Adakah botol plastik tanpa BPA benar-benar selamat? Ini yang perlu kita ketahui
Botol yang diberi label "tanpa BPA" telah membanjiri pasaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi sejauh manakah ia benar-benar berkesan dan selamat?
SINGAPURA: Lihat bahagian bawah mana-mana bekas atau botol plastik yang boleh digunakan semula yang anda beli dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan kemungkinan besar anda akan melihat label yang menyatakan "tanpa BPA".
Memang, BPA telah mendapat nama buruk selama bertahun-tahun. Ia dikenali sebagai pengganggu endokrin, dan ramai saintis percaya bahawa ia boleh menyebabkan barah dan kerosakan organ pembiakan.
"Secara ringkas, (ia adalah bahan kimia) yang boleh meniru hormon tertentu atau menghalang hormon tertentu," kata Ben Ng, seorang ahli endokrinologi di Pusat Pakar Mount Elizabeth Novena. Lebih membimbangkan, katanya, pendedahan jangka panjang boleh menjejaskan tumbesaran kanak-kanak.
BPA (singkatan bagi bisfenol A) boleh ditemui dalam banyak barangan rumah. Ia digunakan untuk membuat polikarbonat, plastik keras yang kelihatan dan terasa seperti kaca tetapi ringan dan hampir tidak boleh pecah.
Walaupun ia ditemui dalam barangan seperti pakaian, mainan dan juga resit kertas haba, Ng berkata "lebih daripada 90 peratus pendedahan manusia kepada BPA datang daripada pemakanan", iaitu daripada bekas makanan plastik dan botol yang boleh menyebabkan bahan kimia meresap ke dalam makanan dan minuman.
Walaupun peraturan makanan Singapura menetapkan bahawa semua pembungkusan makanan yang diimport untuk digunakan di Singapura tidak mengeluarkan sebarang bahan berbahaya kepada makanan, namun tidak ada larangan khusus ke atas BPA.
Namun, Kanada melarang BPA daripada digunakan pada botol bayi pada tahun 2008. Kesatuan Eropah mengikuti langkah yang sama pada tahun 2011. Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat melarang BPA dalam botol bayi dan cawan minuman kanak-kanak pada tahun 2012 serta pembungkusan formula bayi pada tahun 2013.
Sejak itu, banyak produk tanpa BPA telah membanjiri pasaran.
Tetapi bagaimana botol-botol ini dibuat? Adakah ia benar-benar selamat? Seperti yang ditemui dalam program CNA Talking Point, bahan pengganti dalam beberapa botol tanpa BPA juga boleh meresap keluar dan menjejaskan kesihatan manusia dengan cara yang sama dengan BPA.
TONTON: Adakah botol plastik air tanpa BPA benar-benar lebih selamat untuk kesihatan anda?
BOTOL TANPA BPA
Botol tanpa BPA sering kali menggantikan BPA dengan sebatian bisphenol lain yang serupa dengan struktur, seperti bisphenol F (BPF) dan S (BPS). Tetapi botol ini tidak semestinya lebih selamat daripada botol BPA, kata Tong Yen Wah, profesor madya kejuruteraan kimia dan biomolekul Universiti Nasional Singapura (NUS).
"Sebahagian daripada sebatian jenis bisphenol ini masih boleh meresap ke dalam air minuman. Dan kita boleh meminumnya." Untuk mengetahui sama ada ini berlaku, Talking Point menghantar 11 botol boleh digunakan semula buatan pelbagai jenama untuk ujian makmal. Botol tersebut diperbuat daripada bahan yang berbeza, termasuk tiga jenis plastik, keluli tahan karat dan kaca.
Sembilan daripada botol itu mempunyai label tanpa BPA. Dua yang lain dilabelkan sebagai "gred makanan", yang bermaksud mereka selamat untuk penyimpanan makanan.
Botol-botol itu diisi dengan air pada suhu bilik selama dua jam untuk menguji pelunturan bisphenols ke dalam air.
Keputusan menunjukkan empat daripada botol itu mengeluarkan jumlah kecil bahan pengganti BPA. Tiga daripada empat botol itu - termasuk dua yang dilabel "gred makanan" - diperbuat daripada polikarbonat. Botol keempat diperbuat daripada polipropilena, satu lagi jenis plastik.
Tiada sebarang kebocoran bisphenol daripada botol-botol yang masih tinggal, yang diperbuat daripada keluli tahan karat, kaca, dan plastik yang dipanggil Tritan.
Bagaimanapun, jumlah bahan kimia yang larut dicatat antara kira-kira 10 hingga 20 nanogram seliter hingga kira-kira 70 hingga 80 nanogram seliter.
Ini adalah kepekatan yang "sangat nipis", kata pembantu penyelidik Mauricius Marques Dos Santos dari Institut Penyelidikan Alam Sekitar dan Air Nanyang, Universiti Teknologi Nanyang. Satu nanogram seliter, katanya, adalah bersamaan dengan satu titisan dalam 16 kolam renang bersaiz Olimpik.
Tetapi apabila ujian diulangi dengan air panas, lebih banyak bahan kimia bisphenol larut ke dalam air - tiga hingga empat kali lebih banyak, bergantung kepada jenama botol.
BAHAN KIMIA GANTIAN
Untuk lebih memahami keselamatan bahan kimia gantian ini, bahan kimia yang terkeluar telah diuji pada sel manusia. Walaupun ujian itu tidak mendedahkan adanya bahan toksik yang boleh membunuh sel-sel, ia menunjukkan bahawa bahan kimia tersebut mempunyai kesan yang sama dengan BPA.
"Di dalam sel manusia, kita dapat melihat bahawa terdapat cukup bahan kimia untuk mengaktifkan sistem reseptor estrogen," kata pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Alam Sekitar dan Air Nanyang, Shane Snyder, yang mengetuai ujikaji makmal itu.
"Dalam erti kata lain, sel-sel bertindak balas terhadap estrogen daripada bahan kimia yang larut dalam botol.
Kepekatan kimia masih "agak rendah", katanya. "Anda perlu minum dari banyak botol untuk merasai kesannya berdasarkan apa yang kita lihat setakat ini."
Sebagai contoh, seseorang perlu minum lapan kali jumlah air dari botol yang mempunyai larutan meresap paling banyak - pada 80 nanogram BPS seliter - untuk melihat kesan estrogenik yang ketara.
Bagaimanapun, wartawan Amerika Abigail Davidson berkata penyelidikan dalam tempoh 25 tahun yang lalu menunjukkan bahawa bahan kimia pengganggu endokrin "tidak selalu mengikuti sistem kepercayaan biasa iaitu 'dos pembuat racun".
Ini bermakna walaupun kita terdedah kepada dos pengganggu endokrin yang rendah, itu masih boleh memberi kesan."
Davidson, editor untuk The Filtery, sebuah laman web yang bertujuan membantu pengguna mengurangkan toksin alam sekitar di rumah, menambah bahawa walaupun kurang penyelidikan dilakukan pada sebatian bisphenol lain seperti BPS dan BPF.
"Kebanyakan maklumat adalah konsisten dengan keputusan daripada BPA. Struktur kimianya sangat serupa sehingga ia akan memberi kesan yang sama di dalam tubuh kita,” kata Davidson.
Sebagai respons kepada pertanyaan dari Talking Point, Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan bahawa buat masa ini, "tiada piawaian antarabangsa yang diselaraskan mengenai bisphenol dalam makanan" telah ditetapkan. Tidak ada juga "bukti muktamad yang meyakinkan" bahawa bahan alternatif BPA adalah tidak selamat.
"Namun demikian, SFA sentiasa memantau perbincangan saintifik antarabangsa mengenai keselamatan bisphenol dan secara berkala mengkaji keperluan keselamatan kita sambil mengikuti perkembangan terkini," kata agensi itu.
APA YANG PERLU DILAKUKAN
Namun, terdapat beberapa berita baik untuk pengguna, kata Davidson, yang melaporkan jangka separuh hayat bisphenol yang "agak singkat": kira-kira enam jam sahaja. Ini merujuk kepada masa yang diambil oleh suatu bahan untuk mengurangkan separuh dos asalnya dalam badan.
"Jika anda mula cuba mengurangkan pendedahan anda, anda boleh membuat perbezaan dengan cepat," katanya. Salah satu cara untuk melakukannya adalah dengan mencari plastik alternatif yang lebih selamat, seperti Tritan, yang tidak melepaskan sebarang bisphenol seperti dalam ujian makmal Talking Point.
Plastik ini merupakan co-polyester yang "dicipta sebagai alternatif yang selamat kepada polikarbonat," menurut pengurus perdagangan dan jualan Seager Inc, Liew Yue Ci, yang merupakan pengedar eksklusif botol Nalgene di Singapura — botol yang diperbuat daripada Tritan.
Tritan memiliki ciri-ciri yang sama dengan polikarbonat, seperti kejelasan, ketahanan dan kekebalan terhadap impak, kata Liew. Tetapi ia tidak mengandungi BPA dan lebih mahal.
Walaupun sesetengah botol Tritan dilabelkan sedemikian, botol Nalgene hanya membawa label "tanpa BPA", tambah Liew. "Pengguna harus tahu apa yang mereka beli dan juga perlu melakukan kajian sendiri."
Dalam nasihat pengguna yang dikongsi dengan Talking Point, SFA menyatakan para pengguna perlu menggunakan botol atau bekas makanan yang boleh digunakan semula mengikut arahan. Sebagai contoh, hanya bekas yang dilabel selamat digunakan dalam gelombang mikro harus dipakai untuk memanaskan semula makanan dalam ketuhar gelombang mikro.
Sebuah produk harus diganti apabila keutuhannya telah terjejas, contonhnya apabila ia permukaannya menjadi keruh, berubah warna, atau retak.
Apabila memilih produk yang boleh digunakan semula, pengguna juga boleh memilih bahan lain seperti kaca, porselin, atau keluli tahan karat, terutamanya untuk makanan panas dan cecair.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.