Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Penghawa dingin piawaian rendah dilambakkan di Asia Tenggara merugikan pengguna, alam sekitar

Banyak alat hawa dingin yang mempunyai piawaian rendah dijual di Asia Tenggara. Pemerintah boleh menghentikan lambakan alat-alat sedemikian, sekali gus membantu para pengguna menjimatkan wang dan melindungi alam sekitar. 

Penghawa dingin piawaian rendah dilambakkan di Asia Tenggara merugikan pengguna, alam sekitar
Sekitar 97 peratus penghawa dingin bilik yang dijual di Indonesia didapati daripada jenis kurang cekap, menurut kajian pertubuhan bukan pemerintah CLASP. (Foto: CNA/Danang Wisanggeni)

JAKARTA:  Teknisyen alat hawa dingin, Riki, begitu sibuk apabila cuaca mencecah tinggi sejak ke belakangan ini. 
 
Dalam lapan tahun dia melakukan tugasnya itu, Riki 25 tahun, biasanya menerima kira-kira lima tempahan sehari untuk memasang atau membaiki penghawa dingin.

Tetapi dalam dua bulan terakhir, perniagaannya meningkat dan Riki kini menyediakan khidmatnya sehingga 12 pelanggan sehari.

Sebabnya: cuaca panas yang berpanjangan yang menyaksikan suhu mencecah hampir 40 darjah Celsius di beberapa tempat seperti Tangerang Selatan di kawasan metropolitan Jakarta.  

Riki, yang menggunakan satu nama, kini memperoleh kira-kira 300,000 rupiah (RM90) sehari, menggandakan pendapatan sebelumnya. “Alhamdulillah banyak kerja. Saya gembira,” katanya.

Alat hawa dingin membawa kelegaan sejuk kepada rakyat Indonesia dan para penduduk lain di rantau tropika, terutamanya semasa musim cuaca panas. Tetapi kebanyakan penghawa dingin yang dibeli oleh orang Asia Tenggara adalah sebenarnya alat penyaman udara tidak efisien yang menelan banyak tenaga, demikian menurut satu kajian terbaru. 

Kebanyakan alat itu mungkin juga menggunakan teknologi yang sudah usang di negara-negara yang membuatnya, dedah kajian yang dibuat oleh pertubuhan bukan pemerintah (NGO) CLASP, yang menumpukan pada penyelidikan dan penggalakan perkakas efisien tenaga. 

Penyelidikan itu mendapati sesetengah perkakas juga mengandungi bahan penyejuk yang berpotensi tinggi menyumbang kepada pemanasan bumi. Ini pula menyumbang kepada perubahan iklim, meningkatkan lagi tekanan ke atas grid tenaga eletrik negara, dan membebankan pengguna dengan bil elektrik yang lebih tinggi.

Pakar-pakar memberitahu CNA jika pihak pemerintah tidak mengambil tindakan tegas, Indonesia akan terus menjadi tempat pelambakan alat-alat hawa dingin yang tidak efisien. 

Sebuah kedai menjual penghawa dingin dan alat ganti di Jakarta. Indonesia mengalami cuaca kering dan panas berpanjangan tahun ini. (Foto: CNA/Danang Wisanggeni)

APA ITU LAMBAKAN PENGHAWA DINGIN 

Penyaman udara yang dilambakkan merujuk kepada amalan sesetengah jenama yang mengeluarkan alat hawa dingin yang tidak memenuhi piawaian prestasi tenaga minimum (MEPS) dalam pasaran domestiknya sendiri. Para pengeluar itu akhirnya mengeksport alat-alat tersebut ke negara-negara di mana piawaiannya adalah kurang ketat.

Dalam kajiannya yang diterbitkan pada bulan September, CLASP meneliti penjualan penyaman udara bilik yang tidak efisien di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Ia mendapati bahawa daripada 8.3 juta unit yang dijual di enam negara pada 2021, hampir tiga daripada empat, atau 6.2 juta unit, mempunyai kecekapan rendah.

Indonesia dan Filipina adalah yang paling terdedah kepada perkakas yang menggunakan teknologi lapok, dengan 97 peratus dan 78 peratus penghawa dingin bilik (yang kurang cekap) dijual di kedua-dua negara itu.  Di Malaysia, Thailand dan Vietnam kadarnya adalah sekitar 60 peratus.

Di Singapura, jumlah jualan alat-alat sedemikian membentuk 21 peratus daripada keseluruhan jumlah penghawa dingin yang dijual. 

"Pasaran Indonesia adalah yang paling kurang cekap daripada enam negara di rantau ini," kata Cik Lina Kelpsaite, pengurus pasukan iklim CLASP, yang berpangkalan di Washington, DC.

Kajian itu tidak meneliti punca terperinci di sebalik jualan sedemikian, tetapi Cik Kelpsaite berkata mungkin terdapat permintaan untuk penghawa dingin yang lebih murah dan cenderung kepada penggunaan tenaga yang kurang cekap.

“Indonesia luas, dengan kuasa beli yang berbeza (di kalangan rakyatnya),” jelas Puan Nanik Rahmawati, pengurus program CLASP Indonesia.

MEPS di negara pembuat alat-alat hawa dingin itu adalah lebih tinggi daripada di Indonesia, jadi sesetengah alat itu mungkin lebih sesuai dijual di Indonesia, tambahnya.

Pada 2017, Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia mengeluarkan peraturan yang mewajibkan para pengeluar domestik dan pengimport penghawa dingin supaya meletakkan tanda penjimatan tenaga. Ia menunjukkan tanda penjimatan dari satu hingga empat bintang, dengan yang terakhir menunjukkan tahap kecekapan tenaga tertinggi.

Penyaman udara dengan penarafan piawaian dua bintang. (Foto: CNA/Danang Wisanggeni)

Bagaimanapun, tinjauan CNA mendapati beberapa alat hawa dingin tanpa sebarang label penjimatan dijual di beberapa kedai elektronik di Jakarta.

Harganya juga sangat berbeza. Alat yang tidak mempunyai sebarang label berharga kira-kira 1.8 juta hingga 2 juta rupiah, manakala yang mempunyai dua bintang berharga kira-kira 3 juta rupiah. Yang dengan empat bintang pula berharga lebih 5 juta rupiah.

SIAPA YANG LAKUKAN LAMBAKAN? 

Kebanyakan jenama yang membekalkan penghawa dingin yang tidak cekap ke Asia Tenggara adalah firma-firma berbilang negara yang beribu pejabat di China, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat. Kebanyakan penghawa dingin ini yang dijual di Asia Tenggara juga dihasilkan dalam rantau ini. 

Sedikit 30 peratus daripada penghawa dingin sedemikian diimport dari luar Asia Tenggara. Sebahagian besarnya daripada adalah dari China, di mana 93 peratus daripadanya tidak memenuhi piawaian kecekapan China.

Kira-kira 59 peratus eksport dari Korea Selatan ke Asia Tenggara pula tidak memenuhi piawaian di sana, dan 21 peratus daripada penghawa dingin yang dieksport dari Jepun adalah di bawah piawaian negara asal jenama pengeluar. 

Seorang lelaki berpayung untuk bertahan daripada cuaca panas di Jakarta. (Foto: CNA/Danang Wisanggeni)

TIDAK BAIK UNTUK IKLIM, DAN SAKU 

Dengan Indonesia dan kebanyakan negara lain mencatatkan suhu panas tertinggi dalam rekod pada tahun ini, permintaan terhadap alat-alat penyaman udara dijangka meningkat.

Indonesia, sebagai negara yang banyak bergantung kepada bahan api pembakar yang mengancam iklim, untuk menghasilkan bekalan elektriknya, penggunaan lebih banyak penyaman udara mengakibatkan lebih banyak pengeluaran karbonnya. 
 
Menurut laporan CLASP, jika kesemua enam negara dalam kajiannya menghalang kegiatan pelambakan, mereka boleh mengurangkan pengeluaran lebih 1 bilion tan metrik karbon dioksida dalam tempoh 25 tahun dan menjimatkan AS$148 bilion bagi para pengguna.

Ini juga akan memberi kesan kepada usaha mencapai matlamat sasaran iklim Indonesia. Pada 2021, pelepasan gas karbon dari sektor tenaga Indonesia adalah sekitar 600 juta tan, menjadikannya negara kesembilan terbesar di dunia dalam mengeluarkan gas karbon. 
 
Indonesia secara sukarela menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 29 peratus menjelang akhir dekad ini, atau sebanyak 41 peratus menerusi sokongan antarabangsa.
 
Bagi para pengguna Indonesia, penyaman udara yang lebih cekap boleh membawa kepada penjimatan tenaga kira-kira AS$846 dalam tempoh lapan tahun, sekali gus mengimbangi harga alat hawa dinggi itu yang lebih tinggi.

Jumlah ini diperoleh dengan membandingkan unit penyaman udara paling biasa yang terdapat di Indonesia dengan model lain yang hampir memenuhi keperluan piawaian kecekapan semasa China, menurut CLASP.

Pengiraannya berdasarkan tarif elektrik semasa di Indonesia iaitu sekitar AS$0.10/kWj. Model-model alat penyaman udara yang dipilih CLASP untuk kajian itu mempunyai kapasiti dan ciri yang setanding.

Hasil dapatan kajian itu menunjukkan kecekapan tenaga adalah penting untuk mengurangkan pelepasan gas karbon atau gas rumah hijau dan menangani krisis iklim, kata Encik Ahmad Ashov Birry, pengarah program Trend Asia yang berpangkalan di Jakarta. Ia adalah sebuah NGO yang memberi tumpuan kepada penggunaan tenaga mampan.

“Pemerintah Indonesia tidak mampu untuk bersikap cuai dan mesti meningkatkan pengawasan dan menguatkuasakan peraturan sedia ada mengenai MEPS dan dalam penggunaan pelabelan penjimatan tenaga,” katanya.

Ia harus menghentikan ekport lambakan, serta "sikap talam dua muka" dalam soal pengeluaran alat hawa dingin, tambah Encik Ahmad.

Seorang lelaki membersihkan alat hawa dingin di Bogor, Jawa Barat. (Foto: CNA/Danang Wisanggeni)

PIAWAIAN LEBIH TINGGI, WUJUDKAN KESEDARAN

Di pihak para pengguna pula, mereka harus diberi dorongan yang lebih besar supaya membeli alat-alat hawa dingin dan peralatan lain yang lebih cekap tenaga, tambahnya. Bagi kebanyakan isi rumah, kos muka adalah pertimbangan terbesar dalam memilih alat-alat tersebut.

Puan Farah Ananda dan suaminya David, membeli-belah untuk mendapatkan penghawa dingin yang baharu baru-baru ini, sambil berkata mereka inginkan alat yang mampu dibeli. 

“Kami memerlukan penghawa dingin kerana cuaca panas di sini. Jadi jika ciri penyaman udara menjadikannya cekap tenaga, kami akan mempertimbangkan untuk membelinya.
“Tetapi ia bukan faktor utama. Faktor utama ialah harga,” kata David. Isterinya menambah: "Jika penyaman udara adalah cekap tenaga dan mengikut bajet kami, itu adalah ideal."

Negara-negara boleh menawarkan insentif kepada para pengguna untuk membeli penghawa dingin yang lebih cekap, serta kepada syarikat pengeluar untuk menghasilkan peralatan sedemikian, kata CLASP dalam laporannya. 

Negara-negara juga boleh memperkenalkan dasar import yang memberi keutamaan kepada alat hawa dingin yang lebih cekap, manakala negara-negara pengeksport pula boleh menutup segala kekurangan dasar yang membenarkan eksport alat-alat hawa dingin yang tidak cekap, tambah CLASP. 

Bagi pemerintah Indonsia ia menyedari hal itu dan memberitahu CNA bahawa ia akan mengambil langkah-langkah untuk mencegah Indonesia daripada menjadi tempat pelambakan alat-alat hawa dingin kurang cekap. 
 
“Kami akan mengukuhkan penyeliaan produk penyaman udara di pasaran dan produk yang diimport dengan kerjasama Kementerian Perdagangan, dan Kastam daripada Kementerian Kewangan,” kata Encik Yudo Priaadi, ketua pengarah bahagian tenaga boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral.

Indonesia juga akan mengkaji semula MEPSnya secara berkala dan meningkatkannya agar sepadan dengan negara piawaian negara-negara pembuat. Ia akan juga melaksanakan kempen-kempen untuk mendidik orang ramai.

"Kami akan terus berusaha untuk menyelesaikan isu lambakan penghawa dingin ini," tambah beliau. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement