Lonjakan kes COVID-19: Tanggungjawab peribadi penting, tak perlu sekatan era pandemik, kata pakar
Pakar-pakar kesihatan di Asia Tenggara berkata orang ramai mesti terus mengamalkan tabiat yang dipelajari semasa mencegah penularan COVID-19.

SINGAPURA/KUALA LUMPUR: Lonjakan jumlah kes COVID-19 telah mendorong pihak berkuasa di Asia Tenggara meningkatkan langkah-langkah membataskan penularan jangkitan seperti memasang pengimbas haba di pintu masuk antarabangsa dan menggesa orang ramai untuk memakai pelitup muka.
Bagaimanapun, pakar-pakar kesihatan memberitahu CNA bahawa sekatan era pandemik seperti sekatan pergerakan atau penutupan tidak diperlukan kerana sistem penjagaan kesihatan bersedia untuk menangani lonjakan jumlah kes.
Di Malaysia, Menteri Kesihatan yang baru dilantik Dr Dzulkefly Ahmad pada Khamis (14 Dis) berkata kerajaan mungkin mengumumkan arahan tambahan untuk memerangi lonjakan kes COVID-19. Ia mungkin termasuk perintah bagi orang ramai mendapatkan suntikan penggalak terutamanya bagi mereka yang lebih terdedah kepada komplikasi akibat jangkitan penyakit itu.
Sehari sebelum itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka semasa berkumpul bersama rakan dan keluarga. Ia menyusuli jumlah kes COVID-19 di negara itu meningkat hampir dua kali ganda kepada 12,757 pada minggu 3 hingga 9 Dis. berbanding minggu sebelumnya
Sementara itu di Indonesia, pihak berkuasa kesihatan telah menggesa orang ramai untuk melengkapkan vaksinasi COVID-19 dan mamakai pelitup apabila berada di khalayak ramai.
Sehingga Selasa (12 Dis), Indonesia merekodkan sejumlah 6,223 kes aktif COVID-19, dengan peningkatan 298 kes berbanding minggu sebelumnya.
Pekeliling yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan menggesa semua agensi berkaitan memantau kes baharu secara aktif dan memastikan ketersediaan vaksin di semua klinik kesihatan umum.
Pengimbas haba badan juga telah dipasang di beberapa pintu masuk antarabangsa negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali dan Pelabuhan Antarabangsa Batam.
Di Thailand, jumlah kemasukan ke hospital COVID-19 menyaksikan lonjakan terbesar minggu lalu iaitu 590 kes sejak Julai. Pada minggu yang sama, sebanyak lima kematian akibat jangkitan itu turut direkodkan, menurut Bangkok Post.
Walaupun pakar-pakar kesihatan yang diwawancara CNA mengatakan bahawa COVID-19 boleh diurus dengan lebih baik sekarang, mereka menekankan bahawa warga tua dan golongan terdedah perlu terus berwaspada.
PERLU ADA TANGGUNGJAWAB INDIVIDU
Sedang adanya gesaan daripada pihak tertentu supaya dikuatkuasakan beberapa kerangka kerja yang pernah dilaksanakan semasa kemuncak pandemik, pakar-pakar memberitahu CNA bahawa pihak berkuasa tidak perlu mengenakan sekatan-sekatan era pandemik.
Mereka bagaimanapun menegaskan bahawa orang ramai mesti memainkan peranan masing-masing untuk kekal selamat, seperti dengan melengkapkan vaksinasi mereka atau memakai pelitup muka ketika berada di tempat yang sesak.
Dalam satu kenyataan Jumaat, bekas menteri kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin dan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming berkata sudah tiba masanya bagi kerajaan menguatkuasakan semula beberapa langkah semasa pandemik, termasuk langkah-langkah di bawah kerangka kerja (TRIIS) (iaitu membuat ujian, melaporkan kes, mengasingkan, pemakluman dan dapatkan rawatan). Ia bagi menyediakan rakyat Malaysia untuk menghadapi kemungkinan gelombang baharu jangkitan COVID-19.
Selain itu, mereka turut menggesa kementerian kesihatan mengaktifkan semula program vaksinasi negara melalui kemudahan kesihatan swasta dan awam manakala penggunaan aplikasi MySejahtera juga perlu dimulakan semula untuk pemantauan pesakit COVID-19.
MySejahtera ialah aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia untuk bantu menangani wabak COVID-19 di negara itu.
Pakar epidemiologi Profesor Moy Foong Ming dari Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan Universiti Malaya berkata langkah era pandemik tidak diperlukan kerana kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun menjalani sekurang-kurangnya dua dos suntikan vaksin COVID-19.
“Mungkin sudah wujud semacam imuniti dalam komuniti manakala varian Omicron sekarang hanya menyebabkan gejala ringan sahaja. Jika ada varian baharu yang menyebabkan simptom serius, mungkin (kita boleh pertimbangkan beberapa sekatan) tetapi tidak perlu panik buat masa ini,” katanya kepada CNA.
Prof Moy bagaimanpun menggesa supaya orang ramai supaya melakukan tanggungjawab peribadi, dengan warga tua serta mereka yang mempunyai imuniti rendah digesa memakai pelitup muka dan mendapatkan suntikan penggalak vaksinasi.
“Jika mereka dijangkiti, mereka mungkin mendapat simptom yang teruk. Bagi orang dewasa yang sihat, saya rasa terpulang kepada mereka untuk memakai pelitup. Mereka tidak boleh dipaksa," katanya sambil menyatakan bahawa terdapat beberapa orang awam yang sudah melakukannya atas kerelaan mereka sendiri.

Prof Moy menambah bahawa lonjakan terbaru ini tidak berakhir di sini sahaja, lebih-lebih lagi dengan perjalanan dijangka meningkat semasa musim cuti hujung tahun ini.
"Apabila sesuatu penyakit itu dianggap sudah endemik, ia bermakna virus itu masih dalam diri kita dan ia seperti wujud bersama kita," katanya.
Sependapat, pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman memberitahu CNA bahawa tanggungjawab peribadi yang asas perlu ada dan diamalkan apabila terdapat risiko penularan.
"Langkah-langkah ini seharusnya diamalkan pada peringkat individu kerana keadaan terkawal. Tidak ada tanda-tanda keperluan untuk penguatkuasaan undang-undang," katanya.
Dalam satu kenyataan pada 14 Dis, presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Azizan Abdul Aziz berkata adalah penting untuk menjalankan ujian kendiri COVID-19 apabila mengalami simptom seperti selesema dan segera mengasingkan diri jika didapati positif.
“Dengan kebanyakan kes semasa COVID-19 dilaporkan ringan, terdapat kemungkinan besar ramai yang tidak melakukan ujian sendiri untuk COVID-19 apabila mengalami simptom seperti selesema. Ini membimbangkan kerana tanpa ujian sendiri, kuarantin diri pun berkemungkinan besar tidak diamalkan,” katanya.
Dr Azizan menambah: “Walaupun COVID-19 terkawal di negara ini sekarang dan tidak lagi menjadi ancaman kepada majoriti penduduk, ia masih boleh mengancam nyawa warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi,” katanya.
Beliau menegaskan mereka yang berisiko tinggi juga dinasihatkan mengambil suntikan penggalak yang disyorkan mengikut jadual serta memakai pelitup ketika berada di sekeliling orang lain, dalam keadaan sesak dan di ruang awam yang kurang pengudaraan.
“Mencuci tangan dengan air dan sabun atau sanitasi tangan yang merupakan tabiat baik yang dipelajari semasa pandemik juga harus terus diamalkan oleh semua orang,” katanya.

Presiden Persatuan Ahli Farmasi Malaysia Amrahi Buang memberitahu CNA bahawa tidak ada tanda-tanda peningkatan permintaan bagi pelitup muka dan kit ujian buat masa ini.
“Kami tidak mendengar sebarang aduan mengenai kekurangan stok. Kita memang tidak mahu mendengar adanya pembelian panik. Setakat ini kami mampu memenuhi permintaan. Beli mengikut keperluan anda dan jangan terlebih beli,” katanya.
Encik Amrahi menyatakan bahawa semasa peringkat endemik penyakit, bilangan kes dijangka berubah-ubah. Beliau mempunyai nasihat mudah bagi orang ramai – amalkanlah apa yang diamalkan semasa pandemik.
“Jika anda tidak sihat, lakukan ujian diri. Jika anda positif, nyatakan dalam aplikasi MySejahtera anda dan buat tindakan susulan. Saya mengesyaki tidak ramai yang melakukan ini, jadi angka sebenar mungkin lebih banyak,” katanya.
Di Indonesia, orang ramai telah dinasihatkan supaya melengkapkan vaksinasi COVID-19 sebelum cuti Krismas dan Tahun Baru yang akan datang.
“Kami amat menyarankan orang ramai untuk segera melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka, baik dos primer dan booster mengikut peruntukan,” kata jurucakap kementerian kesihatan Dr Siti Nadia Tarmizi seperti dilaporkan agensi berita Antara.
Pihak berkuasa kesihatan di ibu kota Jakarta juga telah menggalakkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan seperti memakai pelitup di khalayak ramai.
Dr Pandu Riono, ahli epidemiologi di Fakulti Kesihatan Awam Universiti Indonesia, memberitahu CNA bahawa tidak ada keperluan untuk dikuatkuasakan semula langkah-langkah yang dilaksanakan semasa wabak, seperti sekatan pergerakan.
“Hanya mendidik orang ramai tentang cara menjaga kesihatan dan menggunakan pelitup jika mereka sakit atau ketika ke tempat awam. Dan utamakan vaksinasi tambahan untuk orang tua dan mereka yang mempunyai komorbiditi,” katanya kepada CNA.
Di tengah-tengah kebimbangan mengenai gelombang baharu COVID-19, rakyat Indonesia menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa kecewa mereka.
“Ya Allah, harap-harap cepat selesai, tak nak jadi seperti dulu. (Ia) sangat traumatik,” kata seorang netizen di platform media sosial X.
“COVID-19 kembali melanda Indonesia ya? Sumpah takut kena,” kata pengguna lain.
Kebimbangan mengenai vaksin yang tidak mencukupi dibangkitkan oleh seorang lagi netizen Indonesia yang menyatakan keutamaan diberikan kepada mereka yang mengambil dos vaksin wajib dan suntikan penggalak pertama.
“Semoga kali ini stok mencukupi,” kata pengguna itu.
Netizen di Reddit menyatakan bahawa simptom COVID-19 kali ini tidak seteruk sebelum ini, dengan seorang netizen menyatakan bahawa gelombang terbaru kelihatan lebih seperti "musim selesema dan bukannya wabak".
“COVID-19 pada masa ini berisiko rendah dan impaknya rendah, tidak ada sebab untuk mengorbankan ekonomi (melalui sekatan),” kata seorang pengguna.
Sementara itu, seorang pakar mengulas mengenai peningkatan kes di Thailand memberi jaminan bahawa virus COVID-19 kini kurang menimbulkan risiko kesihatan.
Dr Manoon Leechawengwongs, pakar pulmonologi di Hospital Vichaiyut, dipetik oleh Bangkok Post sebagai berkata bahawa orang ramai tidak perlu risau kerana virus COVID-19 telah bermutasi dengan begitu banyak sehingga ia kini tidak menimbulkan risiko kesihatan, walaupun ke atas mereka yang tidak divaksinasi.
"COVID-19 tidak begitu membimbangkan seperti dahulu," katanya.
BERSEDIA TANGANI LONJAKAN
Pakar-pakar juga memberitahu CNA bahawa sistem penjagaan kesihatan bersedia untuk menangani peningkatan jangkitan COVID-19, terutamanya kerana gelombang terbaru kelihatan lebih ringan, dan kapasiti penjagaan kesihatan telah dipertingkatkan semasa pandemik.
Prof Moy dari Universiti Malaya berkata beliau percaya sistem penjagaan kesihatan Malaysia akan dapat menangani lonjakan kes, kerana kebanyakan jangkitan dianggap ringan.
Sementara itu, Dr Malina di Universiti Putra Malaysia juga percaya kementerian kesihatan telah bersedia dengan semua langkah berkaitan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Di Indonesia, Dr Riono berkata infrastruktur kesihatan Indonesia bersedia hadapi sebarang peningkatan kes, dengan menyatakan bahawa pemerintah telah meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan negara semasa dan selepas pandemik COVID-19.
Indonesia secara rasmi membatalkan status wabak di negara itu pada 21 Jun tahun ini. Presiden Joko Widodo dipetik media tempatan sebagai berkata bahawa negara itu merekodkan "hampir sifar" kes baharu COVID-19 dan sedang menuju ke fasa endemik.
Sementara itu, ahli epidemiologi Universiti Griffith Dicky Budiman memberi amaran bahawa walaupun sistem kesihatan Indonesia pada masa ini boleh menangani peningkatan kes, tetapi lain ceritanya jika terdapat wabak penyakit lain yang berlaku serentak.
"Jika ada wabak lain (seperti radang paru-paru atau influenza) yang berlaku pada masa yang sama, sistem kesihatan Indonesia akan menghadapi masalah dan boleh runtuh," katanya.
Dr Dicky menambah: “Setakat ini, pemerintah boleh mengekalkan wabak semasa (COVID-19) dan mempunyai kapasiti untuk bertindak tetapi saya (ingin) mencadangkan agar pemerintah melaksanakan beberapa persediaan dan langkah mitigasi sekiranya berlaku peningkatan bilangan pesakit (disebabkan) wabak lain.”
PERLU CARI KESEIMBANGAN
Dr Dicky berkata bahawa pihak pemerintah di Asia Tenggara harus cuba mencapai keseimbangan yang betul dalam respons kepada COVID-19, termasuk dalam membaiki atau mengekalkan keadaan ekonomi dan sosial semasa di samping mengelak risiko jangkitan pernafasan yang meluas.
"Kesan wabak selepas tiga tahun ke atas ekonomi dan masyarakat cukup jelas. Ia membawa kepada kesan buruk dalam banyak aspek kehidupan rakyat," kata Dr Dicky.
Beliau mencadangkan agar pemerintah di rantau ini mengukuhkan kerjasama untuk mengelakkan timbulnya lebih banyak isu.
"Jika satu negara (jiran) tidak mampu atau tidak dapat menyediakan program vaksinasi, akan ada masalah bagi negara lain kerana ... peredaran virus itu boleh berlaku," katanya kepada CNA.
Presiden Persatuan Antarabangsa bagi Penyakit Berjangkit Paul Tambyah berkata "respons yang paling penting" kepada lonjakan kes sekarang ini adalah "jangan bertindak keterlaluan" dan perlunya melihat virus sama seperti penyakit-penyakit pernafasan yang lain.
“Kes-kes yang teruk sudah tentu perlu dirawat dengan sewajarnya dan kes-kes ringan perlu ditangani dan dirawat sepatutnya di klinik-klinik jagaan umum.”
"Dengan cara ini sistem kesihatan tidak perlu dibebani dengan pesakit-pesakit yang ke hospital untuk sebab-sebab menjalani pengasingan,” katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.