Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Rakyat Singapura berpusu-pusu ke Malaysia untuk elakkan kos tinggi di negara sendiri. Kesannya bagaimana ke atas JB? 

Rakyat Singapura berpusu-pusu ke Malaysia untuk elakkan kos tinggi di negara sendiri. Kesannya bagaimana ke atas JB? 
(Ilustrasi:TODAY/Nurjannah Suhaimi)
  • Sejak sempadan dibuka semula dan ketika ringgit Malaysia terus merudum berbanding dolar Singapura, rakyat Singapura berpusu-pusu ke Johor untuk membeli-belah dan bercuti
  • Ini telah menimbulkan tanggapan di kalangan rakyat Johor, khususnya di Johor Bahru, bahawa rakyat Singapura meningkatkan kos sara hidup mereka
  • Beberapa rakyat Johor yang diwawancara TODAY bercakap tentang bagaimana mereka terkesan dengan inflasi dan tindak tanduk pelawat dari Singapura
  • Bagaimanapun, para peniaga dan ahli ekonomi menyebut pelbagai faktor global dan domestik yang turut menyebabkan harga naik di Johor
  • Ini termasuk dasar ekonomi yang dilaksanakan Malaysia semasa pandemik dan ketegangan geopolitik

JOHOR BAHRU: Penjaja Malaysia, Encik Sim, hanya selangkah sahaja dari gerai udang semasa bercuti di daerah Pontian, Johor, tetapi terpaksa membatalkan niat untuk membeli udang segar kerana harga yang disebut penjualnya adalah terlalu tinggi. 

Warga Johor berusia 63 tahun itu, yang enggan memberikan nama penuhnya, mendakwa harga dinaikkan serta-merta selepas pelancong Singapura yang datang sebelumnya berkata: “Wah, murah betul!”

“Saya ingin membeli udang, dan saya dengar si penjual menyatakan harga RM20 kepada sekumpulan warga Singapura. Tetapi apabila tiba giliran saya, penjual menyebut sebanyak RM30,” katanya kepada TODAY.

Walaupun ini berlaku beberapa tahun yang lalu, kisah itu masih segar dalam ingatannya. Walaupun Encik Sim berkata beliau tidak mempunyai masalah mengalu-alukan rakyat Singapura untuk mengunjungi sekitar negerinya, beliau hanya  minta satu sahaja daripada mereka.

“Tutup sahaja mulut apabila membeli sesuatu. Tidak perlu bersuara dengan kuat bahawa harganya murah. Bagaimana dengan penduduk tempatan yang tidak fikir harganya berpatutan?” katanya. Pengalaman Encik Sim itu nampaknya dikongsi ramai penduduk tempatan Johor sehingga hari ini, terutamanya mereka yang tinggal di bandar Johor Bahru, kerana JB telah menjadi destinasi kegemaran rakyat Singapura sejak sekian lama.

Tingkah laku umpama "manusia burung" kerana gemar menyebut “cheap, cheap, cheap (murah, murah, murah - mendapat perhatian baru-baru ini apabila seorang pencipta konten kewangan dari Singapura secara terbuka menggesa warga Singapura supaya lebih merendah diri dan peka terhadap rakyat Malaysia.

Bukan sahaja perkataan "murah" yang berisiko dianggap tidak sensitif, tetapi juga tingkah laku umum yang ditunjukkan sesetengah rakyat Singapura. Sesetengah mereka terlalu teruja untuk membeli-belah pada harga lebih rendah disebabkan nilai ringgit Malaysia yang melemah.

Inilah yang ditemukan oleh wartawan TODAY semasa ke Johor Bahru pada hujung November (26 dan 27 Nov), di mana wartawan terdengar seorang wanita, mungkin dari Singapura, yang melaungkan suara: “Wah, harga di sini. Berapa harganya jika dibahagi dengan 3.5? Dalam dolar Singapura.”

Kedai yang dilawati oleh wanita tersebut hanya bertentangan dengan gerai chwee kueh (kek nasi kukus) yang dikendalikan oleh Encik Sim di Jalan Tan Hiok Nee, 1km dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

“Ada baik dan buruknya apabila rakyat Singapura datang. Mereka mempunyai kuasa perbelanjaan yang lebih tinggi, itu bagus. Tetapi mereka sepatutnya menutup mulut mengenainya,” kata Encik Sim.

Beberapa penduduk Johor Bahru yang ditemui TODAY tidak bersetuju rakyat Singapura melihat JB sebagai ‘syurga murah’ bagi mereka. Ini kerana bagi penduduk tempatan kos sara hidup di JB meningkat pada tahun lalu lebih kerana kedatangan para pelawat Singapura dan kerana keupayaan mereka dalam berbelanja. 

Bagaimanapun, bertentangan dengan pandangan mereka, para pemilik perniagaan dan pakar-pakar ekonomi Johor berkata perbelanjaan Singapura bukanlah punca utama rakyat Johor bergelut dengan peningkatan kos.

Mereka menyebut faktor-faktor global dan domestik lain, seperti masalah ekonomi negara dan dasar yang diguna pakai Malaysia semasa pandemik serta ketegangan geopolitik semasa, sebagai penyumbang kepada inflasi yang dihadapi oleh rakyat Johor.

Rakyat Singapura kembali berpusu-pusu ke Johor untuk membeli-belah dan bercuti berikutan pelonggaran sekatan COVID-19 dan pembukaan semula sempadan – semuanya mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang berpanjangan di pusat pemeriksaan, yang sudah menjadi perkara biasa setiap hujung minggu dan cuti umum.

Sebagai contoh, semasa hujung minggu yang panjang dari 31 Ogos hingga 4 Sep, jumlah rekod lebih 1.7 juta pengunjung telah menggunakan pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas untuk menyeberang sempadan. 

Antara faktornya adalah pengukuhan berterusan dolar Singapura berbanding ringgit, daripada kira-kira RM3 bagi sedolar Singapura pada awal 2020 kepada paras tertinggi baharu 3.17 pada April 2022 dan 3.5 hair ini. 

Pemilik perniagaan dan pakar ekonomi Johor berkata bahawa perbelanjaan Singapura bukanlah sebab utama rakyat Johor bergelut dengan peningkatan kos. (Foto: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

APA KATA PENDUDUK JOHOR

Eksekutif jualan Siti Atiqah Ahmad Daud, 35, mengangguk bersetuju apabila ditanya sama ada kemasukan pelancong Singapura ke Johor Bahru telah menyebabkan rakyat Johor sepertinya dalam kedudukan merugikan. 

“Ramai rakyat Singapura datang ke sini kerana mata wang mereka yang lebih kukuh. Mereka ingin makan makanan yang enak dan membeli barang dengan harga murah di sini.

“Tetapi bagi penduduk tempatan seperti kami, ia tidak begitu bagus. Ia seperti ada ‘persaingan’ kerana mereka mampu membeli banyak barangan dengan harga yang lebih tinggi, dan kami tidak boleh,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak berusia dua hingga 15 tahun itu berkata, harga makanan ruji seperti beras dan daging meningkat mendadak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) - dikuatkuasakan pada awal 2020 apabila kes COVID-19 melonjak di mana-mana – yang secara rasminya ditarik balik pada penghujung tahun 2021.

“Sekarang, banyak perkara menelan belanja sekurang-kurangnya 50 peratus lebih tinggi daripada dahulu. Amat menyedihkan melihat kekuatan ringgit kita jatuh,” keluhnya.

Begitu juga, pengurus kedai runcit Beanz Ho, 31, percaya kos sara hidup yang lebih tinggi di Johor Bahru boleh dikaitkan dengan lebih ramai pelancong terutama dari Singapura yang datang ke JB untuk berbelanja.

Hampir semuanya semakin mahal, seperti barangan runcit, bahan masakan, ayam, dan daging. Kalau saya ada bisnes di JB lagi bagus sebab makin banyak jualan.

“Tetapi jika saya seorang penduduk biasa yang makan gaji, ia lebih sukar kerana gaji itu mungkin tidak mencukupi untuk kos sara hidup yang lebih tinggi. Ia tidak seimbang,” katanya sambil menambah bahawa kenaikan yang akan berlaku apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dinaikkan dari enam kepada lapan peratus tahun depan membimbangkannya.

Atas sebab ini, Encik Ho lebih suka tinggal di Kulai, sebuah bandar kira-kira 30km dari Johor Bahru.

“Walaupun saya perlu memandu berulang-alik setiap hari, saya tidak kisah kerana petrol berharga sekitar RM300 (S$85) sebulan. Tetapi jika saya ingin mendapatkan rumah di JB, julat harganya adalah kira-kira RM800,000 hingga RM1 juta, yang tidak mampu dimiliki langsung,” katanya.

Pengurus restoran Chong Guo Hui, 31, berkata siswazah baharu yang berpendapatan RM2,000 sebulan tidak akan dapat berbelanja besar kerana hidangan biasa di medan selera, termasuk makanan dan minuman, berjumlah dari RM15.

“Kemungkinan ada perniagaan yang sanggup menaikkan harga mereka kerana lebih ramai rakyat Singapura melancong ke sini, dan mereka mempunyai kuasa beli yang lebih baik daripada penduduk tempatan.

"Tetapi sebaliknya, saya rasa rakyat Johor yang pergi ke Singapura untuk bekerja menyumbang kepada kenaikan harga di sini juga kerana apabila mereka membawa balik (dolar Singapura), mereka lebih bersedia untuk berbelanja kerana gaji mereka tiga kali ganda lebih tinggi," katanya. 

Encik Chong, yang juga mempunyai ahli keluarga yang bekerja di Singapura, menggesa kerajaan negeri untuk merangka pelan berkesan untuk mengekalkan bakat kerana situasi kehilangan pekerja mahir atau “brain drain” yang dihadapi Johor, pada pendapatnya, adalah isu yang paling mendesak.

“Ia semakin sukar untuk mengupah penduduk tempatan. Kita mesti memikirkan untuk mengekalkan rakyat Malaysia kerana ia adalah situasi yang tidak mampan bagi perniagaan untuk terus mengupah warga asing,” katanya.

Apa yang pasti, segelintir penduduk percaya kenaikan kos sara hidup bukan sahaja berpunca daripada faktor Singapura tetapi juga berpunca daripada pertembungan pelbagai faktor, seperti kejatuhan nilai ringgit akibat peralihan politik negara, serta ketegangan geopolitik.

Eksekutif jualan Siti Atiqah Ahmad Daud percaya bahawa kemasukan pelancong Singapura ke Johor Bahru telah menyebabkan rakyat Johor seperti dirinya dalam kedudukan merugikan.  (Foto: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

Seorang perunding kewangan, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Hiew YZ, memberitahu TODAY bahawa beliau percaya bahawa perubahan politik dalam tiga tahun lepas mempunyai peranan penting dalam penyusutan nilai ringgit.

“Perdana menteri kita (Encik Anwar) baru sahaja memegang jawatan itu selama setahun. Masih banyak masa sehingga pilihan raya akan datang, jadi harapnya, keadaan akan menjadi lebih baik pada masa itu," kata Encik Hiew.

Pesara Chin AB, 76, berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya "menyalahkan" rakyat Singapura kerana harga yang melambung tinggi kerana inflasi berlaku di seluruh dunia, bukan hanya di negara ini.

"Mungkin, ya, akan ada sedikit kesan, tetapi akhirnya, warga Singapura yang datang menjadikan JB tempat yang lebih meriah," katanya.

APA KATA PARA PENIAGA 

Wawancara TODAY dengan beberapa peniaga mendapati walaupun mereka mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai kesan Singapura terhadap inflasi di Johor, ada yang tidak fikir bahawa kemasukan rakyat Singapura adalah sebab penting di sebalik kenaikan harga.

Bertentangan dengan kepercayaan umum, sesetengah perniagaan ini lebih mementingkan faktor domestik dan luaran, seperti ringgit yang semakin lemah, yang telah menyebabkan kenaikan kos bahan mentah.

Pemilik kedai Triple K Cafe, Keoh Teik Hoe, yang menghidangkan mi daging lembu, berkata dia mendapat bekalan daging lembunya dari Australia dan New Zealand, dan pembekal berdagang dalam dolar Amerika Syarikat.

Di tengah-tengah kelemahan ringgit yang berterusan tahun ini, beliau berkata bahawa harga daging lembu telah meningkat sebanyak 20 peratus tahun ini. Pada Oktober, ringgit jatuh ke paras terendah dalam 25 tahun berbanding dolar AS.

Rakyat Singapura membentuk 30 peratus daripada keseluruhan pelanggan Encik Keoh, manakala selebihnya adalah penduduk tempatan dan pelanggan tetap.

“Saya tidak boleh menaikkan harga saya begitu sahaja. Buat masa ini, saya masih akan menyerap kos kerana saya masih boleh bertahan walaupun keuntungan turun sebanyak 30 peratus.”

Encik Keoh bertegas dalam kepercayaannya bahawa "adalah tidak betul" bagi pemilik perniagaan untuk menyesuaikan harga mereka "semata-mata kerana" rakyat Singapura mampu membeli pada harga yang lebih tinggi.

“Lalu bagaimana dengan penduduk tempatan? Ya, rakyat Singapura mempunyai kuasa perbelanjaan yang lebih tinggi, tetapi mereka hanya berada di sini pada hujung minggu. Penduduk tempatan di sini boleh ke kedai anda beberapa kali seminggu kerana mereka tinggal di sini,” katanya.

Pemilik Hiap Joo Bakery generasi ketiga, Encik Lim Toh Huei, 35, berkata harga pisang meningkat selepas PKP, jadi kedai roti itu terpaksa menukar harga roti pisang daripada RM10 kepada RM12 tahun lepas.

“Sebelum ini anda boleh mendapatkan 1kg pisang dengan harga RM2.50, tetapi kini ia berharga RM4.50 hingga RM5. Harga berubah-ubah, tetapi sejak semakan terakhir, kami tidak bercadang untuk menukar harga kami lagi buat masa ini. Kita masih boleh tanggung kos dulu,” katanya.

Encik Lim, yang sebahagian besar perniagaannya dilanggani rakyat Singapura pada hujung minggu, berkata Johor Bahru "pasti terjejas" oleh warga Singapura yang datang ke bandar itu.

“Untuk perniagaan seperti saya, ia adalah suatu yang bagus. Tetapi bagi kita yang lain, ini bermakna kita perlu terus bekerja keras untuk mencari makan.

"Sekarang masa yang lebih sukar, saya fikir adalah penting untuk semua orang, terutamanya orang dewasa muda, untuk keluar dan bekerja untuk menyimpan kerana tiada makanan percuma di dunia ini," katanya.

Pemilik Generasi ketiga Hiap Joo Bakery, Encik Lim Toh Huei, yang sebahagian besaar perniagaannya dilanggani rakyat Singapura pada hujung minggu, berkata Johor Bahru "pasti terjejas" oleh warga Singapura yang datang ke bandar itu. (Foto: TODAY)

Pemilik kedai fesyen berbilang label Bev C, Cik Beverly Ang, 40, berkata walaupun dia bersetuju bahawa rakyat Singapura mempunyai kuasa perbelanjaan yang lebih tinggi, dia tidak melihat ini sebagai punca kenaikan harga di Malaysia, khususnya Johor Bahru.

“Saya fikir ia kerana keadaan politik kita tidak stabil. Perdana Menteri kita baru berkhidmat selama setahun, jadi keadaan itu secara langsung memberi kesan kepada kadar pertukaran mata wang kita.”

Pemilik Coffee Bar 1438, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Firdaus, berkongsi sentimen yang sama seperti Cik Ang.

Beliau berkata Johor Bahru merupakan hab pelancongan yang menarik pelancong dari negara lain, seperti Korea Selatan dan China. Justeru, dari sudut perniagaan, sektor pelancongan yang semakin berkembang di bandar ini memberi petanda baik untuknya.

“Rakyat Singapura sudah lama datang ke JB, jadi saya rasa ketibaan mereka tidak banyak menjejaskan harga di sini. Dua sebab utama ialah mata wang kita yang lemah dan perubahan politik,” katanya.

Enam puluh peratus pelanggan Cik Ang adalah warga Singapura, manakala Encik Firdaus melayani sekitar 85 peratus pelanggan Singapura.

BAGAIMANA HARGA BERUBAH?

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi tahun ke tahun bagi Johor setakat Oktober - angka terkini berada pada 1.7 peratus.

Negeri itu menduduki tempat keenam tertinggi, betul-betul di belakang Pulau Pinang (1.8 peratus), Selangor (1.9 peratus), Perak (2.2 peratus), Sarawak (2.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7 peratus).

Lima kategori teratas yang melaporkan inflasi tahun ke tahun tertinggi di Johor ialah:

• Pendidikan (7.5 peratus)
• Restoran dan hotel (4.1 peratus)
• Kesihatan (3.8 peratus)
• Makanan dan minuman (3 peratus)
• Perabot dan penyelenggaraan isi rumah (2.4 peratus)

Laporan itu juga menyenaraikan purata harga barangan di pelbagai negeri. TODAY menyemak edisi Disember 2022 untuk mendapatkan beberapa wawasan tentang bagaimana harga telah berubah pada tahun lalu di Johor.

Tidak semua barangan mengalami lonjakan drastik, tetapi beberapa yang ketara termasuk pisang berangan, yang pernah berharga RM5.42 sekilogram pada Disember 2022. Ia RM6.40 pada Oktober, meningkat 18 peratus dalam 10 bulan.

Buah tomato dengan berat yang sama, yang berharga RM5.59 pada Disember 2022, berharga RM6.46 pada Oktober, meningkat hampir 16 peratus.

Para pengguna membayar harga purata RM6.90 untuk sepinggan nasi ayam tahun lalu. Sepuluh bulan kemudian, mereka terpaksa mengeluarkan RM7.38, atau 7 peratus lagi.

Sebungkus beras 10kg berharga RM30.15 pada Oktober, berbanding RM26.15 tahun lepas, atau 15 peratus lebih rendah.

Harga beras mungkin meningkat lebih tinggi jika tidak kerana skim subsidi petrol, minyak masak dan bahan makanan penting Malaysia seperti beras.

DI SEBALIK HARGA LEBIH TINGGI 

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang faktor di sebalik kebimbangan kos sara hidup di Johor Bahru, TODAY menemui pakar-pakar ekonomi untuk memahami gambaran yang lebih besar dan sama ada rakyat Singapura adalah penyumbang utama kepada harga yang lebih tinggi untuk barangan ruji.

Profesor ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata bahawa rakyat Singapura juga berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup di Singapura, dan ini mendorong mereka ke Johor Bahru untuk mendapatkan barangan yang lebih murah.

Rakyat Singapura bergelut dengan harga yang lebih tinggi apabila inflasi teras negara meningkat daripada 3.0 pada September kepada 3.3 peratus pada Oktober. Pada Januari dan Februari, angka itu berada pada 5.5 peratus, paras tertinggi dalam 14 tahun.

“Kos sara hidup yang semakin meningkat di Singapura telah mendorong ramai rakyat Singapura membeli-belah untuk keperluan harian mereka di Johor Bahru,” kata Prof Yeah.

“Untuk menampung permintaan yang bertambah, Johor Bahru perlu melihat secara berkesan bagaimana mengembangkan kapasitinya. Jika mereka tidak dapat berkembang, dan permintaan lebih besar daripada penawaran, ini membawa kepada lebihan permintaan, yang kemudiannya akan menyebabkan tekanan kenaikan harga dan inflasi.”

Dari segi ekonomi, Prof Yeah menyifatkan fenomena itu sebagai "terlalu panas", yang berlaku apabila ekonomi tidak dapat berkembang untuk memenuhi permintaan yang meningkat, mengakibatkan tempoh inflasi yang berpanjangan.

Buat masa ini, beliau masih belum melihat Johor Bahru mencapai tahap ini walaupun tekanan harga yang lebih tinggi dihadapi berikutan beberapa kelonggaran dalam pasaran buruh dan perumahan.

“Perniagaan mungkin berkembang pesat dan mengenakan harga yang lebih tinggi, tetapi kami juga perlu mengambil kira bahawa kebanyakan permintaan ini adalah bermusim. Anda hanya melihat lonjakan permintaan yang besar pada hujung minggu dan cuti umum.

“Ini adalah cabaran yang dihadapi oleh perniagaan di Johor Bahru. Mereka perlu mengambil kira keadaan bermusim dalam perancangan mereka dan memastikan perniagaan mereka masih mampan sepanjang minggu apabila tiada peningkatan permintaan pengguna dari Singapura.”

Prof Yeah berkata Johor Bahru boleh melihat kemasukan pengguna Singapura sebagai satu peluang dan bukannya ancaman.

“Johor mempunyai gabungan permintaan pelabur dan kedatangan pelawat dari Singapura. Persoalannya sekarang ialah bagaimana negeri boleh maju lebih jauh untuk memanfaatkan peluang yang diberikan kepada mereka dalam senario ini.”

Dr Carmelo Ferlito, ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran yang berpangkalan di Kuala Lumpur, berkata Malaysia kini "menanggung kesan-kesan" akibat dasar yang diperkenalkan untuk meringankan beban kewangan isi rumah semasa wabak. 

Satu contoh dasar sedemikian, menurut Dr Ferlito, ialah pelancaran pakej rangsangan ekonomi, seperti Prihatin, yang dikatakan antara yang terbesar di dunia.

Pakej Prihatin bernilai RM250 bilion boleh digambarkan sebagai setara dengan Belanjawan Perpaduan dan belanjawan tambahan pakej Ketahanan Singapura pada tahun 2020.

Dr Ferlito memberitahu TODAY: "Anda tidak menganggap bahawa anda boleh sahaja 'mematikan' ekonomi dengan melaksanakan dasar pengembangan fiskal dan monetari, dan pada masa yang sama tidak mengalami inflasi." Beliau merujuk kepada kesan-kesan dasar PKP, yang menyebabkan ekonomi terhenti.

"Jadi inflasi disebabkan oleh kerajaan, bukan oleh rakyat Singapura."

Ditanya mengenai sebab penurunan nilai ringgit Malaysia, Dr Ferlito mengaitkannya dengan dua faktor utama - ketegangan geopolitik baru-baru ini, seperti perang Rusia-Ukraine, dan kelembapan ekonomi China.

Mengenai perkara pertama, Dr Ferlito berkata walaupun kelihatan seolah-olah ringgit semakin lemah, sebenarnya ia adalah pengukuhan dolar AS kerana ia masih dianggap matawang terbaik.

“Dalam saat-saat ketidaktentuan, dolar AS kekal sebagai wadah perlindungan. Rakyat cenderung untuk membeli lebih banyak mata wang selamat, oleh itu, ini telah melemahkan mata wang lain, dan akibatnya, ringgit menderita.

"Di samping itu ada pula kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi yang dilaksanakan bank simpanan federal Amerika, untuk menarik pelabur asing ke arah dolar," katanya.

Di dalam negeri, Dr Ferlito berkata Malaysia telah terjejas oleh kelembapan ekonomi China. "China melaksanakan dasar yang 'membunuh dirinya sendiri' dengan melaksanakan penutupan, dan ia kini terpaksa membayar kosnya. Anda tidak boleh menghidupkan dan mematikan ekonomi seperti kereta atau enjin.”

Memandangkan Malaysia adalah rakan perdagangan penting China, beliau berkata: "Kelemahan China secara langsung memberi kesan kepada Malaysia."

Ditanya apa yang boleh kerajaan Malaysia lakukan untuk membantu rakyat, Dr Ferlito berkata adalah penting bagi Malaysia mengguna pakai huraian mesra perniagaan dan pasaran untuk ekonomi memperoleh kekuatan sendiri.

"Memberi wang tunai mungkin kelihatan seperti langkah yang menarik dari segi politik, tetapi ini sebenarnya menjadikan orang lebih miskin kerana, pada akhirnya, semuanya akan menjadi lebih mahal."

Di pihaknya, kerajaan negeri Johor telah mengumumkan pelbagai skim untuk membantu penduduk menghadapi inflasi.

Ini termasuk elaun RM300 sebulan yang diberikan kepada nelayan Johor dan program bantuan beras di mana semua isi rumah layak mendapat sebungkus beras 10kg. Pasangan suami isteri mendapat kelegaan dengan bantuan kewangan RM1,000 sekali sahaja di bawah program untuk pasangan pengantin.

Ketika mengumumkan bajet RM1.8 bilion untuk 2024 pada 23 Nov, Menteri Besar  Johor Onn Hafiz Ghazi berkata: “Kami faham bahawa rakyat sedang menghadapi kesusahan seperti kos sara hidup yang tinggi, dengan keperluan yang semakin mahal dan kejatuhan nilai ringgit, yang telah menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.

“Bajet negeri 2024 dirancang sebagai kesinambungan usaha kita membangunkan ekonomi Johor demi kesejahteraan rakyat Bangsa Johor,” katanya.

Negeri itu memperuntukkan lebih RM300 juta dalam Bajet Johor 2024 bagi membantu penduduk yang berada dalam kategori 40 peratus terendah mengikut pendapatan.

IKATAN SIMBIOTIK DUA KOTA 

Walaupun masih belum jelas sejauh mana rakyat Singapura telah menyumbang kepada kenaikan harga di Johor Bahru, hubungan simbiotik antara dua bandar yang dihubungkan sebatang Koswe tidak dapat dinafikan.

Hubungan itu menjadi paling ketara apabila wabak COVID-19 memaksa kedua-duanya menutup sempadan kepada para pelawat satu sama lain.

Akibatnya, pusat-pusat beli-belah dan kawasan sekitar pelancong di Johor Bahru kosong, dengan tiada sosok manusia lain kelihatan kecuali kakitangan runcit.

"Adalah jelas bahawa kedai-kedai di sana wujud untuk memenuhi keperluan rakyat Singapura," kata Encik Hazree Mohd Turee, pengarah urusan BGA Malaysia (BGA, singkatan untuk BowerGroupAsia). Ia bekerjasama dengan syarikat-syarikat pelbagai sektor untuk menyediakan huraian dan membantu mereka menyusun strategi dan mengembangkan perniagaan.

Oleh kerana permintaan telah meningkat semula selepas sekatan COVID-19 ditarik balik, tidak hairanlah pengunjung dari Singapura berbondong-bonding menyeberangi Tambak, dan tidak sabar untuk membeli barangan runcit dan barangan rumah pada kos yang lebih rendah lagi.

Walaupun belum jelas sejauh mana rakyat Singapura telah menyumbang kepada kenaikan harga di Johor Bahru, hubungan senyawa antara dua bandar yang dihubungkan oleh tambak Koswe tidak dapat dinafikan. (Foto: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

Pada 2022, Johor menerima lebih sembilan juta pelancong, dan Encik Hazree berkata sekitar 80 peratus daripada jumlah itu datang dari Singapura. Sebelum wabak, pada 2019, jumlahnya melebihi 17 juta, dengan lebih daripada 13 juta berasal dari Singapura.

Encik Hazree yang beliau sendiri merupakan rakyat Johor, berkata, penduduk Johor Bahru paling terkesan dengan harga barangan basah, seperti ayam dan buah-buahan.

“Ayam berharga setinggi RM17 sekilogram di Johor, iaitu hampir S$5 kepada warga Singapura. Tetapi di Singapura, mereka perlu membayar S$8.65 sekilogram. Ia adalah perbezaan yang besar.

“Itulah sebabnya di tempat seperti pasar basah, penjual lebih suka menjual kepada rakyat Singapura kerana mereka boleh menaikkan harga. Walaupun selepas kenaikan harga, harga di Johor masih sekurang-kurangnya 50 peratus lebih murah kepada mereka (Rakyat Singapura).

"Ini adalah trend sebelum wabak, dan saya pasti ia akan berterusan sekarang," katanya.

Mengenai makanan, banyak perkara lain yang menyumbang kepada perbezaan harga itu. Encik Hazree menjelaskan bahawa Malaysia adalah pengimport bersih makanan kerana hasil yang ditanam secara tempatan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik selepas memenuhi keperluan eksport.

"Sebagai pengimport bersih yang berdagang dalam (dolar AS), harga akan meningkat berdasarkan keadaan semasa ringgit kita," katanya, sambil menambah bahawa adalah penting bagi Malaysia untuk menangani kebimbangan tentang jaminan makanan supaya negara boleh lebih berdikari.

Selain isu harga, kesesakan juga merupakan satu lagi fenomena harian di Johor Bahru.

Dan apabila hujung minggu dan cuti sekolah tiba, bandar ini menyaksikan lebih banyak kereta yang berdaftar di Singapura melayari jalan-jalan raya Malaysia.

Eksekutif Jualan Cik Siti Atiqah berkata keadaan lalu lintas boleh menjadi agak mengganggu dengan campuran kenderaan-kenderaan Johor dan Singapura di Johor Bahru. 

“Saya rasa kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengawal bilangan kereta Singapura yang masuk ke JB pada hujung minggu. Jangan benarkan semua orang masuk kerana ini memburukkan lagi kesesakan di sini."

Pemilik bersama Kedai Dhoby Shanghai, Hakim Abdullah, 23, adalah antara beberapa penduduk yang diwawancara TODAY, yang menyuarakan pandangan berlainan. Beliau berpendapat satu sistem MRT yang boleh diharapkandapat dibina di JB suatu hari nanti bagi mengurangkan kesesakan.

“Tetapi secara peribadi, saya tidak fikir kesesakan adalah isu utama. Ia menjadikan Johor Bahru, bandar yang sangat happening,” katanya.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement