Malaysia terlepas peluang untuk melaksanakan undang-undang lebih tegas bebas asap rokok, kata pengamat
Adakah undang-undang kawalan tembakau Malaysia yang baharu akan berkesan dalam memerangi amalan merokok dan menghisap vape, tanpa melaksanakan undang-undang “penamat generasi” perokok? Berikut pandangan wartawan kesihatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur Loh Foon Fong.

KUALA LUMPUR: Malaysia akhirnya meluluskan Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2023 yang telah lama ditunggu-tunggu bagi mengawal selia produk merokok seperti rokok dan vape. Namun, kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim nampaknya tidak berminat untuk menamatkan amalan merokok atau menghisap vape.
Pakar-pakar kesihatan telah mengkritik keputusan kerajaan untuk menggugurkan peruntukan "penamat generasi" perokok sebelum membentangkan rang undang-undang berkenaan. Rang tersebut sepatutnya melindungi mereka yang lahir dari tahun 2007 dengan melarang mereka daripada membeli produk merokok secara sah.
Ini berlaku selepas kerajaan baharu New Zealand mengumumkan bahawa ia akan memansuhkan undang-undang bebas asap rokok yang pertama di dunia, yang termasuk larangan generasi yang serupa.
Langkah menggugurkan klausa larangan generasi dalam rang undang-undang kesihatan awam Malaysia mencetuskan bantahan daripada beberapa ahli parlimen, baik dari kalangan pembangkang mahu pun dalam kerajaan. AP Pakatan Harapan bagi Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyamakan keputusan itu sebagai menunduk kepada tekanan syarikat-syarikat tembakau.
Walaupun terdapat banyak pandangan yang berbeza, rang undang-undang tersebut diluluskan dengan undi suara majoriti pada 30 Nov. (Dewan Negara pula meluluskannya pada 13 Disember dengan undian suara.)
Menteri Kesihatan (ketika itu) Dr Zaliha Mustafa mengulangi bahawa peruntukan tersebut digugurkan memandangkan pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa undang-undang itu boleh dicabar di mahkamah.
Ini kerana peruntukan tersebut melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan mengenai ketidaksamaan dan diskriminasi kerana memberikan layanan berbeza kepada mereka yang dilahirkan sebelum dan selepas 1 Jan 2007.
UNDANG-UNDANG BAHARU SANGAT DIPERLUKAN
Malaysia amat memerlukan undang-undang tembakau baharu yang lebih komprehensif, walaupun tanpa peruntukan generasi penamat rokok. Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 tidak terpakai kepada vape dan produk merokok baharu yang lain.
Perundangan baharu itu juga akan merapatkan jurang dalam undang-undang yang sedia ada. Sebelum ini, adalah menyalahi undang-undang untuk menjual vape kepada kanak-kanak bawah umur di bawah Akta Racun 1952 kerana produk nikotin disenaraikan sebagai bahan terkawal. Pada April, kerajaan mengecualikan cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun untuk mengenakan cukai kepada produk vape. Sejak itu, kanak-kanak bawah umur di Malaysia masih boleh membeli e-rokok atau vape tanpa sebarang larangan.
Langkah ini mengejutkan kerana ia menimbulkan kelopongan sebelum rang undang-undang baharu itu diluluskan untuk mengawal penjualan produk vape dan melindungi kanak-kanak bawah umur. Pakar kesihatan juga tidak yakin bahawa kadar cukai yang ada cukup tinggi untuk menghalang penggunaan vape.
Di bawah undang-undang lama, produk tembakau tidak dibenarkan untuk digunakan dalam iklan, promosi atau tajaan. Sebaik sahaja undang-undang baharu berkuat kuasa, ini juga akan terpakai kepada produk bukan tembakau.
Kedai-kedai vape didapati berkembang pesat selepas Oktober 2021, apabila kerajaan Barisan Nasional ketika itu mengumumkan rancangan untuk mengenakan cukai eksais ke atas cecair dan gel nikotin yang secara efektifnya membenarkan penggunaan vape.
Ini menggagalkan usaha kementerian kesihatan untuk menghalang vape. E-rokok dijual secara terbuka di kedai atau dalam talian. Syarikat vape boleh mempromosikan vape secara terbuka. Mereka juga menggunakan taktik pemasaran yang didakwa kumpulan-kumpulan jagaan kesihatan dan pengguna sebagai menyasarkan golongan belia, malah juga menaja acara-acara. Orang ramai mula menghisap vape secara terbuka dan di jalan-jalan raya.
Pada umumnya, langkah meluluskan undang-undang baharu tembakau mempunyai beberapa kesan positif. Sebaik sahaja undang-undang itu digubal dan dikuatkuasakan, tempoh ‘laissez-faire’ perlu ditamatkan.
Rang undang-undang yang disemak melarang penjualan bahan rokok atau produk tembakau pengganti (termasuk rokok elektronik atau produk vape) kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun, dengan denda sehingga RM20,000, penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali, untuk kesalahan pertama. Penjual vape juga tidak lagi boleh mengiklan atau menawarkan penajaan produk merokok.
BUKAN LANGKAH BERANI UNTUK KESIHATAN AWAM
Undang-undang tembakau baharu memang diperlukan, tetapi ia sendiri adalah jauh daripada sikap berani yang diperlukan demi kesihatan awam. Setelah dipertimbangkan secara terbuka selama lebih daripada setahun, dasar permainan akhir merokok kini sangat kekurangan dalam rang undang-undang yang diluluskan.
Wawasan Malaysia adalah untuk menjadi negara yang bebas daripada rokok menjelang 2040 - biasanya ditakrifkan pakar-pakar global sebagai langkah untuk mengurangkan kelaziman tabiat merokok kepada kurang daripada 5 peratus. Persoalannya adalah bagaimanakah ini boleh dicapai?
Langkah kawalan tembakau yang lalu adalah tidak mencukupi - lebih 20 peratus orang dewasa Malaysia, atau hampir 5 juta orang merokok, menurut tinjauan kesihatan kebangsaan Malaysia pada 2019. Beberapa kajian mengesyorkan agar langkah-langkah lain diambil seperti mengurangkan kandungan nikotin dalam tembakau kepada tahap tidak mengakibatkan ketagihan, boleh membantu mewujudkan persekitaran bebas asap rokok.
Ia adalah ideal jika kerajaan Malaysia sebelum ini telah mengharamkan vape apabila ia mula-mula muncul pada awal 2010-an, dan pada masa yang sama meminimumkan perbuatan merokok. Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin boleh dipuji kerana berfikir di luar kotak dengan mencadangkan rang undang penamat generasi perokok, selepas kerajaan enggan mengharamkan vape.
Dr Zaliha berkata kementeriannya tidak menolak kemungkinan memperkenalkan semula peruntukan sedemikian, jika terdapat keperluan untuknya pada masa hadapan. Namun, tidak melakukannya sekarang samalah seperti membuang satu peluang yang baik.
Dengan kerajaan kini menggesa supaya dilakukan pembaharuan dalam penjagaan kesihatan, matlamat Malaysia harusnya untuk mencapai sasaran penamat generasi perokok, dan bukan sekadar untuk mengawal produk merokok sahaja. Banyak pencapaian kesihatan mungkin tidak akan menjadi kenyataan tanpa matlamat untuk menamatkan perbuatan merokok.
Loh Foon Fong ialah seorang wartawan kanan bebas dalam soal kesihatan yang berpangkalan di Malaysia.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.