Perangkap dipasang selepas 3 mati dibunuh harimau di Kelantan
Sebanyak 11 perangkap sangkar dan 20 kamera dipasang sejak beberapa minggu lalu di kawasan hutan Gua Musang di mana serangan harimau ke atas penduduk tempatan berlaku sejak Oktober.

KUALA LUMPUR: Beberapa perangkap telah mula dipasang di kawasan hutan dalam daerah Gua Musang, Kelantan, selepas tiga orang ditemui mati kerana dipercayai diserang oleh harimau.
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), 11 perangkap sangkar dan 20 kamera telah dipasang sejak beberapa minggu lalu di kawasan tersebut di mana serangan maut berlaku.
Keseluruhannya terdapat lima serangan yang mengakibatkan empat kematian di Gua Musang sejak 2021, kata pengarah Perhilitan negeri Kelantan, Mohamad Hafid Rohani.
Tiga daripada serangan itu berlaku pada Oktober dan November tahun ini, kata Hafid kepada AFP pada Khamis (7 Dis).
"Kami sangat bimbang. Ini adalah kejadian paling teruk berkaitan harimau dalam beberapa dekad di Malaysia," kata Hafid.
Perangkap - sangkar segi empat yang dibalut dengan daun supaya ia sebati dengan kawasan hutan - telah dipasang di beberapa lokasi di mana serangan dilaporkan berlaku.
Satu daripadanya ditempatkan di ladang kelapa sawit.
Kambing-kambing hidup diletakkan di dalam kandang berdekatan untuk memancing harimau ke dalam perangkap.
Harimau Malaya diklasifikasikan sebagai sangat terancam oleh kumpulan perlindungan International Union for Conservation of Nature.
Kumpulan hidupan liar (WWF) Malaysia menganggarkan terdapat kurang daripada 150 haiwan yang masih tinggal di alam liar.
Menurut Perhilitan sekitar 35 ekor harimau dianggarkan hidup berkeliaran di Kelantan.
Serangan harimau ke atas manusia biasanya jarang berlaku, tetapi ia diketahui berlaku di kawasan-kawasan di mana kediaman semula jadinya telah dicerobohi.
Pada Nov, seekor harimau betina terperangkap dan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Negara di Perak, kata Hafid.
Tetapi kakitangan Perhilitan kurang pasti sama ada ia adalah harimau yang bertanggungjawab atas mana-mana serangan ke atas manusia.
"LANGKAH MENYEDIHKAN"
Dua daripada mereka yang terbunuh sejak 2021 adalah pekerja ladang manakala mangsa-mangsa lain adalah penduduk setempat, kata ketua polis Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo.
Choon Foo berkata, pemeriksaan bedah siasat ke atas mangsa dan kesan "tapak kaki harimau" yang ditemui di tempat kejadian setiap pembunuhan menunjukkan ia adalah perbuatan haiwan besar seperti harimau.
Seekor harimau betina yang mencederakan seorang lelaki parah pada Julai 2021 telah ditangkap dan ditempatkan di tempat perlindungan, kata Hafid.
Tetapi harimau yang bertanggungjawab dalam serangan maut pada Januari 2022 telah ditembak mati selepas ia menyerang pegawai-pegawai hidupan liar, katanya.
Sejak kejadian para penduduk tempat telah diberi amaran supaya tidak keluar rumah atau keluar secara berkumpulan.
Kira-kira 3,000 harimau Malaya pernah berkeliaran di hutan semenanjung pada tahun-tahun 1950-an, dan harimau dianggap sebagai lambang kebangsaan Malaysia.
Tetapi populasinya telah turun selama beberapa dekad lalu kerana kehilangan habitat akibat pembangunan dan perluasan kawasan pertanian, serta pemburuan haram.
Pengarah Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia Mark Rayan Darmaraj berkata salah satu sebab serangan terhadap manusia mungkin disebabkan penurunan populasi babi hutan (akibat demam babi Afrika), yang merupakan mangsa utama harimau sebagai sumber makannya.
Rayan berkata langkah menempatkan semula harimau-harimau adalah “langkah menyedihkan”, tetapi adalah "paling praktikal" untuk mencegah berulangnya serangan-serangan ke atas manusia.