Analisis: Boikot anti-Israel cetuskan perang pendapat di Malaysia dan Indonesia
Para penganalisis berkata boikot terhadap syarikat-syarikat yang didakwa pro-Israel tidak mungkin memberi kesan secara langsung ke atas peperangan di Gaza, walaupun ia boleh menjadi sokongan moral untuk tujuan itu.
KUALA LUMPUR/JAKARTA: Suatu pemandangan luar biasa ketika waktu makan tengah hari yang sibuk di sebuah cawangan McDonald’s di Seksyen 3 Shah Alam, Selangor – restoran makanan segera itu kelihatan lengang, dengan tempat letak keretanya tidak banyak kenderaan. Hanya beberapa kereta sahaja beratur di ruang pandu lalu untuk membuat tempahan.
Banyak lagi cawangan restoran yang popular di Malaysia itu kini mengalami kelembapan perniagaan sejak kebekalangan ini ekoran boikot kerana membantah perang Israel-Hamas.
Gesaan untuk memboikot syarikat-syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel kuat kedengaran di platform-platform media sosial seperti X, TikTok, Instagram dan Facebook.
Tinjauan CNA di beberapa cawangan McDonald’s di kawasan Lembah Klang - termasuk di Shah Alam - pada hari bekerja menunjukkan jumlah pengunjung yang lebih sedikit daripada biasa.
Firma lain yang menghadapi gesaan boikot termasuk Starbucks, Kentucky Fried Chicken (KFC), Pizza Hut dan Burger King.
Grab Malaysia juga telah menjadi sasaran boikot. Ini selepas tangkapan skrin beberapa kiriman Instagram yang disiarkan oleh Cik Chloe Tong - isteri ketua pegawai eksekutif syarikat pengangkutan itu Anthony Tan - tersebar di platform media sosial.
Dalam catatan yang tidak bertarikh, Cik Tong telah berkata bahawa dia telah "jatuh cinta sepenuhnya" dengan Israel hasil kunjungannya yang lalu ke negara itu.
Di Indonesia, para netizen juga mendesak supaya diboikot produk yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat yang didakwa pro-Israel. Tetapi situasi di lapangan nampaknya tidak mencerminkan boikot meluas kerana adanya keraguan ke atas kesan sebenar tindakan-tindakan sedemikian.
Tinjauan CNA mendapati perniagaan masih seperti biasa di beberapa restoran Starbucks dan McDonald’s di Jakarta, dengan seorang pakar menyatakan bahawa pergerakan Boycott, Divest, Sanction (BDS) tidak mendapat banyak daya tarikan di negara ini.
BDS ialah gerakan yang dipimpin oleh warga Palestin yang bertujuan menekan Israel supaya mematuhi undang-undang antarabangsa dengan menggalakkan boikot, pelupusan dan sekatan terhadap negara itu.
Negara-negara majoriti penduduk Islam seperti Malaysia dan Indonesia lantang mengutuk Israel atas kekejaman di Gaza yang telah menyaksikan lebih 10,000 orang - lebih 4,000 daripadanya adalah kanak-kanak - terbunuh ekoran tindak balas Israel ke atas serangan rentas sempadan yang dilakukan oleh Hamas pada 7 Okt.
HARAPAN GERAKAN BDS
Dr Nazari Ismail, pengerusi BDS Malaysia, memberitahu CNA bahawa pergerakan itu bertujuan menamatkan sokongan antarabangsa terhadap pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan Israel dengan memaksa syarikat-syarikat, institusi dan pemerintah supaya mengubah dasar-dasar mereka.
Dr Nazari menambah bahawa ramai pengguna percaya bahawa adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan syarikat yang terjejas untuk memikirkan tindakan yang perlu diambil dalam menangani cabaran tersebut.
"Firma-firma ini tidak sepatutnya merungut jika mereka mengalami kerugian dan menyebabkan pekerja mereka kehilangan pekerjaan," katanya, sambil menambah bahawa boikot antarabangsa memainkan peranan penting dalam menjatuhkan rejim apartheid di Afrika Selatan.
Sementara itu, BDS Indonesia memberitahu CNA bahawa ia mahu syarikat-syarikat "menyatakan dengan jelas bahawa mereka menentang apa yang dilakukan oleh syarikat-syarikat Israel yang menyokong tindakan ketenteraan di Gaza".
“Dengan bertindak (menentang tindakan Israel di Gaza), syarikat-syarikat ini menunjukkan mereka tidak lagi bersubahat dan oleh kita boleh menghentikan sasaran boikot ke atas mereka,” katanya.
Menjelaskan pergerakan BDS di Indonesia, pertubuhan itu menyatakan syarikat-syarikat yang menjadi sasaran boikot adalah mereka yang paling bersubahat dalam membantu Israel, dan mereka yang kurang menjejaskan penduduk tempatan jika diboikot.
BOIKOT DI MALAYSIA
Akibat permusuhan dan peningkatan kadar kematian di Gaza, para pengguna di Malaysia dan Indonesia telah diberitahu bahawa tindakan memboikot boleh menjejaskan dana membiayai kempen perang Israel.
Seorang pengurus restoran McDonald's di Lembah Klang memberitahu CNA tanpa namanya disebut, restoran itu menyaksikan pengurangan besar dalam perniagaan, terutamanya dalam kalangan para pengunjung Melayu.
Beliau berkata walaupun restorannya belum memberhentikan mana-mana pekerja, firma itu terpaksa memotong waktu bekerja kakitangan mereka.
Misalnya, beberapa cawangan - yang sebelum ini beroperasi 24 jam - kini hanya dibuka dari 7 pagi hingga 2 pagi. “Kakitangan kami terdiri daripada semua lapisan kaum dan agama. Sebahagian daripada mereka adalah golongan cacat keupayaan dan perlu bekerja untuk terus hidup. Saya hanya boleh berharap boikot ini berakhir tidak lama lagi,” kata pengurus restoran itu sambil menambah bahawa dia juga mempunyai perasaan terhadap rakyat Palestin.
Walaupun kebanyakan pekerja penghantar makanan dan pemandu Grab memberitahu CNA bahawa mereka tidak banyak terjejas oleh pemboikotan ke atas Grab, ada yang berkata bahawa jumlah tempahan yang diterima merosot beberapa hari lalu.
Penunggang penghantaran yang hanya mahu dikenali sebagai Aref berkata, tempahan untuk McDonald’s dan Starbucks mengalami penurunan, manakala tempahan daripada restoran lain kekal seperti biasa.
Bagi pihak pengurusan sendiri, McDonald’s dan Grab Malaysia telah mengeluarkan kenyataan menjanjikan sebanyak RM1 juta (AS$213,000) setiap satu untuk usaha-usaha bantuan di wilayah-wilayah Palestin.
Dalam satu kenyataannya pada 15 Okt, Gerbang Alaf Restaurants, yang memiliki McDonald’s Malaysia, menyatakan ia adalah firma tempatan yang 100 peratus milik Muslim.
Ia juga berkata bahawa tindakan sebuah cawangan McDonald's di Israel untuk menyediakan makanan kepada tentera Israel bukanlah keputusan global dan tidak diluluskan oleh pengendali-pengendali lain.
Sementara itu, Grab berkata pada 6 Nov ketika mengumumkan derma RM1 juta kepada Dana Palestin kendalian pertubuhan bukan kerajaan Malaysia Mercy Malaysia's, ia amat “sedih dengan nasib masyarakat yang terjejas akibat konflik di Gaza dan mengutuk sebarang tindakan keganasan yang mengancam kemanusiaan” .
CNA juga telah menghubungi Nestle, Pizza Hut dan KFC untuk mendapatkan ulasan.
TIDAK BANYAK BERUBAH
Di Indonesia, sementara sesetengah pengguna telah mengisytiharkan boikot terhadap firma-firma yang dipercayai pro-Israel, bilangan pelanggan bagi syarikat-syarikat sedemikian dilaporkan tidak banyak terjejas.
Mereka yang menyertai boikot memberitahu CNA bahawa mereka tidak akan membeli barangan syarikat-syarikat tersebut sehinggalah peperangan berterusan di Gaza.
Cik Adi Tasya Nurzahra, 27, berkata bahawa dia tidak mahu menyumbang secara kewangan kepada usaha pemerolehan "senjata perang" oleh Israel."Saya percaya bahawa dengan 'mengurangkan' pendapatan Israel dari seluruh dunia, ia (boleh mengecilkan) bajet negara itu untuk mendapatkan peralatan pertahanannya," kata pakar media sosial itu.
Seorang lagi warga Indonesia, Cik Izmiria Az Zahra, 27, memberitahu CNA bahawa dia percaya boikot itu akan menjejaskan daya kemampanan sesebuah syarikat, dengan menyebut laporan bahawa stok beberapa syarikat yang didakwa pro-Israel telah merosot sejak meletusnya konflik.
Selepas McDonald's di Israel mengumumkan pada 12 Okt bahawa ia akan menyediakan makanan percuma kepada tentera Israel, saham syarikat induknya menyaksikan kemerosotan harga pada akhir sesi dagangan hari itu, dengan kejatuhan 1.89 peratus berbanding hari sebelumnya.
Mengulas mengenai kebimbangan bahawa boikot boleh menjejaskan mata pencarian para pekerja tempatan, Cik Izmiria berkata bahawa "semua keutamaan mestilah diambil kira".
“Bukannya saya tidak simpati dengan para pekerja syarikat yang diboikot. Tetapi hakikatnya pekerja ini masih mempunyai pilihan kerja, masih tinggal di negara merdeka, dan masih boleh mendapat bekalan air bersih, elektrik dan makanan,” katanya.
Bagaimanapun, Encik Made Supriatma - seorang felo pelawat di Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura - memberitahu CNA bahawa kejayaan pergerakan BDS agak terbatas di Indonesia, dengan isu politik domestik mendapat perhatian utama.
"Walaupun orang ramai mungkin bersimpati terhadap isu Palestin, perhatian dan penglibatan mereka nampaknya lebih tertumpu kepada perkara-perkara domestik yang lebih mendesak, yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka secara langsung," kata Encik Made.
Antaranya adalah soal pilihan raya umum akan datang, katanya, yang bakal berlangsung pada 14 Feb tahun depan.Encik Made berkata walaupun dalam soal pemboikotan terhadap McDonald's sekalipun, tidak ramai pengguna yang menyedari mengenainya, dengan cawangan-cawangannya terus beroperasi seperti biasa tanpa penurunan ketara dalam jumlah pelanggan.
Beliau juga meragui bahawa boikot itu akan menjadi usaha berpanjangan atau mempunyai kesan-kesan jangka panjang. Antara sebabnya menurut beliau adalah kerana mereka yang memboikot mungkin disebabkan kerana mendapat tekanan dari rakan-rakan lain, sementara tidak ramai pula pelanggan yang kerap membeli barangan syarikat-syarikat terjejas.
Dua pekerja McDonald's di Indonesia yang cuba diwawancara CNA enggan ditemu bual, sambil berkata mereka tidak diberi kebenaran untuk bercakap mengenai situasi sekarang.
Ketika dihubungi oleh CNA, pengarah komunikasi bersekutu McDonald's Indonesia Cik Meta Rostiawati berkata: "(boikot) pada masa ini sememangnya menimbulkan cabaran. Tetapi bagi kami, memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan dan pekerja kami sentiasa menjadi keutamaan kami."
Pada hari Rabu, PT Rekso Nasional Food - pemegang francais McDonald's Indonesia - berkata bahawa ia akan menderma 1.5 bilion rupiah (AS$95,800) sebagai bantuan kemanusiaan melalui Badan Amil Zakat Nasional Indonesia.
Ia juga sebelum ini menjelaskan dalam satu kenyataan pada 10 Okt bahawa Macdonald’s Indonesia tidak bergabung dengan francais di negara-negara lain.
PERNIAGAAN TERJEJAS DENGAN BOIKOT
Bagaimanapun, tidak semua rakyat Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin turut menyokong sebarang pemboikotan francais seperti McDonald's.
Seorang pempengaruh di TikTok Abdullah Jamadi berkata boikot akan hanya merugikan para pekerja syarikat sedemikian, yang kebanyakannya adalah pekerja Melayu dan beragama Islam.
Encik Abdullah - yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di akaun TikToknya - berkata bahawa para pembekal ayam, roti dan sayur-sayuran serta syarikat pengangkutan untuk kesemua barangan ini adalah rakyat Malaysia.
"Dalam isu boikot ini, yang paling terjejas ialah para pekerja Melayu," katanya dalam video di TikTok.
Dia menambah bahawa walaupun dia menyokong jenama tempatan, mereka tidak mempunyai kapasiti untuk menyediakan pekerjaan seperti yang dilakukan oleh McDonald's.
EKONOMI TEMPATAN TERASA KESAN
Pakar ekonomi Dr Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata boikot itu berpotensi meningkatkan pengangguran, terutamanya jika terdapat kelembapan besar dalam perniagaan.
Beliau berkata pada peringkat awalnya para pekerja mungkin diletakkan pada waktu kerja berperingkat-peringkat yang boleh mengakibatkan mereka kehilangan pendapatan.
“Apabila pendapatan berkurangan, pembelian pun boleh menjadi lebih perlahan. Senario terburuk adalah pemberhentian kerja dan akan membawa kepada masalah sosial,” katanya sambil menambah bahawa adalah penting untuk tidak membenarkan boikot itu merebak ke perniagaan-perniagaan lain.
Beliau menambah bahawa mungkin terdapat kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan dalam industri tertentu, yang berkaitan dengan perniagaan francais McDonalds. Misalnya, perniagaan dalam rantaian bekalan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia.
"Kesan segera adalah kepada ekonomi tempatan," katanya.
Menurut laman webnya, McDonald’s Malaysia mempunyai lebih 320 cawangan di negara ini, dengan jumlah pelanggan lebih 13.5 juta sebulan.
Ia juga menggaji lebih 15,000 pekerja di Malaysia.
Encik Dedi Dinarto, ketua penganalisis Indonesia di firma penasihat dasar awam Global Counsel, memberitahu CNA bahawa sebarang pengharaman ke atas syarikat-syarikat berbilang negara yang ada kaitan dengan Israel juga boleh memudaratkan ekonomi Indonesia.
Ini kerana syarikat-syarikat ini juga menggaji para pekerja tempatan dan menggunakan sumber tempatan, tambahnya.
Beliau berkata, pemerintah Indonesia juga tidak mungkin mengharamkan produk buatan Israel atau syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel.
“Tiada sebab ekonomi yang meyakinkan yang mencadangkan bahawa larangan sedemikian akan memberi kesan ketara kepada ekonomi Israel dan menghalang negara itu daripada melakukan tindakannya ke atas Palestin,” kata Encik Dedi.
Desakan untuk memboikot juga tidak selari dengan kedudukan rasmi pemerintah Indonesia, katanya, dengan menukil kenyataan beberapa menteri kabinet dan ahli parlimen yang menegaskan bahawa boikot bukanlah cara yang berkesan untuk mencegah Israel.
“Sebaliknya, mereka percaya Indonesia harus terus memperjuangkan hak Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini lebih-lebih lagi kerana Indonesia kini adalah anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB,” katanya kepada CNA.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.