Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Setahun kerajaan PM Anwar: Prestasi ekonomi pada landasan betul walau populariti merosot 

Sedang para pengamat melihat beberapa kemajuan yang dicapai pentadbiran PM Anwar, penilaian orang ramai terhadap prestasi kerajaan bagaimanapun merosot. 

Setahun kerajaan PM Anwar:  Prestasi ekonomi pada landasan betul walau populariti merosot 
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di upacara sambutan Hari Kebangsaan di pusat konvensyen Putrajaya, Malaysia 30 Ogos 2023. (Foto Fail: Foto AP/Vincent Thian)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim meraikan ulang tahun pertamanya pada hujung minggu (10 Dis), dengan para pemerhati menarik perhatian terhadap beberapa kemajuan yang dicapai kerajaan beliau. 

Antara kemajuan tersebut adalah dalam usahanya mencapai kestabilan dalam kalangan parti-parti kerajaan campuran beliau dan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran penuhnya.
 
Bagaimanapun, para pengamat turut menyuarakan sikap berhati-hati bahawa masih lebih banyak usaha diperlukan untuk menambat hati sebahagian besar rakyat Malaysia. 

Malah, walaupun beberapa penganalisis telah memberikan kad laporan positif kepada Encik Anwar, penilaian kelulusan kerajaannya telah merosot sejak tahun lepas, dengan orang ramai menyuarakan soal kebimbangan ekonomi sebagai isu terbesar.

Populariti PM Anwar pada Oktober adalah pada 50 peratus, penurunan mendadak dibandingkan pada Disember tahun lalu, tidak lama selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-10. Beliau diberi kadar penilaian 68 peratus ketika itu.

Tinjauan pendapat yang dijalankan firma penyelidikan Merdeka Center juga menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap cara kerajaan mengendalikan ekonomi, yang meningkat kepada 43 peratus daripada 19 peratus.

DARI PESAING KEPADA SEKUTU

Kerajaan perpaduan dibentuk PM Anwar selepas Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15, menyaksikan parlimen tergantung, dan membawa kepada gabungan antara Pakatan Harapan (PH) pimpinan beliau dengan bekas seteru politiknya, Barisan Nasional (BN), serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Ia merupakan gabungan yang disangsikan ramai pihak dengan ada yang meragui bahawa ia boleh bertahan lama. 

Kini setahun kemudian, para pengamat berkata hubungan sesama komponen dalam kerajaan perpaduan Madani itu disifatkan sebagai positif; dengan kabinetnya kelihatan bersatu dan utuh. 

Seperti yang telah diperjelaskan, konsep Malaysia Madani yang dicetuskan pentadbiran PM Anwar merangkumi enam nilai teras, iaitu kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas kasihan.
 
“Tanda aras terbaik adalah dengan membandingkan (kerajaan PM Anwar) dengan kerajaan PH pertama pada 2018. Pada masa itu, terdapat lebih banyak perselisihan terbuka mengenai isu-isu teras dan asas, yang akhirnya membawa kepada keruntuhannya,” kata Adib Zalkapli, pengarah dasar awam firma perunding BowerGroupAsia.

Beliau merujuk kepada kerajaan PH di bawah bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, yang memenangi pilihan raya umum 2018, tetapi disebabkan pertikaian dalaman kerajaan itu tumbang pada 2020.
 
“Dari segi itu, (kerajaan Anwar) menunjukkan banyak pembaikan, dengan para pemimpin parti-parti anggotanya belajar bertolak-ansur dan bekerjasama dengan seteru politik mereka yang lalu. Mereka belajar untuk mentadbir, memilih keutamaan dalam meneruskan perjuangan dan bagaimana melakukan saingan politik mereka,” kata Encik Zalkapli.

PENGURUSAN EKONOMI

Kerajaan Madani PM Anwar juga mengambil alih tampok pemerintahan di tengah-tengah ekonomi global yang mencabar, dengan para pelabur menahan pelaburan mereka dan kos sara hidup meningkat dengan pesat.

Usaha memulihkan ekonomi dan keperluan mendesak untuk menarik pelaburan asing dengan giat menjadi objektif utama pentadbiran Anwar.
 
Pihak berkuasa juga melancarkan satu siri pelan perindustrian dan pelan hala tuju dasar, yang bertujuan mengemudi negara ke arah masa depan yang lebih jelas.

“Banyak ketidakpastian dan keadaan tidak konsisten berjaya diatasi … ia telah dapat menstabilkan keadaan dan berjaya menonjolkan keupayaan kerajaan untuk mentadbir sepanjang tahun lalu,” kata  Amir Fareed Rahim, pengarah strategi KRA Group, konsultan risiko politik bagi ehwal ASEAN. 
 
“Tetapi sudah tentu, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan. Perlu ada perpaduan yang lebih erat dalam kabinet, dan dari segi menunaikan beberapa janjinya. Perlu ada dorongan yang tegas dan nyata untuk mengutamakan prestasi ekonomi domestik.”

Ekonomi Malaysia berkembang lebih cepat daripada jangkaan pada suku terakhir, meletakkannya selaras dengan usaha mencapai sasaran pertumbuhan 4 peratus tahun ini.

MENAMBAT HATI PENGUNDI MELAYU

Kekuatan politik kerajaan Madani diuji pada Ogos apabila enam negeri mengadakan pilihan raya negeri, yang menjadi pertarungan antara perikatan PH-BN dan perikatan pembangkang Perikatan Nasional (PN), yang berakhir dengan kedua-dua pihak mengekalkan negeri yang dikuasai masing-masing.

Di sebalik status quo, PN berjaya menembusi kawasan-kawasan undi majoriti Melayu. Keputusan ini menyerlahkan trend yang membimbangkan - penurunan yang jelas sokongan para pengundi Melayu terhadap gabungan pemerintah.

Para penganalisis berkata gabungan berbilang kaum dalam landskap politik Malayisa semakin menjadi liabiliti kepada sesetengah ahli politik.
 
"Ia tidak ada kena mengena sama ada kerajaan ini boleh menunjukkan prestasi baik dalam soal menyelesaikan masalah ekonomi, atau mengurangkan harga barangan,” kata Wong Chin Huat, pakar saintis politik di Universiti Sunway.

“Hal ini tidak ada hubungannya dengan apakah kerajaan boleh mengendalikan ekonomi dengan baik, pihak pembangkang ada sahaja cara untuk menanyakan kepada para pengundi Melayu: Anda mahukan kerajaan yang dikuasai orang Melayu atau sebuah kerajaan yang kecil dan berbilang kaum?” 

Dalam sebuah wawancara dengan media tempatan sempena ulang tahun pertama pemerintahannya, PM Anwar menolak dakwaan-dakwaan bahawa kerajaannya tidak cukup Melayu atau kurang Islam. 

Untuk mendapatkan semula sokongan para pengundi Melayu, parti dominan Melayu seperti Pertubukan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO, merancang untuk mengukuhkan agenda ekonomi Melayu menerusi persidangan dan konvensyen. 

Encik Anwar berkata satu tahun adalah satu jangka masa yang singkat untuk menilai kerajaan pimpinan Melayu, sambil menambah bahawa para menterinya memerlukan lebih banyak masa dan peluang untuk membaiki prestasi masing-masing. 

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk merombak kabinet jika keadaan memerlukan. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini. 

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement