Bukan identiti sebenar: Anak terperanjat apabila ayah yang meninggal dunia memakai nama orang lain
Cap jari yang diambil dari si mati tidak sepadan dengan sebarang rekod dalam pangkalan data Singapura, atau pun rekod mana-mana pangkalan data Malaysia dan Indonesia.

SINGAPURA: Apabila ayah mereka meninggal dunia secara mengejut kerana sebab semula jadi, sebuah keluarga hadapi satu lagi tamparan apabila diberitahu bahawa nama yang digunakan oleh arwah mereka bukanlah namanya yang sebenar.
Identiti si mati - Abdul Rahman Majid – adalah milik seorang lelaki yang mereka langsung tidak kenali yang masih tinggal di sebuah rumah kebajikan sejak 1994.
Siasatan yang dijalankan mendedahkan beberapa penunjuk dan juga menemui beberapa jalan buntu, demikian keterangan yang dibentangkan kepada mahkamah koroner pada Selasa (18 Jul) untuk mendengar hasil siasatan mengenai kematian lelaki yang tidak dikenali itu.
KEMATIAN MENIMBULKAN BANYAK PERTANYAAN
Lelaki yang mati itu mempunyai seorang isteri dan lima anak lelaki - anak sulungnya telah diberikan kepada orang lain selepas dilahirkan. Allahyarham tinggal bersama anak bongsunya di sebuah flat sewa di Geylang Bahru.
Pada 5 Ogos tahun lalu, Allahyarham ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak bernafas di ruang tamu. Anak bongsunya, yang menghidap skizofrenia seperti ibunya, kemudian menghubungi polis.
Apabila polis tiba, mereka mula-mula mengenal pasti lelaki itu sebagai Encik Abdul Rahman Majid, mengikut nama yang diberikan di bawah ruangan "ayah" dalam sijil kelahiran anak bongsunya.
Lelaki itu disahkan meninggal dunia pada hari yang sama. Dia tidak mengalami kecederaan dan tiada tanda-tanda pergelutan di flat itu. Punca kematian dilaporkan sebagai kematian semula jadi akibat penyakit arteri koronari.
Bagaimanapun, siasatan pihak polis menemukan beberapa hal yang pelik seperti tiadanya pasport atau kad pengenalan diri (NRIC) yang dijumpai di flat tersebut.
Hanya pas tapak pembinaan lama dan pas Plaza UOB yang memaparkan gambar lelaki itu dengan nama "Abdul Rahman Majid".
Bagaimanapun, cap jari yang diambil daripada si mati tidak sepadan dengan mana-mana rekod dalam pangkalan data negara, mahupun dalam pangkalan data Malaysia atau Indonesia.
Contoh darah menunjukkan bahawa empat anak lelaki si mati – tidak termasuk anak sulung yang telah diberikan kepada orang lain semasa dilahirkan – memang anak-anak kandungnya.
ABDUL RAHMAN MAJID YANG SEBENAR
Polis kemudian berjaya mengesan siapa Encik Abdul Rahman yang sebenar. Dia adalah seorang penghuni jangka panjang yang tinggal di sebuah rumah kebajikan sejak 1994, kerana menghidap skizofrenia kronik. Dia kini berusia 69 tahun.
Inspektor Ng Yun Ning mengadakan temu bual ringkas dengan Encik Abdul Rahman, yang hanya boleh menjawab dengan menggeleng atau menganggukkan kepalanya.
Beliau juga menunjukkan kepada Encik Abdul Rahman gambar lelaki si mati, dan dia menggelengkan kepalanya, menunjukkan bahawa dia tidak mengenalinya.
INSP Ng telah meminta laporan daripada semua hospital dan klinik utama mengenai sejarah perubatan si mati, tetapi menerima balik hanya dua jawapan dari Institut Kesihatan Mental (IMH) dan Hospital Tan Tock Seng.
Adik Encik Abdul Rahman juga mengesahkan bahawa abangnya telah menerima rawatan di IMH dan Hospital Tan Tock Seng. Dengan itu tiada laporan perubatan yang jelas telah dipautkan kepada si mati.
Adiknya juga terkejut apabila mendengar bahawa ada orang telah menggunakan identiti abangnya, sambil berkata ini adalah kali pertama dia mendengar perkara sedemikian.
Menurut INSP Ng beliau telah menemu bual anak-anak lelaki Allahyarham, yang menerima maklumat tersebut dengan rasa terkejut. Ini kerana mereka hanya mengenali ayah mereka sebagai Abdul Rahman Majid, yang mempunyai nombor IC seperti yang tertera dalam dalam sijil kelahiran.
PENUNJUK LAIN
Dia juga bercakap dengan seorang pekerja pembersihan yang bertugas di blok yang didiami si mati selama lebih 20 tahun. Pekerja itu berkata dia sebelum ini berbual ringkas dengan Allahyarham yang pernah menyuruhnya supaya memanggil beliau sebagai "Kassim".
Menurut salah seorang anak lelakinya, mereka sekeluarga pernah tinggal di flat sewa lain di Hougang. Semasa mereka tinggal di sana, ada seorang lelaki mengatakan dia berasal dari Malaysia, yang melawat dan memanggil bapa mereka sebagai "Kassim".
Koroner Adam Nakhoda menjelaskan kepada anak Allahyarham yang keempat dan isterinya yang menghadiri perbicaraan koroner itu bahawa siasatan perlu dijalankan kerana identiti si mati tidak diketahui.
Menjawab satu pertanyaan koroner, INSP Ng berkata beliau telah menunjukkan foto si mati kepada Encik Abdul Rahman yang sebenar, tetapi tidak kepada adiknya.
Sebaliknya, INSP Ng hanya memberikan nama-nama anak si mati dan wanita itu juga berkata beliau tidak mengenali mereka.
Di mahkamah, gambar Encik Abdul Rahman yang sebenar ditunjukkan kepada anak lelaki si mati dan isterinya, dan mereka berkata mereka tidak mengenalinya.
Tiada seorang pun daripada anak lelaki itu mengetahui mana-mana saudara mara atau datuk nenek mereka, kata INSP Ng.
Pegawai itu berkata dia telah cuba bercakap dengan isteri si mati, tetapi wanita itu menghidap skizofrenia dan hanya mampu menjawab dengan mengangguk atau menggelengkan kepalanya.
Menurut salah seorang anak lelakinya, isteri Allahyarham mempunyai beberapa saudara di sebelahnya yang turut menghidap skizofrenia.
SIASATAN TAMBAHAN
Koroner mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan tambahan.
Dia diminta menghubungi saudara-mara isteri si mati untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai maklumat mengenai Allahyarham.
Polis juga perlu menyemak dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berhubung flat sewa di Hougang dan Geylang Bahru yang didiami keluarga itu, untuk melihat sama ada terdapat nama lain yang ditandakan sebagai penyewa berdaftar selain isteri si mati.
Koroner juga meminta pegawai siasatan menyemak dengan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan Orang Islam atau Pejabat Pendaftaran Perkahwinan sama ada terdapat sebarang rekod perkahwinan si mati.
Dia meminta pegawai itu meninjau kedai kopi yang sering dikunjungi si mati sekiranya ada sesiapa di situ boleh mengingatinya. Dia juga harus menunjukkan gambar Encik Abdul Rahman yang sebenar kepada anak lelakinya yang belum pernah melihat gambar tersebut.
Anak lelaki Allahyarham yang menghadiri perbicaraan koroner berkata beliau tidak ada sebarang kebimbangan mengenai kematian bapanya. Dia hanya mahu tahu identiti sebenar Allahyarham.
Pihak koroner berkata beliau memahami hal tersebut sambil menjelaskan bahawa identiti sebenar si mati mungkin tidak dapat disahkan dengan segera. Ini kerana siasatan yang dijalankan sejauh ini belum menghasilkan sebarang penunjuk mengenai identitinya.
Sebarang dapatan baru dalam siasatan selanjutnya akan dibentangkan pada satu tarikh kelak.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pengalaman sebuah keluarga berhadapan dengan masalah pertuturan anak yang lambat.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.