Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Belum tentu tidak akan dicabar selepas presiden Bersatu Muhyiddin tarik balik keputusan undur diri: Penganalisis

Para penganalisis percaya bahawa pengumuman awal bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibuat berikutan spekulasi bahawa beliau akan dicabar semasa pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tahun depan. 

Belum tentu tidak akan dicabar selepas presiden Bersatu Muhyiddin tarik balik keputusan undur diri: Penganalisis
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin semasa konvensyen parti di Shah Alam dari 23 Nov 2023 hingga 25 Nov 2023. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

KUALA LUMPUR: Sehari selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin menarik balik keputusannya tidak akan mempertahankan jawatan presidennya pada pemilihan parti tahun depan, para anggota perwakilan konvensyen Bersatu pada hujung minggu lalu, menyambutnya dengan sorakan kegembiraan. 

Beberapa perwakilan juga dilihat memeluk erat isteri beliau Noorainee Abdul Rahman yang hadir di konvensyen tersebut. 

“Teruskan satu penggal lagi. Jangan kecewakan mereka. Mereka perlukan anda. Ini untuk negara. Abah mesti terus pimpin,” kata mantan perdana menteri itu menukil apa yang dikatakan oleh isteri beliau kepadanya, yang telah membuatnya menimbangkan semula keputusannya yang dibuat sebelum ini.  

Abah merupakan gelaran mesra kepada Encik Muhyiddin terutama semasa pentadbiran beliau sebagai perdana menteri dari Mac 2020 hingga Ogos tahun berikutnya.

Semasa kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hujung minggu yang sama, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli tidak dapat menahan diri untuk mengulas tentang Encik Muhyiddin dan Bersatu.

“Saya cuma ada satu permintaan daripada Perdana Menteri kita. Jika perbahasan kita hambar hari ini, tolong jangan cuba buat gimik yang sama seperti Muhyiddin Yassin,” katanya sambil disambut gelak ketawa oleh para perwakilan PKR. 

PKR yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), yang telah membentuk kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional dan beberapa parti dari Borneo.
 
Para penganalisis yang dihubungi CNA percaya bahawa pengumuman Muhyiddin bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan presidennya dalam Bersatu dan kemudian menarik balik keputusan tersebut timbul di tengah-tengah spekulasi bahawa beliau akan dicabar semasa pemilihan kepimpinan Bersatu tahun depan.

Mereka menambah bahawa walaupun Muhyiddin hanya dilihat sebagai "menguji" sokongannya di kalangan perwakilan, beliau masih boleh menjangkakan cabaran dalam usaha untuk mempertahankan jawatan presiden itu. 

Antara nama yang dipercayai mungkin bertanding untuk jawatan tertinggi parti itu termasuk Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, Naib Presiden Radzi Jidin, dan Ahli Majlis Tertinggi Azmin Ali.

Bersatu yang merupakan parti serpihan dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), adalah parti komponen gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Gerakan Rakyat (Gerakan).

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia Hamzah Zainuddin (kanan) bersama presiden parti Muhyiddin Yassin semasa konvensyen Bersatu pada 24 Nov 2023. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

MUHYIDDIN MENGUKUR SOKONGAN 

Para penganalisis percaya bahawa Encik Muhyiddin mungkin cuba mengukur tahap sokongan kepadanya dalam parti yang beliau turut tubuhkan pada 2016. Ini lebih-lebih lagi menyusuli keputusan beberapa ahli parlimen Bersatu yang telah mengikrarkan sokongan kepada PM Anwar. 

Dr Oh Ei Sun, zamil kanan Institut Ehwal Antarabangsa Singapura, memberitahu CNA bahawa terdapat rungutan mengenai hala tuju masa depan Bersatu, dengan beberapa "tokoh yang bercita-cita tinggi" dalam parti mungkin menggunakan masa di konvensyen untuk mencuba nasib bagi merebut jawatan tertinggi dalam Bersatu.

"Melihat perkara ini, Muhyiddin mahu menguji sedikit tentang sejauh mana adanya sokongan terbuka kepadanya,  dengan itu menghalang sebarang percubaan untuk mencabarnya,” kata Dr Oh. Beliau menyifatkan langkah Muhyiddin itu sebagai "pertunjukan" yang biasa dimainkan ahli- ahli politik dan Muhyiddin bukanlah orang pertama melakukannya. 

Pengamat dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Dr Azmi Hassan memberitahu CNA bahawa keputusan majlis tertinggi Bersatu menolak pengumuman Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan presiden menunjukkan beliau masih mendapat sokongan dalam kalangan pemimpin tertinggi.

“Saya rasa itulah sebab mengapa Muhyiddin membuat keputusan itu dalam masa kurang 24 jam. Ia untuk menguji sama ada parti memerlukannya dan sama ada beliau masih mempunyai pengaruh dan sokongan dalam parti,” kata Dr Azmi.

Dalam satu kenyataan pada 24 Nov, Encik Hazmah - yang merupakan setiausaha agung Bersatu serta Ketua Pembangkang - berkata kepimpinan tertinggi parti itu sebulat suara dalam pandangan mereka bahawa kepimpinan Muhyiddin diperlukan oleh parti dan negara.

Seorang lagi penganalisis politik Dr Awang Azman Awang Pawi berkata reputasi Muhyiddin sebagai presiden Bersatu terjejas apabila beberapa Ahli Parlimennya mengumumkan sokongan mereka kepada Anwar.

“Beliau hanya mahu melihat sama ada orang mahukan beliau atau sanggup tampil secara terbuka untuk menyandang jawatannya, terutama pada masa Bersatu dilihat tidak begitu dominan. Ini juga kerana ada ura-ura PAS mahu menjadi lebih dominan dalam PN,” katanya.

Kesemuanya lima AP dari Bersatu sejauh ini telah menyatakan sokongan mereka kepada PM Anwar.

Mereka adalah: AP Labuan Suhaili Abdul Rahman, AP Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, AP Gua Musang Azizi Abu Naim, AP Jeli Zahari Kechik and AP Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz.

Kelima-lima mereka berkata mereka menyokong Anwar supaya mereka mendapat dana peruntukan untuk kawasan undi masing-masing.

Bersatu telah pun menggantung Encik Iskandar dan Encik Suhaili selama empat dan enam tahun, setiap seorang, manakala Encik Azizi dan Encik Zahari telah dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti pada 23 Nov 2023 sebelum menarik balik keputusan itu pada hari berikutnya. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin yang kini berehat daripada politik, percaya bahawa Encik Muhyiddin ikhlas dan bersedia untuk menyerahkan tampuk kepimpinan ketika mengumumkannya di konvensyen Bersatu. Beliau mungkin berubah hati selepas diberi amaran bahawa Bersatu boleh berpecah dan menjadi lemah ekoran keputusannya itu.

“Selepas dia mengumumkan keputusannya, pasti ada orang kuat Bersatu yang akan berjumpa dengannya dan memberitahu beliau bahawa parti itu akan berpecah kepada dua atau tiga tanpa dia.

“Ada kem pro-Azmin, pro-Hamzah dan pro-Peja (Faizal Azumu). Ini adalah rahsia terbuka dalam Bersatu bahawa mereka sedang menunggu Muhyiddin bersara, dan mereka akan melakukannya (mengambil alih kepimpinan),” kata Khairy semasa podcast Keluar Sekejap terbarunya yang disiarkan pada Selasa (28 Nov).

Awal tahun ini, Muhyiddin juga telah menawarkan peletakan jawatannya sebagai presiden Bersatu selepas menghadapi dakwaan atas pelbagai pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Tetapi keputusannya itu ditolak oleh majlis tertinggi Bersatu ketika itu.

Encik Khairy berkata jika PN memenangi pilihan raya umum akan datang, presiden Bersatu berpotensi menjadi perdana menteri negara.

“Nilai menjadi presiden Bersatu adalah sangat tinggi,” katanya.

Pilihan raya umum seterusnya di Malaysia mesti diadakan pada Feb 2028.

Semasa sidang media pada hujung minggu, Muhyiddin kelihatan tidak berpuas hati apabila ditanya sama ada beliau telah melakukan gimik di konvensyen tersebut. “Saya tidak bermain. Jika anda duduk di sana dan mendengar…Ini bukan gimik atau permainan kanak-kanak,” katanya kepada media.

SIAPA LAYAK JADI PRESIDEN BERSATU 

Dr Azmi percaya bahawa akan ada cabaran terhadap kepimpinan Muhyiddin kerana beliau dianggap lemah dan inilah sebabnya mengapa beberapa AP Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

“Keputusan awalnya adalah keputusan terbaik yang dibuatnya. Saya tidak fikir Bersatu kekurangan pemimpin yang boleh menggantikannya. Muhyiddin dilihat sangat lemah dan saya menjangkakan beliau akan dicabar semasa pemilihan parti,” katanya.

Tambah Dr Azmi, di Malaysia, ahli politik mesti dilihat merendah diri dan tidak angkuh ketika bersaing untuk merebut jawatan.

Inilah sebab mengapa tiada siapa secara terbuka menyokong keputusan Muhyiddin untuk tidak mahu mempertahankan jawatan presiden Bersatu semasa konvensyen parti, jelasnya.

“Mereka akan membuat langkah semasa pemilihan parti, yang tidak berlaku dalam masa terdekat. Ia tidak akan dilihat sebagai sopan dan wajar untuk mencabar (Muhyiddin) semasa konvensyen," katanya.

Laporan-laporan berita membayangkan bahawa Muhyiddin dan Hamzah kini tidak sependapat mengenai hala tuju parti, walaupun mereka menafikan perkara ini.

Menurut Dr Azmi, terdapat dua kem dalam Bersatu yang dilihat kuat - satu puak yang bersekutu dengan Hamzah dan satu lagi dengan Radzi Jidin.

Encik Hamzah, yang merupakan Ahli Parlimen Larut, telah memegang jawatan Menteri Dalam Negeri manakala Encik Radzi yang kini AP Putrajaya ialah bekas Menteri Pendidikan.

Dr Azmi percaya Encik Azmin, yang menyertai Bersatu selepas dipecat daripada PKR, akan menghadapi kesukaran untuk mencabar jawatan presiden kerana beliau tidak mendapat sokongan akar umbi dalam Bersatu dan masih dianggap sebagai orang luar parti.

Dr Azmi juga tidak menganggap bekas menteri besar Perak Faizal Azamu begitu berpengaruh dan mempunyai kekuatan dalam parti, walaupun beliau memegang jawatan timbalan presiden.

Dr Awang Azman berpendapat pada masa ini mungkin tiada pihak menunjukkan minat untuk mengambil alih jawatan presiden. Ini kerana jawatan itu tidak akan membawa penyandangnya menjadi perdana menteri memandangkan kedudukan kuat PM Anwar di parlimen.

"(Tetapi) mungkin akan ada cabaran pada tahun depan jika ada sentimen bahawa dia (Muhyiddin) harus mengundurkan diri," katanya.

Dr Oh, sebaliknya, percaya tidak akan ada sebarang cabaran serius kepada Muhyiddin daripada para pemimpin utama parti kerana mereka sudah mengesahkan sokongan kepada Muhyiddin.

Beliau bagaimanapun percaya persaingan sengit akan berlaku sekiranya Muhyiddin berundur kerana ramai dalam parti merasakan mereka layak untuk menggantikannya.

"Jika pencabar boleh membawa perubahan segar dan meyakinkan dalam hala tuju parti, ia sebenarnya boleh mengukuhkan parti," kata Dr Oh.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia Hamzah Zainuddin (kanan) dan naib presiden parti Radzi Jidin semasa konvensyen Bersatu pada 24 Nov 2023. (Foto: CNA/Fadza Ishak)

BERSATU MUNGKIN LEMAH 

Dr Awang Azman memberi amaran bahawa keputusan Muhyiddin bermakna status quo bagi parti dari segi kepimpinan dan ini boleh bermakna bahawa lebih ramai AP bakal mengikut jejak langkah AP-AP yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

“Terdapat khabar angin bahawa beberapa lagi AP boleh menyokong Anwar untuk mendapatkan pembiayaan bagi kawasan mereka dan ini akan melemahkan lagi Bersatu,” katanya sambil menambah jika ini berlaku, Muhyiddin akan menghadapi lebih banyak tekanan.

Berhubung kedudukan Muhyiddin dalam PN, Dr Awang Azman berkata situasi yang dihadapi Bersatu sekarang adalah sama seperti ketika mereka berada dalam PH - di mana walaupun parti paling kecil dalam gabungan itu ketika itu - mereka juga memegang jawatan-jawatan penting seperti perdana menteri dan portfolio utama  seperti kementerian dalam negeri dan pendidikan.

Ketika itu, Bersatu yang diketuai Dr Mahathir Mohamad hanya mempunyai 15 kerusi parlimen selepas pilihan raya umum ke-14.

"Dengan kedudukan mereka yang mempunyai kerusi kurang daripada PAS, adalah lebih sukar bagi mereka untuk menguatkan genggaman terhadap PN, di mana parti yang lebih kecil dilihat mahu mengawal parti yang lebih besar," katanya.

PN mempunyai 74 kerusi parlimen - 43 daripadanya dimenangi oleh PAS dan 31 oleh Bersatu (termasuk AP-AP yang sudah menyatakan sokongan kepada Anwar).

Ramai pemerhati telah meletakkan PAS sebagai parti utama bagi orang Melayu di Malaysia, menggantikan UMNO.

Dr Awang Azman percaya PAS boleh menuntut jawatan kepimpinan dalam PN yang kini disandang Bersatu seperti sebagai pengerusi gabungan itu atau jawatan ketua pembangkang yang disandang Hamzah.

Dr Azmi berkata tidak kira siapa yang bertanggungjawab ke atas Bersatu, jumlah dalam PN tidak akan berubah, dan Bersatu lebih memerlukan PAS berbanding sebaliknya.

“PAS boleh kata bahawa Bersatu nampak sangat kuat kerana para penyokongnya. Bersatu yang lemah akan menguntungkan PAS yang boleh bertakat sendiri,” katanya.

Melihatnya dari sudut yang lebih besar, Dr Awang Azman percaya bahawa episod Muhyiddin itu menunjukkan kurangnya soal perubahan kepimpinan politik di Malaysia di mana tidak ada rancangan teratur bagi pemindahan kuasa kepada pucuk kepimpinan seterusnya. 

“Secara umumnya, kita tidak nampak rancangan penggantian kepimpinan dalam kebanyakan parti politik di Malaysia. Baik Bersatu, PKR atau parti-parti lain. Ini adalah gejala biasa sejak era Dr Mahathir,” kata Dr Awang. 

Beliau menambah: "Saya melihat bahawa para pemimpin ini  tidak akan bersara selagi mereka berasa masih boleh mengawal keadaan."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini. 

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement