Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Percutian luar biasa: Kapal pesiaran ini menyediakan pengalaman menyeronokkan bersama kucing-kucing

Kapal Royal Albatross telah melancarkan "kapal pesiaran kucing pertama di dunia", di mana kucing boleh berlayar ke laut bersama manusia. 

Percutian luar biasa: Kapal pesiaran ini menyediakan pengalaman menyeronokkan bersama kucing-kucing
Louie, seekor kucing Parsi, menikmati ‘percutiannya’ di laut. (Gambar: CNA/Javier Lim)

SINGAPURA: Suatu ketika dahulu, kucing peliharaan dikaitkan dengan gaya hidup dalam rumah. Tetapi hari ini terdapat trend yang semakin berkembang di mana pemilik haiwan peliharaan membawa kucing mereka untuk meneroka kawasan luar - sama ada ke taman,  kafe yang membenarkan haiwan peliharaan atau ke pantai. 

Di Singapura, anda kini boleh membawa kucing anda ke laut melalui pelayaran. Ya, benar. Inilah yang dijanjikan sebuah syarikat kapal persiaran Royal Albatross. 

Selepas kejayaan pelayaran anjingnya, Tall Ship Adventures kini telah melancarkan "pelayaran kucing pertama di dunia" di atas Royal Albatross, sebuah kapal layar mewah dengan tiang layar ketinggian 47 meter. Ia menyediakan pengalaman berlayar dan santapan di perairan Singapura. 

Fakta menarik - Royal Albatross muncul dalam film The Dark Knight yang dibintangi oleh Christian Bale dan Michael Caine, di mana kapal tersebut adalah kapal layar peribadi Bruce Wayne.

Sebagai seorang pemilik kucing, saya boleh menduga beberapa perkara di mana pelayaran dengan kucing boleh menjadi masalah. Pertama - kucing secara semula jadi amat serasi dengan sekitarannya, dan menjadi takut apabila berada di tempat yang tidak dikenali, apatah lagi di atas bot. 

Kedua, kucing memang tidak suka air, jadi saya tidak dapat bayangkan ia akan menikmati pengalaman berada di laut. 

Dan akhir sekali, jika anda membawa kucing anda keluar ke taman, anda boleh dengan mudah meninggalkan sesuatu tempat apabila kucing anda mula resah. Tetapi bagaimana pula jika anda dan kucing berada di atas bot, anda tidak mempunyai pilihan selain bertahan sepanjang pelayaran – kecuali anda sendiri yang mengemudikan kapal.
 

Kapal Royal Albatross. (Gambar: CNA/Javier Lim)

Laman web Royal Albatross bagaimanapun menjelaskan bahawa pelayaran kucing mereka bukan untuk sebarang kucing. Terdapat beberapa syarat. Pertama, kucing anda harus biasa berada di luar rumah dan mesti bertenang setiap kali berada di luar. Ia perlu berumur sekurang-kurangnya empat bulan dan divaksin sepenuhnya. Ia juga perlu biasa dipakai tali pengikat dan kalung penahan.

Kucing ragdoll saya yang berusia dua tahun, Bella,  memenuhi semua syarat tersebut, kecuali yang terakhir. Segala percubaan saya untuk membiasakannya memakai tali pengikat dan kalung telah gagal. Bahkan satu kali dia pernah cuba melompat ke udara untuk melepaskan tali itu. Bella juga merupakan jenis kucing suka dalam rumah –  paling jauh dia pernah keluar rumah adalah ke kawasan koridor di luar flat saya. Dan apabila berjalan dengan tali, pendiriannya sangat jelas; dia lebih suka menjelajah dengan bebas dan tidak suka diikat.

Oleh itu, saya terpaksa meninggalkannya ketika saya menaiki Royal Albatross untuk menghadiri pelancaran media pelayaran kucing pada 8 Ogos. 

Beberapa soalan terlintas di fikiran saya semasa saya menaiki kapal itu. Sejauh manakah pelayaran kucing selamat? Adakah kucing akan merasa mabuk laut? Bagaimana kucing-kucing akan dihiburkan di atas kapal? Dan apa akan berlaku sekiranya adakucing yang melompat ke dalam laut?

(Gambar: Kapal Royal Albatross)

Semua soalan ini dan banyak lagi telah dijawab oleh Peter Pela, pemilik-pengendali dan Ketua Pegawai Eksekutif Royal Albatross.

"Yang menariknya, orang pertama yang mencadangkan kami melancarkan pelayaran kucing adalah seorang individu yang pernah menyertai pelayaran kami untuk anjing," kongsi Pela dengan saya ketika kami berbual di salun besar kapal yang berhawa dingin. 

Malah Pela, yang mempunyai dua jenis ‘anjing Khas Singapura’, teragak-agak untuk memulakan pelayaran bagi kucing. "Saya dengan serta-merta membayangkan kucing-kucing memanjat tali kami, berjalan di atas rel dan memanjat tiang kami!" katanya sambil bergurau senda.

Apabila pelayaran bagi anjing menjadi semakin popular, ramai pemilik kucing mula bertanya sama ada mereka boleh membawa bersama kucing-kucing  mereka. "Kami kemudiannya mula meneliti akan permintaan untuk mewujudkan pelayaran kucing dan apa yang terlibat sekiranya kami melancarkannya," tambah Pela lagi. 

Menurutnya, pasukan mereka kemudian berunding dengan pelbagai pakar kucing serta pihak berkuasa, termasuk SPCA, perunding perkhidmatan kucing The Cat People, Persatuan Kebajikan Kucing, doktor haiwan dan NParks. "Kami kemudian menghasilkan satu konsep yang berbeza daripada pelayaran anjing yang dianjurkannya," kata Pela.

Untuk pelayaran anjing, tumpuannya adalah pada pengalaman makan dan minum, di mana anjing disajikan dengan tiga hidangan. "Tetapi kucing tidak dimotivasi dengan makanan. Jadi konsep di sini sangat mudah. Ia akan menjadi makan malam romantis [untuk manusia] dan si kucing pula boleh bersama di meja makan. Ia lebih kepada menikmati masa bersama sebagai satu unit keluarga bersepadu."

Pada hari pelayaran media, terdapat enam ekor kucing yang belayar, kesemuanya milik tetamu jemputan. Selepas menaiki kapal, kucing-kucing  menuju terus ke salun besar di mana buaian tingkap, alat permainan dan tempat bermain disediakan. Semua kucing nampak cukup tenang - ada yang melihat pemandangan dari buaian, sementara yang lain tidur siang di tempat bermain. Mungkin disebabkan oleh gerakan kapal yang bergoyang, tetapi ada yang kelihatan agak mengantuk. Tiada satu pun yang benar-benar berminat untuk bermain.

Ahoy, kucing! Kucing bernama Monday menikmati sneknya sebelum berlayar. (Gambar: CNA/Melissa Stewart)
Saya harus memberi tepukan kepada kucing-kucing tersebut – kerana ini adalah acara media, di mana terdapat beberapa kamera yang mengarah ke arahnya sepanjang pelayaran itu. Namun, kucing-kucing itu seolah-olah tidak terganggu dengan semua perhatian.
 
Kucing-kucing yang berkelakuan normal dan tenang di depan kamera. (Gambar: CNA/Melissa Stewart)

Semua krew kapal telah menjalani latihan khas dengan SPCA sebagai persiapan untuk pelayaran kucing, kata Pela. “Mereka melatih kami tentang keselamatan kucing dan cara mengenali tanda-tanda tekanan dan kepanasan yang terlampau. Kami juga melabur dalam membeli peralatan khas seperti kurungan di dek atas. Kami juga mempunyai peralatan di atas kapal yang akan membantu kami menangkap kucing jika ia terlepas daripada tali pengikatnya, atau dalam senario yang paling teruk, jika kucing melompat ke laut, kami mempunyai beberapa peralatan khas untuk menyelamatkan kucing itu."

Saya menarik nafas lega apabila mendengar kata-kata itu, tetapi saya tetap berdoa bahawa kita tidak akan menyaksikan situasi kucing melompat ke laut. Saya juga belajar daripada ucapan pembukaan Pela bahawa kucing sebenarnya adalah pelaut semula jadi. Lebih 600 tahun yang lalu, kapal-kapal layar tinggi mempunyai kucing di atas kapal. Dikenali sebagai "kucing kapal", kucing-kucing itu dihargai sebagai anak kapal yang tugasnya memastikan kapal bebas daripada tikus di samping menjadi teman kepada pelaut.

Sepanjang pelayaran, semua kucing harus mengenakan tali pengikat dan kalung penahan. (Gambar: CNA/Javier Lim)

Royal Albatross berlabuh di pinggir pantai Resorts World Sentosa dengan pelayaran dua setengah jam yang dikendalikannya membawa tetamu melayari sepanjang pantai Sentosa dan sekitar Kepulauan Selatan. 

Sebaik sahaja kucing-kucing membiasakan diri dengan keadaan di atas kapal, kucing-kucing itu  akan dibawa ke dek terbuka depan kapal untuk program malam. Ini adalah pelayaran makan malam sambil menikmati matahari terbenam, dan tetamu akan dihidangkan dengan makan malam empat sajian yang lazat, dengan hidangan seperti udang bawang putih tumis, salmon panggang berlapis miso-soya dan roulade ayam.

Kebanyakan pemilik biasanya memilih untuk menempatkan kucing mereka ke dalam kurungan di sebelah meja semasa mereka makan. Kurungan berjaring ini – atau cat-banas – adalah terbuka dan lapang, dan kebanyakan kucing nampaknya suka  menikmati angin laut ketika tidur. Kucing-kucing itu hanya terjaga untuk sesi bergambar dengan teman manusia masing-masing.

Dek terbuka depan kapal, tempat makan malam dihidangkan. (Gambar: The Royal Albatross)

Salah satu kucing yang saya berkesempatan bertemu di atas kapal adalah Louie, seekor kucing pempengaruh atau influencer yang mempunyai lebih 20,000 pengikut di akaun Instagramnya yang dikongsi bersama adik-beradiknya (@bambam.bella.lola.louie). Louie, kucing Parsi berwajah rata itu, mengenakan pakaian pelaut yang kemas yang secocok dengan pelayaran tersebut.

“Saya merasa menarik kerana sebagai seorang pemilik kucing, saya dapat membawa kucing saya dalam pelayaran untuk merapatkan lagi hubungan kami serta bertemu rakan-rakan baru,” kata pemilik Louie, Razi Belle. “Louie cukup bersikap ingin tahu dan teruja,” tambahnya.

Walaupun Louie biasa menghadiri acara kucing di luar, ini adalah kali pertama dia berada di laut. “Saya berpendapat adalah baik untuk pemilik kucing  membawa kucing mereka keluar untuk menyertai lebih banyak pengembaraan, terutamanya kucing yang sudah biasa keluar. Ini mungkin suatu pengalaman baru bagi pemilik kucing serta kucing mereka.”

Louie dengan pakaian pelautnya. (Gambar: CNA/Javier Lim)

Seorang lagi tetamu media, Gerard* (bukan nama sebenar), membawa kucingnya Cookie, yang hanya bersantai dalam kurungan berjaringnya, sambil menikmati hembusan angin pada bulunya. “Biasanya tempat paling jauh yang saya pernah bawa dia ialah ke rumah nenek saya, jadi ini adalah sesuatu yang istimewa baginya," kata beliau. "Dia sangat tenang. Malah saya rasa dia berasa semakin selesa. Saya harap dia tidak menganggap ini sebagai aktiviti yang tetap."

Walaupun Gerard menikmati pelayaran itu, dia mengakui bahawa pengalaman tersebut juga membuatkannya “tertekan, kerana kami perlu terlebih dahulu menyesuaikan Cookie dengan keadaan baru itu".

Cookie bersama kedua-dua pemiliknya. (Gambar: CNA/Javier Lim)

Summer Lee dan ibunya, Aileen Ng, membawa kedua-dua kucing berbulu pendek mereka dengan nama-nama menarik:  Pidan (telur abad) dan Humdan (telur masin). Dengan bersemangat Hari Kebangsaan, mereka memakaikan kedua-dua kucing itu dengan warna merah dan putih. Pada mulanya, Lee berdepan dengan beberapa kebimbangan berkaitan dengan keselamatan kucing-kucingnya. “Mereka suka melompat, tetapi dengan tali pengikat dan kalung penahan yang betul [kucing-kucing itu  selamat]. Sebagai pemilik, anda juga perlu tahu cara menjaga kucing anda,” katanya.

“Tetapi tidak mengapa sebab kami mempunyai benda ini (sambil menunjuk ke kurungan itu) jadi anda boleh meninggalkan mereka di dalam.” Pidan dan Humdan berpelukan ketika mereka tidur siang.

Pidan dan Humdan bersama kedua-dua pemilikinya. (Gambar: CNA/ Melissa Stewart)

Semua pergaulan dengan kucing-kucing dan pemilik telah membuatkan saya merindui Bella. Jadi saya memutuskan untuk mengambil gambar saya dengan gambarnya dalam fon supaya ia akan berasa seperti dia bersama saya.

Malam itu berlalu tanpa sebarang malapetaka. Kucing-kucing tersebut tertidur, pemilik mereka makan, dan tidak lama kemudian, kami kembali ke darat. Walaupun sebahagian besar pelayaran ini selesa, ada juga masanya keadaan perairan yang agak berombak, yang membuatkan saya berasa sedikit loya. Tetapi tidak perlu dibimbangkan kerana anak-anak kapal mempunyai penawar tersendiri bagi mereka yang rasa mabuk laut; minta mereka beberapa ulas halia bergula untuk membantu meredakan perut.
 

Penulis dengan gambar kucingnya, Bella, yang ditinggalkan di rumah. (Gambar: CNA/Javier Lim )

Untuk pelayaran awam, Royal Albatross akan menjemput penceramah dari organisasi kebajikan kucing, yang akan menjalankan sesi perkongsian yang meliputi topik mengenai pemilikan kucing dengan bertanggungjawab. Kotak derma juga akan disediakan di atas kapal untuk badan-badan amal kucing terkemuka di Singapura.

Sesampainya di rumah, saya memberikan Bella, yang mungkin kecewa dengan saya kerana ditinggalkan, satu pelukan yang erat. Namun, saya tidak pulang dengan tangan kosong – semua tetamu pelayaran kucing diberi beg cenderahati oleh PetCubes, yang berisi makanan istimewa kucing yang dapat dinikmati di rumah. Mungkin di lain hari Bella akan lebih bersiap sedia untuk belayar.

Bella dengan beberapa kandungan beg cenderahati yang dibawa pulang oleh penulis. (Gambar: CNA/Melissa Stewart)

Pelayaran kucing awam pertama bermula pada 13 Ogos. Tarikh-tarikh lain termasuk 13 Sep, 26 Sep, 3 Okt, serta pelayaran Meow-o-ween pada 24 Okt. Lebih banyak tarikh akan diumumkan kelak. Harga bermula pada S$125++ (RM430) untuk kanak-kanak dan S$225 (RM773) untuk orang dewasa. Si kucing pula belayar secara percuma.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai Pelayaran Kucing Royal Albatross, sila layari https://www.tallship.com.sg/events/catcruise/
 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.   

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang bagaimana membezakan antara serangan jantung palsu dengan perasaan panik. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement