Masih ingat mainan belon plastik dari zaman kanak-kanak anda ini. Sejauh mana ia sebenarnya selamat?
Anda mungkin hampa bahawa bahan kimia yang terdapat dalam mainan lama ini bukanlah berita baik, terutamanya bagi anak-anak kecil.
Mungkin menjadi satu keseronokan jika kita terjumpa dengan mainan zaman kanak-kanak kita sendiri yang masih lagi dijual sehingga hari ini. Misalnya, mainan belon tiupan plastik yang amat digemari ramai kanak-kanak.
Untuk bermainnya kanak-kanak itu akan memicit tiub gel kecil dengan gel itu kemudian dipalitkan pada hujung lidi peniup. Udara yang ditiup ke dalam peniup itu membesarkan gel untuk menjadi belon.
Kanak-kanak yang bermainnya bersaing sesama sendiri untuk melihat siapa yang boleh meniup belon yang paling besar. Mereka juga bersaing untuk melihat belon siapa yang boleh bertahan lama.
Pelbagai cara boleh digunakan mereka untuk menjadikan belon mereka besar dan bertahan lama. Misalnya dengan memicit keluar gumpalan gel yang lebih banyak supaya belon yang ditiup menjadi lebih besar lagi.
Bagaimana pula jika belon itu mula mengempis? Biasanya ini yang dilakukan - sedut permukaan belon untuk membuat lubang dan tiup lebih banyak udara ke dalam belon.
Untuk menyelamatkan belon yang bocor - cubit permukaan belon yang bocor supaya titik berlubang dapat ditutup semula.
Mungkin ada kanak-kanak hari ini yang bertanya-tanya apa sebenarnya bahan yang digunakan untuk menghasilkan belon sedemikian.
Pada setiup tiub yang mengandungi gel belon hanya tertera perkataan: "Bestman Balloon". Tidak dinyatakan pula apa ramuan yang digunakan, malah tiada juga arahan tentang apa yang harus dilakukan oleh pembeli.
Bagi anda yang membelinya dengan jumlah yang banyak, seperti dalam kotak yang mengandungi sejumlah 32 tiub, anda mungkin diberikan seikat batang peniup. Tetapi itu sahaja.
Apakah bahan yang digunakan dalam setiap tiub Bestman Balloon? Dan mengapakah ia mempunyai bau yang sangat kuat?
KIMIA APAKAH YANG DIGUNAKAN?
Walaupun wartawan tidak dapat memastikan kandungan kimia yang tepat pada produk ini, kami telah menghubungi Profesor Madya Ang Wee Han dari Jabatan Kimia Universiti Nasional Singapura, untuk mendapatkan pendapatnya.
Kemungkinannya adalah mainan ini mengandungi kombinasi kandungan seperti berikut: Polivinil asetat, aseton dan etil asetat. “Sesetengah agen pewarna boleh digunakan untuk memberi warna pada belon. Selain itu, tiada bahan kimia lain diperlukan,” katanya.
"Gel belon itu diperbuat daripada polivinil asetat, polimer yang mempunyai beberapa sifat kenyal dan melekit, oleh itu boleh dikembungkan," jelas Prof Madya Ang. "Etil asetat mungkin digunakan untuk menguat atau mengukuhkan plastik," tambahnya.
Bagi aseton, ia digunakan untuk melarutkan polivinil asetat dan menjadikannya mudah dibentuk. "Aseton menyejat pada suhu bilik, yang menyebabkan bau yang kuat," kata Prof Madya Ang. “Itulah sebabnya selepas membentuk 'belon', ia tidak boleh dibentuk kembali ke bentuk asal kerana aseton telah tersejat."
SEJAUH MANA BAHAN DIGUNAKAN SELAMAT
Menurut Prof Madya Ang, antara tiga bahan kimia yang digunakan, yang "paling membimbangkan" adalah aseton. "Aseton mudah tersejat dan akan mudah tersedut dan terserap ke dalam badan."
Apabila terdedah kepada tahap asap yang sangat tinggi, neurotoksitisiti (paras bahaya yang menjejas otak dan sistem saraf) dan tanda-tanda yang terkait seperti sakit kepala, kekeliruan dan loya boleh berlaku.
"Sebagai pengukuh, etil asetat tidak akan berada pada kepekatan tinggi," sambung Prof Madya Ang. “Tambahan pula, ia mempunyai takat didih yang lebih tinggi (78 darjah Celsius), jadi ia kurang sesuai untuk penyejatan.”
Prof Madya Ang tidak begitu khuatir tentang kemungkinan terhidu polivinil asetat. "Berdasarkan Lembaran Data Keselamatan Bahan (MSDS), polivinil asetat tidak diketahui memiliki tingkat ketoksikan yang tinggi."
Secara keseluruhannya, jumlah bahan kimia dalam setiap tiub tidak mungkin "mencapai ambang kritikal", kata Prof Madya Ang. “Tetapi memandangkan mainan ini disasarkan kepada kanak-kanak kecil dan mereka mungkin akan menarik nafas dalam-dalam untuk meniup belon, kemungkinan mereka menyedut asap aseton adalah tinggi.
"Penggunaan berulang akan membawa kepada pendedahan kronik wap aseton, dan akhirnya ketoksikan pada sistem saraf pusat."
Di sesetengah negara seperti Kanada, Australia dan Amerika Syarikat, produk yang serupa dengan Bestman Balloon telah ditarik balik atau dihentikan.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang bagaimana kita boleh terlepas pandang gejala autisme di kalangan wanita dewasa.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.