Sanggup gunakan wang sendiri: Kenali pasukan tchoukball wanita No 1 dunia dari Singapura ini
Pasukan kebangsaan tchoukball wanita Singapura kini adalah yang terbaik di dunia. Ia beritahu CNA apa kejayaan mereka sebenarnya walaupun berhadapan dengan sumber yang terbatas.
SINGAPURA: Di sebuah dewan sekolah menengah pada petang Rabu yang dingin, pasukan tchoukball wanita No. 1 dunia mengatur langkah.
Setengah jam sebelum latihan bermula, suara-suara bergema di dinding. Tali kasut mula diikat, pelindung lutut disarungkan dan langkah memanaskan badan pun dilakukan.
Memandangkan mereka hanya mempunyai dua tempat di seluruh negara di mana mereka boleh berlatih secara percuma, masa gelanggang mereka terhad dan amat berharga. Setiap minit itu penting.
"Para pemain tahu bahawa setiap kali kami berada di gelanggang, kami perlu memaksimumkannya," kata ketua pasukan Irene Tan kepada CNA. "Kami berkongsi ruang gelanggang dengan lapan skuad lain, jadi perlu ada jadual dengan masa yang berbeza."
Tetapi ini bukan perkara baru. Pasukan sudah pun biasa untuk pandai memanfaatkan apa sahaja yang ada.
"Hati dan semangat pastinya sangat penting," kata rakan sepasukan Tan, Angie Ng. "Sumber yang sedikit itu telah dapat membantu kami untuk tidak mengambil mudah. Kami menghargai setiap peluang yang diberikan kepada kami."
Jurulatih mereka adalah seorang sukarelawan, para atlet membayar jersi mereka sendiri dan untuk bermain di kejohanan di luar negara. Sementara anggota persatuan mengeluarkan wang mereka sendiri untuk membiayai kos.
Penajaan yang diterima boleh membantu pasukan menjalankan kegiatan. Tetapi ada para anggota pasukan yang melakukan kerja sambilan sebagai jurulatih ad hoc atau membaiki peralatan pada masa lapang untuk mengumpul dana. Para ibu bapa pemain-pemain yang masih menuntut juga turut membantu.
Dikendalikan oleh sukarelawan, Persatuan Tchoukball Singapura (TBAS) bukanlah persatuan sukan nasional. Ia tidak menerima pembiayaan pemerintah.
Namun pada 1 Jan, pasukan nasional wanita itu menjadi pasukan No. 1 dunia buat pertama kali, selepas mengalahkan China Taipei (Taiwan) bagi menduduki tempat teratas dalam kedudukan dunia Persekutuan Tchoukball Antarabangsa. Switzerland kini berada di tempat ketiga.
Ia mencatat kemenangan ke atas China Taipei dalam Kejohanan Tchoukball Asia Pasifik ke-9 pada Ogos tahun lalu.
“Selepas kemenangan itu, pasukan kami sentiasa bekerja keras dan tidak pernah leka,” kata Tan. "Saya masih tidak percaya (kami telah menjadi nombor satu)."
Pasukan lelaki mereka pula telah meraih tempat ketiga di dunia selepas China Taipei dan Itali.
"Ramuan rahsia ialah keghairahan kami terhadap sukan ini," kata Tan. "Tanpa bantuan persatuan, jurulatih dan usaha (presiden TBAS) Delane, tidak mungkin (bagi kami) untuk mencapai kedudukan hari ini.
"Kami mempunyai minda untuk menggunakan apa sahaja yang kami ada, atau mencari sumber-sumber lain mengikut kemampuan, supaya apa yang ada boleh digunakan oleh pasukan kami."
APA ITU TCHOUKBALL?
Dicipta oleh ahli biologi Switzerland Hermann Brandt lebih lima dekad yang lalu, nama tchoukball berasal daripada bunyi yang dibuat oleh bola yang melantun dari bingkai gawang.
Sebagai sukan dalam gelanggang tertutup, permainan tchoukball melibatkan dua pasukan dengan tujuh pemain setiap pasukan, yang bersaing untuk mendapatkan mata dengan melantunkan bola dari bingkai gawang. Di hadapan setiap bingkai adalah separuh bulatan dengan radius 3 meter, menandakan "zon larangan" di mana pemain tidak boleh masuk.
Untuk mendapatkan mata, bola mesti dibaling, terkena bingkai dan melantun di luar "zon larangan" tanpa disambut oleh pasukan bertahan. Bagaimanapun, pasukan bertahan mendapat mata jika bola melantun dalam "zon larangan" atau jika lawan mereka melantunkan bola dan terlepas bingkai. Jika pasukan bertahan menangkap bola selepas ia melantun dari bingkai, mereka boleh melakukan serangan.
Pasukan boleh menyerang kedua-dua belah gelanggang, dan pemain pertahanan tidak dibenarkan memintas hantaran pasukan penyerang. Sentuhan fizikal tidak dibenarkan.
Tchoukball ialah permainan dengan "tiga" peraturan - pemain yang memgang bola boleh mengambil maksimum tiga langkah, pemain tidak dibenarkan memegang bola lebih daripada tiga saat, dan pasukan tidak boleh menghantar bola lebih daripada tiga kali sebelum melantun.
Permainan berlangsung selama tiga tempoh selama 15 minit, dengan selang maksimum 5 minit antara tempoh.
Apa yang mendorong pemain dan anggota persatuan terlibat dalam sukan ini adalah "semangat" yang membantu mereka memikirkan cara kreatif untuk mengekalkan pasukan, kata presiden TBAS Delane Lim.
"Kadangkala, sumber yang terhad bagus kerana ia memaksa kami memikirkan cara yang berbeza untuk melatih dan melakukan pembaikan menerusi latihan kami."
Dengan sumber yang sedikit ia juga bermakna jangkaan ke atas kami juga adalah rendah, katanya.
“Oleh kerana tiada dana, sama ada kita menang atau kalah dalam gelanggang, tiada siapa boleh menyalahkan kita. Hakikat bahawa kami menunjukkan prestasi bermakna bahawa formula kami berjaya, tetapi kami mengharapkan agar kami dapat memperbaiki lagi formula tersebut."
Untuk meningkatkan profil permainan, persatuan itu terpaksa berfikir di luar kotak selama bertahun-tahun. Sebagai contoh, ia telah mengadakan pertandingan di sekolah-sekolah dan menganjurkan pertandingan antarabangsa di tanah air.
“Kami cuba menganjurkan pertandingan antarabangsa di Singapura supaya atlet kami tidak perlu (ke luar negara). Ia memberi lebih banyak peluang ... untuk mereka berlatih di dalam negara,” kata Encik Lim.
Pemain juga terlibat. Tan kini turut membantu sebagai salah seorang jurulatih untuk pasukan remaja.
“Pada penghujung hari, saya berharap sumbangan kepada persatuan dan belia yang akan datang boleh bantu memajukan sukan ini dan (mereka akan) terus bermain untuk Singapura dalam masa terdekat apabila saya sudah bersara,” jelasnya.
KEKAL DI PUNCAK
Memandang ke hadapan, pasukan wanita akan berusaha untuk kekal di puncak di Kejohanan Dunia Tchoukball di Prague pada Ogos.
“(Berada di kedudukan teratas di dunia) adalah sesuatu yang sentiasa kami usahakan ... Tetapi setelah dapat mencapai matlamat ini tidak bermakna kami leka,” kata Tan.
"Ia satu lagi langkah untuk kami benar-benar mendorong diri kami mencapai lebih banyak dan kekal di atas."
Dengan kejayaan pasukannya, Encik Lim berharap tchoukball akhirnya akan disertakan sebagai salah satu Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG).
“Jika tchoukball bukan sebahagian daripada Sukan Sekolah Kebangsaan maka saluran bakat kita pasti akan terjejas. Dan apabila saluran bakat terjejas, maka kami perlu bergantung kepada pasukan kami yang sedia ada untuk mengekalkan (kedudukan),” katanya.
Dia juga melobi agar tchoukball menjadi sukan demonstrasi di Sukan SEA 2027 di Malaysia, sebelum menjadi sukan pingat dalam kejohanan seterusnya di Singapura.
Mempunyai lebih banyak sumber juga akan membolehkan pasukan negara meningkatkan prestasi mereka ke peringkat lebih tinggi, tegas beliau. Ini mungkin dalam bentuk subsidi untuk pemain yang tidak mampu untuk membiayai perbelanjaan ke luar negara.
Semasa berucap dalam Parlimen pada 2017, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia ketika itu Grace Fu berkata untuk sesebuah persatuan sukan nasional layak mendapat pembiayaan, mereka perlu didaftarkan sebagai pertubuhan dan badan amal, dan memenuhi keperluan SportSG.
Persatuan sedemikian perlu mengekalkan piawaian tadbir urus yang tinggi, dan membangunkan "rancangan berbilang tahun dengan pencapaian utama yang sejajar dengan objektif SportSG", kata Cik Fu.
Memandangkan TBAS ialah persekutuan nasional untuk sukan itu dan bukan persatuan sukan kebangsaan, CNA telah menghubungi SportSG untuk mendapatkan penjelasan mengenai kriteria pembiayaan dan sama ada terdapat rancangan untuk membiayai pasukan tchoukball negara.
Peningkatan pembiayaan akan membolehkan pasukan itu mendapatkan tempat baharu bagi menjalankan sesi latihan, mempertimbangkan program pertukaran dengan pesaing China Taipei serta melabur dalam teknologi baharu, kata Encik Lim.
"Selama bertahun-tahun, kami berterima kasih kepada para ibu bapa dan rakan kongsi yang menyokong kami, yang mempercayai tujuan kami dan mempercayai matlamat tchoukball.
Kini kami menjadi mangsa kejayaan kami sendiri kerana untuk kami mengekalkan sukan ini pada tahap elit seperti sekarang, cara beroperasi kami sekarang ini tidak lagi boleh bertahan," kata presiden TBAS itu.
"Jadi kita perlu melihat model atau ekosistem yang lebih mampan bagi memastikan sukan ini terus beraksi di peringkat elit."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha seorang pesakit barah memberi keceriaan kepada para pesakit yang berada pada akhir hayat mereka.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.