Dasar gaji progresif Malaysia: Mengapa pekerja dan majikan ragu-ragu manfaatnya
Dasar itu bertujuan untuk menambah baik gaji dan keadaan bekerja pekerja berpendapatan rendah di Malaysia. Namun, majikan bimbang kos akan meningkat sekiranya kerajaan hentikan insentif.
KUALA LUMPUR: Selepas menamatkan pengajiannya dengan mendapat sekeping ijazah universiti pada 2018, Encik Ahmad Zulkarnain, 31, percaya ia akan menjadi batu loncatan kepada kehidupan yang lebih baik.
Tetapi sejak beberapa tahun lalu, dia masih terperangkap dengan gaji bulanan sebanyak RM3,500 (AS$750) sebagai pekerja di sebuah firma kejuruteraan kecil di Lembah Klang.
Sebagai seorang bujang, Encik Ahmad berkata dia boleh menyara hidup dengan gaji sedemikian, walaupun ia bermakna baki simpanan beberapa ratus ringgit setiap bulan selepas membayar sewa, bayaran ansuran kereta serta pinjaman pelajar dan keperluan harian.
Beliau berkata keadaan menjadi lebih sukar ketika harga barangan melambung tinggi akibat inflasi.
“Saya telah meminta kenaikan gaji dari majikan saya, tetapi sudah agak lama juga mereka katakan supaya supaya tunggu seketika. Saya juga telah mencari pekerjaan lain tetapi mendapatinya sukar untuk mencari pekerjaan yang boleh bayar gaji lebih tinggi sedikit,” kata Encik Ahmad, yang berasal dari Perak.
Apabila Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi Ramli mengumumkan pada 30 Nov bahawa kerajaan sedang dalam proses melaksanakan dasar gaji progresif, Encik Ahmad agak teruja dengan berita itu, sambil percaya ia adalah inisiatif baik yang berpotensi meningkatkan gaji bulanannya.
Dasar itu yang direka secara sukarela bagi penyertaan majikan, berasaskan insentif dan dikaitkan dengan produktiviti. Ia bertujuan untuk menambah baik gaji dan keadaan kerja para pekerja berpendapatan rendah di Malaysia.
Ia mengambil inspirasi daripada Model Gaji Progresif Singapura yang dilaksanakan dan dikenal pasti untuk sektor-sektor tertentu, di mana kadar kenaikan gaji ditentukan setiap tahun sejajar dengan peningkatan kemahiran yang diperolehi para pekerja.
Hanya para pekerja Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan layak menyertai program itu, dengan pekerja dari syarikat berbilang negara dan berkaitan kerajaan dikecualikan daripada projek itu.
Ketika membentangkan kertas putih mengenai dasar itu di parlimen, Encik Rafizi berkata bahawa program bersifat sukarela menyasarkan 1,000 firma di bawah projek perintis yang dijangka bermula Jun depan. Tumpuannya pula kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Tambahnya, menurut data rasmi, gaji meningkat pada purata 4.1 peratus dari 2011 hingga 2022, dengan gaji rendah memberi kesan serius kepada kehidupan pekerja.
Walaupun Encik Ahmad menantikan sebarang dasar yang boleh meningkatkan gajinya, walau untuk beberapa ratus ringgit pun, terdapat keraguan di kalangan pihak-pihak tertentu terhadap pelaksanaan dasar tersebut.
Pihak majikan telah menyatakan kebimbangan mengenai potensi kesannya terhadap perniagaan mereka dan daya maju syarikat dalam jangka panjang. Manakala kumpulan pekerja pula bimbang bahawa dasar itu akan menjadi satu lagi skim subsidi gaji.
Seorang pakar ekonomi memberitahu CNA bahawa dasar itu perlu dilaksanakan selama beberapa tahun selepas tahun pertama percubaan untuk mendorong perubahan sikap di pihak majikan. Namun beliau percaya ia adalah satu langkah ke arah yang betul untuk menaikkan gaji pekerja berpendapatan rendah dalam negara.
“Ia adalah model menang-menang untuk kedua-dua majikan dan pekerja. Bagi pekerja, ia adalah komitmen untuk memajukan diri dan mengambil inisiatif sambil mendapat kenaikan gaji. Bagi majikan, produktiviti pekerja yang lebih tinggi akan mengimbangi kos gaji yang lebih tinggi,” kata Encik Lee Heng Guie, ahli ekonomi dan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC).
KEBIMBANGAN MAJIKAN
Dr Syed Hussain Syed Husman, presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata idea projek perintis itu adalah tepat, kerana pihak berkepentingan boleh belajar dan kemudian membuat penambahbaikan ke atasnya.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa mereka mungkin tidak berminat dengan skim itu kerana kerajaan Malaysia hanya mengumumkan bahawa insentif yang diberikan kepada firma akan bertahan untuk 12 bulan pertama dan sebarang subsidi lanjut akan bergantung kepada sumber kewangan negara.
“Ini mungkin menghalang sesetengah majikan daripada mengambil bahagian. Sebaik sahaja kenaikan gaji diberikan, ia akan kekal begitu dan tidak boleh ditarik balik. Oleh itu majikan perlu memastikan kenaikan gaji yang tinggi itu boleh ditampung dalam jangka panjang,” katanya kepada CNA.
Menurut Encik Rafizi, syarikat yang mengambil bahagian layak menerima insentif tunai sehingga RM200 sebulan selama 12 bulan untuk siswazah baharu dan jawatan di peringkat permulaan. Manakala bagi jawatan bukan peringkat permulaan, kadar insentif dicadangkan sehingga RM300 setiap bulan selama 12 bulan.
Kenaikan gaji pekerja itu akan sejajar dengan peningkatan produktiviti mereka, kata Encik Rafizi.
Pemberian insentif ini akan disemak setiap tahun berdasarkan kedudukan fiskal kerajaan, tambahnya.
Pakar ekonomi Encik Lee menyuarakan sentimen Dr Syed, dengan berkata bahawa kerajaan mesti menyediakan subsidi sekurang-kurangnya untuk tiga tahun sebelum pihak majikan sedia membuat perubahan kenaikan gaji.
"Sekiranya ia hanya untuk satu tahun, saya ragu ia akan mendorong perubahan sikap majikan (untuk meneruskan kenaikan gaji), lantaran kita tidak akan melihat apa-apa manfaat daripada model itu," katanya, sambil menambah bahawa dasar itu boleh membantu menaikkan gaji pekerja berkemahiran rendah.
Menurut kertas putih itu, kira-kira dua pertiga daripada tenaga kerja Malaysia atau empat juta orang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.
Encik Lee, bagaimanapun, mengingatkan bahawa kerajaan perlu berperanan dari awal-awal lagi untuk memberikan sokongan peralihan dalam memulakan skim itu tetapi insentif yang diberikan itu perlu dihentikan akhir-akhirnya nanti.
"Anda tidak mahu mewujudkan keadaan di mana adanya sikap terlalu bergantung kepada subsidi dan keadaan kembali kepada normal selepas insentif dihapuskan," katanya.
KEBIMBANGAN PIHAK PERNIAGAAN
Encik Chin Chee Siong, setiausaha agung Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia berkata walaupun beliau menyokong dasar itu, beliau tidak pasti tentang daya majunya.
“Sentimen di kalangan kebanyakan majikan PKS, berdasarkan perbualan saya dengan mereka, adalah keengganan untuk melaksanakannya,” katanya kepada CNA, sambil menambah bahawa mereka tidak mempunyai butiran penuh program itu buat masa ini.
Beliau berkata kebimbangan firma-firma PKS terutamanya berkisar tentang kebimbangan mengenai prestasi perniagaan mereka. Keutamaan firma, katanya adalah untuk meningkatkan operasi bagi mengharungi cabaran seperti pelaksanaan e-invois dan kekangan perbelanjaan pihak pengguna.
"Walaupun terdapat potensi manfaat daripada dasar itu, fokus PKS tertumpu pada kebimbangan segera perniagaan sebelum bersedia komited untuk melaksanakannya," kata beliau.
Encik Chin menambah bahawa potensi implikasi kewangan mungkin timbul daripada proses skim itu yang kelihatan rumit, terutamanya kerana ia melibatkan prosedur menuntut balik kenaikan gaji yang dibayar.
“Jika jumlah itu besar, ia boleh menjejaskan aliran tunai firma, terutamanya apabila gaji dibayar lebih awal, dengan (tuntutan) bayaran balik gaji pula hanya dibuat kemudian.
“Memandangkan banyak PKS sedang bergelut dengan keadaan perniagaan yang mencabar dalam 10 bulan awal 2023, beban tambahan seperti ini berkemungkinan melemahkan mereka lagi,” kata Encik Chin.
Beliau menjangkakan bahawa banyak PKS mungkin tidak bersedia untuk menyertai program ini pada mulanya dan kebanyakannya mungkin memerhatikan dahulu hasil program perintis itu sebelum menyertainya.
Dr Syed Hussain dari MEF berkata projek perintis itu akan diperkenalkan tahun depan pada masa negara menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan prospek pertumbuhan ekonomi dunia berkembang lebih perlahan daripada unjuran garis dasar 3.5 peratus pada 2022 kepada 3 peratus pada 2023 dan 2.9 peratus pada 2024.
Dr Syed Hussain menambah program itu tidak pula menyebut sebarang bantuan yang akan diberikan kepada majikan untuk melatih dan melatih semula pekerja bagi menjadikan mereka lebih produktif. Beliau mencadangkan kerajaan perlu menanggung kos bagi firma yang menyertai program itu.
Encik Rafizi sebelum ini berkata syarikat yang menyertai program itu mesti menghantar pekerja mereka untuk latihan dan program peningkatan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan.
“Kerajaan perlu mempergiat perbincangan dan meningkatkan kesedaran mengenai dasar itu kepada semua pihak berkepentingan supaya lebih ramai majikan akan menyertai program itu,” kata Dr Syed.
Encik Lee percaya bahawa kos latihan dan peningkatan kemahiran pekerja akan diimbangi oleh Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang telah pun disumbangkan oleh majikan.
HRDF ialah bayaran levi mandatori yang mesti disumbangkan oleh semua majikan, dengan bantuan kewangan kemudiannya diberikan kepada pekerja yang melaksanakan latihan berkaitan dengan skop kerja mereka.
Encik James Anthonysamy, pengurus besar Chocofac Malaysia - syarikat pengeluar coklat di Bangi, Selangor - berkata syarikat itu berminat untuk memohon program perintis itu.
Firma itu mempunyai kira-kira 40 orang, separuh daripadanya adalah warga asing terutamanya dalam bahagian pengeluaran perniagaan. Beliau berkata di jabatan kawalan kualiti, mereka mempunyai beberapa kakitangan Malaysia yang layak menyertai program itu.
"Kami memahami kebimbangan mengenai kos sara hidup dan bagaimana ia memberi kesan kepada pekerja kami, jadi sebarang bantuan kerajaan dalam usaha meningkatkan gaji akan dialu-alukan," katanya.
Ketika ditanya tentang bagaimana produktiviti akan diukur, Encik James berkata mereka perlu menetapkan beberapa tanda aras untuk pekerja walaupun masih belum ada butiran mengenai program perintis itu.
"Kerajaan mesti bercakap mengenainya dan dengan melibatkan industri," katanya.
Ramai pemilik perniagaan lain yang dihubungi CNA tidak mengetahui dasar itu dan berkata mereka akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat tentang perkara-perkara yang diperlukan di bawah program tersebut.
KESATUAN MINTA DILIBAT SAMA
Sementara itu, nampaknya terdapat kebimbangan dari pihak kesatuan sekerja, dengan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Bahrin Mansor berkata mereka tidak diundang untuk perbincangan mengenai dasar itu.
"Sebarang dasar baharu mengenai pekerja yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan harus dibincangkan dengan para pekerja dan wakil mereka," katanya kepada CNA.
Encik Kamarul berkata MTUC masih belum membincangkan kertas putih itu secara dalaman dan tidak boleh mengulas banyak mengenai dasar itu buat masa ini.
Beliau, bagaimanapun, mempunyai beberapa soalan tentang bagaimana produktiviti akan diukur dalam sektor tertentu.
“Ia mungkin boleh diukur untuk pekerja yang bekerja di kilang tetapi bagaimana pula untuk pembersih atau pengawal keselamatan? Terdapat banyak persoalan mengenai pelaksanaannya dan bagaimana ia akan berfungsi,” kata Encik Kamarul.
Memberi contoh mereka yang bekerja sebagai tukang cuci, Encik Lee mencadangkan agar majikan boleh melabur dalam pekerja ini dengan memastikan mereka berkembang dalam kerjaya mereka untuk mencapai tahap penyeliaan
Encik J. Solomon, setiausaha agung Kesatuan Kakitangan Bank Malaysia (NUBE) memberi amaran bahawa dasar itu akan menjadi satu lagi subsidi gaji dan mendakwa bahawa sebarang kaitannya dengan produktiviti adalah "palsu".
“Struktur gaji Malaysia tidak pernah terikat dengan produktiviti. Malah, sejak beberapa dekad yang lalu, produktiviti pekerja dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan telah terlepas daripada pertumbuhan gaji. Produktiviti berkembang lebih tinggi daripada pertumbuhan gaji,” katanya kepada CNA.
Malaysia kini mempunyai gaji bulanan minimum RM1,500 sebulan, yang dilaksanakan pada Mei tahun lepas. Di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, gaji minimum mesti disemak setiap dua tahun.
Encik Solomon mendakwa bahawa tahap gaji minimum semasa adalah tidak adil dan gaji minimum sebenar yang dilaksanakan tahun lepas sepatutnya sekitar RM2,300 sebulan, memetik jumlah minimum yang diperlukan untuk bebas hidup daripada kemiskinan serta peningkatan kos sara hidup.
“Kita nampaknya begitu bersemangat untuk bercakap tentang produktiviti pekerja yang ‘rendah’ dan tidak serius untuk memberikan gaji yang adil kepada pekerja. Kertas putih itu juga lebih mementingkan huraian ‘tuntutan’ dari majikan bagi pekerja mereka yang mempunyai produktiviti rendah,” katanya.
Timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan berkata beliau bimbang dasar gaji progresif akan mengorbankan dasar gaji minimum yang menurutnya adalah sesuatu yang sangat diperjuangkan oleh para pekerja.
“Dasar gaji progresif, jika dilaksanakan, sepatutnya melebihi Gaji Minimum Nasional yang disemak setiap dua tahun. Jangan gantikan dasar gaji minimum, perbaikinya sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Dis.
Encik Rafizi berkata dalam catatan di X pada 4 Dis bahawa gaji minimum akan kekal, dan ia akan diperkukuh oleh dasar gaji progresif.
Encik Chin dari Persatuan PKS percaya bahawa kedua-duanya tidak berkaitan kerana gaji minimum adalah undang-undang manakala dasar gaji progresif hanyalah program perintis buat masa ini yang tidak diwajibkan.
Beliau percaya kerajaan mempunyai peranan besar dalam memastikan bayaran gaji tinggi lebih tinggi dengan membawa lebih banyak pembangunan dan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara, di samping mengekalkan kemudahan menjalankan perniagaan.
Encik Chin juga berharap kerajaan membantu pihak perniagaan mengatasi isu yang mereka hadapi seperti kekurangan pekerja yang baik.
"Jika syarikat berprestasi baik, saya tidak kisah untuk membayar pekerja lebih tinggi,” katanya.
Encik James - pengurus besar firma coklat - berharap kerajaan boleh menanggung kos melatih pekerja mereka, sambil berkata pihaknya mengalu-alukan bantuan kewangan yang dijanjikan oleh kerajaan.
“Jika tiada subsidi, harga produk akan naik. Apabila gaji minimum dinaikkan tahun lalu daripada RM1,200 kepada RM1,500, kami tiada pilihan selain menaikkan harga produk kami,” katanya.
Bagi Encik Ahmad, beliau hanya boleh berharap majikannya menyertai program itu tetapi tidak benar-benar mengharapkan mereka berbuat demikian.
“Jika dasar itu hanya mengakibatkan perbelanjaan tambahan untuk syarikat, mereka tidak akan menyertai program itu. Sudah tiba masanya saya mencari kerja lain dengan lebih gigih,” katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.