Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Pameran meraikan kesenian dan keindahan Kebaya berlangsung di Kampong Gelam 

Sebuah dokumentari yang diterbitkan Berita Mediacorp menyorot pelbagai aspek kesenian dan perkembangan pakaian Kebaya yang menjadi kebangaan masyarakat Nusantara. 

Pameran meraikan kesenian dan keindahan Kebaya berlangsung di Kampong Gelam 
Para pengunjung ke Pameran Gaya Kebaya di Kampung Gelam berpeluang mempelajari tentang keindahan, asal usul dan evolusi pakaian ikonik tersebut. 

SINGAPURA: Sejak Sabtu (18 Nov) para pengunjung ke Kampong Gelam berpeluang menikmati pelbagai keindahan yang disajikan oleh dunia pakaian Kebaya menerusi satu pameran yang menampilkan sejarah, asal usul dan perkembangan busana tersebut. 

Pertunjukan mengayakan pakaian itu turut diadakan dalam pameran Gaya Kebaya – Raikan Warisan Kita, yang dianjurkan bersama oleh Berita Mediacorp dan sebuah pertubuhan masyarakat One Kampong Gelam.

Para tamu juga menyaksikan tayangan perdana dokumentari khas, Kebaya Gaya Nusantara yang diterbitkan tim ehwal semasa Berita Mediacorp. Dokumentari selama sejam itu disiarkan di saluran Suria pada 23 November. 

Bercakap kepada para wartawan di pelancaran pameran tersebut, Menteri Negara Dalam Negeri dan Pembangunan Negara Faishal Ibrahim berharap penghargaan terhadap busana ikonik itu boleh memberi inspirasi kepada generasi sekarang untuk memahami bagaimana “nilai-nilai silam boleh disesuaikan sehingga hari ini.” 

Profesor Madya Faishal, yang juga penasihat One Kampong Gelam, menyatakan bahwa usaha mengekalkan pakaian tradisional supaya relevan hari ini boleh membantu Singapura membuat “perkembangan unik” dalam soal pakaian dan fesyen, serta dalam mengekalkan nilai-nilai yang terkait dengan wanita modern.

Kebaya adalah pakaian yang berakar pada tradisi fesyen dan sejarah dunia Melayu-Indonesia. Biasanya dipakai oleh wanita dari pelbagai masyarakat dan latar belakang dari wilayah ini. 

Kurator pameran Kebaya Société memilih koleksi 25 helai kebaya termasuk beberapa yang sudah berusia lebih 100 tahun yang dipakai oleh wanita-wanita yang pernah tinggal di Kampong Gelam. 

Turut dipamerkan dua helai kebaya yang merupakan sumbangan isteri Presiden pertama Singapura Yusof Ishak, Puan Noor Aishah.

Pameran yang berlangsung di 45, Sultan Gate itu dibuka kepada orang ramai dari pukul 12.00 hingga 6 petang setiap hari, dengan tiada bayaran dikenakan. 

Puan Noor Aishah, isteri presiden pertama Singapura Yusof Ishak, menyumbangkan dua helai kebaya untuk pameran Gaya Kebaya. (Foto: CNA/Grace Yeoh)

Satu pertunjukan menggayakan fesyen Kebaya turut diadakan melibatkan koleksi busana dari tiga butik di kawasan Kampong Gelam iaitu Toko Aljunied, Ratianah dan Mozaic.

Mereka yang meragakan pakaian bukanlah model-model tetapi mereka yang terdiri daripada para pelanggan butik termasuk kalangan beliau dan warga emas.

Pakaian Kebaya mungkin diiktiraf UNESCO sebagai salah satu warisan dunia tidak lama lagi, dengan keputusan mengenainya dibuat pada tahun ini. Ia hasil pembentangan bersama yang dibuat oleh Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand untuk menyenaraikan kebaya sebagai warisan budaya tidak ketara.

Jika berjaya, pakaian yang digemari ramai itu akan tersenarai sebagai satu lagi warisan Singapura yang sudah pun tersenarai, iaitu budaya makanan penjaja. 

Sempena pameran tersebut satu peraduan foto turut berlangsung sehingga 26 Nov, dengan para pemenang berpeluang memenangi baucar makanan dan minuman dari kedai-kedai di Kampong Gelam.

Para peserta hanya perlu memuat naik gambar mereka berbaju kebaya di lima lokasi terpilih di sekitar Kampong Gelam ke media sosial dengan hashtag #GayaKebaya.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini. 

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement