Analisis: Penilaian merosot tahun pertama PM Anwar, tumpuan harus pada pembaharuan jangka panjang
Kadar penilaian kelulusan yang rendah dan penunjuk ekonomi Malaysia yang lemah, menutup tahun pertama prestasi kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Namun, para penganalisis berkata beliau harus terus laksanakan semua pembaharuan ekonomi dan institusi seberapa yang boleh.

SINGAPURA: Penilaian kelulusan ke atas Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim merosot setahun selepas beliau memegang tampuk pemerintahan, menurut tinjauan penyelidik bebas Merdeka Center.
Penilaian yang rendah itu beserta beberapa penunjuk ekonomi lain menutup tahun pertama pentadbirannya yang berkuasa selepas pilihan raya umum Malaysia yang ke-15 pada tahun November 2023.
Menurut tinjauan Merdeka Centre, 50 peratus responden Malaysia memberi penilaian positif kepada Anwar, berdasarkan hasil tinjauan yang dikeluarkan pada Rabu (22 Nov). Ia adalah satu kemerosotan daripada kadar tinggi 68 peratus yang dicatatkan pada Disember 2022 selepas beliau mengangkat sumpah sebagai PM yang ke-10 pada 24 Nov.
Penurunan sentimen pengundi sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan terhadap ekonomi dan bagaimana sentimen itu mempengaruhi kehidupan mereka, kata Merdeka Center dalam satu kenyataannya. Ia mengaitkan kemerosotan penilaian itu dengan adanya kebimbangan terhadap rancangan kerajaan hendak memotong subsidi dan memperkenalkan cukai baharu.
Bagaimanapun, para penganalisis memberitahu CNA, Anwar harus terus menumpukan perhatian pada melaksanakan reformasi ekonomi dan institusi untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan kewangan yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang. Ia juga bagi meletakkan tanda kepimpinan politiknya yang berkekalan selepas beliau menamatkan penggal khidmat dalam satu atau dua penggal mendatang.
Kedudukan Encik Anwar sebagai perdana menteri dan kerajaan perpaduannya kekal utuh dalam masa setahun ini, kata para penganalisis. Beberapa pemerhati sebelum ini memberi amaran bahawa beliau mungkin tidak akan bertahan sepanjang tempoh penuh memandangkan ketidakstabilan politik sejak beberapa tahun lalu.
PM Anwar, yang juga menteri kewangan, mengambil alih kuasa hanya selepas menantikannya selama beberapa dekad untuk mengambil alih tampuk kepimpinan jawatan tertinggi itu.
Rancangan untuk menyerahkan jawatan PM kepada beliau dari mantan perdana menteri Mahathir Mohamad gagal berlaku berikutan Langkah Sheraton – yang bertujuan menarik sokongan daripada kerajaan Pakatan Harapan yang membawa kepada peletakan jawatan Dr Mahathir.
Sebelum ini, jawatan Anwar yang juga sebagai timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Dr Mahathir, berakhir pada lewat 1990-an apabila beliau dipecat dan dipenjarakan atas tuduhan rasuah dan meliwat.
“Ini adalah masa yang sesuai untuk memberi tumpuan kepada isu struktur jangka panjang - sementara adanya kestabilan politik pada awal penggal pentabirannya,” kata Dr Tricia Yeoh, ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (IDEAS).
REFORMASI EKONOMI
Ketika membentangkan Bajet 2024 pada Oktober, Encik Anwar mendedahkan rancangan untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal dan cukai mewah serta mengurangkan subsidi secara beransur-ansur untuk mengukuhkan kedudukan fiskal Malaysia.
Beliau juga mencadangkan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi sektor erkhidmatan dan industri terpilih, daripada 6 peratus kepada 8 peratus. Beliau bagaimanapun tidak menyebut apa-apa rancangan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang menurut beberapa pakar diperlukan untuk meningkatkan lagi pendapatan negara.
Tinjauan pendapatan bagaimanapun menunjukkan semua langkah ini terbukti tidak popular sedang orang ramai masih bergelut dengan mata wang tempatan yang semakin lemah dan peningkatan kos sara hidup.
Walaupun perangkaan terkini menunjukkan inflasi semakin perlahan dari tahun ke tahun, harga pengguna pula semakin meningkat sejak Encik Anwar memegang jawatan. Ini diburukkan lagi dengan kejatuhan nilai ringgit yang pada Oktober merosot ke nilai terendah dalam tempoh 25 tahun.
Ekonomi Malaysia berkembang 3.3 peratus dibandingkan tahun sebelumnya pada suku ketiga 2023, tetapi ini masih kurang daripada kadar pertumbuhan KDNK 5.6 peratus yang dicapai pada suku pertama.
“Pada pendapat kami, tinjauan itu mencerminkan jangkaan yang dipegang para pengundi terhadap pentadbiran (Anwar) untuk menjana semula pertumbuhan ekonomi serta menangani kebimbangan berpanjangan terhadap inflasi dan pertumbuhan gaji yang rendah,” kata Merdeka Center.
“Isu-isu lain yang akan membentuk pandangan umum pada masa depan termasuk bentuk dan butiran mengenai penarikan balik n subsidi, cukai baharu serta rombakan dalam program pemberian wang tunai.”

Mengenai pemotongan subsidi, seorang penganalisis berkata adalah penting bagi kerajaan berkomunikasi dengan jelas kepada orang ramai bahawa sistem subsidi sekarang menggalakkan budaya pembaziran, sementara pemberian subsidi yang disasarkan boleh membebaskan dana untuk bidang-bidang lebih baik seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Encik Lee Heng Guie, ahli ekonomi dan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi, berkata kerajaan juga boleh mengurangkan kesan rasionalisasi subsidi dengan menghulurkan bantuan tunai, contohnya dalam bentuk baucar, kepada mereka yang memerlukannya.
“Dengan mengandaikan saya melakukan subsidi yang disasarkan, akan ada sedikit penjimatan. Penjimatan itu boleh kembali kepada sektor yang akan memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.
“Dengan melaksanakan subsidi yang disasarkan, akan ada sedikit penjimatan, dan penjimatan itu boleh dikembalikan kepada sektor yang akan memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.
Untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi, Encik Anwar boleh menggandakan dasar yang menambah baik iklim pelaburan Malaysia, dengan menjadikannya lebih mudah untuk menjalankan perniagaan dan menjadi lebih "terbuka" untuk menggunakan buruh asing bagi menampung kekurangan pekerja mahir, kata Encik Lee.
Satu bidang yang PM Anwar nampaknya cemerlang ialah menarik pelaburan asing. Kerajaan berkata ia telah memperoleh RM63.3 bilion (AS$13.6 bilion) pelaburan asing langsung dalam separuh pertama 2023, berbanding RM74.6 bilion aliran masuk bersih bagi keseluruhan 2022.
Encik Lee berkata rancangan ekonomi Anwar, seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, rangka kerja Malaysia Madani dan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12, ditambah dengan kestabilan politik akan menjadi penting dalam menarik lebih banyak pelaburan asing.
“Teruskan, laksanakan dan biarkan impaknya dirasai di lapangan, kerana kita masih menghadapi banyak risiko dalam ekonomi global,” tambah Encik Lee, sambil menegaskan bahawa ekonomi yang dipacu eksport Malaysia kekal terdedah kepada kejutan luaran.
Melangkah ke hadapan, Encik Anwar dan kerajaannya perlu "melaksanakan dengan cepat" rancangan ekonomi mereka, kata Dr Yeoh dari IDEAS. "Pentadbirannya perlu menterjemah (semua rancangan itu) kepada langkah bertindak yang boleh diambil, ke dalam saluran aktiviti ekonomi yang jelas dilihat pihak industri," kata Dr Yeoh, sambil menambah kerajaan perlu mengenal pasti sektor-sektor yang ada potensi berdaya saing, selain sektor industri semikonduktor. "Membangunkan ekosistem dan sektor keutamaan ekonomi akan menjadi kunci."

Encik Anwar perlu juga lebih berani dalam memperkenalkan langkah-langkah untuk membetulkan kegagalan struktur ekonomi masa lalu, kata Dr Yeoh, sambil menggesa supaya GST diperkenalkan semula sebagai satu cara untuk meningkatkan asas pendapatan negara.
"Penyatuan fiskal diperlukan jika kita ingin meningkatkan asas hasil mahsul kita untuk berbelanja bagi objektif pembangunan jangka panjang termasuk dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan," katanya.
Pada 2018, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir membatalkan GST untuk menunaikan janji pilihan raya, walaupun cukai itu menyumbang lebih 18 peratus daripada hasil kerajaan pada 2017. Beliau kemudian menggantikannya dengan SST yang lebih sederhana.
Dr Yeoh mengakui bahawa ia akan menjadi "mencabar" untuk memperkenalkan semula GST, dan kerajaan harus terlebih dahulu melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk organisasi masyarakat sivil, pakar industri dan badan pemikir.
"Saya percaya orang ramai akan menerimanya jika komunikasi dilakukan dengan betul kali ini," katanya.
PEMBAHARUAN INSTITUSI
Di luar bidang ekonomi, Dr Yeoh berkata Encik Anwar boleh mempercepatkan pembaharuan institusi yang beliau sebutkan tetapi tanpa "peta jalan yang jelas" ke arah matlamat akhir, seperti memisahkan Pejabat Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
Pentadbiran terdahulu - seperti di bawah bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob - telah cuba mengkaji langkah ini, tetapi gagal menghasilkan apa-apa yang jelas.
Satu lagi pembaharuan politik yang telah dibangkitkan oleh Anwar tanpa "banyak kemajuan" ialah Akta Pembiayaan Politik, kata Dr Yeoh.
Kemajuan dalam penggubalan undang-undang – yang juga dimulakan Ismail Sabri- dimasukkan di bawah kajian pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-12 PM Anwar. Akta itu bertujuan mencegah tokoh-tokoh berpengaruh atau syarikat besar daripada mengeksploitasi derma mereka kepada parti-parti politik.
Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya memberitahu CNA bahawa undang-undang sekitar pembiayaan politik perlu lebih jelas serta lebih spesifik dan telus.
Pelantikan jawatan penting dalam perkhidmatan awam, seperti dalam Suruhanjaya Pilihan Raya serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, juga perlu melalui jawatankuasa parlimen, katanya.
Profesor James Chin dari Universiti Tasmania berkata Encik Anwar harus merombak Kabinetnya kerana adanya "konsensus umum" di Kuala Lumpur dan bahagian-bahagian lain negara, bahawa kerajaan beliau tidak berprestasi.
“Dia perlu melakukannya secepat mungkin kerana dia mempunyai agenda yang agak bercita-cita tinggi. Perkara besar sekarang ialah dia cuba menangani masalah subsidi. Ini memerlukan kerajaan bekerjasama (tetapi) kerajaan tidak melakukannya,” kata Prof Chin.
Dalam tinjauan terbaru Merdeka Center, kerajaan perpaduan mencatatkan penilaian kelulusan sebanyak 41 peratus, turun daripada 54 peratus pada Disember 2022.
Enam puluh peratus responden juga berkata mereka berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah, dengan sebab utamanya adalah isu ekonomi (56 peratus), ketidakstabilan politik (13 peratus) dan pentadbiran yang lemah (9 peratus).

MAJU KE HADAPAN
Walaupun adanya penilaian yang merosot, perlu juga diingat bahawa kerajaan PM Anwar terpaksa berdepan dengan pihak pembangkang yang suka memainkan isu-isu kaum dan agama, kata pengarah BowerGroupAsia Adib Zalkapli.
Walaupun kerajaan perpaduan berjaya mengekalkan status quo selepas pilihan raya enam negeri pada Ogos, ia gagal memenangi semula undi orang Melayu apabila pembangkang mendapat sambutan di beberapa negeri.
"Masalah terbesar Anwar ialah beliau adalah perdana menteri pertama yang menghadapi hampir semua barisan pembangkang Melayu-Islam dan hakikat bahawa pihak pembangkang banyak membangkitkan isu-isu kaum dan agama," kata Encik Adib.
"Sememangnya, kerajaan perlu bertindak balas terhadap isu-isu ini, (dan dengan berbuat demikian) ia agak mengganggunya daripada mentadbir."
Encik Anwar, yang masih lagi di peringkat awal penggal lima tahunnya dan dengan itu ia agak terlindung daripada sentimen para pengundi, seharusnya memberi tumpuan kepada usaha-usaha memulihkan ekonomi Malaysia dan memperbaiki kedudukan fiskalnya, kata Encik Adib.
“Pada penghujung tahun kedua beliau, adalah sukar atau mustahil untuk memperkenalkan sebarang bentuk rasionalisasi subsidi, kerana Malaysia, sama seperti negara demokrasi berparlimen lain, akan berada dalam musim pilihan raya,” tambah Encik Adib.
Dr Anthony Dass, penasihat ekonomi di Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik, memberitahu CNA bahawa cabaran semasa, ketidaktentuan yang berterusan dan jangkaan tinggi menunjukkan bahawa pembaharuan yang dirancangkan
Encik Anwar memerlukan kira-kira dua tahun dari 2024 untuk dilaksanakan.
Antara cabaran yang dihadapinya adalah gerakan politik yang berpotensi menjejaskan majoriti dua pertiga kerajaan perpaduan di parlimen.
Sebagai contoh, kerajaan perpaduan itu telah kehilangan majoriti tersebut selepas bekas presiden Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik diri daripada gabungan kerajaan perpaduan. Majoriti dua pertiga itu nampaknya berjaya dipulihkan semula apabila empat ahli parlimen pembangkang baru-baru ini berikrar menyokong Anwar.
"Walaupun ada majoriti dua pertiganya, cabaran yang semakin meningkat dari sudut politik mungkin menjadi halangan kepada Anwar untuk mencapai reformasi ekonomi dan fiskal yang diperlukan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih teguh bagi pertumbuhan masa depan negara," katanya.
"Dan sebarang kekurangan sokongan politik berkemungkinan menggagalkan jangkaan pihak peniaga dan orang ramai."
Bagaimana Merdeka Center menjalankan tinjauannya
Dari 4 Okt hingga 24 Okt, Merdeka Center menemu bual 1,220 pengundi berdaftar melalui telefon talian tetap dan telefon bimbit untuk mengukur persepsi mereka terhadap perkembangan semasa.
Responden terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, 7 peratus India, 6 peratus Bumiputera Islam, dan 6 peratus Bumiputera Bukan Islam (dari Sabah dan Sarawak). Komposisi ini mencerminkan profil pilihan raya negara, kata Merdeka Center.
Responden dipilih berdasarkan persampelan rambang berstrata mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan undi pilihan raya negeri, katanya. Ia juga menambah bahawa tinjauan itu dibiayai oleh sumber kewangan yang "dijana dari dalam".
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.