Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Antara serangan jantung palsu dan rasa panik: Apa penyebab 'perimenopaus’?

Satu kejadian aneh berakhir dengan seorang wanita dikejarkan ke unit kecemasan apabila disyaki mengalami serangan jantung. Sebaliknya ia cuma serangan panik, yang mungkin berkaitan dengan perimenopaus. Apa puncanya?

Antara serangan jantung palsu dan rasa panik: Apa penyebab 'perimenopaus’?
Sakit dada dan sesak nafas mungkin gejala serangan panik, serangan jantung ataupun perimenopaus. (Gambar: iStock / jittawit.21)

SINGAPURA: Apabila iPhone 14 baru Emma (bukan nama sebenar) terlepas daripada tangannya, dia terus menghulurkan kaki untuk menghalangnya daripada terjatuh ke lantai. Ia terjatuh tepat atas daging lembut di antara sendi ibu jari kakinya.

Penjawat awam berusia 40-an itu langsung tidak menduga bahawa kejadian tunggal ini akan mencetuskan rantaian peristiwa yang akan membawanya ke unit kecemasan - dan menyebabkan doktor mengesyaki dia mengalami serangan jantung. 

Selepas kejadian itu, dia meletak ais ke atas ibu jari kakinya dan tidak banyak membuat pergerakan pada bahagian itu. Dia tidak memikirkan lebih lanjut tentang hal itu, tetapi pada hari ketiga, ibu jarinya telah membengkak seperti cendawan ungu.

Poliklinik berhampiran pejabatnya mempunyai bahagian podiatri dan X-ray dan dia berjaya membuat janji temu dengan pakar podiatri pada hari itu. Tetapi dia kemudian mendapat panggilan daripada talian janji temu yang mengatakan dia perlu berjumpa doktor terlebih dahulu, bagi mendapatkan rujukan untuk berjumpa dengan pakar podiatri. 

Secara kebetulan, semua doktor sudah penuh dengan janji temu. Pada masa itu, ibu jari kaki Emma tengah dalam kesakitan yang memukul. Pegawai itu mencadangkan agar dia masuk sahaja klinik itu dan menjelaskan keadaannya.

Satu kejadian aneh di mana telefon bimbitnya jatuh pada ibu jari kakinya yang kemudian menjadi sakit seperti kesan dipukul pada hari ketiga. (Gambar: iStock/spukkato)

Setelah dia sampai, ia mengambil masa hampir dua jam sebelum doktor dapat berjumpanya. Tertekan dengan keadaan masa itu serta kesakitannya, Emma sudah merasa pening dan tegang di dada tetapi mengabaikannya.

Doktor mengesyaki ada tulang patah di ibu jari kakinya, yang hanya boleh disahkan dengan X-ray. Namun, pada masa itu, kedua-dua jabatan X-ray dan podiatri telah ditutup untuk hari itu. Beliau mencadangkan Emma agar mendapatkan rawatan perubatan yang lebih cepat di jabatan Kemalangan & Kecemasan (A&E) di hospital.

"SAYA RASA SEPERTI ALAMI PENGALAMAN DILUAR TUBUH"

Selepas diperlukan menunggu dengan lama juga di hospital, Emma akhirnya diperiksa di A&E. Jururawat itu menyedari bahawa Emma berpeluh walaupun ia adalah malam yang sejuk, dan berasa sesak nafas di samping mengalami ketegangan dada yang berterusan.

Jururawat itu bertanya sama ada dia pernah merasakan gejala-gejala ini sebelum ini. Emma teringat bahawa seminggu yang lalu, dia mengalami kesakitan dada secara tiba-tiba dan sedikit rasa kebas di dadanya.

Oleh kerana dia telah mendapatkan bantuan perubatan untuk gejala yang sama dua tahun lalu dan dinyatakan sihat, Emma hanya berehat sehingga kesakitan itu hilang.

Jururawat di jabatan kecemasan hospital mendapati bahawa Emma berpeluh walaupun ia adalah malam yang sejuk, dan dia juga sesak nafas. (Gambar: iStock/sompong_tom)

Sejurus mendengar kenyataan tersebut, jururawat itu dengan segera membawa Emma ke bilik rawatan. Sambil berjalan dengan kesakitan, dia mengingatkan jururawat bahawa dia tidak boleh berjalan pantas. "Jururawat memandang saya dengan sangat serius dan berkata, 'Puan, anda harus cepat. Anda mungkin mengalami serangan jantung’" . 

"Saya terkejut. Bahkan saya membantah bahawa saya berada di sana adalah kerana masalah ibu jari kaki saya!" cerita Emma.

Dalam keadaan tergesa-gesa, jururawat itu melekatkan pad elektrod untuk mengambil elektrokardiogram (ECG). 

Emma terbaring di sana dalam kebingungan. "Ketika saya melihat dia berlari sana sini, saya merasa seperti mengalami pengalaman diluar tubuh. Rasa takut mula melanda saya ... Adakah saya benar-benar mengalami serangan jantung sekarang?" dia tertanya-tanya dengan rasa panik.

Keputusan ECG ternyata normal tetapi Emma masih perlu melakukan ujian darah, menjalani ujian X-ray pada ibu jari kakinya - dan dadanya, serta dikehendaki berada di hospital untuk pemerhatian.

Mujurnya, ujian menunjukkan tiada serangan jantung - dan ibu jari kakinya tidak patah. 

Diagnosis untuk sakit dada dan sesak nafas: Kemungkinan serangan panik akibat kebimbangan. Dia dirujuk kepada pakar kardiologi untuk rawatan susulan. 

Emma berpendapat bahawa serangan panik itu disebabkan oleh rentetan situasi yang penuh tekanan ketika menunggu untuk mendapatkan bantuan perubatan dan keperluan untuk menjelaskan keadaannya kepada kakitangan perubatan berulang kali.

SERANGAN JANTUNG VS SERANGAN PANIK: BAGAIMANA CARA MEMBEZAKANNYA

Dr Derek Yong, Perunding Kanan, dan Pakar Kardiologi Klinikal dan Intervensi, di pusat-pusat Restore dan Prime Heart, berkongsi beberapa persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya.

Gejala serangan jantung:

  • Daripada rasa sakit, anda mungkin merasa ketidakselesaan pada dada, yang akan tersebar dan bukannya tertumpu di satu tempat. Ini adalah cara serangan yang bermula secara beransur-ansur.
  • Gejala dikejutkan atas sebab penggunaan tenaga yang berlebihan
  • Kesakitan memancar ke bahagian atas, seperti lengan anda
  • Berkaitan dengan berpeluh sejuk akibat tekanan atau kebimbangan
  • Rasa loya dan muntah

Gejala serangan panik:

Biasanya menimbulkan babak ketakutan yang amat, yang muncul secara spontan dan berasingan, dan akan berlangsung selama beberapa minit hingga satu jam. Ia mungkin termasuk gejala-gejala ini:

  • Denyutan jantung yang kuat
  • Berpeluh
  • Menggeletar atau bergoyang
  • Sensasi sesak nafas atau rasa tersekat
  • Rasa tercekik
  • Sakit dada atau ketidakselesaan
  • Rasa loya atau gangguan perut
  • Rasa pening
  • Menggigil atau mengalami sensasi panas
  • Rasa kebas atau sensasi kesemutan
  • Derealisasi (perasaan tidak benar) atau depersonalisasi (terpisah dari diri sendiri)
  • Takut hilang kawalan atau "menjadi gila"
  • Takut mati

Namun, Dr Yong mengingatkan bahawa ia mungkin sukar bagi orang biasa untuk membezakan serangan panik daripada serangan jantung.

"Ia memerlukan ujian elektrokardiograf dan biasanya satu siri ujian darah untuk mengecualikan serangan jantung dengan pasti. Sekiranya gejala di atas timbul, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera."

Collapse

JADI IA ADALAH SERANGAN PANIK - TETAPI KEKAL WASPADA

Dengan pengalaman dan berdasarkan senarai gejalanya, Emma kini menyedari bahawa dia mengalami serangan panik. Namun, dia tetap menghadiri janji temu dengan pakar kardiologi, yang menurut Dr Yong adalah perkara penting. "Ini akan menghalang masalah perubatan yang serius daripada berlaku, terutamanya yang berkaitan dengan kardiorespiratori."

Ini termasuk penyakit gangguan paru-paru kronik (COPD), asma, bronkitis, emfisema, darah tinggi, angina, jangkitan pernafasan seperti radang paru-paru, dan lain-lain. 

Jangan buat kesilapan dengan beranggapan ia hanya serangan panik. "Individu yang mengalami gangguan panik nampaknya lebih berisiko menghidap penyakit arteri koronari berbanding individu tanpa gangguan panik," kata Dr Yong sambil memberi amaran.

Apa yang menarik, kata beliau, pada peringkat global, kekerapan yang dilaporkan pada wanita yang mengalami serangan/gangguan panik adalah lebih tinggi, dengan kelaziman jangka hayat sebanyak 5 peratus pada wanita berbanding 2 peratus pada lelaki.

ATAU ... IA MUNGKIN PERIMENOPAUS

Walaupun serangan panik Emma berkemungkinan disebabkan oleh kesakitan dan kebimbangan yang dirasainya semasa menunggu untuk dirawat di poliklinik, ditambah pula dengan tekanan kerja dan hubungan peribadi, namun mungkin ada sebab lain – perimenopaus. 

Dia menceritakan bagaimana seorang kawan juga pernah dimasukkan ke A&E kerana gejalanya menandakan serangan jantung. Doktor akhirnya mendiagnosisnya sebagai masalah hormon dan berkata ia adalah perkara biasa dalam kalangan wanita berusia 40-an.

Mereka mengetahui sekurang-kurangnya dua wanita lain dalam kumpulan umur yang sama yang mengalami gejala serupa, yang kemudian didiagnosis sebagai perimenopaus.

Perimenopaus – tempoh di mana tubuh wanita beralih kepada menopaus – boleh bermula seawal usia pertengahan 30-an, menurut maklumat dari laman web Klinik Cleveland. Ia akan berlanjutan selama empat tahun sebelum anda akhirnya mencapai Big M, yang ditakrifkan sebagai lebih daripada 12 bulan tanpa haid. 

Perubahan hormon semasa perimenopaus boleh menyebabkan serangan panik pada sesetengah wanita. (Gambar: iStock/pornpimoln Puangsai)

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa selain daripada gejala menopaus biasa seperti menstruasi yang tidak teratur dan kepanasan mengejut, sesetengah wanita di peringkat perimenopaus juga mengalami serangan panik akibat perubahan hormon. Dalam kes yang lebih teruk, ia boleh menyebabkan kemurungan.

Dalam artikel berita mengenai menopaus dan kemurungan pada wanita yang diterbitkan di laman web Perubatan Johns Hopkins, Dr Jennifer Payne, seorang pakar psikiatri dan pengarah Pusat Gangguan Perasaan Wanita di Universiti Johns Hopkins, menjelaskan bahawa "apabila wanita mengalami perubahan hormon secara tiba-tiba seperti yang terjadi akibat perimenopaus, akil baligh, selepas bersalin dan juga kitaran bulanan, mereka ini lebih berisiko dalam mengalami kemurungan".

Ini terutamanya berlaku bagi mereka yang sudah mengalami kemurungan selepas bersalin atau sentiasa mengalami perubahan perasaan yang ketara sebelum haid mereka. Wanita juga dua kali lebih berkemungkinan mengalami kemurungan berbanding lelaki.

Tetapi, bagi mereka yang tidak mempunyai sejarah sebelumnya pun, tidak kebal daripada diserang kebimbangan atau kemurungan. Kajian selama 10 tahun yang melibatkan 2,956 wanita Amerika daripada pelbagai kaum dan etnik mendapati bahawa wanita yang mengalami tahap kebimbangan yang rendah sebelum menopaus sebenarnya lebih mudah terdedah kepada tahap kebimbangan yang tinggi semasa dan selepas peralihan menopaus daripada sebelumnya. Pra menopaus adalah masa antara menstruasi pertama wanita dan permulaan perimenopaus.

Sebaliknya, wanita yang sebelum ini telah didiagnosis dengan masalah mungkin sudah mengalami kebimbangan yang kronik justeru tidak berisiko tinggi.

Menurut Kajian Perasaan dan Kitaran Harvard, wanita yang tidak mempunyai sejarah kemurungan juga hampir dua kali lebih  berkemungkinan mengalami kemurungan dalam peralihan menopaus, berbanding dengan wanita pra menopaus.

JIKA RAGU, DAPATKAN BANTUAN PERUBATAN

Orang biasa seperti kita tidak tahu sama ada ia adalah serangan panik, serangan jantung atau perimenopaus. Malah pakar kardiologi berpengalaman seperti Dr Yong berkata: "Walaupun saya mungkin mengesyaki bahawa ia adalah serangan panik atas alasan klinikal, saya masih perlu bergantung kepada ujian untuk membezakannya daripada serangan jantung."

Janji temu susulan dengan pakar kardiologi yang melibatkan ujian tekanan elektrokardiogram pada treadmill. (Gambar: iStock/JazzIRT)

Susulan rawatan Emma dengan pakar kardiologi melibatkan Imbasan Pengedaran Darah Tisu Berotot Jantung melalui Senaman. Ia melibatkan Ujian Tekanan ECG pada treadmill untuk menilai tindak balas jantungnya terhadap peningkatan beban kerja dan permintaan darah semasa bersenam; dan imej Unjuran Intensiti Maksimum (MIP) untuk memeriksa perubahan dalam jantung.

Sesi senaman mengambil masa kira-kira sejam dan keseluruhan prosedur mengambil masa hampir empat jam, termasuk masa menunggu di hospital kerajaan. 

Mujurlah, beliau melepasi semua ujian tersebut. "Saya membayar kira-kira S$450 selepas mendapat subsidi di hospital kerajaan dan boleh membayar sebahagian daripadanya dengan Medisave saya. Ia adalah jumlah yang kecil, berbanding dengan ketenangan fikiran yang mengesahkan bahawa saya tidak mempunyai penyakit jantung.

“Ia selalu mengganggu fikiran saya sebab ini bukan kejadian pertama saya mengalami sakit dada,” kata Emma. “Pemeriksaan kesihatan mungkin mahal tetapi sentiasa memeriksa gejala anda sebelum terlambat. Jangan sekali-kali mengabaikan kesihatan anda.”

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai  jenama pakaian Singapura yang mencipta semula fesyen kitaran. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement