Insiden kejar kereta di Johor: 2 lelaki ditahan, disyaki menyamar sebagai polis
JOHOR BAHRU: Polis di Malaysia telah menahan dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis dan melakukan aksi kejar mengejar dengan kereta di mana mereka didakwa mengekori seorang pemandu yang dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands.
Siasatan dijalankan selepas polis Kulai menerima laporan pada Isnin (5 Jun) berhubung rakaman kejadian yang dikongsi secara meluas di media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak di Kulai, Johor.
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan pada Selasa mengesahkan dua lelaki warga Malaysia berusia 43 dan 48 tahun ditahan dalam operasi polis pada pukul 6 petang hari sebelumnya.
"Salah seorang suspek adalah penjawat awam," kata Encik Kamarul Zaman, tanpa menyatakan butirannya.
Tambahnya, berdasarkan rekod polis, seorang daripada dua lelaki yang ditahan itu sebelum ini disabitkan dengan kesalahan berkaitan dadah.
Menurut beliau, dalam tangkapan itu, polis turut merampas lampu suar mudah alih, jaket pemantul cahaya, lampu suluh, lampu besar serta sebuah kereta Honda City.
Ketua Polis Johor itu menambah, kedua-dua suspek mungkin didakwa mengikut seksyen 170 kanun keseksaan. Jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, suspek juga boleh didakwa mengikut Seksyen 135 Akta Kastam di mana merek yang didapati bersalah boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun berserta denda.
Video kejadian yang tersebar luas itu telah dimuat naik di Facebook oleh pengguna Freeman Gan WT. Ia menunjukkan dia dikejar oleh tiga lelaki di dalam sebuah kereta berwarna kelabu.
CNA telah menghubungi polis Johor sama ada suspek ketiga telah ditangkap.
Dalam catatan di Facebook, Freeman Gan WT berkata bahawa dia pada mulanya percaya individu-individu yang mengejarnya adalah para pegawai polis tulen kerana lampu biru berkelip pada kenderaan mereka.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.40 pagi di Kulai. Dia sedang membawa rakannya ke Genting Highlands apabila dia perasan ada kereta mengekori mereka.
"Saya terus memandu. Kira-kira di kilometer 37, kereta itu sekali lagi berada di sebelah kereta saya dengan lampu (dibumbungnya) memancarkan cahaya biru. Saya fikir ia adalah polis dan akan berhenti," kongsinya.
Bagaimanapun, dia mula rasa curiga apabila teringat bagaimana kereta itu mengekorinya pada kelajuan yang berbeza-beza. Dia kemudian beritahu kepada kawannya bahawa mereka yang mengekorinya itu mungkin "polis palsu".
Pemandu tersebut menambah bahawa dia kemudian memutuskan untuk terus meluncur ke depan bagi menghalang kereta berkenaan cuba berhenti di hadapannya.
Menurut Freeman Gan WT, dia kemudian menghubungi polis, yang menasihatkannya supaya tidak berhenti di lebuh raya dan sebaliknya terus ke balai polis terdekat jika kereta tersebut mengekori mereka lagi.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai mengapa lebih ramai warga asing memilih hospital swasta Johor untuk mendapatkan rawatan.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.