasional Singapura. 

"Mereka telah meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Singapura sejak beberapa dekad yang lalu. Oleh itu, golongan kelas pertengahan biasanya agak mampu menyara diri sendiri." 

Terdapat ibu bapa Generasi X yang membuat perancangan kewangan mereka dengan matlamat mencapai usia persaraan tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Antaranya ialah Ian Y H Tan, yang mempunyai dua orang anak yang hanya beberapa tahun lebih muda daripada Aw.

“Saya mahu hidup berdikari sehingga ke akhir hayat. Jadi saya akan terus jaga kesihatan, dan saya pastikan hidup saya sibuk," kata lelaki berusia 47 tahun itu, yang baru menyertai NTU sebagai pensyarah. 

"Walaupun saya akan memberi wang belanja kepada ibu bapa saya jika mereka masih hidup, saya tidak harapkan wang belanja daripada anak-anak saya."

Beliau bukan satu-satunya ibu atau bapa yang memegang pandangan ini. Dora Yip, 47 tahun dan ibu kepada dua anak Generasi Z, berkata: "Saya cuba memastikan saya mampu membayar apa sahaja jenis penjagaan yang saya perlukan apabila saya lanjut usia kelak." 

Dora juga sanggup membayar sendiri kos bagi rumah penjagaan, walaupun beliau tetap berharap beliau tidak perlu tinggal di sana.

Rumah penjagaan kini lebih baik berbanding masa lalu, jadi sikap orang ramai terhadapnya telah berubah dengan peredaran masa, kata pakar sosiologi Shannon Ang. (Foto: iStock/nikom1234) 

Bilangan ibu bapa daripada golongan kelas pertengahan yang kian bertambah, seperti Tan dan Yip, bukanlah satu-satunya sebab bagi perubahan pendirian di kalangan generasi muda terhadap sikap bakti anak ibu bapa. 

Mobiliti antarabangsa telah meningkat sejajar dengan pertumbuhan ekonomi Singapura. Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah penduduk yang berhijrah dari Singapura telah meningkat daripada 156,000 orang pada 1990 kepada 348,000 orang pada 2020. 

Pada masa lalu, "anak yang tidak tinggal bersama ibu bapa mereka yang lanjut usia dilihat sebagai anak yang mengabaikan mereka", tetapi pada masa kini, keluarga tiga generasi "lebih sukar dilihat kerana anak-anak boleh berhijrah dengan lebih mudah," kata Profesor Sosiologi (Amalan) daripada Universiti Pengurusan Singapura, Paulin Straughan. 

Tahun lalu, 36.2 peratus penduduk warga Singapura berusia 25 tahun dan ke atas adalah lulusan universiti, yang merupakan satu kenaikan berbanding 4.5 peratus pada 1990. Ini juga menjelaskan mengapa "orang kurang bersedia untuk menerima sesuatu keadaan jika ia tetap sama sahaja", kata Ang. 

Norma-norma di Singapura yang menyatakan bahawa "kita perlu tinggal bersama ibu bapa kita" tidak terbit hasil daripada sikap bakti anak kepada ibu bapa, kata beliau. 

"Ia sebenarnya wujud hasil daripada satu dasar pemerintah – iaitu orang bujang tidak boleh membeli flat (HDB) sehingga mereka berusia 35 tahun," kata beliau. "Memandangkan kita perlu tinggal serumah dengan keluarga, maka satu jangkaan timbul bahawa ini menunjukkan sikap bakti anak kepada ibu bapa."

Bagaimanapun, jangkaan itu tidak pernah menjadi satu kebiasaan di kalangan keluarga tiga generasi, menurut Straughan. "Rumah-rumah kita terlalu kecil. Lihat sahaja flat HDB: Dua bilik tidur, tiga bilik tidur. Bagaimana hendak menampung tiga generasi anggota keluarga?"

(Foto: iStock/Calvin Chan Wai Meng)

Selain demografi, terdapat juga perubahan dalam Akta Penyaraan Ibu Bapa sepanjang beberapa tahun yang lalu.

Pada Julai lalu, undang-undang itu dipinda agar ibu bapa yang telah mendera, meninggalkan atau mengabaikan anak-anak mereka mungkin tidak boleh meminta bantuan kewangan daripada anak-anak tersebut.

"Dari segi teorinya, sikap bakti anak kepada ibu bapa tidak bersyarat. Namun, undang-undang kini berubah, dan terdapat syarat-syarat yang dikenakan," kata Ang.

KESAN PERUBAHAN

Bagi Ang, satu anjakan lebih besar bermula pada 2015, apabila satu dalam lapan warga Singapura mencapai usia 65 tahun ke atas dan Pelan Tindakan Penuaan Berjaya dilancarkan.

Penuaan berjaya memerlukan "satu anjakan kepada tanggungjawab individu" di pihak golongan lanjut usia, kata beliau, supaya “golongan tua tidak perlu terlalu bergantung kepada generasi sekarang untuk menjaga mereka.”

Aw menganggap ibu bapanya sendiri sebagai sebahagian golongan sebegini. "(Mereka) masih kerap berbasikal dan berulang alik antara Sengkang dengan Boon Lay," ujar beliau. "Padahal usia mereka sudah lanjut!"

Data rasmi menunjukkan bahawa purata jangka hayat sihat bagi seseorang di Singapura telah meningkat daripada 72.8 pada tahun 2010 kepada 74.5 pada tahun 2019.

Jangka hayat sihat di Singapura adalah antara yang tertinggi di dunia. (Foto: iStock/paylessimages)

"Apabila golongan lanjut usia yang baharu mula bersara  lebih bersedia (menghadapi persaraan), mereka tidak memerlukan begitu banyak sokongan fungsi, bukan seperti sebelum ini," kata Straughan.

Bagaimanapun, Ang memberi sedikit peringatan tentang model penuaan berjaya - "kerana berapa ramaikah orang yang benar-benar boleh mencapai matlamat yang ideal itu?"

"Apa yang akan berlaku kepada golongan yang tidak serasi dengan model itu? Akankah kita memulaukan mereka? Apabila anda menampilkan sesuatu perkara ideal dalam masyarakat yang mementingkan kejayaan seperti Singapura, apakah yang berlawanan dengan penuaan berjaya dalam minda orang ramai?" dia menyoal.

Mereka yang mencipta istilah ‘penuaan berjaya’ berkata bahawa istilah berlawanannya, atau keadaan biasanya, ialah ‘penuaan normal’. … Tetapi di Singapura, sesuatu yang berlawanan dengan kejayaan ialah kegagalan, bukan? Oleh itu, jika anda tidak berjaya, tidak ada ruang untuk keadaan normal."

Trend umum di seluruh Singapura juga tidak mewakili semua pihak sepenuhnya, kata Straughan. "Golongan miskin akan tetap ada, dan jurang akan tetap wujud antara golongan yang berkemampuan dan mereka yang kekurangan." 

Bagi golongan berpendapatan rendah dan orang lanjut usia yang mempunyai masalah kesihatan, sokongan fungsi yang ketara oleh anak-anak mereka tetap menjadi satu keperluan penting.

Seorang wanita tua sedang dibantu berjalan semasa di jalan raya. (Foto: TODAY)

Inilah yang membimbangkan Xin Yi. Ibunya adalah pekerja bergaji rendah, seperti bapanya juga - yang semakin kurang sihat - sehingga beliau bersara.

"Saya mahu memiliki kehidupan dan ruang saya sendiri," katanya. "Tetapi dari segi kewangan, adalah lebih munasabah jika saya tinggal bersama mereka."

Bilangan keluarga dengan anak tunggal seperti Xin Yi semakin meningkat: 20 peratus daripada jumlah penduduk  wanita yang pernah berumahtangga (berusia antara 40 hingga 49 tahun) mempunyai seorang anak sahaja pada tahun 2012, dan pada tahun lalu, ianya 24.4 peratus.

Memandangkan semakin mudah untuk seseorang berhijrah, "anak tersebut mungkin membina kerjayanya di tempat lain di luar negara", kata Puk. Walaupun ikatan keluarga "mungkin menjadi renggang sedikit", ia masih "tetap ada".

"Namun, golongan tercicir akan tetap ada, iaitu mereka yang terasing dari masyarakat dan mereka yang tidak bersedia," kata beliau.

Memandangkan bilangan orang berusia 65 tahun ke atas dijangka meningkat kepada satu dalam empat orang menjelang 2030, anjakan tentang pemahaman mengenai sikap bakti anak kepada ibu bapa menjadi semakin penting.

"Sudah sekian lama, sikap bakti anak kepada ibu bapa adalah satu strategi yang kita gunakan untuk memikul tanggungjawab menjaga orang lanjut usia," kata Ang. "Tetapi kini, golongan lanjut usia tidak mempunyai ramai anak, dan kos kesihatan pula lebih tinggi."

Berdasarkan trend demografi Singapura pada masa ini, Straughn mencadangkan bahawa "langkah paling munasabah ialah memanfaatkan sumber-sumber masyarakat (hubungan sosial yang kukuh dan positif antara kita dengan orang lain)".

"Oleh kerana anak-anak mungkin tidak tinggal bersama ibu bapa mereka yang sudah tua, ataupun mereka tinggal serumah tetapi anak-anak pergi kerja... Jika sesuatu berlaku kepada ibu bapa lanjut usia yang tinggal bersendirian, orang yang terdekat ialah jiran mereka."

Selain isu penuaan, Ang meramalkan satu perubahan dinamika antara ibu bapa dan anak. "Saya rasa kita akan melihat peralihan dalam hubungan ibu bapa dan anak, daripada hubungan bersifat hierarki kepada hubungan lebih bersifat sama rata (egalitarian)," kata.

"Tidak ada jangkaan yang ditetapkan" di pihak Yip. "Sikap bakti kepada ibu bapa bukan satu transaksi," kata beliau. "Saya hanya mahu kita semua melibatkan diri secara giat dalam kehidupan masing-masing."

Tiga generasi dalam sebuah keluarga mengekalkan hubungan yang kukuh. (foto: iStock / Edwin Tan)

Sebegitu juga, apa yang penting bagi Tan ialah hubungan beliau dengan anak-anaknya menjadi semakin mendalam.

Adakah sikap bakti kepada ibu bapa dari zaman lalu masih relevan? Adakah anak-anak lebih berbakti kepada ibu bapa jika mereka memberi wang belanja kepada ibu bapa mereka dan tidak membawa mereka tinggal di rumah penjagaan? 

Golongan Generasi Z yang ditemui bagaimanapun, nampaknya tidak setuju. "Pemahaman tradisional mengenai sikap bakti kepada ibu bapa tidak lagi sesuai dalam dunia sekarang," kata Aw.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini. 

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement