Hanya jauhari kenal manikam: Pakar ini boleh bezakan antara barangan tulen dengan yang palsu
Pengesah atau penilai ketulenan Vestiaire Collective Kai Ning mendedahkan kepada CNA Lifestyle bagaimana tanda-tanda barangan palsu gred tinggi sering tersembunyi daripada mata kasar.

SINGAPURA: Pasaran barangan terpakai dunia dijangka mencecah AS$350 bilion (RM1.6 trilion) menjelang 2027. Menurut laporan jualan tahunan 2023 Thredup, sebuah platform jual-beli barangan terpakai dalam talian, pangguna Gen-Z dan generasi milenial adalah antara mereka yang akan menyumbang hampir dua pertiga daripada peningkatan perbelanjaan ini.
Pada tahun 2022 sahaja, didapati bahawa dua daripada setiap lima barang dalam almari Gen-Z adalah barangan terpakai.
Berkenaan barang mewah terpakai khususnya pula, syarikat penyelidikan ResearchAndMarkets.com meramalkan pasaran ini akan mencecah AS$51 bilion pada tahun 2028.
Baik kerana untuk memenuhi keinginan memiliki barangan mewah atau barangan vintaj, atau pun kerana mahu menjalani kehidupan yang lebih lestari dan tidak membazir, ini semua menyumbang kepada bagaimana pasaran barangan terpakai telah menjadi sebahagian daripada dunia fesyen utama.
Jadi di mana kita boleh mendapatkan barang-barang terpakai ini?
Hari ini, terdapat banyak pilihan, baik dari luar talian atau menerusi tempahan talian. Malah jenama-jenama besar juga turut sertai fenomena ini. Di AS, Nordstrom melancarkan See You Tomorrow, sebuah pasaran dalam talian yang juga mempunyai bahagian di kedai utamanya di NYC yang menawarkan pakaian dan aksesori terpakai. Di UK, Selfridges memiliki konsep yang sama, iaitu Reselfridges yang menawarkan perniagaan dalam talian dan luar talian di kedai utamanya di London.
Dan sudah tentu, terdapat juga Vestiaire Collective, pasaran dalam talian terkemuka dunia yang menawarkan penjualan semula barangan mewah terpakai, dari fesyen dan perhiasan sedia dipakai hingga beg dan kasut. Selain daripada laman web, terdapat juga aplikasi yang memudahkan pencarian dan pembelian pada lewat malam.
PERLUNYA PENILAI KETULENAN
Namun, ketika kita hendak membeli barangan terpakai mungkin perkara yang membimbangkan adalah sejauh mana sesuatu barang itu adalah barangan tulen. Mujur kini ada perkhidmatan pengesah ketulenan yang boleh dipercayai, dengan Vestiaire Collective mempunyai lebih 80 orang tulen(untuk digital dan barangan fizikal).
Menurut salah seorang pengesah ketulenan barangan, Kai Ning, menjadi seorang pengesah ketulenan bukan hanya melibatkan pengetahuan atau kepakaran, tetapi juga minat. “Kami menggunakan semua deria kami, dari penglihatan hingga pendengaran, bau dan sentuhan untuk menjalankan tugas. Akhirnya, bahkan deria kita akan mula membina ‘memori otot’ yang akan membantu kita mengingati bagaimana barangan tulen itu berupa, berbunyi, berbau dan rasanya.”

Kai Ning yang merupakan lulusan dari Central Saint Martins menyamakan proses pengesahan seumpama satu kerja menyiasat. “Setiap unsur dan titik pemeriksaan akan membantu mengesahkan sama ada sesuatu barang itu tulen atau tidak. Jika anda dapat mengesahkan ketulenan sesuatu barang, maka anda akan dapat mengesan barangan palsu, tetapi tidak sebaliknya.
Sebagai contoh, Kai Ning menjelaskan bahawa bagi pengesahan barangan tertentu, seperti permata, boleh menjadi cabaran kerana tahap kualiti yang berbeza bagi kategori ini. Namun, dengan tahap kemahiran yang tinggi, beserta berbagai kaedah pemeriksaan dan peralatan canggih, kita boleh mengenal pasti perbezaan halus antara barangan tulen dan palsu, katanya.

Dengan latar belakangnya dalam reka bentuk barang kemas, gemologi (GIA) dan penasihat jam tangan (FHH), Kai Ning memulakan kerjayanya sebagai pengurus akaun di jabatan barangan terpakai dengan melawat rumah pelanggan dan membantu mereka mengeluarkan barangan yang tidak lagi diperlukan. Dari sana, dia berpindah ke jabatan pengesahan di pejabatnya di Hong Kong.
Pada bulan Ogos 2022, Kai Ning berpindah ke pusat pengesahan baru Vestiaire Collective di Seoul, Korea Selatan. Beliau kini memberi tumpuan kepada gemologi, sambil menghasilkan lebih banyak bahan latihan mendalam untuk melatih kumpulan pelatih tulenketulenan seterusnya.
Jadi apakah barangan paling unik yang pernah disahkannya setakat ini?

"Sehelai jaket beruang teddy Jean Charles de Castelbajac dari tahun 1980-an yang berharga sekitar S$10,000, dan mempunyai kira-kira 17 beruang teddy yang dijahit padanya. Model jaket ini juga dipamerkan di banyak muzium seperti Muzium Sekolah Reka Bentuk Rhode Island di Amerika Syarikat dan Galeri Nasional Victoria, Australia.
Satu lagi barang menarik yang pernah dikendalinya adalah sebuah kit ujian kehamilan positif yang ditemui dalam beg yang tengah diperiksa ketulenan oleh kumpulannya. Ia merupakan situasi 'menang-menang' dengan dua ucapan tahniah kepada si penjual – pertama kerana kehamilannya dan kedua kerana berjaya menjual begnya.
TULEN ATAU PALSU: APA YANG PERLU DIPERHATIKAN
Apabila ditanya sama ada beliau akan dapat mengenal pasti barangan palsu walaupun tidak menyentuhnya, Kai Ning menegaskan bahawa dia tidak akan mengalami kesulitan untuk berbuat demikian. Ia adalah satu tugas dimana setiap pengesah ketulenan di Vestiaire Collective diharap dapat lakukan dengan mudah.
Malah, pada 2022, kumpulan pengesah ketulenan digital Vestiaire Collective menolak 8 peratus daripada barangan yang dihantar melalui gambar atas sebab tidak memenuhi syarat.

"Pengesahan bermaksud mengesahkan piawaian jenama, jadi anda perlu memahami piawaian jenama terlebih dahulu berdasarkan pada keluaran, kategori dan tempoh. Sebagai contoh, keluaran haute couture berbanding keluaran sukan, beg berbanding sedia untuk dipakai, atau vintaj berbanding kontemporari. Memahami kualiti bahan dan kemasan adalah asas. Kemewahan adalah definisi memberi perhatian terhadap perincian.
Dan atas sebab inilah, ia masih penting bagi sesuatu barang diperiksa secara fizikal oleh seorang pengesah ketulenan. Kai menambah: "Bagi barangan palsu gred tinggi, tanda-tanda nyata produk itu palsu sering tersembunyi daripada mata kasar.

Sebagai contoh, bagi beg, baunya adalah sangat penting, manakala untuk jam tangan dan barang kemas, berat produk itu biasanya merupakan petunjuk pertama yang jelas.
Fakta menarik: Sebenarnya, Kai Ning mempunyai koleksi cerita Instagram sendiri yang bertajuk "Real vs Fake" berdasarkan pengalamannya di jalanan.
Jadi, dengan kualiti barangan palsu yang semakin baik dan meningkat di pasaran, adakah ia menjadikan tugas pengesah ketulenan seperti Kai Ning lebih sukar?
"Ia tidak semestinya menjadi lebih sukar sebagai seorang profesional dalam bidang ini, sebaliknya ia menjadikan tugas kami sebagai pengesah ketulenan lebih penting. Bagi mereka yang tidak terlatih mungkin akan terlepas mengesan butir-butir yang tidak mematuhi syarat, tetapi latihan dan pengalaman kami selama bertahun-tahun membolehkan kami mengesan kualiti produk tersebut. Apabila kemahiran pemalsu meningkat mengikut masa, kemahiran kami juga meningkat akibat mengetahui teknik mereka."
KEMAHIRAN YANG DIPERLUKAN
Ini menimbulkan satu persoalan: Bolehkah sesiapa menjadi pengesah ketulenan?
Selain daripada pengetahuan fesyen dan minat sebagai faktor penting, Kai Ning berkongsi bahawa Vestiaire Collective mempunyai proses pemilihan yang ketat yang merangkumi ujian praktikal untuk mengesahkan pengetahuan dan tahap kepakaran serta kemahiran anda.
"Walaupun ia mustahil untuk mempelajari bidang pengesahan di sekolah, namun pengetahuan anda dalam fesyen mengenai sejarah dan ketukangan pelbagai jenama serta sifat-sifat peribadi anda seperti ketelitian pada butiran, beranalitik dan berorganisasi akan menjadikan anda seorang calon yang berpotensi."

Setelah anda diterima masuk, anda akan terus memperbaiki kemahiran yang sedia ada di samping mempelajari yang baru. "Sebelum kita menyelami kepakaran masing-masing, setiap penilai ketulenan akan mengikuti latihan ketat yang sama berkenaan dengan jenama dan kategori barangan. Selepas itu, kita akan berpeluang untuk meneroka minat dan bidang kepakaran masing-masing untuk berkembang dalam kerjaya ini."
Oleh kerana bidang pengesahan bukanlah sesuatu yang boleh dipelajari di sekolah, Vestiaire Collective juga telah menubuhkan sebuah pusat latihan dalaman, Vestiaire Academy, yang menawarkan pelbagai kursus untuk melatih pelatih pengesah ketulenan mereka. "Ini merangkumi latihan pengesahan yang ketat selama dua bulan diikuti dengan latihan lanjutan supaya kami sentiasa mengikuti perkembangan terkini bagi meningkatkan pengetahuan dan kepakaran kami.”

Selepas menamatkan kursus-kursus ini, para pelatih Vestiaire Collective akan dibimbing oleh ahli pengesah ketulenan kanan selama enam bulan hingga satu tahun untuk memastikan mereka sudah bersedia berdikari sepenuhnya, jelas Kai Ning.
Penilai ketulenan juga berpeluang menghadiri kursus-kursus lain yang dapat membantu memperdalam pemahaman mereka tentang kategori lain untuk mengembangkan kepakaran mereka. Bagi Kai Ning, dia memilih untuk mengambil kursus horologi (kajian mengenai seni masa dan pembuatan jam) di Fondation de la Haute Horlogerie untuk mendalami lagi pemahamannya mengenai dunia jam tangan.
Tetapi apa yang lebih mustahak, menurut Kai Ning sebagai seorang pengesah ketulenan, ia juga penting untuk mengikuti perkembangan jenama, trend, kolaborasi dan koleksi baru yang dikeluarkan. Atas sebab inilah, para pengesah ketulenan Vestiaire Collective juga menerima latihan peningkatan kemahiran secara berterusan yang memberi tumpuan kepada topik-topik sedemikian selama 180 jam setiap tahun.

Pada akhir-akhirnya setiap peserta akan mempelajari banyak perkara semasa latihan. Tetapi selepas itu, semuanya bergantung kepada bagaimana kita mengamalkan (apa yang dipelajari), membuat penyelidikan dan belajar dari sesuatu barangan itu sendiri, tambahnya.
KEMAHIRAN YANG DIBAWA BERSAMA
Apabila membeli pakaian atau aksesori untuk dirinya sendiri, Kai Ning berkata kemahiran yang diperolehinya sebagai pengesah ketulenan menjadikannya lebih menghargai tahap ketukangan dan kemahiran yang tertanam dalam setiap produk yang dihasilkan.
"Vestiaire Academy bukan hanya mengajar saya mengenali pasti barangan palsu, tetapi juga benar-benar menghargai ketukangan dan bahan yang digunakan untuk mencipta koleksi fesyen mewah ini. Ia menunjukkan bagaimana kesenian teliti membolehkan sesuatu barangan itu dapat dibezakan dengan 'fesyen pantas' – iaitu produk yang hanya dapat bertahan satu hingga dua tahun berbanding dengan produk yang boleh tahan lebih setengah dekad.”
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai suhu penghawa dingin yang bagaimana sesuai untuk bekerja dan keselesaan diri.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.