Apakah secawan kopi anda kini lebih mahal? Ini mungkin sebab-sebabnya
Para pengeluar kopi menghadapi banyak cabaran sekarang dan program Talking Point CNA telah ke ke Indonesia untuk meninjau apakah cabaran-cabaran tersebut.

SINGAPURA: Jumlah kemerosotannya tidak banyak, hanya 0.6 peratus tahun ini, demikian menurut anggaran Kementerian Pertanian Indonesia mengenai jumlah pengeluaran kopi negara itu pada Disember lalu.
Namun, ini adalah kejatuhan pertama sebegitu sejak 2019. Dan apabila bekalan kopi robusta Indonesia — iaitu jenis yang kebanyakannya terdapat di pusat-pusat makanan dan kedai kopi Singapura — turun, harganya pula semakin meningkat.
“Dalam empat, lima bulan terakhir, kami melihat harga kopi robusta di Indonesia bergerak dengan sangat drastik. Ia kini sekitar S$240 (RM820) untuk beg seberat 60 kilogram,” kata presiden Persatuan Kopi Singapura Victor Mah. Kira-kira setahun yang lalu, para peniaga hanya membayarnya S$180.
Indeks harga pengguna Singapura menunjukkan bahawa harga purata secawan kopi biasa (kopi dengan susu) ialah S$1.35 pada bulan Ogos, iaitu 7 peratus lebih tinggi daripada harga purata tahun lepas iaitu S$1.26.

Dan ia masih boleh menjadi lebih mahal. Ini kerana Jabatan Pertanian Amerika Syarikat meramalkan pada Jun bahawa pengeluaran kopi Indonesia bagi tahun 2023/24 akan jatuh 18 peratus daripada setahun lalu ke paras terendah sejak 2011/12.
Dalam rancangan dua bahagian, program Talking Point CNA meninjau faktor-faktor di sebalik kemerosotan pengeluaran dan sebab-sebab lain yang mendorong kenaikan harga.
KEADAAN IKLIM, RACUN PEROSAK JEJAS MUTU KOPI
Lebih 90 peratus ladang kopi di Indonesia adalah kebun kecil, seperti yang dimiliki oleh Kerno, petani kopi generasi kedua di Lampung, wilayah paling selatan di Sumatera dan salah satu wilayah pengeluar robusta terbesar di negara itu.
Petani berusia 50 tahun itu, mempunyai sekitar 5,000 pokok di kebunnya seluas kira-kira dua setengah padang bola sepak.

Tahun lepas, dia menhasilkan tiga tan ceri kopi (biji-biji kopi yang berwarna merah gelap seperti buah ceri selepas masak). Tahun ini, Kerno berharap hasil tuaiannya akan mencecah satu tan.
“Ia mungkin tidak mencapai jumlah itu. Kami bertuah jika kami mendapat 800kg," katanya.
Sumatera telah mengalami hujan yang kerap dan cuaca aneh sekali-sekala sejak tahun lepas, yang telah mengganggu pertumbuhan pokok kopi pada ketika proses penting penghasilannya.
“Selepas peringkat berbunga, bunga bertukar menjadi ceri kecil. (Tetapi) hujan lebat menyebabkan buahnya gugur. Buah itu akan reput dan tidak akan bertukar menjadi kopi. Oleh itu, tidak mungkin untuk mendapatkan hasil yang banyak,” kata Kerno.
“Kami kalah kepada cuaca. Ia sangat menyedihkan.”
Malah, di kawasan-kawasan lain di Indonesia pula, ia dilanda hujan batu, yang turut menjejaskan pengeluaran kopi.
TONTON: Bahagian 1 — Mengapa kopi saya semakin mahal? (22:28)
Bukan sahaja cuaca yang tidak menentu, harga baja juga meningkat, mencapai harga tertingginya tahun lalu kerana wabak, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan isu rantaian bekalan yang mengetatkan bekalan global.
Harga kini terus pada tahap tertinggi: bagi 50kg baja, Kerno biasanya membayar sekitar 200,000 rupiah (S$18), tetapi dia kini perlu membayar 260,000 rupiah.
"Apabila kami petani dilanda kos baja yang melambung tinggi, kami tidak akan menggunakan sebanyak itu," katanya. "Itu membawa kepada pengeluaran kopi yang lebih rendah juga."
Ancaman terhadap bekalan kopi tidak terhad kepada Indonesia.
Peningkatan suhu di seluruh dunia telah membawa kepada pembiakan perosak yang dipanggil pengorek buah kopi. Serangga perosak ini bukan sahaja menjadi lebih subur, tetapi juga boleh menggerudi lebih dalam ke dalam ceri kopi.

Dengan memakan buah kopi sehingga ke dalamnya, ia menyebabkan berat buah berkurangan. Ceri yang dijangkiti teruk akan jatuh dari pokok, dan tidak akan masak. Ia juga bermakna buah kopi itu tidak boleh dijual.
Perubahan iklim — dan kesannya terhadap keadaan cuaca — juga menyebabkan peningkatan penyakit seperti kekaratan pada daun kopi, sejenis penyakit kulat yang mengurangkan hasil kopi.
Di peringkat global, pengeluaran kopi turun sebanyak 1.4 peratus pada 2021/22. Walaupun harga dijangka kembali meningkat tahun ini, jumlah permintaan juga dijangka meningkat. Ini menyebabkan untuk tahun kedua berturut-turut, para pengeluar kopi tidak dapat memenuhi permintaan.
Pada bulan Ogos, Pertubuhan Kopi Antarabangsa menganggarkan kekurangan sebanyak 7.3 juta beg tahun ini.
Lebih banyak kopi juga dijangka diminum di Indonesia. “Setiap tahun, kadar minuman kopi semakin tinggi dan terus meningkat,” kata Leo Wiriadjaja, pengasas bersama Lisa and Leo’s Organic Coffee, sebuah ladang di Sumatera Utara.
"Keadaan sedemikian boleh menghalang kami untuk mengeksport lebih banyak jumlah kopi."

Kemudian berlaku pula El Niño tahun ini. Dengan keadaan cuaca panas dan kering yang berkemungkinan berpanjangan, pemain-pemain industri menjangkakan tekanan lanjut terhadap pengeluaran kopi, dengan kekurangan bekalan akan berlaku pada tahun depan.
APA PENYELESAIANNYA?
Di sebalik cabaran yang dihadapi para petani kopi Indonesia, ladang kopi Wiriadjaja - yang dimiliki bersama isterinya, Lisa Matthews – terus berkembang maju.
Salah satu sebab mereka dapat mengekalkan hasil kopi secara konsisten adalah kerana mereka menggunakan baja organik, iaitu bahan kompos yang dibuat sendiri dengan menggunakan rumput dipotong dan hasil sampingan daripada pengeluaran kopi.
Ceri kopi dan kulit biji kopi, misalnya, mempunyai kandungan makronutrien dan mineral untuk tanaman, seperti kalium, tembaga dan zink. Rumput yang dipotong mengandungi nutrien termasuk karbon, nitrogen dan fosforus.

“Dengan memiliki semua unsur dalam baja kompos yang kami sediakan dari ladang kami, kami tahu apa kandungannya dan oleh itu boleh mengawal mikrobiologi di dalamnya," kata Matthews.
"Jika anda menggunakan baja sintetik, anda hanya bergantung pada apa yang dicetak di luar beg baja itu untuk ketahui apa yang ada di dalamnya.
“Tetapi ramai petani mendapati kadangkala apa yang (ditambah) dalam beg baja ini boleh memudaratkan tanaman. Bahan itu boleh mengakibatkan munculnya bakteria yang salah."
Penggunaan kompos, bukan daripada baja sintetik, boleh menjimatkan kos tahunan sebanyak 30 peratus untuk ladang-ladang kami, kata pakar tanah itu.

Pasangan itu mempunyai satu lagi jenis baja semula jadi yang tumbuh di seluruh ladang mereka – tanaman semanggi kuning.
"Ia mencipta biologi yang sihat di dalam tanah dengan menghasilkan nodul di hujungnya, yang mengandungi nitrogen. Ia dilepaskan ke dalam mikrob. Mikrob mengubahnya menjadi bahan yang boleh diserap pokok, dan ia membantu pokok mengekalkan daun yang sihat, "kata Matthews.
Semanggi juga boleh menghalang suhu tinggi daripada membakar bahagian atas tanah. Ia tumbuh "hanya di atas tanah", yang mewujudkan teduhan dan menghalang tanah daripada "kering".
"Akar tanaman itu pula boleh menyerap banyak kelembapan, yang kemudian dilepaskan pula ke dalam tanah,” tambahnya.
Selain semanggi di ladangnya, terdapat pokok teduhan yang menjulang tinggi di atas pokok kopi. Fungsi pokok-pokok itu adalah untuk menurunkan suhu, memecahkan angin dan, melalui sistem akarnya boleh menyediakan tanah dengan nitrogen yang diperlukan kopi.

“Oleh kerana suhu dapat diturunkan, … (pokok kopi) kurang hadapi tekanan. Ia boleh menggunakan tenaga itu untuk membesarkan bunganya,” kata Matthews. Ceri yang tumbuh akan menjadi lebih berat - sekali gus menghasilkan lebih banyak kopi, lebih daripada yang dapat dihasilkan pokok-pokok kopi di bawah sinar matahari penuh.
Matthews juga menanam tumbuhan berbunga (lantanas, misalnya) untuk menarik pendebunga seperti lebah ke ladangnya. Serangga ini akan membawa debunga yang menyuburkan bunga kopi.
“Hujan lebat akan menjejaskan pendebungaan semula jadi pokok kopi. Tidak semua bunga itu akan menjadi ceri kopi jika ia tidak didebungakan dengan betul,” katanya.
Lantana yang ditanamnya mempunyai satu lagi fungsi berguna: Ia menarik apa yang dipanggil tebuan pemangsa, yang memakan serangga pengorek buah kopi.
Untuk mengurangkan lagi kerugian akibat serangan pengorek, terdapat kaedah yang boleh digunakan semasa memproses ceri mendapatkan biji kopi: Daripada menggunakan beg jut atau gunny sacks, petani boleh menggunakan dram untuk "penapaian terkawal", kata Wiriadjaja.

"Ini lebih baik kerana anda boleh mengurangkan oksigen yang ada," katanya. "Kekurangan oksigen ... akan melemaskan (sebarang serangga perosak dalam ceri)."
Daripada kehilangan sehingga 30 peratus hasil tuaian mereka kepada serangga perosak, para petani boleh mengurangkan kerugian mereka kepada di bawah 4 peratus, tambahnya.
Ladangnya menghasilkan kopi arabika, yang dianggap sebagai kopi berkualiti tinggi dan biasanya dihidangkan di kafe dan restoran Singapura. Sebungkus 60kg biji arabika purata kira-kira tiga kali ganda harga import robusta Indonesia.
Kira-kira 27 peratus kopi yang dihasilkan oleh pekebun kecil Indonesia adalah daripada jenis arabika. Tetapi Wiriadjaja dan Matthews menjalankan bengkel percuma mengajar kaedah pertanian mereka, dengan harapan ini dapat memberi inspirasi kepada petani-petani kopi lain.
TONTON: Bahagian 2 — Adakah tumbuhan kopi baka baharu ini bermakna kopi lebih murah? (23:25)
Pakar dan badan-badan bukan pemerintah juga membantu para petani meningkatkan teknik pertanian mereka selama ini.
WALAUPUN KECIL, KENAIKANNYA BESAR
Kenaikan harga "kopi" Singapura tidak semuanya ditentukan oleh harga biji kopi.
Tahun lepas, kedai kopi Ya Kun Kaya Toast, yang mempunyai lebih 70 cawangan di Singapura, menaikkan harga kopinya dengan susu pekat daripada S$1.80 kepada S$2.
Menyumbang kepada kenaikan harga itu adalah "banyak benda kecil lain", seperti bayaran sewa, kos buruh, faedah perubatan untuk kakitangan dan bil elektrik.
“Semua benda begini akan terus meningkat,” kata pengarah penjenamaan dan pembangunan pasaran Ya Kun International, Jesher Loi. “Anda juga perlu meneliti pelbagai bahan lain yang terlibat: biji kopi, air, susu, gula.
"Margin keuntungan (pada) setiap cawan kecil kopi perlu disatukan ... untuk menyokong perniagaan."

Sependapat bahawa banyak perkara kecil perlu diambil kira (untuk menentukan harga secawan kopi), Kang Yi Yang, pengarah jualan Santino, pembekal kopi panggang kepada penjual-penjual kopi Singapura, berkata keseluruhan kos tenaga kerja di Singapura selepas pandemil COVID-19, telah "meningkat dengan ketara."
Proses memanggang biji-biji kopi untuk menjadikannya biji kopi berwarna coklat gelap, juga menimbulkan cabaran kos. "Ia menggunakan banyak elektrik dan juga gas," kata Kang.
"Tahun lepas, bil utiliti kami meningkat dua kali ganda. … Ia sangat tidak menentu sekarang.”
Dan kos beberapa bahan mentah yang melalui proses pemanggangan juga meningkat. Kos gula kira-kira 55 peratus lebih tinggi daripada pada 2021, manakala marjerin berharga lebih 20 peratus.
“Gula memberikan (kopi) lebih banyak rasa karamel. Ia memberikan (kopi) isi dan kemanisannya. Bagi marjerin pula, ia menjadikan keseluruhan kopi lebih aromatik, dengan proses pemanggangannya lebih lancar,” kata Kang.
“Kami tiada pilihan (kecuali) menambah semua bahan ini untuk … mengekalkan rasa kopi tradisional kami.”
Kemungkinan besar ini semuanya menandakan bahawa harga secawan kopi akan menjadi lebih mahal pada masa hadapan, demikian kesimpulan Kang.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.