Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

‘Jangan gunakan kami’: Pengendali rumah tumpangan kanak-kanak merungut ibu bapa abaikan anak-anak

Kanak-kanak harus membesar dalam suasana kekeluargaan kerana kehidupan di rumah tumpangan boleh menjejaskan perkembangan dan kesejahteraan mereka, kata pakar.

‘Jangan gunakan kami’: Pengendali rumah tumpangan kanak-kanak merungut ibu bapa abaikan anak-anak
Rumah jagaan kanak-kanak Berkat Kasih (House of Love) di Klang mempunyai 29 orang anak dalam jagaannya. (Foto: Facebook/福爱之家 Hol Love)

KUALA LUMPUR: Rumah perlindungan anak-anak yatim Berkat Kasih atau House of Love di Klang telah menjaga lebih 100 kanak-kanak sejak dibuka lebih sedekad lalu.

Ramai yang menjejakkan kaki mereka ke sana pada usia kecil - biasanya di bawah lapan tahun - dan tinggal di sana selama bertahun-tahun. Sehinggakan ada yang hampir tidak mengenali ibu bapa kandung mereka dan tidak pernah kenal belas kasihan yang biasanya dinikmati dalam sekitaran kekeluargaan. 

Kira-kira sedekad lalu, rumah perlindingan itu menerima seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun selepas ibunya menghadapi beberapa masalah hubungan dan mengabaikan kanak-kanak itu. Si ibu sudah empat kali berkahwin semula. Gadis itu, kini berusia 13 tahun dan masih tinggal di rumah tersebut. 

"Lima tahun lalu, ibu itu berpindah ke UK, tetapi dia membuang anaknya di Malaysia," kata pengasas dan pengarah House of Love, Joseph Pang kepada CNA.

“Kami tidak mengenakan sebarang bayaran, tetapi cara sesetengah orang memandang kami adalah seperti kami harus membantu mereka kerana kami mendapat sokongan orang ramai. Sikap seperti itu adalah sangat tidak baik.”

Rumah anak yatim di Malaysia kini menyaksikan pertambahan kanak-kanak yang diletakkan dalam jagaan mereka, mungkin kenaikan sebanyak 20 hingga 30 peratus, menurut para pengendali yang ditemui CNA. 

Menurut mereka penambahan itu berlaku kerana ada ibu bapa yang terpaksa bergelut dengan masalah kehilangan pekerjaan atau ditinggalkan pasangan masing-masing semasa pandemik COVID-19, sehingga tidak lagi sanggup untuk menjaga anak-anak mereka. 

Tetapi para pemerhati ini juga mempersoalkan apa yang mereka anggap sikap sesetengah ibu bapa bermasalah yang terlalu bersedia menghantar anak-anak mereka ke rumah-rumah tumpangan. Mereka menyifatkannya sebagai sikap "mementingkan diri sendiri" sesetengah ibu bapa itu yang lebih mengutamakan keperluan lain berbanding anak mereka sendiri.
 
Pakar-pakar menegaskan seorang kanak-kanak harus sentiasa diberi peluang untuk membesar dalam keluarga dan rumah mereka sendiri, sambil menambah bahawa kehidupan di rumah-rumah tumpangan boleh menjejas 
perkembangan dan kesejahteraan anak-anak itu. 

Che Asmah Ibrahim, bekas ketua pegawai eksekutif OrphanCare - sebuah organisasi yang mempromosikan penjagaan kanak-kanak berasaskan keluarga - memberitahu CNA bahawa kesediaan sesetengah ibu bapa sedia menghantar anak-anak mereka ke rumah-rumah tumpangan kini menjadi masalah masyarakat.

OrphanCare menganggarkan terdapat 64,000 kanak-kanak yang tinggal di rumah-rumah tumpangan kanak-kanak di Malaysia, termasuk di rumah-rumah anak yatim kerajaan dan swasta yang berdaftar atau pun tidak berdaftar.

“Saya sentiasa menyarankan tidak kira apa masalah yang dihadapi suami isteri, kebajikan anak-anak haruslah diutamakan,” kata Che Asmah.“Kini, tanggungjawab keibubapaan itu semakin dipandang ringan. Ini menyumbang kepada masalah sosial yang kita hadapi hari ini.”

WANG BUKAN ISU UTAMA

Di rumah tumpangan House of Love, Dr Pang berkata rumah itu kini menjaga 29 kanak-kanak, pertambahan 30 peratus sejak tahun lepas.

Sebahagian daripada penghuni baharu itu dihantar ke rumah tersebut disebabkan masalah kewangan, katanya, di mana si bapa tidak lagi kelihatan di rumah kerana masalah dadah atau dalam penjara, sementara si ibu pula terpaksa bekerja dan tidak mampu menyara anak.

Namun, menurut Dr Pang, sebahagian besar anak-anak itu dihantar ke rumah tumpangan adalah apa yang beliau lihat sebagai kurangnya minat ibu bapa itu untuk terus membesarkan anak-anak mereka. Antaranya adalah kerana mereka telah berkahwin lagi dan terus mengabaikan anak-anak sehingga mereka menjadi manja atau tidak terkawal. Mereka kemudian menggunakan masalah tersebut sebagai alasan untuk menghantar anak-anak itu ke rumah tumpangan. 

“Wang memang satu isu, tetapi ia bukanlah isu utama. Isu utamanya ialah dunia kita sedang sakit sekarang. Semua orang kini terlalu mementingkan diri sendiri tanpa rasa bertanggungjawab,” katanya.

Dr Pang percaya bahawa ibu bapa dengan sikap yang betul tidak akan menghantar anak-anak mereka ke rumah tumpangan dan sebaliknya mencuba yang terbaik tidak kira apa kesukaran yang dihadapi. Beliau menambah bahawa badan-badan amal seperti bank makanan bersedia untuk membantu keluarga yang memerlukan dengan kos membesarkan anak.

Tetapi sesetengah ibu bapa (lebih suka) membuang anak mereka di rumah-rumah kebajikan supaya mereka boleh   menikmati masa bersendirian mereka sendiri,” katanya.

Kanak-kanak di rumah House of Love menyidai pakaian. (Foto: Facebook/福爱之家 Hol Love)

Ibu bapa yang berhasrat menghantar anak-anak mereka  ke House of Love terlebih dahulu ditemu bual untuk menentukan sama ada mereka benar-benar tidak mampu menjaga anak-anak mereka, kata Dr Pang.

"Jika saya rasa ada masalah sikap (dengan ibu bapa), saya akan terus beritahu mereka bahawa saya tidak akan mengambil anak itu," katanya.

Kadang-kadang, dia menggesa ibu bapa untuk mengambil semula anak-anak mereka lebih awal daripada jangkaan jika dia melihat tanda-tanda bahawa mereka benar-benar mempunyai cara untuk membesarkan anak-anak mereka.

"Saya membantu anak-anak, tetapi mereka (ibu bapa) tidak membantu diri mereka sendiri. Mereka pergi ke kelab malam, mereka tidak menyimpan wang yang mereka perolehi. Anda boleh melihatnya,” katanya kepada CNA.

Dalam satu kes, Dr Pang mengarahkan seorang ibu untuk mengambil kembali anak perempuannya yang berusia 10 tahun selepas gadis itu menghabiskan tiga tahun di House of Love, sedangkan ibunya ada masa lapang yang mencukupi.

Anak perempuan itu, kini berusia 16 tahun, telah matang dengan baik, kata Dr Pang. Dia membantu ibunya membuat kerja rumah dan belajar dengan baik.

“Sudah tentu kami mendapat pengalaman untuk melihat sikap dan niat ibu bapa. Jika niatnya tidak baik, saya tidak akan benarkan anak itu balik,” katanya.

Ini juga sebab Dr Pang berhati-hati untuk menolak permohonan mereka yang mahu menghantar anak-anak ke rumah tumpangannya. Beliau khuatir anak-anak itu akan menderita jika dia berkeras bahawa ibu bapa merekalah yang harus melakukan tanggungjawab menjaga mereka. 

Dr Pang menganggarkan dia telah menolak kira-kira 30 hingga 40 permohonan sejak House of Love mula beroperasi.

“Jika bukan kerana melindungi hak kanak-kanak, saya tidak akan memulakan rumah anak yatim ini,” tambahnya.

BILANGAN YANG BERTAMBAH

Cik Jennifer Arokiam, pengerusi Rumah Kanak-Kanak Pelangi di Ipoh, berkata dia menerima kira-kira empat hingga lima kes setiap tahun di mana ibu bapa cuba menghantar anak mereka ke rumahnya atas alasan yang tidak wajar.

“Kami tidak membantu mereka; kami hanya membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan untuk menjaga anak mereka. Seperti mereka yang memerlukan, atau mereka yang tidak dapat dijaga oleh mana-mana 
pihak, termasuk datuk atau nenek,” katanya kepada CNA.

“Ada yang datang kepada kami dan sekadar mengatakan anak mereka nakal. Kami memberitahu mereka ini bukan rumah untuk kanak-kanak nakal. Jika saya membantu semua orang, saya tidak akan mempunyai ruang yang mencukupi."

Cik Arokiam berkata rumahnya ketika ini mempunyai 20 anak perempuan, peningkatan 20 peratus sejak tahun lepas. Kanak-kanak perempuan - berumur empat hingga 19 tahun - kebanyakannya datang daripada ibu bapa yang berpisah atau kehilangan pasangan kerana dipenjara atau kematian.

Apabila ditanya sama ada ibu bapa ini juga mengalami masalah kewangan, Cik Arokiam berkata ada di antara mereka yang mempunyai pekerjaan tetapi masih menghantar anak mereka ke rumah tumpangan. 

"Mereka tidak membantu kami atau pun melawat anak-anak mereka. Walaupun anak-anak mereka ke sekolah, mereka tidak memberikan apa-apa bantuan (kewangan) kepada kami walaupun mereka bekerja,” katanya.

Kanak-kanak rumah tumpangan House of Love bermain badminton. (Foto: Facebook/福爱之家 Hol Love)

Encik V Girithren, presiden Rumah Kebajikan Seri Cahaya di Pulau Pinang, berkata sesetengah ibu bapa "mudah" menghantar anak mereka ke rumah tumpangan.

“Pada masa lalu, sebuah keluarga mungkin mempunyai 10 anak, tetapi si ibu masih boleh menjaga mereka. Tetapi hari ini, ia seperti segala-galanya, 'Kami boleh hantar anak ke rumah kebajikan; lepas itu kami boleh buat kerja lain,” katanya kepada CNA.

Walaupun dia tidak melihat pertambahan kanak-kanak di rumahnya, Encik Girithren berkata bilangan rumah kanak-kanak di Pulau Pinang yang meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan lebih ramai kanak-kanak kini dihantar ke rumah-rumah tumpangan. 

Di pihaknya, beliau berkata beliau telah menolak lima permohonan untuk menghantar anak-anak ke rumah tumpangannya sejak tahun lepas. Encik Girithren turut menarik perhatian bahawa pihaknya juga menemu bual ibu bapa tersebut terlebih dahulu.

“Kita akan tanya soalan seperti apa yang berlaku kepada anak-anak mereka. Selama ini bagaimana mereka pergi ke sekolah, berapakah pendapatannya? Kalau katakan ada dadah atau isu tidak sihat seperti penderaan kanak-kanak, kita kena perlu membantu,” katanya.

“Selain itu, kadang-kadang mereka kata tidak dapat kerja. Di Malaysia jika anda kata anda tidak dapat mencari kerja, saya tidak pasti.”

Encik Girithren berkata beliau sebaliknya akan membantu ibu bapa mencari pekerjaan melalui badan-badan lain yang bekerjasama dengan Rumah Kebajikan Seri Cahaya. Perkara yang paling penting ialah ibu bapa mesti berusaha untuk menjaga anak-anak mereka di rumah, katanya.

“Rumah tumpangan bukanlah tempat untuk anda melepaskan tangan anda. Ia bukan perkara yang betul untuk dilakukan. Sudah tentu, kami di sini boleh membantu, tetapi jangan gunakan kami,” katanya.

"Sejujurnya, kanak-kanak yang tinggal bersama ibu bapa mereka sendiri berbanding dengan anak-anak yang tinggal di rumah tumpangan, pastinya berbeza. Sudah tentu, kami cuba memberi mereka penjagaan sebaik mungkin.”

ISU JANGKA PANJANG KANAK-KANAK 

Peguam bela hak kanak-kanak Hartini Zainudin berkata persekitaran keluarga yang stabil dan menyokong adalah penting untuk perkembangan sihat kanak-kanak.

“Pertama, kanak-kanak mungkin mengalami tekanan emosi dan trauma kerana berpisah dengan keluarga. Perpisahan ini boleh menjejaskan rasa selamat dan kestabilan mereka. Ia berpotensi menimbulkan isu emosi dan psikologi jangka panjang,” katanya.

“Selain itu, kanak-kanak di rumah jagaan juga mungkin kekurangan penjagaan dan perhatian individu yang diperolehi dalam suasana keluarga. Ini boleh menjejaskan perkembangan kognitif, emosi dan kemahiran sosial mereka."

Keluarga mengunjungi bazar Ramadan di Shah Alam. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

Dr Hartini, yang mengasaskan pertubuhan bukan keuntungan Yayasan Chow Kit yang menyokong kanak-kanak yang terdedah di kawasan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur, berkata hubungan kekeluargaan dan sokongan masyarakat memainkan peranan penting dalam membesarkan kanak-kanak di Malaysia.

Beliau menggesa penubuhan rangkaian sokongan berasaskan komuniti yang menyediakan bantuan praktikal dan sokongan emosi kepada keluarga yang menghadapi cabaran, serta jaringan keselamatan untuk keluarga yang terdedah.

Keluarga angkat dalam komuniti juga harus disokong untuk membantu memastikan kanak-kanak dalam jagaan keluarga angkat menerima penjagaan dan kestabilan yang mereka perlukan sementara usaha dibuat untuk menyokong penyatuan semula mereka dengan keluarga masing-masing. 

Dr Hartini berkata kerajaan juga boleh melabur dalam sistem sokongan sosial yang direka untuk membantu keluarga dalam krisis. Ini termasuk menyediakan bantuan kewangan, akses kepada rumah mampu milik, dan sokongan untuk program rawatan kesihatan mental dan penyalahgunaan bahan.

“Program intervensi awal yang mengenal pasti dan menangani faktor risiko dalam keluarga sebelum mereka mencapai tahap memerlukan penjagaan alternatif, boleh membantu dalam mencegah kanak-kanak ditempatkan di rumah-rumah tumpangan,” katanya.

Ibu bapa atau waris yang menghadapi kesukaran boleh menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang menyediakan perkhidmatan seperti bantuan kewangan, kaunseling dan sokongan dalam mencari huraian bagi mendapatkan pengasuh alternatif, katanya.

Namun, Dr Hartini mengakui bahawa sesetengah ibu bapa enggan bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka. “Mereka fikir ia terlalu mahal atau terlalu banyak kerja. Atau mereka perlu bekerja sendiri,” tambahnya.

CNA telah menghubungi JKM untuk mendapatkan ulasan.

BADAN BEBAS MENGAWAS KANAK-KANAK 

Che Asmah, yang sebelum ini bersama OrphanCare, berkata Malaysia perlu menerapkan konsep penjagaan berasaskan keluarga dalam masyarakat sebagai amalan budayanya.

“Kita tidak boleh menggunakan kos sara hidup sebagai alat untuk mengatakan anak-anak ini membebankan keluarga. Kerana dengan menghantar mereka ke rumah tumpangan,  ia akan menjejaskan pembangunan dan masa depan mereka,” katanya.

Malaysia juga telah mencadangkan penubuhan suruhanjaya bebas mengenai penjagaan kanak-kanak, yang pertama kalinya disarankan pada 2018. Ia bertujuan menyediakan pengawasan dalam perlindungan dan penggalakan hak kanak-kanak, termasuk pelaksanaan penjagaan berasaskan keluarga.

Suruhanjaya itu harus terlibat dalam menggubal dasar negara yang mementingkan kanak-kanak dan mempunyai akses tanpa had kepada tempat perlindungan dan data berkaitan kanak-kanak untuk terus menilai prestasi kerajaan, menurut satu laporan New Straits Times pada September.

Che Asmah, yang kini penasihat rasmi dengan yayasan yang memperkasakan belia, berkata beliau telah berkecimpung dalam soal kanak-kanak yang dipaksa meninggalkan rumah selepas mereka berumur 18 tahun dan "kemudian tiada tempat untuk mereka pergi".

“Keluarga yang meninggalkan mereka di rumah tumpangan, sudah telah melupakan mereka sama sekali.  Jadi ke mana mereka akan pergi?” kata beliau. 

“Mereka adalah kanak-kanak tanpa penjaga. Ada yang akhirnya menjadi kanak-kanak jalanan dan terlibat dalam kumpulan samseng atau pelacuran. Kita perlu menggemparkan masyarakat mengenai hal ini.”

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini. 

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement